
Diuji kehilangan figura seorang ibu ketika usia baru mencecah belasan tahun nyata menjadi dugaan terbesar buat insan bernama Irdina Hakim Jasman. Pasrah dan ‘berdamai’ dengan takdir, dia yang kini meniti usia 20 tahun kian tabah mendepani kehidupan.
Bangkit daripada kesedihan Irdina cekal menyambung legasi Dnars tinggalan Allahyarham Faziani Rohban.
Lima tahun selepas pemergian pengasas kosmetik Dnars itu pada Mei 2019, Irdina makin cekal dan matang mengemudi perniagaan. Meskipun pernah diuji sakit namun semangat yang diambil daripada arwah ibu tersayang menjadi kekuatan buat dirinya.
Apatah lagi raut wajah Irdina yang saling tak tumpah mewarisi rupa paras usahawan tersebut.



Irdina juga aktif menggunakan platform media sosial miliknya untuk mempromosi pelbagai produk. Walau masih muda, semangat wanita ini membuat jualan sering meraih pujian warga maya.
Selain Irdina, seorang lagi cahaya mata Allahyarham Faziani iaitu Iqbal Hakim turut bersama-sama adik kesayangan mengemudi perniagaan Dnars.
Mengenang sisi peribadi Faziani Rohban yang baik dan pemurah, Allahyarham ketika menjadi coverstory Nona Mei 2016 mendedahkan nama Dnars dipilih bersempena singkatan nama Irdina.
Kata-kata arwah yang paling diingati sehingga sekarang ialah sikapnya yang suka mendahulukan orang lain.
Antara bait-bait kata yang disampaikan arwah, “Rezeki untuk dikongsi dan Dnars bukan rezeki saya seorang. Konsep saya, rezeki yang diterima hari ini patut dikongsi bersama orang lain. Rezeki itu datang daripada kita untuk diagihkan kepada semua.
Saya sering tanamkan dalam hati supaya tidak rasa sayang mengeluarkan duit untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Orang paling utama dalam hidup saya adalah ibu bapa, anak-anak, suami dan adik-beradik. Akhir sekali baru saya fikirkan tentang diri sendiri.




Kalau dia hendak tarik nikmat ini sekejap saja. Memang saya mahu semuanya berpanjangan. Tetapi apa yang akan berlaku kelak saya reda dan tak mahu riak. Bila saya senang, Tuhan hadirkan semua orang susah di sekeliling saya. Saya tahu Dia nak uji sebab itu niat saya waktu pernah susah dulu. Bulatkan hati dan niat kita.
Kalau kita tengah makan dan ada orang datang minta sedekah, beri sumbangan ikut kemampuan kita. Saya percaya ada ketika bukan doa kita saja yang sampai ke Tuhan. Doa orang-orang yang kita bantu inilah yang memurahkan lagi rezeki kita.”
Mulianya hati. Moga Allahyarham Faziani ditempatkan dalam kalangan orang-orang beramal soleh dan usaha murni yang pernah dilakukan menjadi sumber inspirasi kepada semua untuk saling membantu dan mengejar akhirat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
YM ENGKU LIYANA Kongsi Pengalaman Sebagai Penerima Dos Pertama Vaksin AstraZeneca

Cantik manis orangnya dan sangat merendah diri. YM Engku Liyana Zafirah berasal dari kerabat Diraja Pahang. Gadis manis berusia 31 tahun ini mesra disapa sebagai Engku Liyana.



Di sebalik ketenangan wajah yang dimiliki, Engku Liyana sebenarnya seorang gadis lasak serta aktif dengan kegiata sukan. Engku Liyana juga punya kerjaya hebat sebagai Pegawai Eksekutif di Universiti Putera Malaysia (UPM).
Sebelum bergelar Pegawai Eksekutif, Engku Liyana pernah bergelar juruwang di sebuah farmasi kesihatan sekitar tahun 2007. Ini membuktikan sejak usianya belasan tahun Engku Liyana seorang gadis yang berani dan berkeyakinan tinggi. Luaran nampak lembut namun dalaman jiwanya kental.


