
Hidup bersama kanser adalah satu perjalanan yang tidak pernah kita jangka, apatah lagi sebagai penjaga kepada insan tersayang yang diuji dengan penyakit ini.
Sebagai penjaga kepada insan tersayang yang diuji dengan kanser, kita tahu betapa beratnya saat doktor menyebut diagnosis itu buat kali pertama. Dunia terasa seakan terhenti. Nafas menjadi pendek.
Fikiran melayang jauh memikirkan masa depan yang tiba-tiba kelihatan kabur, tentang anak anak, tentang kewangan, tentang hari esok yang tidak lagi pasti. Kita bukan sahaja memikirkan rawatan, tetapi kehidupan yang bakal berubah selamanya.
Hidup Bersama Penghidap Kanser
Sempena Hari Kanser Sedunia dengan tema United by Unique, satu hakikat yang wajar kita renungi ialah setiap pesakit melalui perjalanan yang berbeza. Walaupun diagnosisnya sama, namun pengalaman, ketahanan emosi, latar belakang dan harapan mereka tidak pernah serupa.
Di sebalik satu laporan perubatan, ada seorang ibu yang masih mahu melihat anaknya membesar. Ada seorang suami yang masih mahu gagah bekerja. Ada seorang wanita yang tidak mahu kehilangan identitinya hanya kerana satu penyakit.
Menurut Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Dr Marfu’ah Nik Eezamuddeen, pendekatan terhadap pesakit hari ini jauh lebih menyeluruh. Seperti yang beliau ungkapkan, “Apabila saya berhadapan dengan pesakit, saya bukan sekadar melihat satu diagnosis. Saya melihat sebuah kehidupan, sebuah keluarga, dan masa depan yang mereka bimbang akan hilang.”

Kata kata ini sangat dekat di hati kita sebagai penjaga. Kerana itulah yang kita rasa setiap hari dalam hidup bersama kanser.
Pendekatan Perubatan Moden
Dunia perubatan kini juga tidak lagi seperti dahulu. Jika suatu ketika dulu rawatan kanser banyak ditentukan berdasarkan lokasi asal kanser dan dipandu oleh piawaian protokol, hari ini pendekatannya jauh lebih diperibadikan.
Melalui ujian patologi molekul, doktor dapat meneliti biologi serta profil unik setiap kanser dengan lebih mendalam. Ini bermakna dua pesakit dengan kanser yang sama mungkin menerima pelan rawatan yang berbeza kerana sifat biologi dan konteks kehidupan mereka tidak serupa.

Dr Marfu’ah menjelaskan lagi, “Dua pesakit mungkin didiagnosis dengan kanser payudara atau paru-paru yang sama, namun sifat biologi kanser dan konteks kehidupan mereka mungkin berbeza. Penjagaan yang diperibadikan memahami perbezaan ini.”
Pendekatan ini memberi kita sedikit kelegaan dalam proses hidup bersama kanser. Sekurang-kurangnya ada penjelasan di sebalik setiap keputusan rawatan. Seperti yang ditegaskan beliau, “Daripada terus berada dalam ketidakpastian, pesakit kini dapat memahami rasional di sebalik setiap saranan rawatan. Pemahaman ini membina keyakinan dan dapat mengembalikan kawalan kepada mereka.”
Perkembangan Rawatan & Harapan Baharu
Ramai antara kita membesar dengan persepsi bahawa rawatan kanser sinonim dengan kemoterapi yang membebankan serta kesan sampingan yang ekstrem. Rambut gugur, muntah berterusan, tubuh lemah tidak bermaya. Namun realitinya kini semakin berubah.
Kemajuan seperti imunoterapi dan terapi sasaran oral membolehkan rawatan memusnahkan sel kanser dengan lebih spesifik dan dalam banyak kes lebih mudah diterima oleh tubuh.
“Rawatan kanser hari ini selalunya lebih mudah diurus berbanding jangkaan umum,” kata Dr Marfu’ah. “Ramai pesakit tetap mampu bekerja, menguruskan keluarga, dan mengekalkan kebebasan sepanjang tempoh rawatan.”

