Sudahlah cantik, pandai memasak pula tu. Yang tak reti memasak, boleh cuba resipi yang dikongsikan Datin Belina ini. Bahan-bahan yang digunakan senang hendak dapat dan cara penyediaan pun mudah. Selamat mencuba!

APA PETUA MASAKAN YANG DIAMALKAN OLEH DATIN SEHINGGA KINI?

Hati mesti tenang dan fokus. Memasak juga memerlukan ketelitian. Jika dilakukan dalam tergopoh gapah kita akan kecewa dengan hasilnya. Memasaklah dengan ikhlas, kasih sayang dan sepenuh hati. Saya juga amalkan selawat agar lebih berkat.

BAGAIMANA DATIN MENDAPAT ILHAM SETIAP KALI HENDAK MEMASAK?

Mood dan keadaan mempengaruhi ilham untuk memasak. Kalau datangnya ilham, saya akan mencuba resipi baru atau menyediakan menu istimewa. Kalau buntu hendak masak apa, selalunya saya akan hubungi ibu dan tanya pendapatnya. Ibulah sumber inspirasi saya kerana beliau pandai memasak.

KONGSIKAN MENU TRADISI KELUARGA SETIAP KALI MENJELANG SYAWAL?

Semestinya Rendang Hitam Negeri Sembilan yang merupakan menu tradisi arwah ibu mertua. Setiap kali Hari Raya menu ini mesti ada.

RENDANG HITAM NEGERI SEMBILAN

Bahan-bahan:

  • 3kg santan
  • 1kg daging
  • 1 mangkuk (saiz sedang) bawang merah (dihiris)
  • 1 mangkuk (saiz sedang) bawang putih (dihiris)
  • Cili kering (jika hendak pedas tambahkan sedikit cili padi) (dikisar)
  • Kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih

Bahan-bahan sanggang:

  • 6 sudu besar biji ketumbar*
  • 1 sudu besar jintan manis*
  • 2 sudu kecil jintan putih*
  • 4 sudu besar lada hitam*
  • (*)semua bahan dikisar kering

Cara Membuat:

Masukkan santan dalam kuali, kacau bersama cili yang dikisar sehingga menjadi separuh daripada sukatan. Masukkan daging dan kacau rata. Masukkan bawang yang dihiris, teruskan mengacau dengan api perlahan. Kacau sehingga dua jam kemudian masukkan pula bahan-bahan rempah sanggang bersama kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih. Perasa dengan garam dan teruskan mengacau sehingga ia bertukar warna kehitaman dan kering

LONTONG

Bahan-bahan A:

  • 1 batang lobak merah (dipotong memanjang)
  • 1 biji kentang (dipotong 4)
  • 2 biji terung panjang
  • ¼ biji kobis
  • 6 batang kacang panjang
  • 2 keping fucuk (rendam, potong kecil)
  • 2 keping tauhu (dipotong kecil & digoreng)
  • 1 ikat soo hoon (rendam, potong kecil)
  • 2 batang cili merah (dihiris)
  • ¼ biji sengkuang (dipotong memanjang)
  • 1 keping tempe (dipotong dadu besar & digoreng)
  • 1 cawan udang (dibuang kulit)
  • 2 santan kotak
  • 2 batang serai (diketuk)
  • Garam secukupnya

Bahan-bahan B (dikisar):

  • 1 inci kunyit hidup
  • 8 ulas bawang merah
  • 2 sudu besar udang kering (direndam & ditoskan)

Cara Membuat:

Masukkan bahan kisar bersama santan cair dan serai ke dalam periuk lalu panaskan sehingga hampir mendidih. Kemudian masukkan udang diikuti sayur-sayuran. Masukkan pula santan pekat dan tauhu kering diikuti cili merah. Perasa dengan garam, sesuaikan rasa dan kepekatannya. Hidangkan bersama nasi impit, sambal tumis atau kuah kacang serta telur rebus.

Jangan Lupa Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: