Pasti ramai generasi Y yang membesar dengan program 3R, malah kenal sungguh salah seorang pengacaranya iaitu Kartini Kamalul Ariffin. Mesra disapa Tini, ibu penyayang dan pintar ini menggemparkan peminat apabila berkongsi mengenai dirinya yang kini disahkan menghidap kanser payudara tahap satu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Tini yang kini berusia pertengahan 40-an berkata dia bersedia untuk berkongsikan mengenai perkara itu selepas dapat mengawal emosi.
“Saya dah simpan berita ini selama lebih kurang dua bulan. Tak pasti sama ada saya nak kongsikan atau sekadar buat tak tahu seperti benda ini okay, atau benda ini tak ada apa-apa pun.
Tapi, saya terpanggil nak kongsikan sebab saya tahu, di luar sana, ada ramai wanita yang melalui perjalanan ini sama seperti saya. Saya harap, perkongsian saya ini bermanfaat.
Saya sekarang sudah dapat mengawal emosi, memproses berita ini, mendapatkan maklumat dan saya di situasi yang lebih baik sekarang.” Tini
Tini bersama rakan pengacara 3R Yuen, Rafidah dan Azah
Sejak dua bulan lalu, Tini disahkan menghidap barah payudara. Beliau hanya sedar kewujudan ketulan di payudara ketika sedang mandi. Tanpa membuang masa, Tini terus ke hospital untuk melakukan pemeriksaan pada keesokan harinya.
Tini juga mengakui bahawa dia sering melakukan pemeriksaan Mammogram dan Ultrasound setiap tahun sejak memasuki usia 40-an sebelum menyedari kewujudan ketulan itu.
“Saya secara konsisten, melakukan Mammogram dan Ultrasound setiap tahun sejak saya melangkah ke usia 40 tahun. Tahun lalu, tak ada apa-apa.
Ads
Sedar akan kewujudan ketulan itu, satu perkara. Tak tahu apakah benda itu, satu lagi perkara. Tak keruan saya dibuatnya.
Cadangan pertama, saya perlu jalani pembedahan dan sampel ketulan itu akan dihantar ke makmal untuk diuji. Kalau ia kanser, doktor akan teruskan dengan prosedur seterusnya.
Saya seterusnya meneruskan dengan biopsi selepas meneliti cadangan kedua. Saya nak tahu sama ada ketulan atau ketumbuhan itu adalah benda biasa atau yang akan merosakkan.
Tak ada pembedahan besar, cuma ambil sampel pertama dan hantar ke makmal. Langkah ini lebih sesuai dengan situasi pada ketika itu, di mana, saya agak tertekan selepas mendapat tahu mengenai wujudnya ketulan itu.”
Menurut Tini lagi, rata-rata mengatakan dia bertuah kerana dapat mengesan kanser tersebut lebih awal dan terus bertindak.
Ads
“Penantian untuk keputusan biopsy itu mengambil masa tiga hari bekerja. Saya terus berdoa dan berfikir secara positif bahawa ketulan dan ketumbuhan itu adalah bukan benda yang buruk. Ramai yang mendoakan saya agar semuanya okay. Saya sangat bersyukur.
Allah tahu segalanya dan keputusannya, ia adalah kanser tahap satu. Semua yang berada di hospital berkata, saya bertuah sebab saya dapat kesan mengenainya lebih awal dan terus bertindak. Bayangkan, kalau saya simpan sendiri dan anggap bahawa ia adalah ketulan biasa?” Tini
Perkongsian Tini mendapat pelbagai reaksi positif daripada pengikutnya. Ramai yang berkongsi pengalaman, nasihat dan panduan untuk mengharungi fasa ini dengan tenang. Perkara ini membuatkan Tini sangat terharu dan beliau sendiri reda menerima takdirnya.
Antara yang dilakukan adalah berusaha mengawal emosinya dengan baik menerusi penulisan. Dengan ilmu dan kesabaran, insyaAllah Tini pasti mampu berdepan dugaan hidup ini dengan sebaik mungkin!
Sebagaimana yang kita tahu musim pandemik COVID-19 ini perkembangan ekonomi di seluruh dunia menjadi perlahan. Pengasas D’Herbs Health, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid turut mengakui perniagaan yang telah diusahakannya sejak berusia awal 20an itu turut terkesan.
