Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu pengumuman tergempar. Memetik laporan portal The Guardian, perkara mengejutkan itu diumumkan menerusi mesyuarat kaukus tahunan parti pada Khamis. Jelasnya, pengumuman tersebut menyusul selepas Ardern merasakan sudah tiba masanya beliau mengundurkan diri kerana tiada keupayaan lagi untuk menjalankan tugas itu.
Ujarnya, jawatan yang disandangnya itu datang dengan tanggungjawab yang berat. “Saya meletak jawatan kerana tugas ini memerlukan tanggungjawab, iaitu mengetahui adakah saya orang yang tepat untuk mempimpin dan menyedari bila masanya untuk berundur.
“Saya tahu apa yang diperlukan dalam menggalas jawatan ini. Dan saya tahu saya tiada lagi keupayaan untuk menjalankan tanggungjawab tersebut. Ia semudah itu,” ujarnya. Susulan pengumuman itu Ardern menghubungi tunangnya Clarke Gayford bagi mengajaknya berkahwin. “Mari kita berkahwin akhirnya,” tulisnya.
Ardern meletak jawatan pada usia 42 tahun, selepas lima tahun lebih memegang jawatan tertinggi negara itu. Sebelum ini beliau menjadi pemimpin kerajaan wanita termuda di dunia selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2017 pada usia 37 tahun.
Ads
Pentadbirannya turut menyaksikan kepimpinannya semasa menempuh pandemik COVID-19, beberapa bencana dan tragedi besar seperti kejadian serangan masjid di Christchurch dan letusan gunung berapi White Island. Untuk rekod, tempoh jawatan yang disandangnya itu akan berakhir selewat-lewatnya 7 Februari.
Kredit foto: Mark Baker/AP/Shutterstock | Sumber: ASTRO Awani
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Datin Adzliana atau mesra dengan panggilan Datin Nana merupakan seorang wanita berdedikasi dan memiliki misi yang jelas untuk memartabatkan kaum wanita dalam arena keusahawanan. Lahir dalam keluarga yang mempunyai empayar niaga sendiri nyata bukan tiket mudah bagi figura ini untuk hidup bersenang-lenang.
Sebaliknya, beliau dididik mempelajari selok-belok ilmu perniagaan bermula dari bawah. Ini dibuktikan apabila Datin Nana pernah menjadi salah seorang pekerja di syarikat ayahnya sejurus tamat pengajian pada tahun 2006.
“Saya didedahkan kepada bidang keusahawanan oleh arwah ayah saya sebaik tamat pengajian. Minat itu memang ada dan peluang yang diberikan oleh ayah untuk meneruskan perniagaan keluarga, secara tidak langsung menguatkan lagi semangat saya di dalam perniagaan.
Pun begitu, langkah saya bukan mudah kerana ayah mahu saya bermula dari bawah.
Percaya atau tidak, saya bermula sebagai kerani walaupun syarikat itu ayah punya. Semua kerja ayah beri kepada saya untuk saya mahir dan tahu selok-belok pengurusan di peringkat bawahan. Ketika menjadi kerani pada masa itu, saya juga tak terlepas dalam duty roster membersihkan pejabat dan tea lady.
Ayah saya mengusahakan sebuah syarikat keselamatan. Habis belajar, saya ingat saya akan bekerja sebagai pekerja human resource (HR) atau bahagian akaun sebaliknya ayah letak saya sebagai kerani. Saya dibayar gaji kerani dan duduk bekerja dengan dua ke tiga orang lagi staf di bahagian itu.
Sebagai kerani, saya kena isi segala maklumat berkaitan klien dan uruskan all the documents. Di samping banyak berurusan dengan pihak kerajaan dan korporat. Ayah kata saya perlu belajar dan memahami perniagaan yang dilakukan. Dari situ saya mula belajar dari bawah dan alhamdulillah sekarang saya mampu kelolakan syarikat sendiri.
Saya sangat berterima kasih kepada ayah yang meletakkan saya belajar dari bawah kerana kejayaan itu hendaklah bermula dengan kesusahan dan usaha yang tinggi untuk berjaya. Terima kasih Abah untuk segalanya,” telus graduan Ijazah Perniagaan Antarabangsa dari Multimedia University ini.
Mengulas lanjut pembabitannya dalam dunia keusahawanan, Datin Nana tanpa berselindung mengakui kagum dengan kepimpinan ayah tersayang dan menjadi sumber inspirasi buat beliau selama ini.
“Mentor saya semestinya arwah ayah, Prof Dato’ Sri Dr Hasan Yusoff yang membawa dan mengajar saya tentang dunia perniagaan. Saya kagum dengan beliau yang asalnya merupakan bekas Ketua Polis tetapi mampu menjalankan perniagaan.