Maka tak hairanlah Engku Liyana yakin dan bersedia menerima suntikan vaksin COVID-19. Baru-baru ini Engku Liyana telah berkongsi di akaun Instagram peribadinya pengalaman saat menerima dos pertama vaksin. Engku Liyana kelihatan ceria serta bersemangat setelah menerima suntikan tersebut.

“COVID-19 adalah virus yang berjangkit. Kes meningkat setiap hari dan ini sangat membimbangkan. Datangnya kekuatan untuk mengambil vaksin adalah kerana saya ingin melihat kembali negara kita bebas daripada virus COVID-19 seterusnya dapat meneruskan aktiviti secara normal dan boleh berekreasi seperti dulu. Pergerakan pun tidak terhad.
Maka, pengambilan vaksin COVID-19 adalah sangat penting. Ia membantu antibodi kita untuk melawan, mengurangkan gejala dan risiko untuk jatuh sakit (yang serius) jika kita terdedah dengan jangkitan. Pengambilan COVID-19 juga salah satu kaedah untuk kita mengawal pandemik ini dengan membentuk imuniti kelompok.
Jenis vaksin yang saya terima ialah AstraZaneca (AZ). Namun sebelum itu, untuk memastikan saya benar-benar bersedia saya telah membuat persiapan awal dengan banyak membaca serta bertanya kepada rakan-rakan yang telah mengambil suntikan vaksin sebelum ini.

Saya dapati program imunisasi ada menyediakan parking flat rate RM2 (tidak lebih daripada 3 jam) di Sunway Putra Mall untuk penerima vaksin AZ ini. Ianya sangat membantu keana setelah meletakkan kenderaan, penerima vaksin boleh terus berjalan ke PWTC.
Alhamdulillah, setelah divaksin simptom yang saya alami tidak begitu serius. Tiada demam atau pening. Hanya badan yang terasa letih dan kurang bermaya. Selain itu, tiada sebarang pantang dari segi pemakanan.

Untuk dos ke-2 masih tiada tarikh yang diberikan. Namun saya telah pun dimaklumkan suntikan seterusnya adalah selepas 8-12 minggu dari tarikh suntikan pertama. Tarikh suntikan akan diberikan melalui aplikasi Mysejahtera.
Saya merayu kepada mereka yang masih ragu-ragu untuk mengambil vaksin agar ambil peluang terhadap semua jenis vaksin yang kerajaan tawarkan kerana ia dapat mengelak kita daripada jatuh sakit yang serius jika dijangkiti. Tahap keberkesanan adalah tinggi. Banyakkan membaca tentang keberkesanan vaksin. Bantulah negara untuk mengawal pandemik seterusnya mencapai imuniti kelompok serta tiada lagi kematian akibat COVID-19.

Bagi mereka yang masih menunggu peluang untuk divaksin diharapkan anda bersabar. Insha-Allah akan tiba masanya nanti dan semua akan menerima vaksin. Saya berharap fasa program imunisasi di negara kita dipercepatkan agar tiada lagi kesan negatif COVID-19 ini.
AMAL PEMAKANAN SIHAT
“Saya hanya amalkan air kosong secukupnya setiap hari. Saya turut mengurangkan makanan berminyak dan bergoreng. Sejak kecil keluarga saya memang tak galakkan kami ambil makanan ringan, minuman manis dan bergas. Alhamdulillah sampai sekarang kami masih pegang nasihat itu.



Selain itu, saya sentiasa melalui hari-hari dengan positif demi kesihatan mental dan fizikal, apatah lagi sekarang dengan keadaan pandemik COVID-19 yang memungkinkan kita untuk mudah merasa tertekan.
MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
Sebagai anak saya sentiasa berusaha untuk membahagiakan dan menyenangkan kedua ibu bapa. Mungkin tak akan terbalas jasa mereka tapi saya akan merasa puas jika dapat melihat mereka bahagia dan gembira.