“Sejujurnya tipu lah kalau tidak terkesan dengan pandemik ini memandangkan orang ramai lebih fokus pada keperluan hidup seperti makanan dan lain-lain. Cuma, alhamdulillah saya masih lagi mampu bertahan kerana telah lama berada di pasaran selama 10 tahun. Jadi sudah mempunyai pelanggan yang setia bersama kami,” tutur isteri kepada Dato’ Seri Aliff Syukri Kamarzaman memulakan bicara.
Namun, sebagai usahawan yang berjaya, cabaran pandemik COVID-19 bukan alasan untuk berputus asa untuk meneruskan legasi perniagaan. “Ketika pandemik ini, saya lebih fokus menjual produk-produk pada harga mampu milik tetapi berkualiti. Bukan sahaja produk kecantikan, malah saya juga mempunyai rangkaian hijab jenama sendiri.
Selain itu, saya juga mempunyai jenama periuk dan kuali masakan sendiri yang telah diceburi selama hampir 3 tahun. Sebagai peniaga, saya fokus pada keuntungan sedikit tapi berpanjangan dan pelanggan akan ulang membeli.
Saya juga mempunyai sebuah resort di Janda Baik, Pahang tetapi, kerana PKP ni resort tidak dapat dibuka. Jadi masa yang ada saya fokus sepenuhnya di pejabat dan lebih banyak dapat meningkatkan promosi dan produktiviti syarikat kami,” jelas Datin Seri Shahida tentang strategi perniagaannya ketika PKP.
Datin Seri Shahida tutur menitipkan nasihat buat usahawan wanita saat menghadapi cabaran ketika pandemik COVID-19 ini. “Usah putus asa, bagi saya usah malu untuk menutup perniagaan seperti di premis sekiranya kita tidak mampu meneruskan.
Usah guna duit simpanan semata-mata demi kelangsungan hidup. Hidup ini ada jatuh dan bangunnya serta tidak apa bermula semula dari bawah. Sebab rezeki sentiasa ada untuk kita yang sentiasa berusaha,” ucap Datin Seri Shahida bersungguh-sungguh.
Mempunyai anak yang meningkat remaja, tapi Datin Seri Shahida kekal cantik, boleh kongsi rahsia kecantikan? “Saya tak ada amalan khusus namun saya beruntung kerana tidak terkesan dengan pengambilan makanan.
Cuma, bila semakin meningkat usia, saya suka buat aktiviti yang berpeluh untuk meningkatkan kecergasan saya. Saya juga amalkan supplemen dan yang paling penting saya percaya jauhi mereka yang membawa aura negatif,” akhiri Datin Seri Nur Shahida.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Konflik antara Palestin dan Israel yang bermula sejak 1947 masih menjadi isu kemanusiaan yang belum berakhir sampai saat ini. Kita sering ‘dihidangkan’ dengan berita-berita mengenai rakyat Palestin yang sering ditindas.
Tak kurang juga kisah peperangan yang menyayat hati, bukan hanya memusnahkan kediaman malah mengancam nyawa mereka. Secara tak langsung ia melanggar hak asasi manusia untuk hidup dengan aman dan bahagia.
Lima aktivis muda ini punya keberanian terutama ketika berucap di persada antarabangsa. Selain aktif dalam bidang sosial, mereka juga laantang menyuarakan hak kebebasan untuk rakyat Palestin.
JANNA JIHAD
Dilahirkan dan dibesarkan di Nabi Salih, sebuah kampung di Tebing Barat Palestin. Janna Jihad ialah seorang aktivis dan wartawan belia. Gadis berusia 17 tahun ini mendokumentasikan konflik selama beberapa tahun dengan cara yang tidak dilakukan oleh kebanyakan media. Dia juga memberikan pandangan yang tepat tentang tanah kelahirannya.
Pada usia tujuh tahun, Janna mula melaporkan konflik Palestin-Israel selepas melihat dua ahli keluarganya terbunuh. Dia merakam bantahan di kampungnya dan memuat naik rakaman itu dalam talian. Ia dilihat oleh lebih 300 ribu orang seluruh dunia.
Sejak beberapa tahun lalu, Janna telah mengembara ke negara-negara seperti Jordan, Turki dan Afrika Selatan untuk menyebarkan kesedaran tentang keganasan yang sedang berlaku di wilayah Palestin. Popularitinya yang semakin meningkat menyebabkan dia mendapat gelaran “Wartawan Termuda di Palestin”.
