Penampilan diri sangat penting kerana memberi persepsi pertama ketika bertemu. Wanita berkerjaya perlu lebih menitik-beratkan penampilan agar menyerlah personaliti yang mudah didekati. Sering bertemu dengan klien, berurusan dengan sektor korporat, apatah lagi ketika beraksi di lensa kamera televisyen keyakinan diri dalam penampilan sangat penting. Perlu kah berhias seperti seorang selebriti? Sebenarnya penampilan yang sempurna datang daripada kulit yang sihat dan cantik untuk membina keyakinan diri berhadapan dengan masyarakat.
Definisi cantik itu pada anda?
Cantik itu bersifat holistik dan perlu dipelihara dari luar dan dalam. Dari segi luaran, kulit yang bersih dan berseri dapat dicapai dengan rutin penjagaan harian yang asas dan rutin penjagaan bulanan seperti rawatan kulit. Manakala penjagaan dalaman pula, melalui pemakanan seimbang dan rutin senaman dapat membantu pengaliran darah yang baik dan rangsangan hormon tertentu dalam badan untuk wajah lebih berseri.
Bagaimana rutin kecantikan diri anda?
Setelah siapkan anak-anak untuk ke sekolah dan sebelum keluar ke tempat kerja saya akan luangkan masa dalam 30 hingga 40 minit untuk bersenam. Kemudian diteruskan dengan rutin harian untuk penjagaan kulit seperti membersihkan muka, pelembap dan menyapu krim tabir suria sebelum memulakan solekan.
Apa yang anda titik-beratkan dalam menjaga kecantikan?
Sudah pasti saya menitik-beratkan penjagaan asas kulit, agar bersih dan licin. Saya tidak berapa gemar menggunakan solekan tebal dan tidak mempunyai banyak produk kosmetik. Tetapi, saya wajib mempunyai produk penjagaan kulit yang bagus dan rutin bulanan penjagaan kulit seperti hydrafacial untuk menghilangkan white head dan black head, laser carbon peel untuk memberikan tona kulit yang lebih sekata , dan mengecilkan pori-pori.
Ads
Benar kah wanita berkerjaya perlu menjaga kecantikan?
Wanita secara umum harus menjaga kecantikan, tetapi bagi mereka yang berkerjaya harus memberi tumpuan yang lebih oleh kerana mencerminkan personaliti. Wanita menjaga kecantikan sering kali dikaitkan dengan seseorang yang rajin sifatnya, bahkan memberi imej yang bagus pada majikan dan klien.
Ketika membeli produk kecantikan, apa yang menarik perhatian anda?
Ads
Saya akan melihat pada bahan kandungan yang terdapat dalam produk itu. Kesesuaian sesuatu produk dengan kulit masing-masing.
Pada pandangan anda perlu kah wanita itu sentiasa bersolek untuk kelihatan cantik?
Tidak semestinya wanita perlu sentiasa bersolek. Melalui penjagaan asas yang sempurna wanita memperoleh kulit bersih dan licin. Jika kulit cantik walau penampilan tanpa solekan tetap akan kelihatan berseri dan cantik. Maka bagi saya, langkah yang paling penting ialah penjagaan kulit yang rapi setiap hari agar kulit tidak mempunyai jerawat atau jeragat.
Setiap wanita dilahirkan cantik, tetapi terdapat juga segolongan wanita yang taksub untuk cantik seperti selebriti, apa pandangan anda?
Ads
Situasi ini mungkin disebabkan oleh zaman sosial media, apabila budaya swafoto boleh membuatkan seseorang lebih self-conscious. Terdapat juga kajian yang menyatakan bahawa budaya swafoto ini boleh mendorong seseorang kepada personaliti narsisistik. Maka, seseorang wanita itu harus berhati-hati agar tidak terlalu takjub dengan kecantikan hingga boleh dianggap tidak bersyukur dengan keadaan fizikal yang dilahirkan.
Adakah anda setuju bantuan teknologi dalam kecantikan?
Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk mencapai kulit yang cantik dengan bantuan teknologi. Sebagai contoh teknologi radio frekuansi yang mempunyai kebolehan untuk membantu menganjalkan kulit melalui stimulasi pada sel kolagen dan elastin.
Lambakan produk kecantikan sekarang terlalu banyak, beri 1 tip untuk wanita memilih produk yang terbaik.