Malah perniagaan ini berjaya sehingga menjadi empayar buat keluarga kami. Semangat dan hala tuju arwah ayah yang agak lewat memulakan perniagaan menjadi inspirasi dan saya benar-benar kagum kerana beliau berjaya mengharungi cabaran dalam perniagaan di bidang keselamatan dan beberapa bidang yang lain.
Sebab ini jugalah yang membuatkan saya rasa bertanggungjawab untuk menjadi usahawan. Seterusnya mentadbir dan menguruskan perniagaan keluarga serta berusaha mengembangkan perniagaan hingga ke hari ini,” telus Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Sdn Bhd ini yang nekad membantu usahawan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Suara penyanyi kelahiran Indonesia, Yuka Kharisma begitu lantang dan besar. Bila dengar alunan suaranya, membuatkan kita teringat pada penyanyi Anggun, yang juga kelahiran Indonesia. Rupa-rupanya ibu kepada Ahmad Avisenna ini bukan calang-calang orangnya. Kehidupannya yang sering berpindah-randah dek kerana mengikut ayah telah menonjolkan bakat lain Yuka sehingga menjadi johan tilawah al-Quran!
Walaupun sibuk dengan perniagaan, karier nyanyian tetap menjadi keutamaan. Dari kecil lagi bakat nyanyian Yuka sudah dipertontonkan di hadapan orang ramai. Keretakan rumahtangga yang berlaku di antara ibu bapanya membuatkan Yuka terpaksa mengharungi hidup bersendirian.
https://www.instagram.com/p/CBk-uPGhKVJ/
“Di usia remaja lagi saya sudah tinggal sendirian. Saya menetap di sebuah rumah sewa di Jakarta manakala Mama dan Papa juga masing-masing di Bandung. Kami empat beradik tinggal di tempat yang berbeza dan ketika itu apa yang saya harapkan adalah untuk mencari rezeki demi menyekolahkan kedua-dua abang dan adik bongsu.
Ketika apa yang saya tahu hanya menyanyi. Dari jam lapan malam sehingga ke 12 tengah malam pada setiap hari Rabu hingga Ahad sehingga Isnin sudah tidak ada suara. Saya menyanyi di kafe dan hotel. Ada yang dibayar penuh, ada juga dibayar hanya RM70. Tapi saya tetap terima kerana tanggungan saya adalah adik-beradik lain yang ingin menyambung pengajian.
Mungkin Allah tahu saya malas belajar maka Allah beri saya kekuatan dan bakat untuk mencari rezeki demi keluarga. Akhirnya, abang sulung saya bergelar arkitek manakala arwah abang kedua dan adik bongsu saya bergelar jurutera. Kejayaan mereka adalah hasil usaha mereka yang rajin belajar,”ujarnya.
Pada awal pertemuan, Yuka tampak penuh keyakinan. Penulis sangkakan wanita beranak satu ini tegas dan mungkin bersifat garang. Namun, masing-masing tidak kering gusi tatkala Yuka berkongsi kisah zaman persekolahan.
https://www.instagram.com/p/B-zOlZyBDvl/
“Saya dulu malas sekolah. Sebaik tamat SPM, saya teruskan kerjaya menyanyi dan lebih menumpukan kepada matlamat utama saya iaitu membantu adik-beradik lain mencapai cita-cita mereka. Menyanyi pun hanyalah hobi, bukan satu impian yang saya idamkan.
Sewaktu mengikut Papa pindah atas urusan kerja, kami pernah menetap di Kedah. Bayangkan seorang gadis Indonesia mengambil SPM di sebuah negara asing, ditambah pula dengan loghat yang sukar difahami!
Saya pernah ponteng sekolah selama 30 hari tau kerana stres tak dapat memahami apa yang diajar di sekolah! Mungkin cikgu-cikgu memahami situasi saya dan mereka tidak pernah menghubungi keluarga ketika itu.
Paling kelakar, guru kaunseling beritahu cukuplah sekiranya saya lulus setiap subjek dalam SPM kerana saya lebih cenderung menjadi seorang penyanyi. Ya Allah, terkedu juga saya dan nyata kata-katanya jadi kenyataan!”tawa Yuka.
https://www.instagram.com/p/B70XPv5BdEU/
Walaupun sibuk dengan nyanyian dan bidang seni, Yuka pernah menjadi kebanggaan sekolah apabila dinobatkan sebagai juara qariah peringkat zon utara. Dia sendiri tidak menyangka mampu membawa nama sekolahnya ke peringkat zon kerana sebelum ini belum ada lagi kejuaraan qariah dari sekolah itu.
“Alhamdulilah dari kecil lagi saya sudah dididik mengaji al-Quran. Mama berasal dari Acheh dan sebagaimana kita tahu, Acheh cukup kuat dengan pegangan agamanya. Ketika itu kelas mengaji saya tidak pernah ponteng. Mungkin kerana didikan itu, salah seorang guru di sekolah pernah terdengar bacaan saya lantas dicadangkan agar saya menyertai pertandingan tersebut. Saya sendiri tidak sangka akan menang.