LEANNE MOHAMAD
Leanne Mohamad, 22, seorang aktivis hak asasi manusia dan penceramah awam dari London. Kerana kedua ibu bapanya berasal dari Palestin, Leanne mengambil pendirian tegas menentang pendudukan Israel di Palestin dan mempertahankan haknya untuk kembali ke tanah air suatu hari nanti.
Dia mula menjadi tumpuan pada usia 15 tahun dalam pertandingan pengucapan awam. Ketika itu, Leanne menyampaikan ucapan bertajuk “Burung Bukan Bom.” Dalam ucapan itu, Leanne mendedahkan kesedihan menjadi warga Palestin dan menyeru kebebasan untuk semua orang yang hidup di bawah penjajahan.
Bagaimanapun, ramai yang memberi respon yang negatif sehingga menyebabkan dia terkeluar daripada pertandingan itu. Namun, detik ini sebenarnya membuatkan ramai yang berminat. Ucapannya, yang menyampaikan mesej yang begitu kuat, menjadi tular.
Sejak dikenali, Leanne menggunakan pentas untuk berucap di pelbagai acara termasuk di hadapan lebih 200 ribu penunjuk perasaan di London. Leanne terus bercakap secara terbuka mengenai jenayah dan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin.
LAILA EL-HADDAD
Seorang penulis Palestin dan penceramah awam dari Amerika Syarikat. Dilahirkan di Kuwait, Laila sering menghabiskan musim panasnya di Gaza. Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Duke dan Harvard, Laila memutuskan untuk berpindah ke Gaza.
Laila mendedahkan masalah dihadapi rakyat Palestin setiap hari semasa bekerja sebagai wartawan Al-Jazeera di Gaza. Laila turut membuka akaun Twitter peribadinya @gazamom di mana dia berkongsi kisahnya membesarkan anak-anak di Gaza.
Selain menyiarkan resipi untuk makanan tradisional Palestin semasa tinggal di AS, Laila masih terus menyiarkan dan meningkatkan kesedaran orang lain tentang keadaan di Palestin, dan mengumpul wang untuk membantu mereka di bawah penjajahan Israel.
AHED TAMIMI
Sepupu Janna Jihad Ahed ini juga seorang aktivis muda dari Tebing Barat. Dia terkenal kerana mengambil bahagian dalam protes yang menyatakan bantahannya terhadap perluasan penempatan Israel. Berusia 22 tahun, dia dikenali sebagai pejuang kemerdekaan Palestin.
Ahed telah berulang kali mendapat populariti. Pertama, ketika dia berumur 11 tahun ketika cuba menghalang ibunya daripada ditangkap. Fotonya menjadi tular apabila dia melambai di hadapan seorang askar Israel ketika abangnya ditangkap. Sikapnya yang paling menonjol ialah apabila dia menampar seorang askar Israel pada 2017 yang membawa kepada penahanannya.
Ahed dikenali sebagai kuasa yang memberi tenaga kepada mereka yang telah dilemahkan oleh penempatan Israel selama beberapa dekad. Dia terus berusaha membawa perubahan kepada negaranya dengan ijazah undang-undang yang sedang diceburinya.
RANA NAZZAL HAMADEH
Merupakan artis dan aktivis Palestin-Kanada yang menggunakan fotografi serta pembikinan filem bagi menggambarkan perpindahan dan pembasmian di Tebing Barat Palestin.
Rana mengadakan pameran di Kanada untuk menunjukkan kepada orang-orang di Barat bagaimana kehidupan di Palestin dan hubungan mereka dengan tanah air.
Dia kerap turun ke jalan Ramallah untuk membantah kerajaan dan menyeru kemerdekaan Gaza.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pengalaman 13 tahun menjadi Presiden MERCY Malaysia mengasuh jiwanya menjadi lebih sabar, lebih memahami dan bertolak ansur. Bersama Nona, Dato’ Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus mencurahkan pengalaman hidupnya sebagai seorang pakar perunding perubatan, pekerja kemanusiaan dan presiden sebuah badan amal kesukarelawanan.
Biar tanpa publisiti kencang, takwim kerja Dato’ Dr Ahmad Faizal, 54 tahun begitu padat sekali. Ada-ada sahaja komitmen yang menanti hinggakan sukar menetapkan temu janji dengan Pakar Perunding Perubatan (Respiratori) itu.
