Melangkah masuk ke NY Steak Shack (NYSS), mata pastinya menyelinap ke segenap ruang untuk mengagumi konsep dekorasi yang diketengahkan. Jika anda penggemar filem-filem Amerika yang menampilkan konsep dekorasi kafe yang tampak klasik bagaikan filem Grease, inilah konsep yang diketengahkan di sini. Terasa bagaikan berada pada zaman filem kegemilangan John Travolta dan Olivia Newton John!
Percaya atau tidak, semua hidangan stik ditawarkan pada harga kurang RM50. Selain hidangan yang boleh dianggap murah, dekorasi NYSS juga sangat cantik. Hiasan ringkas dan moden menjadikan ia satu tempat yang boleh dikatakan sebagai ‘instagram worthy‘. Maklumlah, orang sekarang berkunjung ke restoran bukan sahaja untuk menikmati makanan, malah menjadikan tempat itu sebagai medan fotografi.
Berbalik kepada seleksi menu yang ditawarkan, penulis mencuba hidangan signatur NYSS yang paling mendapat sambutan iaitu ‘sizzling ribeye’.Ternyata, penulis bersetuju ia diangkat sebagai antara hidangan paling popular di NYSS.
Ads
Bukan sahaja dagingnya empuk dan lembut, perapan yang digunakan turut memberi satu letusan rasa yang berbeza saat ia disuap ke dalam mulut. Ia turut ditabur dengan bawang putih goreng yang rangup sekali gus memberi gabungan rasa berbeza saat dimakan bersama stik.
Ads
Menggunakan frasa ‘Shared Joy is Double Joy’, restoran ini memperkenalkan empat hidangan baharu iaitu Seafood Platter, Beef Platter, Poultry Platter dan Lamb Platter. Melihat barisan menu yang diketengahkan sahaja sudah membuatkan rasa lapar muncul dengan tiba-tiba!
Mengetengahkan konsep makan secara berkongsi atau sharing platters, hidangan ini turut didatangkan bersama nasi labu, ubi kentang yang digoreng, sayuran campur dan sizzling entree sebagai pembuka selera.
Ads
Jika anda penggemar hidangan makanan laut, hidangan Seafood Platter sememangnya tidak wajar untuk dilepaskan memandangkan ia menampilkan hidangan sotong yang digoreng menggunakan rempah ratus istimewa di samping udang goreng halia dan ikan pada harga berpatutan.
Bagi mereka yang tertanya-tanya mengenai status restoran ini, jangan risau kerana NYSS sudahpun diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Malah, daging yang digunakan di NYSS juga diambil daripada pembekal halal di Australia.
Bagi mereka yang mahu berkunjung ke NYSS, terdapat 10 outlet di seluruh Malaysia. Antaranya di Mid Valley, Sunway Pyramid, Subang Parade, One Utama, Sunway Velocity dan Melawati Mall. Apa yang pasti, harganya bukan sahaja murah malah hidangan yang ditawarkan juga sangat menyelerakan. Rugi sekiranya anda tidak mencuba salah satu hidangan NYSS. Sekali cuba, pasti nak lagi!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Gabungan rasa pedas dan masam sajian dari Thailand memang menyelerakan! Boleh dikatakan kebanyakan menu Thailand berkhasiat dan sihat kerana tidak berminyak dan bergoreng.
Salah satu hidangan yang pasti menambat selera ialah Tom Yam dan salad sihat ala Thai, Miang Kam.
Ringkas dan sedap. Nah, resipi mudah dua sajian Thailand boleh anda cuba untuk berbuka puasa.
MIANG KAM
Bahan-bahan sos miang kam:
8 gram bawang merah
5 gram bawang putih
60 gram halia
2.5 gram cili padi
1 batang serai
250 gram gula padi
4 keping gula kabung
17 gram garam
2.5 gram ajinamoto
Air asam jawa
Bahan-bahan miang kam:
20 helai daun kaduk
Halia
Cili padi
Lengkuas
Limau nipis
Bawang merah
Kelapa parut (digoreng)
Kacang tanah (dipanggang)
Udang kering (dipotong halus)
Cara membuat:
Kisarkan semua bahan membuat sos kecuali gula dan air asam jawa. Masukkan semuanya ke dalam periuk sehingga mendidih. Seterusnya, masukkan gula bersama air asam jawa. Bubuh garam dan ajinamoto secukup rasa. Kacau hingga pekat dan sejukkan seketika. Hiris nipis cili padi, lengkuas, halia, limau nipis dan bawang merah. Panggang kacang tanah dan goreng kelapa parut hingga keperangan tanpa menggunakan minyak. Untuk menikmati miang kam, ambil daun kaduk dan letakkan bahan-bahan yang diperlukan ke atasnya. Kemudian, tuangkan sos yang telah siap dan digulung. Sedia untuk dinikmati.
