Lama juga tak bersua muka dengan Jutawan Kosmetik, Dato’ Seri Vida ini. Pertemuan terakhir secara santai berlangsung apabila Dato’ Seri Vida telah hadir memeriahkan majlis hi-tea Nona Top Beauty Entrepreneur pada bulan Januari lalu.
Namun, sebelum itu kami pernah mengatur pertemuan bagi sesi fotografi di kediaman mewahnya di Ipoh, Perak dua tahun lalu. Keterujaan datang kembali apabila Dato’ Seri Vida sekali lagi menyatakan kesudiaannya untuk menjadi penghias kulit Majalah Nona Edisi Hari Wanita. Lebih menarik apabila anak kesayangan Dato’ Seri Vida, Cik B turut serta sebagai penghias kulit majalah bulan Mac kali ini.
Memiliki gelaran CEO Termuda, sudah pasti perkembangan Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamilleen menjadi perhatian kami. “Apabila saya umumkan Cik B sebagai CEO Termuda dia kena betul-betul jadi CEO. Bukan bila dah umumkan begitu dia tak buat apa-apa,” tutur Dato’ Seri Vida tentang anak gadisnya itu.
Ads
Usia sememangnya bukan kayu pengukur sebuah kejayaan. Dato’ Seri Vida sendiri mengaku bahawa idea anak-anaknya boleh diketengahkan sehingga berjaya. “Saya memang respek dengan idea Cik B, bila ada idea yang brilliant saya cuba realisasikannya.
Sebagai contoh, Cik B suka makan dan apa yang boleh buat dengan kegemarannya itu. Bila tengok trend makanan menjadi viral kami cuba buat sesuatu pasal makan juga. Hari ni cakap, esok terus buat,” ucap Dato’ Seri Vida sambil memandang anaknya yang menjadi CEO untuk menguruskan bahagian Food & Beverage (F&B) dalam perniagaan terbaru mereka, Cik B Vaganza Food Fest, 2019.
Ads
Dato’ Seri Vida memang terkenal bijak mengatur strategi pemasarannya. Dalam sekelip mata Cik B Vaganza Food Fest menjadi bualan ramai. Namun begitu Dato’ Seri Vida langsung tak terkesan dengan kata-kata orang bila anak-anak berniaga ketika masih bersekolah.
“Terlalu muda anak-anak saya berniaga? Kalau awak nak tahu, saya dulu darjah 6 pun dah ada bisnes. Tapi keadaan saya dulu sangat berbeza dengan anak-anak saya sekarang. Saya memulakan perniagaan hanya sebatang kara tanpa sokongan daripada sesiapa.
Ads
Ramai ibu bapa takut bila anak-anak berniaga dalam keadaan masih bersekolah atau belajar. Sebenarnya bila berniaga sambil belajar akan membuat kita lebih matang dalam pelajaran kita. Sebab itu dulu saya tak pergi sekolah sangat pun tapi masih dapat keputusan yang baik,” kongsi Dato’ Seri Vida atau nama sebenarnya Dato’ Seri Dr. Hajah Hasmiza Othman.
Nampaknya kehadiran tahun 2020 telah menyuntik semangat luar biasa kepada orang ramai termasuk Dato’ Seri Vida sendiri. “Tahun 2020 saya akan come back kerana saya rasa masa ‘bertenang’ hampir dua tahun lebih dekat tiga tahun sudah tamat. Tempoh ‘bertenang’ itu saya ambil peluang mencari rentak baharu atau cara baru dalam berniaga.
Tahun 2020 ni juga saya nak menyaksikan kejayaan anak-anak pula. Saya akan sokong apa sahaja idea Cik B dalam perniagaan dan saya akan cuba bantu sebaik mungkin agar anak-anak terus cemerlang dan seterusnya mewarisi perniagaan saya kelak,” kata Dato’ Seri Vida sambil tersenyum.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bintang filem terkenal Hollywood Tom Hanks dan isterinya Rita Wilson menjadi selebriti Hollywood pertama disahkan positif COVID-19 pada bulan Mac lalu. Ketika pelakon Forrest Gump ini mengumumkan tentang hasil ujian positif COVID-19, pasangan ini berada di Australia kerana terlibat dalam sebuah projek filem mengenai kisah hidup Elvis Presley.