Mujurlah di sebalik kesibukan, pengurusan MERCY Malaysia memberi kepercayaan untuk kami menyelit masa, menyelami lebih dalam jiwa lelaki kelahiran Kuala Lumpur yang kedua ibu bapanya berasal dari Perak itu.
Petang Ahad usai mempengerusikan retreat fizikal pertama MERCY Malaysia sejak bermula pandemik COVID-19, bapa kepada tiga cahaya mata ini bergegas bertemu kami.
“Sejak saya mengambil alih jawatan Presiden MERCY Malaysia daripada Tan Sri Dr Jemilah Mahmood pada tahun 2009, tugas saya sebagai Presiden lebih menuntut komitmen masa dan fokus yang tinggi sebenarnya. Percaya tidak, tanggungjawab yang digalas seperti orang bekerja sepenuh masa.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MERCY Malaysia atau singkatan Malaysia Medical Relief Society ini telah ditubuhkan pada tahun 1999 untuk memberi bantuan kemanusiaan.
Banyak bantuan perubatan serta kemanusiaan telah disalurkan apabila berlaku krisis dan bencana di peringkat antarabangsa mahupun di dalam negara.
Di bawah pimpinan Dato’ Dr Ahmad Faizal, pelbagai misi besar berjaya dilaksanakan antaranya yang terbaru, bantuan memerangi COVID-19 menggunakan kepakaran sedia ada.
Sejak pandemik melanda pada awal 2020, MERCY Malaysia tampil memberi bantuan kecemasan serta jangka panjang kepada Kementerian Kesihatan dalam pelbagai cabang untuk memudahkan operasi memerangi wabak COVID-19.
Tumpuan mereka jelas dalam menyediakan keperluan penting seperti katil, alat ventilator, pakaian perlindungan diri (PPE), ubat-ubatan dan sebagainya, serta meningkatkan aktiviti vaksinasi dan saringan.
Sebagai seorang mukmin, semua kerja yang dilakukan di dunia ini mestilah semuanya kerana Allah Taala. Tambah Dato’ Dr Ahmad Faizal, beliau juga memberi keutamaan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira bangsa, warna kulit atau fahaman politik.
Kerja kemanusiaan harus ikhlas, bukan saja kerana Allah tapi kerana tanggungjawab sesama manusia.
“Walaupun organisasi ini mengalami banyak pertumbuhan dari segi kapasiti, keupayaan, kemampuan kewangan serta sumbangan staf sepenuh masa, tapi kami masih melakukan kerja-kerja secara sukarela.
Selain turun ke lapangan untuk beri bantuan, saya kira kerja-kerja merancang, membuat strategi dan menyelesaikan masalah yang timbul terutamanya yang melibatkan ramai pemegang taruh (stakeholders) amat mengambil masa yang banyak.
Dalam waktu yang sama, saya masih lagi berkhidmat sebagai pakar perunding di Hospital KPJ Damansara.
Dua tahun kebelakangan ini pula, saya terpaksa bergelut dengan wabak dan pesakit COVID-19 secara langsung.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Sambungnya, beliau kini turut terlibat menangani pandemik di Malaysia sebagai seorang frontliner merawat pesakit COVID-19 sesuai dengan kepakaran sebagai pakar perunding respiratori.
Sebagai pemimpin MERCY Malaysia yang bergerak secara aktif membantu usaha-usaha mencegah COVID-19 di kalangan masyarakat, badan amal kebajikan ini juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, tidak ketinggalan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya.
Ketokohan Dato’ Dr Ahmad Faizal turut terlihat apabila beliau terlibat dengan jawatankuasa peringkat nasional untuk membantu kerajaan dalam memberikan nasihat, idea atau buah fikiran, terutama sekali kepada NADMA.
Selain menjadi pengerusi kluster kesihatan dan bahaya baru muncul (emerging hazard) yang sinonim dengan COVID-19, beliau juga menjadi ahli jawatankuasa berkenaan kerjasama hospital awam dan swasta (private-public partnership) dalam menangani isu yang sama.
“Saya juga salah seorang penyelaras yang terlibat dalam proses penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta di Lembah Klang.
Di sini kita bernasib baik kerana ada banyak hospital swasta yang sudi membantu di peringkat operasi. Jadi saya kira tak ramai orang di negara ini seperti saya yang mempunyai pengalaman serupa di semua peringkat.”