TOM YAM
Bahan-bahan:
(untuk 4 orang makan)
Pes tom yam
4 batang serai (ditumbuk)
4 biji tomato
2 inci lengkuas
3 helai daun limau
12 tangkai cili padi
4 ekor sotong
8 ekor udang
280 gram isi ayam
24 ekor lala
80 gram cendawan
3 biji bawang Holland
Air limau
Cara membuat:
Masukkan air rebusan ayam dan udang yang telah direbus di dalam kuali. Seterusnya, masukkan pula serai, lengkuas, daun limau, cili padi, bawang dan cendawan. Kemudian, masukkan 6 senduk pes tom yam yang telah siap. Kacau hingga sebati dan mendidih. Selepas itu, masukkan sotong, udang, lala dan isi ayam. Akhir sekali, masukkan empat sudu air limau. Siap untuk dihidang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bawang putih bukan sekadar diperlukan sebagai bahan utama dalam masakan tetapi sangat berkhasiat sebagai agen penawar dalam kesihatan. Menyedari manfaat bawang putih, sejak dahulu lagi hampir kebanyakan hidangan pelbagai kaum di Malaysia menggunakannya sebagai bahan utama.
Bawang putih mengandungi alliin iaitu sejenis sebatian kimia. Apabila bawang putih dihancurkan, sejenis enzim yang dipanggil alliinase akan dikeluarkan dan bertindak balas dengan alliin bagi membentuk alliisin.
Allicin mampu membunuh bakteria yang menjadi punca penyakit merbahaya. Selain itu allicin juga boleh membantu perkembangan sel kanser dan tumor. Ekstrak Bawang putih mengandungi dua mineral pelindung iaitu selenium dan germanium yang baik untuk kesihatan. Selain itu bawang putih juga bermanfaat untuk:
1. Menurunkan kolesterol
Jika dahulu kebanyakan kes masalah jantung hanya menyerang warga emas namun kini serangan jantung telah mula berjangkit kepada golongan muda. Masalah jantung ini biasanya bermula dengan penompokan kolesterol jahat dalam pembuluh darah. Kolesterol merupakan lemak yang dihasilkan untuk kebaikan tubuh dalam tahap tertentu.
Namun jika melebihi had yang sepatutnya diperlukan oleh tubuh akan menyebabkan tekanan darah tinggi, serangan jantung dan stok. Bawang putih boleh membantu menyingkirkan kolesterol jahat dalam tubuh kerana kaya dengan bahan semula jadinya iaitu sulfur. Sebaik-baiknya bawang putih ini dimakan secara mentah.
2. Membantu atasi tekanan darah tinggi
Bawang putih kaya dengan khasiat seperti fosfor, protein, zat besi, lemak, vitamin C, vitamin B1, vitamin A, kalsium, minyak atsiri, salltivine dan aliin yang boleh membantu mengatasi risiko tekanan darah tinggi. Khasiat yang terkandung dalam bawang putih ini juga mampu membantu melancarkan sistem peredaran darah dalam tubuh. Selain itu kandungan poli sulfida yang terdapat dalam bawang putih membantu melebarkan dan membuka saluran darah supaya tidak mendapat tekanan yang terlalu besar.
3. Meningkatkan kesihatan otak
Masalah kesihatan otak lebih ketara apabila berlaku peningkatan usia. Masalah kesihatan otak seperti Alzheimer dan dementia boleh mengganggu kualiti hidup di hari tua. Penyakit yang berkaitan dengan otak ini boleh dicegah dengan pengambilan bawang putih. Kandungan S-allyl-L-cysteine (SAC) dan antioksidan yang terdapat pada bawang putih mampu menjaga otak daripada berbagai kerosakan kognitif. Bahan kimia pada bawang putih tersebut bertugas untuk mencegah penompokan plak atau zat berbahaya pada sistem saraf pusat.