Dan yang lebih menyentuh hati, beliau sendiri menyaksikan perubahan ketara dalam kadar kelangsungan hidup pesakit. “Saya telah menyaksikan pesakit hidup bertahun-tahun lebih lama daripada jangkaan sebelum ini,” kongsinya. “Namun, apa yang lebih utama bukanlah sekadar tempoh hayat, tetapi bagaimana mereka mengisi kehidupan tersebut.” Dalam konteks hidup bersama kanser, kualiti hidup menjadi ukuran yang semakin penting.
Emosi & Kekuatan Jiwa
Namun perjalanan ini bukan hanya tentang tubuh. Ia juga tentang jiwa.
Kaunselor Berdaftar, Cik Kuah Rui Ning menyifatkan saat menerima diagnosis sebagai detik yang menggoncang seluruh emosi. “Saat diagnosis diterima, ia seumpama ribut yang melanda tanpa amaran. Dilanda kejutan, penafian, ketakutan, dan rasa tidak berdaya. Ramai yang merasakan dunia mereka terhenti seketika.”

Fasa rawatan pula ibarat satu perjalanan panjang yang memerlukan stamina emosi. “Saya selalu kata ia ibarat satu maraton,” jelas beliau. “Permulaannya dikuasai kebimbangan dan keazaman, namun apabila kesan fizikal mula terasa, pesakit akan memasuki fasa pertengahan yang amat mencabar.”
Sebagai penjaga, di sinilah kita turut diuji. Kita belajar menahan tangis di hadapan mereka. Kita belajar menjadi kuat walaupun hati sendiri rapuh. Inilah hakikat hidup bersama kanser yang jarang diceritakan secara terbuka.
Selepas rawatan tamat, cabaran tidak semestinya berakhir. “Walaupun ada kelegaan, sering kali wujud trauma terhadap kemungkinan kanser berulang serta cabaran untuk membina semula kepercayaan terhadap tubuh mereka sendiri. Memulihkan rasa normal memerlukan keberanian yang mendalam,” kata Cik Kuah.
Dalam setiap peringkat ini, keperluan yang paling asas tetap sama. “Pesakit mahu didengari. Mereka memerlukan pengesahan emosi, mahu perasaan mereka diiktiraf dan difahami.”
Sokongan psikologi bukan hanya untuk pesakit. Malah ia memberi kesan besar terhadap keseluruhan perjalanan rawatan. Seperti yang dikongsi Cik Kuah, “Apabila pesakit berasa didengari dan disokong, kita dapat melihat peningkatan nyata dari segi kualiti rehat, selera makan, dan keyakinan diri. Ini membantu tubuh untuk lebih kental dalam mengharungi fasa rawatan.”
Makna Sebenar Hidup Bersama Kanser
Akhirnya, kita belajar bahawa hidup bersama kanser bukan semata-mata tentang melawan penyakit. Ia tentang memelihara maruah. Tentang mempertahankan makna kehidupan. Tentang mencari cahaya walaupun dalam lorong yang panjang dan gelap.
Kepada semua penjaga di luar sana, ketahuilah, dalam setiap keletihan itu ada cinta yang luar biasa. Dalam setiap air mata yang disorokkan, ada kekuatan yang tidak ternilai. Dan dalam setiap detik yang kita lalui bersama insan tersayang, ada harapan yang terus bernyala, walaupun kecil, walaupun perlahan.
Kita mungkin tidak mampu mengubah diagnosis. Tetapi kita mampu mengubah cara perjalanan itu dilalui, dengan empati, ilmu dan kasih yang tidak pernah berkurang. Itulah inti pati sebenar hidup bersama kanser.
Sumber: Subang Jaya Medical Centre
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/luna-maya-cinta-laura-santuni-mangsa-banjir-aceh-keprihatinan-jadi-inspirasi/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