AKTIVITI
Jasa beliau yang sangat besar dalam dunia kesukarelawanan dan kebajikan Malaysia membuatkan lelaki ini diiktiraf sebagai penerima Nona Men’s Charity Award di acara Nona Superhero.
Tonton video ini saat beliau mengimbau kembali pengalamannya dalam dunia kebajikan sejak 18 tahun lalu…
“Saya bermula sebagai ahli sukarelawan biasa pada 4 Januari 2003. Masa tu saya baru menjadi pakar perubatan, setepatnya selepas menamatkan latihan kepakaran sebagai pakar perubatan dalam sub-bidang respiratori.
Tiada siapa daripada MERCY Malaysia yang mengajak saya secara formal. Tapi kerana minat yang mendalam, mungkin sayalah yang mengajak kawan-kawan saya masa tu di HUKM.
Kebetulan ada program induksi untuk ahli sukarelawan baru, jadi saya pun masuk sebab jauh di sudut hati, saya yakin sudah masanya orang Malaysia buat kerja kemanusiaan secara terurus dan sistematik sebegini.”
Aktiviti kemanusiaan banyak membawa Dato’ Dr Ahmad Faizal ke serata ceruk dunia. Antaranya ke Sri Lanka sewaktu banjir besar, ke Iran membantu mangsa gempa bumi, ke Sudan ketika konflik Darfur, ke Aceh semasa tsunami, Pakistan, Myanmar, Filipina, sempadan Turki-Syria, Syria, serta banyak lagi.
Timbul pertanyaan, sepanjang beliau bergiat aktif dengan aktiviti MERCY Malaysia, bagaimanakah penerimaan isteri dan anak-anak, tidakkah terhalang masa berkualiti dengan mereka?
“Sebenarnya isteri juga adalah ahli sukarelawan MERCY Malaysia dan kini masih berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan am swasta.
Anak-anak saya sejak kecil lagi, mereka selalu ikut beri bantuan kepada warga emas, fakir miskin atau mangsa banjir. Saya kira jiwa kemanusiaan sudah disemai sejak dulu dan mereka pun memahami minat kami dalam bidang kebajikan.”
Tidak mahu meletakkan sebarang garis akhir dalam kerjaya kemanusiaannya, Dato’ Dr Ahmad Faizal menyerahkan segala ketentuan masa depan di tangan Yang Maha Kuasa.
“Sehingga kini saya sangat suka berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kebolehan yang saya ada dalam bidang kemanusiaan.
Cuma di MERCY Malaysia, mungkin akan tiba masanya nanti saya lepaskan jawatan ini supaya ada kesinambungan kepimpinan yang baru.
Menjadi harapan kami sejak 22 tahun usia MERCY Malaysia ditubuhkan, kami bukan saja mahu badan NGO ini berjaya di Malaysia tapi di peringkat serantau dan antarabangsa.”
IDOLA
Majoriti kerja kemanusiaan di luar negara bukan dilakukan secara sukarela, sebaliknya diuruskan secara profesional, umpamanya di Afrika dan Eropah.
Terdapat organisasi tertentu yang mendapat bantuan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Persatuan Palang Merah Antarabangsa atau badan-badan NGO besar dari Barat untuk menjalankan misi-misi tertentu.
“Terdapat seorang tokoh yang saya kagumi iaitu mendiang William L. Swing yang merupakan seorang diplomat Amerika Syarikat.
Mendiang sampai ke umur 80 tahun pun masih berkhidmat sebagai Ketua Pengarah di International Organization for Migration (IOM), sebuah agensi migrasi yang diletakkan di bawah PBB.
Mendiang menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Malaysia dan baru saja menghembuskan nafas terakhir pada Jun 2021 lalu akibat komplikasi COVID-19.
Apa yang saya kagumi, jiwa kemanusiaan itu begitu besar dalam dirinya sehinggakan mendiang menolak untuk menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator) dan menyuruh ia diberikan kepada pesakit lain yang lebih muda dan memerlukan, walaupun beliau orang kenamaan.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Percaya bahawa kerja-kerja kemanusiaan mampu mengasuh nilai-nilai murni dalam jiwa manusia, Dato’ Dr Ahmad Faizal berpegang teguh kepada ajaran Islam bahawa setiap yang baik itu akan mendapat pembalasan yang baik juga di pengakhirannya.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Natrah Mat Jan
Solekan: Che Wann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.