Selepas telah disahkan positif COVID-19 pasangan yang sudah berkahwin hampir 30 tahun ini turut akur menjalani pengasingan dan pemantauan kesihatan agar tidak merebak kepada orang di sekeliling mereka.
Dikatakan selepas lima hari tinggal di dalam hospital, pasangan ini kelihatan meninggalkan hospital. Namun Tom Hanks dan isterinya tidak terus pulang ke Amerika Syarikat sebaliknya meneruskan proses pengasingan dan pemantauan kesihatan dalam sebuah rumah di Australia untuk mengelak jangkitan virus ini kepada orang lain.
Kini Tom dan isterinya telah pulih daripada pandemik ini dan telah pun pulang ke Amerika Syarikat. Menerusi temu bual Tom di rancangan Wait Wait…Don’t Tell Me! telah mengesahkan bakal menderma darahnya yang mengandungi antibodi untuk membasmi virus tersebut. Sambil bergurau, Tom mahu nama vaksin tersebut digelar ‘Hank-ccine”.
Ketika dalam menjalani proses pengasingan dan pemantauan kesihatan di Australia tempoh hari, Tom sempat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang COVID-19 ini.
Tulis Tom Hank di laman Instagram miliknya, “Ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan untuk melalui semua bencana ini dengan mengikut nasihat daripada mereka yang pakar serta pihak pemerintah. Lagi satu, jaga diri sendiri dan keluarga,” kata Tom Hanks yang mengisi masa isolasinya dengan berbicara bersama peminatnya di ruang internet.
Manakala isteri Tom Hanks, Rita Wilson yang turut berlakon dalam filem Mamma Mia ini telah mengisi masa lapangnya ketika isolasi dahulu dengan membuat undian dengan peminatnya untuk memberi nama Playlist Sportify sepanjang tempoh pengasingan dan pemantauan kesihatan tersebut. Akhirnya wanita yang memiliki dua orang cahaya mata ini memilih Quarantunes sebagai nama Playlist Sportify miliknya.
Foto: Instagram @tomhanks & @ritawilson
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sejak mula berkahwin dengan Rene Angelil, Celine Dion sudah merancang untuk memiliki anak yang ramai. Mana tidaknya, dia dilahirkan dalam keluarga yang besar dan sebagai anak bongsu daripada 14 orang beradik Celine sentiasa mendapat tumpuan dan perhatian keluarga.
Meskipun secara luaran, Celine disifatkan sebagai seorang wanita yang sukses, kaya, ternama dan mampu memiliki apa saja yang dihajati namun jauh di sudut penyanyi berkelas dunia ini, perjalanan hidupnya tidak berjalan begitu lancar.
Lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal anak. Menghadapi kesulitan untuk hamil, Celine dan suami tercinta akhirnya dikurniakan anak lelaki sulung ketika berusia 33 tahun selepas menjalani rawatan kesuburan IVF.
Celine DionAnak sulung
Baik Celine mahupun Rene, kedua-dua tidak menyangka akan menghadapi masalah untuk mempunyai anak. Selepas bertahun-tahun ikhtiar dan cuba pelbagai kaedah untuk hamil, mereka masih menemui jalan buntu dan usaha pasangan ini untuk timang cahaya mata tetap gagal.
Pada tahun 1999, Rene disahkan menghidap kanser tekak dan sebagai langkah pencegahan, lelaki kesayangan Celine ini nekad membekukan sperma miliknya kerana khuatir kualiti terjejas akibat kesan kemoterapi.