Merekalah sumber inspirasi saya sejak kecil. Kedua-duanya tegas dan berdisiplin dalam mendidik. Sejak kecil saya dan adik beradik dah diajar untuk melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh sampai jadi. Seterusnya saya mahu fokus kepada kerjaya. Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa menjadi tulang belakang untuk saya lakukan yang terbaik.”
Kredit Foto: Instagram @engkuliyana
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bekas Pelajar MRSM & Ibu 2 Anak, FLORENCE TAN Bergelar Timbalan Ketua Juruteknologi NASA

Ibu kepada dua cahaya mata, Florence Tan terlibat dalam misi eksplorasi NASA untuk planet Marikh. Kisah ini pastinya menjadi inspirasi dan dorongan kepada seluruh rakyat untuk mencatatkan lebih banyak kejayaan di peringkat dunia.
Sudah tentu mereka yang terpilih dan mempunyai pencapaian hebat sahaja mampu berkhidmat di sana. Baru-baru ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan rasa bangga atas kejayaan wanita kelahiran Muar, Florence Tan yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Juruteknologi NASA.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah, pencapaian membanggakan wanita itu telah mengharumkan nama Johor di peringkat antarabangsa.
“Saya mengucapkan tahniah dan menzahirkan rasa bangga atas kejayaan anak kelahiran Johor ini sehingga menempa nama di luar negara.
“Ini juga merupakan satu kejayaan yang turut membanggakan rakyat serta mengharumkan nama Johor di peringkat antarabangsa,” titah baginda.
Berikut 6 fakta menarik mengenai wanita hebat ini;
1-Florence lahir di Muar, Johor dan merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA Kuantan, Pahang.
2-Dia kemudian melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan elektrik di University of Maryland di Amerika Syarikat.
3-Tidak terhenti di situ, Florence terus menggali ilmu ke peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran dalam kejuruteraan elektrik di Universiti Johns Hopkins.
4-Florence menyertai NASA sejak 1986 selepas diterima sebagai pelatih di Pusat Penerbangan Angkasa Goddard NASA berdasarkan pengajiannya dalam teori elektromagnet. Selepas menamatkan PHD, Florence mula bekerja di situ sebagai pengaturcara.
5-Ibu kepada dua cahaya mata itu terlibat dalam misi eksplorasi NASA untuk planet Marikh.
6-Florence difahamkan kini memiliki kewarganegaraan Amerika Syarikat.
Perjalanan menuju kejayaan pasti berliku. Antara yang tular mengenai Florence ialah beberapa resipi kejayaan dikongsikannya;
- Belajar berkomunikasi dengan baik.
- Jangan mengambil kesempatan ke atas orang lain.
- Ingat bahawa kita bekerja dengan orang, jadi jangan membuat andaian.
- Bercakap untuk mengajar orang lain.
- Saling menghormati.
- Jujur
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika atau singkatannya NASA merupakan badan pemerintah Amerika Syarikat yang bertanggungjawab mengelola dan mentadbir program angkasa lepas dijalankan negara itu. NASA bertanggungjawab terhadap penyelidikan aeroangkasa ketenteraan dan awam jangka panjang. Sejak Februari 2006, misi NASA ialah merintis masa depan dalam penjelajahan angkasa lepas, penemuan saintifik dan penyelidikan aeronautik.
Sumber: Sinarplus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Dalam Motokar, Dia Pegang Tangan Saya. Pegangan Tangan Dileraikan Apabila Kami Melintasi Tol & Jari-Jemari Kembali Bertaut Selepas Itu” – Tun Hasmah

Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!


Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
MENULIS
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.

Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.

KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.

Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


