Tanggal 13 Mac 2019 menjadi memori terindah Mawar Rashid kerana pada detik itulah dia akhirnya bergelar seorang ibu. Waktu itu dia baru berusia 24 tahun dan selamat melahirkan bayi lelaki comel yang diberi nama Raden Muhammad Rafael secara normal. Mengakui kompas hidupnya berubah sejak kehadiran Rafael namun ibu muda ini positif
mendepani hari mendatang bersama suami tercinta, Raden Ahmad Faizal atau lebih dikenali sebagai Raf.
Kini setelah Rafael meningkat usia setahun barulah Mawar kembali aktif dengan kerjaya seni dan lakonan. Apatah lagi, suami tercinta sentiasa menyokong minat dan apa juga keputusan Mawar. Selain bakal membintangi sebuah telemovie, selebriti cantik ini juga dilihat semakin ligat merencana empayar kosmetik, Mawarose. Dalam diam rupa-rupanya Mawar sudah pun bergelar usahawan.
Ads
Teruja berkongsi perniagaan kosmetik yang diusahakan, dia berkata, “Mawar tengah dalam perbincangan untuk masuk berlakon balik. First lakonan saya selepas ada baby ini ialah Thank You, Kapten. Lepas habis cerita tu, Mawar ambil cuti sekejap untuk beri tumpuan menghasilkan produk Mawarose. So far, kami dah berjaya keluarkan produk lip and cheek serum Magic Rose. Istimewanya produk ini, ia turut dijual melalui vending machine. Jadi lebih mudah untuk pembeli mendapatkan produk Mawarose.”
Ditanya rutin harian sejak adanya Rafael, sambil tertawa Mawar membuka cerita, “Jujur, sejak ada anak Mawar tak pernah dapat tidur yang cukup. Katakan kalau balik dari shooting dan sebagainya pukul 3 pagi, dalam pukul 5 atau 6 pagi macam tu Mawar dah terjaga sebab Rafael jenis bangun pagi. Untuk pastikan rutin Mawar tidak terkejar-kejar, preparation dari segi masa sangat penting.
Waktu makan anak pun Mawar letak dalam phone sebab kadang-kadang terlupa sebab sibuk. Pendek kata, rutin harian dah bertambah. Tapi setakat ini walau sibuk macam mana pun dengan bisnes dan shooting, Mawar tetap ada masa untuk anak-anak, suami dan keluarga. Kalau rancang masa betul-betul, mesti kaum ibu di luar sana pun boleh buat.”
Sememangnya menjadi ibu pada usia muda bukan satu tugas mudah. Tanpa bantuan insan tersayang dan pengurusan masa yang bijak pastinya tugas tersebut tidak mampu dilaksanakan dengan sempurna. Pun begitu, Mawar sangat bertuah kerana sejak melahirkan Rafael, amanat menjaga anak kecil turut dibantu ibu kandung iaitu Marinee Abdullah dan ibu mentua, Datin Umi Kalsom.
Mawar Rashid mendirikan rumah tangga bersama Raf pada 9 November 2017. Sebelum berkahwin dengan Mawar, Raf mempunyai dua orang anak iaitu Raden Ahmad Rayyan dan Raden Seri Raysaa Chanela menerusi perkahwinan terdahulu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun sering menduduki takhta artis berjaya dan terkaya di Indonesia, wanita ini belum puas – selagi namanya tidak menawan dunia. Kejayaan penyanyi terkenal, Agnes Monica atau kini dikenali Agnez Mo menembusi pasaran muzik Amerika Syarikat sememangnya didorong sifat beliau yang tidak pernah berhenti belajar.
“Saya hanya ingin maju ke depan, dalam setiap momen di kehidupan saya, saya tidak ingin hanya mengenang masa silam.