Sementara itu, Celine pula melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik kesuburan di New York pada Mei 2000 dan menjalani dua pembedahan kecil sebagai usaha meningkatkan peluangnya untuk hamil. Pada 25 Januari 2001, anak sulung mereka bernama Rene-Charles selamat dilahirkan secara pembedahan.
Selepas kelahiran Rene-Charles, suami isteri ternama ini menyimpan hasrat untuk menambah anak dan mereka sekali lagi menjalani rawatan kesuburan IVF. Pun begitu, Celine gugur pada tahun 2009 dan setelah enam kali berusaha akhirnya pada percubaan ketujuh, Celine disahkan hamil anak kembar ketika usianya mencecah 42 tahun pada 2010.
Dia terpaksa melahirkan bayi kembar Nelson dan Eddy secara pembedahan ketika usia kandungan baru mencecah 33 minggu. Bagaimana pun kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Ketika ulang tahun kelahiran baru-baru iniAnak kembar Celine Dion
Hasrat Celine untuk menimang cahaya mata perempuan tidak kesampaian apabila Rene akhirnya meninggal dunia akibat kanser yang dihidapi pada tahun 2016. Penyanyi kelahiran Canada ini baru sahaja menyambut usia 52 tahun pada 30 Mac lepas.
Sumber: Infertility Aide
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ibarat air tenang menghanyutkan, begitulah kredibiliti sosok lelaki bernama Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Semenjak negara dilanda wabak COVID-19, wajah Ketua Pengarah Kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini tiba-tiba popular, malah boleh disifatkan sebagai frontliner kerajaan yang terpenting pada waktu ini.
Kebolehan menggunakan media sosial dengan baik serta berinteraksi secara spontan menjadi antara kelebihan Datuk Dr Noor Hisham pada zaman Internet ini.
Memahami desakan rakyat Malaysia yang sentiasa dahagakan maklumat, beliau dan pasukan kendaliannya kerap mengemas kini data semasa berkaitan jangkitan COVID-19 di Facebook, Instagram dan Twitter selain di saluran televisyen.
Dengan riak wajah yang tenang, beliau mengatur ucapan dengan yakin dan profesional. Beliau meyakinkan kita semua bahawa negara sedang mencuba yang terbaik, dan sebagai ketua, beliau memperlihatkan ketegasan pemimpin yang sebenar.
Bayangkan ketika diasak bertubi-tubi soalan, Datuk Dr Noor Hisham bijak dan lancar menjawab setiap satunya sekalipun tanpa teks rasmi di tangan.
Berusia 57 tahun, lelaki yang lahir pada tarikh 21 April 1963 itu merupakan anak jati Sepang, Selangor. Beliau memulakan perkhidmatan sebagai pegawai perubatan kerajaan pada Ogos 1988 selepas menggenggam ijazah kedoktoran Masters in Surgery dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kini Datuk Dr. Noor Hisham masih berkhidmat di Hospital Putrajaya sebagai pakar bedah. Beliau juga berperanan sebagai Ketua dan Konsultan Kanan Pakar Bedah Payudara dan Endokrin di hospital yang sama. Berbekalkan pengalaman dan latihan lanjutan berkaitan pembedahan endokrin di Australia, kepakaran perubatannya jelas bukan calang-calang.
Lelaki bijak ini pernah menerbitkan beberapa artikel dalam jurnal tempatan dan antarabangsa serta menulis berkaitan pembedahan endokrin. Pada 1 Februari 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan KKM sebelum dinaikkan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.
Performing thyroid surgery, my deep passion and source of great satisfaction with my dedicated team ~ Dr Noor Hisham
Syabas hero kami! Semoga segala jasa dan pengorbanan Datuk Dr Noor Hisham di barisan depan sepanjang menangani wabak COVID-19 mendapat balasan setimpal dari kerajaan. Kami seluruh rakyat Malaysia turut mendoakan agar bencana ini segera berakhir dan situasi negara kembali pulih, aman dan makmur seperti sediakala… Aaminn.
Sumber: Facebook Datuk Dr Noor Hisham (@DGHisham) & NSTP
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!