4. Mengurangkan risiko kanser
Kanser adalah suatu penyakit yang sangat digeruni kerana bertindak pantas menyerang tubuh manusia. Bawang putih seelok-eloknya dimakan dalam keadaan mentah untuk khasiat yang terbaik kerana kaya dengan bahan sulfur bio aktif. Sumber ini boleh membantu mencegah pembentukan sel kanser dalam tubuh kerana boleh memperbaiki sel tubuh yang rosak dan melindungi tubuh daripada zat karsinogen.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Walaupun ramai yang menjadikan ruang dapur sebagai salah satu spot kegemaran dalam rumah, namun apabila timbul situasi seperti bekas gula dihurung semut atau nasi termasak mentah dan sebagainya, sudah pasti ketenangan berada di dapur boleh terjejas dan mengubah mood anda.
Terutama sekali di kalangan wanita berkerjaya yang sudah pasti tak menang tangan hendak selesaikan masalah di dapur. Ikutkan hati semua benda mahu diselesaikan dengan pantas tapi terhalang pula dengan kekangan masa.
Tak perlu gusar dan serahkan saja masalah tersebut dengan menggunakan barang yang ada di sekeliling anda. Berikut petua dapur yang cukup berguna untuk dipraktikkan.
(a) Nasi mentah
Jangan sesekali membuang nasi yang dimasak mentah kerana anda boleh mendapatkan kembali rasa nasi seperti biasa dengan hanya membuat langkah ini. Salah satu cara untuk mengatasi nasi mentah adalah dengan mencampurkan air dan sedikit garam kemudian direnjis ke atas nasi mentah. Kacau sekata dan tutup kembali periuk serta dipanaskan sekali lagi.
(b) Bekas gula bersemut
Melihat tempat simpanan gula dihurung semut memang menjengkelkan. Jalan penyelesaiannya adalah dengan meletakkan tiga ke empat biji bunga cengkih ke dalam bekas tersebut. Di samping itu, pastikan bekas simpanan tadi ditutup rapat. Aroma kuat yang terhasil daripada bunga cengkih tersebut akan meghalang kehadiran semut.
(c) Kesan kopi atau teh melekat di cawan dan teko
Minuman kopi atau teh yang dibiarkan dalam cawan atau teko dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan kesan minuman tersebut sukar untuk ditanggalkan. Petua yang boleh diamalkan untuk menyingkirkan kotoran ini dengan merendam bekas ke dalam air suam bercampur garam dan limau nipis selama lebih kurang lima belas minit. Sesudah itu, basuh seperti biasa menggunakan sabun pencuci pinggan mangkuk.
(d) Peti sejuk berbau
Paling mudah untuk menyingkirkan bau kurang enak dalam peti sejuk adalah dengan mengambil dua hingga tiga potong kulit nanas. Masukkan ia ke dalam peti sejuk sehingga hilang bau tersebut. Selain itu, ada juga yang mengelak bau peti sejuk dengan mengelap atau menyapu permukaan menggunakan kain yang dititiskan esen vanila.
(e) Kehadiran serangga seperti lipas
Selain bentuk lipas yang menggelikan, ia juga menjadi pembawa penyakit kepada penghuni rumah. Oleh itu, apabila mendapati kehadiran serangga ini segera ambil beberapa helai daun pandan untuk diletakkan di tempat yang dipercayai menjadi tempat tumpuan lipas. Antaranya seperti di almari dan ceruk dapur. Daun pandan yang telah layu perlu digantikan dengan daun baru untuk membangkitkan aroma yang tidak digemari lipas.
(f) Kuah terlebih garam
Terdapat beberapa cara untuk meneutralkan kembali masakan yang telah terlebih garam. Antaranya dengan mengambil segenggam kelapa parut bersama kain jarang untuk dibunjutkan. Masukkan ia ke dalam masakan sehingga 15 ke 20 minit. Sesudah itu, keluarkan. Selain itu, boleh juga memasukkan kentang dibelah empat ke dalam masakan bagi menyerap rasa masin. Jika tiada kentang, gantikan dengan timun yang dipotong memanjang. Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tanggal 25 Julai lalu genap 16 tahun pemergian Allahyarham Yasmin Ahmad. Seorang figura dan sutradara kebanggaan tanah air yang telah banyak menghasilkan filem berkualiti hingga meraih pengiktirafan di persada dunia. Pemergian tokoh seni ini pastinya ...