Saya mahu fokus pada cara meningkatkan diri agar menjadi lebih baik. Jadi, ya, saya adalah pelajar yang baik, selamanya.” Agnez Mo
Agnez Mo menghadiri majlis pelancaran ‘Bling Empire’ Musim 2 Netflix di Los Angeles
Persembahan Agnez Mo sempena Synchronize Fest 2022
Berusia 36 tahun, wanita cantik berketurunan Cina dengan nama penuh Agnes Monica Muljoto dari Jakarta itu pernah melakar sejarah sebagai selebriti terkaya di Indonesia dengan nilai pendapatan kasar $16 juta (RM75 juta).
Beliau mula dikenali sebagai penyanyi, pelakon dan penari sejak zaman kanak-kanak lagi. Namanya mula melonjak naik pada awal 2000 dan sejak itu Agnez Mo terus bangkit serta digelar penyanyi Indonesia yang paling banyak menerima anugerah.
Memilih pusat industri hiburan dunia iaitu Amerika Syarikat, Agnez Mo akhirnya tekad berhijrah untuk mengembangkan bakatnya ke luar negara.
“I’m not building a career. I’m creating a legacy.” Agnez Mo
TIP BERJAYA
Melalui temu bual Kumparan bersama Agnez Monica, selebriti terkenal ini berkongsi tip kejayaannya hingga berhasil membina nama di pentas antarabangsa.
Berhenti menguruskan kehidupan orang lain dan fokus pada diri sendiri.
Jangan menyalahkan orang lain di atas hal yang menimpa kita.
Yakin bahawa bangsa yang besar adalah bangsa yang belajar, bukan bangsa yang berbicara atau mencari-cari kesalahan orang lain.
“Mulailah dengan mengurusi urusanmu sendiri. Itu mungkin merupakan solusi terbaik untuk segala hal. Berhentilah menyalahkan orang lain atas kemalangan yang kamu hadapi.” Agnez Mo
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
Semoga tip Agnez Mo ini memberi manfaat kepada ramai wanita Malaysia agar tidak terus bertahan dalam zon selesa. Usah mudah rasa selamat!
Sumber: Kumparan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pengalaman 13 tahun menjadi Presiden MERCY Malaysia mengasuh jiwanya menjadi lebih sabar, lebih memahami dan bertolak ansur. Bersama Nona, Dato’ Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus mencurahkan pengalaman hidupnya sebagai seorang pakar perunding perubatan, pekerja kemanusiaan dan presiden sebuah badan amal kesukarelawanan.
Biar tanpa publisiti kencang, takwim kerja Dato’ Dr Ahmad Faizal, 54 tahun begitu padat sekali. Ada-ada sahaja komitmen yang menanti hinggakan sukar menetapkan temu janji dengan Pakar Perunding Perubatan (Respiratori) itu.
Mujurlah di sebalik kesibukan, pengurusan MERCY Malaysia memberi kepercayaan untuk kami menyelit masa, menyelami lebih dalam jiwa lelaki kelahiran Kuala Lumpur yang kedua ibu bapanya berasal dari Perak itu.
Petang Ahad usai mempengerusikan retreat fizikal pertama MERCY Malaysia sejak bermula pandemik COVID-19, bapa kepada tiga cahaya mata ini bergegas bertemu kami.
“Sejak saya mengambil alih jawatan Presiden MERCY Malaysia daripada Tan Sri Dr Jemilah Mahmood pada tahun 2009, tugas saya sebagai Presiden lebih menuntut komitmen masa dan fokus yang tinggi sebenarnya. Percaya tidak, tanggungjawab yang digalas seperti orang bekerja sepenuh masa.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Dato’ Dr Ahmad Faizal kini masih berkhidmat di Hospital KPJ
Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MERCY Malaysia atau singkatan Malaysia Medical Relief Society ini telah ditubuhkan pada tahun 1999 untuk memberi bantuan kemanusiaan.
Banyak bantuan perubatan serta kemanusiaan telah disalurkan apabila berlaku krisis dan bencana di peringkat antarabangsa mahupun di dalam negara.
