Mula mengenali peribadi Fattah Amin sejak dia menjadi penghias kulit depan Majalah Nona, Februari 2017… suami kepada aktres jelita, Nur Fazura ini memang ramah dan baik orangnya. Selain kagum dengan sikap Fattah yang menepati masa dan mudah bekerjasama, dia juga sebenarnya seorang ‘hero’ yang sarat dengan jiwa penyayang. Terkenal sebagai seorang anak yang cukup memuliakan ibu, isteri dan keluarga, terbaru Fattah turut berkongsi kasih dan menceriakan sekumpulan pesakit kanak-kanak di Hospital
Kuala Lumpur.
Menerusi perkongsian Fattah di Instagram miliknya, jelas terserlah wajah gembira kanak-kanak terbabit sebaik menyedari kehadiran selebriti kacak ini. Kongsi Fattah, “Diberi kesempatan untuk menghibur dan melawat adik-adik kecil ini di wad HKL tempoh hari bersama team Voices of Hope Malaysia.
Satu pengalaman yang tak boleh dilupakan oleh saya bila mendengar kebanyakan mereka telah telah diberi ujian sakit Hydrocephalus, sawan, ketumbuhan otak di samping keluarga yang susah untuk membiayai rawatan anak-anak mereka. Jika kita diberi peluang dan berkemampuan untuk membantu mereka kita boleh bantu, walaupun sedikit.”
Dalam kunjungan Fattah di HKL itu dia turut meluangkan masa mendekati kanak-kanak istimewa ini dan membuat persembahan bersama-sama mereka. Dengan hanya berkemeja hijau dan seluar jeans biru… sedikit pun aktor berusia 29 tahun ini tidak kelihatan kekok melayan peminat cilik. Sudahlah kacak, popular dan penyayang, baik hati pula tu. Untung Fazura!
Mengimbas kembali kenangan bekerjasama dengan Fattah dalam naskhah Nona Febuari 2017, anak lelaki sulung daripada lima beradik ini ada berkongsi impian kerjayanya jika
tidak bergelar artis seperti hari ini. “Saya mahu menjadi ahli perniagaan atau atlet. Tapi sejujurnya minat saya lebih kepada berniaga. Tidak kiralah apa jenis perniagaan sekali pun.
Sebab itu saya sedaya-upaya luangkan masa untuk menyambung pengajian jarak jauh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kreatif di Universiti Utara Malaysia cawangan Kuala Lumpur. Saya mahu jadi anak seni yang serba boleh dan ingin berada di belakang tabir pula.”
Fattah Amin melangsungkan perkahwinan bersama Nur Fazura Sharifuddin pada tanggal 27 November 2017 dalam majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka di ibu negara. Fattah
atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin memulakan karier seni selepas bergelar juara Hero Remaja 2011/2012 yang turut menyaksikan pelakon Syafiq Kyle di tempat
kedua diikuti Saharul Ridzwan di tempat ketiga.
Buat peminat Hero Remaja, pastikan anda mengikuti sidang media pencarian Hero Remaja 2020 secara Live di Facebook Majalah Remaja pada pukul 3.45 petang ini. Episod pertama
Hero Remaja 2020 bakal disiarkan pada 26 Februari nanti.