Kebanyakan produk di pasaran ingin menunjukkan kesan yang cepat dan mungkin menggunakan bahan-bahan yang toksik dan boleh memudaratkan kesihatan. Apabila memilih sesuatu produk, pastikan bahan-bahan yang digunakan adalah selamat dan tidak mengandungi bahan seperti merkuri dan hidrokinon.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pada usia 17 tahun, Rizky Langit Ramadhan sudah berjaya melakar pencapaian membanggakan. Pastinya kejayaan yang diraih anak teruna ini membuatkan ibu tersayang yang juga selebriti popular Indonesia, Dato’ Sri Rossa tersenyum bangga.
Pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan Rossa terhadap Rizky Langit Ramadhan nyata tidak sia-sia apabila jejaka kacak tersebut membesar sebagai individu berwawasan.
Sepanjang bergelar ibu tunggal, Rossa atau nama sebenarnya Rossa Roslaina Sri Handayani tidak pernah lelah membesarkan satu-satunya zuriat kesayangan. Bukan sekadar setia berada di sisi Rizky dalam apa juga keadaan malam dia juga sentiasa menyokong minat anak.
Terbaharu Rossa melahirkan rasa teruja apabila Rizky atau nama penanya Skyler berjaya menerbitkan buku komik pertama, Elektrickha. Sebagai tanda sokongan, pelantun lagu Tegar ini turut hadir menyerikan majlis pelancaran komik berkenaan pada hujung Jun lepas.
Ujarnya, “His 1st comic is out now! Congratulations Rizky Langit aka Skyler, all the effort has paid off. Over 100 books are sold on the first day of release.”
Idea buku komik Elektrichka ialah ilham Rizky dan penghasilannya turut dibantu penulis Ockto Baringbing yang berpengalaman dalam penerbitan pelbagai jenis komik.
Mereka berkahwin pada 18 Mac 2004 namun berpisah pada tahun 2009 selepas lima tahun melayari alam rumah tangga. Rizky dilahirkan pada 3 Oktober 2006.
Biarpun sudah 14 tahun berpisah namun Rossa dan Yoyo masih berhubungan baik. Kedua-duanya juga saling bertolak-ansur demi anak tersayang.
Malah ketika sambutan ulang tahun kelahiran Rizky yang ke-17, Yoyo sanggup datang ke kediaman Rossa untuk meraikan hari istimewa anak tunggalnya.
Semoga kekuatan dan semangat Rossa membesarkan anak menjadi ikutan wanita senasib dengannya agar terus tabah mendepani ujian hidup. Juga, Rizky menjadi insan berguna kepada masyarakat dan membanggakan ibu bapa tersayang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Inilah yang dinamakan sahabat sejati, mahal nilai persahabatan mereka. Yang akhirnya membawa kepada ikatan yang berkekalan. Diharapkan sampai ke syurga hendaknya, Insha-Allah.
Itulah jodoh, tiada siapa yang dapat menjangkakannya. Hikmah dari persahabatan kedua ibu bapa yang akhirnya ‘mempertemukan’ jodoh anak gadis dan teruna.
Anak ketiga kepada pelakon, penerbit, pengacara dan usahawan Datuk Rosyam Nor iaitu Nurlisa Mohamed Noor, 25, memilih Khairul Azhar Fazli, 26, sebagai suami. Baginya ini merupakan keputusan terbaik apatah lagi mereka sudah lama berkenalan sejak menuntut di sebuah universiti di Perth, Australia.
“Kebetulan ibu bapa kami memang telah lama bersahabat iaitu sejak kami kecil cuma kami tidak pernah bertemu. Pertama kali bertentang mata di satu majlis “Club Day/Guild Day” di university. Ia membuatkan hubungan kami mula akrab. Ketika itu, Khai merupakan presiden Association of Malaysian Students di universiti itu,” kongsi Nurlisa mengenai detik perkenalannya dengan suami tercinta.
Melihat perwatakan Nurlisa yang disifatkan sebagai seorang gadis yang happy go lucky, Khai amat tertarik dengan keperibadiannya. Tambahan pula, ikatan kekeluargaan yang sangat akrab juga menjadi salah satu sebab Khai jatuh cinta kepada anak Datuk Rosyam Nor dan Datin Runika Yusof ini.
Sementara Nurlisa pula, amat menyenangi keperibadian Khai yang baik hati serta pemurah terhadap dirinya serta amat mengambil berat sepanjan pengajian di bumi Australia.