Di bawah pimpinan Dato’ Dr Ahmad Faizal, pelbagai misi besar berjaya dilaksanakan antaranya yang terbaru, bantuan memerangi COVID-19 menggunakan kepakaran sedia ada.
Sejak pandemik melanda pada awal 2020, MERCY Malaysia tampil memberi bantuan kecemasan serta jangka panjang kepada Kementerian Kesihatan dalam pelbagai cabang untuk memudahkan operasi memerangi wabak COVID-19.
Tumpuan mereka jelas dalam menyediakan keperluan penting seperti katil, alat ventilator, pakaian perlindungan diri (PPE), ubat-ubatan dan sebagainya, serta meningkatkan aktiviti vaksinasi dan saringan.
Sebagai seorang mukmin, semua kerja yang dilakukan di dunia ini mestilah semuanya kerana Allah Taala. Tambah Dato’ Dr Ahmad Faizal, beliau juga memberi keutamaan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira bangsa, warna kulit atau fahaman politik.
Kerja kemanusiaan harus ikhlas, bukan saja kerana Allah tapi kerana tanggungjawab sesama manusia.
“Walaupun organisasi ini mengalami banyak pertumbuhan dari segi kapasiti, keupayaan, kemampuan kewangan serta sumbangan staf sepenuh masa, tapi kami masih melakukan kerja-kerja secara sukarela.
Selain turun ke lapangan untuk beri bantuan, saya kira kerja-kerja merancang, membuat strategi dan menyelesaikan masalah yang timbul terutamanya yang melibatkan ramai pemegang taruh (stakeholders) amat mengambil masa yang banyak.
Dalam waktu yang sama, saya masih lagi berkhidmat sebagai pakar perunding di Hospital KPJ Damansara.
Dua tahun kebelakangan ini pula, saya terpaksa bergelut dengan wabak dan pesakit COVID-19 secara langsung.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Sambungnya, beliau kini turut terlibat menangani pandemik di Malaysia sebagai seorang frontliner merawat pesakit COVID-19 sesuai dengan kepakaran sebagai pakar perunding respiratori.
Sebagai pemimpin MERCY Malaysia yang bergerak secara aktif membantu usaha-usaha mencegah COVID-19 di kalangan masyarakat, badan amal kebajikan ini juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, tidak ketinggalan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya.
Ketokohan Dato’ Dr Ahmad Faizal turut terlihat apabila beliau terlibat dengan jawatankuasa peringkat nasional untuk membantu kerajaan dalam memberikan nasihat, idea atau buah fikiran, terutama sekali kepada NADMA.
Selain menjadi pengerusi kluster kesihatan dan bahaya baru muncul (emerging hazard) yang sinonim dengan COVID-19, beliau juga menjadi ahli jawatankuasa berkenaan kerjasama hospital awam dan swasta (private-public partnership) dalam menangani isu yang sama.
“Saya juga salah seorang penyelaras yang terlibat dalam proses penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta di Lembah Klang.
Di sini kita bernasib baik kerana ada banyak hospital swasta yang sudi membantu di peringkat operasi. Jadi saya kira tak ramai orang di negara ini seperti saya yang mempunyai pengalaman serupa di semua peringkat.”
AKTIVITI
Jasa beliau yang sangat besar dalam dunia kesukarelawanan dan kebajikan Malaysia membuatkan lelaki ini diiktiraf sebagai penerima Nona Men’s Charity Award di acara Nona Superhero.
Tonton video ini saat beliau mengimbau kembali pengalamannya dalam dunia kebajikan sejak 18 tahun lalu…
“Saya bermula sebagai ahli sukarelawan biasa pada 4 Januari 2003. Masa tu saya baru menjadi pakar perubatan, setepatnya selepas menamatkan latihan kepakaran sebagai pakar perubatan dalam sub-bidang respiratori.
Tiada siapa daripada MERCY Malaysia yang mengajak saya secara formal. Tapi kerana minat yang mendalam, mungkin sayalah yang mengajak kawan-kawan saya masa tu di HUKM.