Walaupun dulu di sekolah saya sering ‘ghaib’, tetapi tiap kali ada acara seni, saya pasti menonjolkan diri. Bila ada lawatan dari Menteri atau sesiapa sahaja, pasti saya juga akan menjadi salah seorang pelajar yang akan membuat persembahan,” ujarnya lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kanser payudara dianggarkan akan terus meningkat kepada 2.2 juta kes setiap tahun menjelang 2025. Demikian memetik laporan Program Pengesanan Awal Kanser Payudara Kebangsaan Di Fasiliti Kesihatan Primer Tahun 2024 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tidak dinafikan, sebut saja perkataan kanser pastinya undang rasa gerun kepada masyarakat. Apatah lagi ia mampu membawa maut jika tidak dirawat segera. Di Malaysia, kanser payudara merupakan kanser paling utama dihidapi wanita dan menyumbang 19 peratus daripada semua kanser dalam kalangan penduduk.
Memetik laporan Program Pengesanan Awal Kanser Payudara Kebangsaan Di Fasiliti Primer Tahun 2024 itu juga wanita Malaysia dikesan menghidap kanser ini pada usia lebih awal berbanding wanita di negara Barat iaitu kira-kira 50 peratus didiagnosis sebelum umur 50 tahun!
Satu kenyataan yang harus dipandang serius semua pihak khususnya golongan hawa.
Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara atau Pink October yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun, jom ambil tahu tentang simptom dan gejala kanser payudara sebagai langkah pencegahan awal.
*Benjolan yang keras dan tetap iaitu tidak bergerak
*Penebalan tidak simetri / nodularity
*Perubahan pada kulit (kemerahan, puting mengelupas, kulit bersisik atau ulser)
*Benjolan di bahagian ketiak
Selain mengenal pasti simptom dan gejala ini, golongan wanita juga digalakkan untuk melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) bagi membolehkan anda mengesan awal perubahan pada payudara dan hadir segera ke klinik untuk pengesahan serta rawatan lanjut.
Selain itu, anda juga boleh melakukan Pemeriksaan Klinikal Payudara (PKP) yang ditawarkan kepada semua wanita berumur 30 tahun dan ke atas. Kaedah ini merupakan satu kaedah pengesanan awal kanser payudara yang telah diperkukuh sejak tahun 2009.
Ia dilakukan oleh anggota kesihatan dan dijalankan di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.
Pun begitu, pencegahan awal dan rawatan perubatan yang tepat dapat mencegah penyakit ini daripada terus memudaratkan kesihatan.
Ini terbukti apabila tiga figura terkenal yang merupakan antara pesakit kanser payudara kini menjalani kehidupan lebih sihat selepas mendapatkan rawatan yang disarankan pakar perubatan.
1.DR KARTINI KAMALUL ARIFFIN
Bekas personaliti televisyen dan pengacara 3R ini salah seorang wanita inspirasi tanah air dalam melawan sakit yang dialami. Ia selepas Dr Tini Ariffin berjaya menamatkan pengajian Ijazah Kedoktoran dalam bidang Komunikasi dari IUKL biarpun bergelut dengan masalah kesihatan pada tahun 2023.
Sejak didiagnosis dengan kanser itu, Dr Tini telah pun menjalani prosedur pembedahan dan 20 kitaran terapi radiasi.
2.ANDRIANI MARSHANDA
Pelakon dan penyanyi popular Indonesia ini mendedahkan dia menderita kanser payudara pada tahun 2022. Berita itu dikongsikan menerusi satu hantaran video berjudul ‘I Have Breast Tumor’ di platform YouTube.
Difahamkan Marshanda berjuang melawan kanser yang memasuki tahap empat itu hampir dua tahun namun kini dilaporkan pulih sepenuhnya. Dia juga memaklumkan melakukan pembedahan dan menjalani pemeriksaan secara berkala.
3.ANGELINA JOLIE
Angelina Jolie didiagnosis ketika usia 37 tahun apabila ujian kesihatan mengesahkan dia berisiko tinggi hidap kanser payudara. Rentetan itu, Angelina segera menjalani pembedahan mastektomi pada tahun 2013 dan didedahkan sendiri dalam sebuah artikel di The New York Times.
Tulisnya, “Saya menulis untuk memberitahu wanita lain bahawa bukan mudah membuat keputusan untuk mastektomi tapi saya gembira membuatnya. Saya juga selalu memberitahu anak-anak agar jangan takut jika kehilangan saya kerana penyakit itu.”
Justeru jika anda mengalami sebarang perubahan atau gejala yang dinyatakan, segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan sebelum memudaratkan kesihatan.
Jom bersama kami sertai Pink Ribbon Run pada 25 Oktober 2025 ini di Putrajaya dibawakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majalah Nona dan Mingguan Wanita.
Sama-sama kita beri semangat dan kekuatan kepada kaum wanita yang diuji dengan kanser payudara ketika ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.