Nurlisa memilih tarikh 12 Februari 2022 untuk mengikat tali pertunangan. Pada majlis itu, pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran manakala pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang hantaran. Adi Decor bertindak selaku penata rias dekorasi majlis yang menampilkan tema elegan namun masih mengekalkan kesederhanaan. Nurlisa anggun dalam persalinan Zaimi Zulkafli.
MAJLIS NIKAH
Berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur dan dihadiri kaum keluarga serta kenalan terdekat. Bertemakan Enchanted Forrest, ia menampilkan elemen natural. Live orchestra dari OJ Kustik yang membawa 22 pieces instrument menjadi pilihan mempelai bagi menghiburkan para tetamu.
Majlis penuh emosi dan kesyukuran itu turut menyaksikan upacara khatam Quran oleh pihak lelaki sebagai tanda ianya dibaca/dikhatamkan serta menjadi mahar/hantaran yang diminta oleh pihak pengantin perempuan. Tiada wang hantaran diminta. Penyerahan mahar adalah berupa naskhah Al Quran oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Dalam majlis itu, Nurlisa anggun mengenakan busana serba putih rekaan Mimpikita manakala Khai menyarungkan persalinan Man Kajang.
Semoga Nurlisa dan suami kekal bahagia selamanya. Untuk info, Datuk Rosyam Nor dikurniakan lima orang anak perempuan di mana dua daripadanya telah pun berkahwin.
Kredit Foto: Instagram Nurlisa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Agak lama Ustazah Nor Bahyah menyepikan diri daripada dunia media sosial. Walaupun begitu Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
“Masa saya banyak dengan cucu-cucu lebih-lebih lagi cucu saya yang kembar. Jadi biarlah saya beri peluang kepada generasi muda pula untuk berdakwah melalui medium media sosial agar mereka dapat bersama-sama menyumbangkan ilmu anugerah Allah dan mendidik ummah.
“Seperti biasa saya menerima undangan ceramah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta Singapura. Selain itu saya juga akan mengadakan seminar atau kem motivasi pada musim cuti sekolah November dan Disember ini. Jika tiada jemputan atau undangan untuk menyampaikan ceramah, saya akan meluangkan masa bersama keluarga memandangkan sekarang ini saya mempunyai lima orang cucu yang tinggal bersama,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah membuka bicara kata.
Tidak dapat dinafikan kelibat Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah dan imamnya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dalam rancangan Semanis Kurma amat dirindui. Rancangan yang berlangsung selama lapan tahun berturut-turut sejak 2008 itu benar-benar meninggalkan impak yang berkesan dan berpanjangan kepada penonton.
“Terima kasih kepada pihak TV9 kerana memberi kepercayaan kepada saya dan Ustaz untuk mengacarakan rancangan Semanis Kurma. Rancangan semanis kurma di TV9 habis kontraknya pada 2016. Memang menjadi cita-cita saya dan Ustaz untuk menghidupkan kembali rancangan Semanis Kurma kerana rancangan ini menjadi sumber inspirasi dan juga menjadi pedoman dalam membina keluarga bahagia. Alhamdulillah ke mana-mana saya pergi, orang akan memanggil saya dan Ustaz dengan panggilan Semanis Kurma. Semoga ada penaja untuk rancangan ini diteruskan,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Jadual beliau agak padat dengan undangan ceramah-ceramah agama. Kebiasaannya dalam seminggu tiga hingga empat kali. Ada ceramah pada waktu siang hari dan ada juga pada malam hari.
“Kebanyakan ceramah di luar kawasan terutamanya di Terengganu. Setiap bulan saya akan ke sana bagi menyampaikan ceramah atas undangan dari Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu sejak tahun 2000. Saya juga kerap pergi ke Singapura, Sabah dan Sarawak serta Brunei. Ada juga undangan daripada pelajar dari luar negara seperti Jepun, Korea, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Saya juga banyak turun padang ke kawasan pendalaman seperti kampung-kampung dan Felda-Felda,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
CABARAN BERDAKWAH
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejuk perut ibu mengandung dapat melihat anak lelaki sulung menjadi imam solat. Perkongsian aktres cantik, Zahirah MacWilson di media sosialnya baru-baru ini mengenai permata hati kesayangan iaitu Isaac Raees nyata meraih perhatian warga maya. Terutamanya peminat setia bintang drama bersiri popular, Good Boys Go To Heaven berkenaan.