Kebetulan ada program induksi untuk ahli sukarelawan baru, jadi saya pun masuk sebab jauh di sudut hati, saya yakin sudah masanya orang Malaysia buat kerja kemanusiaan secara terurus dan sistematik sebegini.”
Aktiviti kemanusiaan banyak membawa Dato’ Dr Ahmad Faizal ke serata ceruk dunia. Antaranya ke Sri Lanka sewaktu banjir besar, ke Iran membantu mangsa gempa bumi, ke Sudan ketika konflik Darfur, ke Aceh semasa tsunami, Pakistan, Myanmar, Filipina, sempadan Turki-Syria, Syria, serta banyak lagi.
Timbul pertanyaan, sepanjang beliau bergiat aktif dengan aktiviti MERCY Malaysia, bagaimanakah penerimaan isteri dan anak-anak, tidakkah terhalang masa berkualiti dengan mereka?
“Sebenarnya isteri juga adalah ahli sukarelawan MERCY Malaysia dan kini masih berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan am swasta.
Anak-anak saya sejak kecil lagi, mereka selalu ikut beri bantuan kepada warga emas, fakir miskin atau mangsa banjir. Saya kira jiwa kemanusiaan sudah disemai sejak dulu dan mereka pun memahami minat kami dalam bidang kebajikan.”
Dato’ Dr Faizal diwakili Timbalan Presiden MERCY Malaysia, Datin Raja Riza menerima anugerah
Tidak mahu meletakkan sebarang garis akhir dalam kerjaya kemanusiaannya, Dato’ Dr Ahmad Faizal menyerahkan segala ketentuan masa depan di tangan Yang Maha Kuasa.
“Sehingga kini saya sangat suka berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kebolehan yang saya ada dalam bidang kemanusiaan.
Cuma di MERCY Malaysia, mungkin akan tiba masanya nanti saya lepaskan jawatan ini supaya ada kesinambungan kepimpinan yang baru.
Menjadi harapan kami sejak 22 tahun usia MERCY Malaysia ditubuhkan, kami bukan saja mahu badan NGO ini berjaya di Malaysia tapi di peringkat serantau dan antarabangsa.”
IDOLA
Majoriti kerja kemanusiaan di luar negara bukan dilakukan secara sukarela, sebaliknya diuruskan secara profesional, umpamanya di Afrika dan Eropah.
Terdapat organisasi tertentu yang mendapat bantuan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Persatuan Palang Merah Antarabangsa atau badan-badan NGO besar dari Barat untuk menjalankan misi-misi tertentu.
“Terdapat seorang tokoh yang saya kagumi iaitu mendiang William L. Swing yang merupakan seorang diplomat Amerika Syarikat.
Mendiang sampai ke umur 80 tahun pun masih berkhidmat sebagai Ketua Pengarah di International Organization for Migration (IOM), sebuah agensi migrasi yang diletakkan di bawah PBB.
Mendiang William L. Swing
Mendiang menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Malaysia dan baru saja menghembuskan nafas terakhir pada Jun 2021 lalu akibat komplikasi COVID-19.
Apa yang saya kagumi, jiwa kemanusiaan itu begitu besar dalam dirinya sehinggakan mendiang menolak untuk menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator) dan menyuruh ia diberikan kepada pesakit lain yang lebih muda dan memerlukan, walaupun beliau orang kenamaan.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Percaya bahawa kerja-kerja kemanusiaan mampu mengasuh nilai-nilai murni dalam jiwa manusia, Dato’ Dr Ahmad Faizal berpegang teguh kepada ajaran Islam bahawa setiap yang baik itu akan mendapat pembalasan yang baik juga di pengakhirannya.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Natrah Mat Jan
Solekan: Che Wann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebut sahaja jenama Duck, pasti terbayangkan warna ungu yang menjadi trademark jenama itu. Malah, umum sedia maklum bahawa pengasas disebalik jenama gah ini merupakan figura yang sememangnya dikenali ramai.
Kejayaan pemilik nama Vivy Sofinas Yusof, atau lebih mesra disapa sebagai Vivy yang berjaya menempa nama sebagai usahawan pada usia 28 tahun sememangnya cukup membanggakan rakyat Malaysia dan wajar dijadikan sumber inspirasi.
Lebih mengagumkan lagi, Vivy bukan sahaja seorang model, blogger, ikon fesyen dan juga ibu kepada tiga orang cahaya mata. Malah, ia juga adalah antara perintis dalam dunia perniagaan dalam talian paling popular di Malaysia.
Anak kelahiran Kajang ini merupakan pengasas bersama FashionValet, salah satu laman sesawang dalam talian yang menawarkan pelbagai label popular. Kejayaan yang diraih wanita muda ini bukanlah mudah yang disangka.
Mula Berjinak Di Alam Perniagaan Di Usia Muda 28 Tahun!
Vivy bermula dengan menulis di blognya sendiri, Proudduck.com dan telah mengelola laman blognya lebih tujuh tahun bermula dari zaman kolej ketika belajar di London.
Menerusi Blog itu, Vivy banyak bercerita mengenai kisah cinta, kerjaya, keluarga dan kini kehidupan hariannya sebagai seorang ibu. Ramai follower yang mengikut blognya dan dari situ Vivy mula mengumpul peminat tersendiri.
“Sebenarnya Vivy tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan mahupun fesyen. Vivy mengambil jurusan undang-undang dari London, ‘School Of Economics’, manakala Fadzaruddin (suami Vivy) pula lulusan kejuruteraan penerbangan angkasa.
“Pada awalnya, FashionValet mula beroperasi sejak bulan November 2010 dengan hanya 10 jenama tempatan sahaja yang mengambil bahagian. Kini, Vivy dan suami mempunyai 30 orang pekerja dan stok barangan lebih dari 400 jenama dari serata Asia Tenggara,” ujar wanita kecil molek anak kelahiran Kajang ini.
Sekadar info, FashionValet menawarkan pelbagai pakaian fesyen dan aksesori dari pereka karya seni tempatan dan luar negara seperti Minz, Gallo by Thian, PU3, Sereni & Shentel, Mimpikita, Dusk Till Dawn dan banyak lagi.
Meskipun harga produk yang dijual di FashionValet agak mahal, tetapi menurut Vivy mereka berpegang kepada prinsip menyediakan produk yang berkualiti kepada pelanggan.
Kembangkan Perniagaan Hijab Sebagai Soerang Muslimah
Tidak hanya berhenti di situ – sebagai seorang wanita Islam, Vivy mengembangkan perniagaannya daripada hanya menjual pakaian kepada mempunyai tudung jenama sendiri, selendang dUCkscarves.
Selain daripada itu, dia juga turut menjual peralatan alat tulis, iaitu alat tulis dUCk dengan pelbagai reka bentuk sesuai untuk pelanggannya yang kebanyakannya merupakan kaum wanita.
Sejak pelancaranya, hingga ke hari ini selendang dan alat tulis dUCk sentiasa menerima sokongan yang menggalakkan daripada pelanggan dan sering habis dijual setiap sekali dilancarkan.
Ituah keistimewaan Vivy Yusof yang kini menjadi ikon fesyen. Mempunyai follower di laman instagramnya berjumlah 1.8 juta dan apa sahaja yang digayakan Vivy akan menjadi ikutan serta sorotan warganet.
Biarpun sibuk dengan kerjaya, Vivy tetap menjalankan tugas sebagai seorang isteri dan ibu kepada keluarganya. Pelbagai kejayaan ditempa dan menjadi inspirasi kepada hijabi di luar sana yang mengangkat Vivy sebagai idola mereka.
Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada Allah jua kita kembali. Baru beberapa hari menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihanraya Negeri Sabah ke-17, Datuk Seri Bung Moktar Radin kembali ke rahmatullah pada 5 Disember 2025.