
Syukur alhamdulillah! Lengkap sudah keluarga Stacy dan Akim Ahmad apabila mereka dikurniakan cahaya mata lelaki baru-baru ini. Sudah pun mempunyai dua anak perempuan, kehadiran zuriat lelaki ini pastinya menyerikan lagi rumah tangga pasangan romantis berkenaan.
Meluahkan rasa syukur dan gembira di platform media sosial masing-masing, Akim menerusi Instagram miliknya turut memuat naik gambar bayi mereka. Walau belum menunjukkan wajah penuh si comel, tapi perkongsian tersebut mendapat tumpuan peminat.


Dedah Akim Ahmad yang kini berusia 31 tahun, “Segala pujian selayaknya untuk-Mu Ya Allah, jam 10.19 pagi 6 Ogos 2022 bersamaan 8 Muharram 1444 Hijrah. Isteriku tercinta Stacy Anam telah selamat melahirkan anak lelaki kami. Alhamdulillah.
Terima kasih wahai isteri. Terima kasih Tuhanku. Allahu Akbar.”
Sementara itu, Stacy atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam juga memanjatkan kesyukuran atas anugerah terindah itu sambil mendedahkan kepada umum nama anak mereka, Isa.




“Assalamualaikum Isa. Alhamdulillah syukur terima kasih Ya Allah. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan yang wish. Starring Mami sudah tiba dan yang paling over excited dan risau of course Beyshal.
Tapi untung sudah besar-besar anak ramailah dapat tolong-tolong Mami especially diorang punya father jugalah. Thank you Dady Akim Ahmad. Mahu minta tolong ambil pampers pun berlumba semua.”




Mac lalu, Stacy mengesahkan dia hamil anak kedua dengan usia kandungan sudah mencecah empat bulan. Penyanyi kelahiran Sabah ini juga bersyukur kerana kehamilan kedua ini dipermudah dari awal kelahiran hingga bersalin.
Stacy dan Akim mendirikan rumah tangga pada 5 Februari 2016 dan dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Eshaal. Stacy sebelum ini mempunyai seorang anak angkat perempuan iaitu Bella De Luna Valentina.
Ingatkan Ulser Mulut Biasa, Tapi Rupanya Kanser Lidah! Baca Luahan Wanita Ini Yang Amat Menyebakkan

Viral di negara jiran, kisah sedih seorang isteri yang menjaga suaminya, seorang pesakit kanser lidah hingga menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Arwah meninggal dunia tiga tahun lalu pada usia 29 tahun iaitu kira-kira seminggu selepas hari jadinya.
Menurut balunya, arwah Andre Kurnia Farid hanya mengadu mengalami ulser di dalam mulut, tapi setelah berlarutan selama tiga minggu, ujian mendapati ia kian parah dan positif kanser lidah.
Secara anatomi, lidah manusia terdiri kepada dua bahagian iaitu bahagian depan di dalam mulut dan bahagian pangkal di kerongkong leher.
Kanser lidah dapat berkembang pada kedua-dua bahagian ini tapi biasanya kanser di bahagian depan termasuk dalam kategori kanser mulut.
Alkohol dan tembakau dikenal pasti sebagai penyebab utama kanser lidah kerana kedua-duanya memiliki sifat karsinogenik atau mudah menyebarkan kanser.
Gejala
- Sakit kerongkong yang berlarutan.
- Timbul tompok-tompok putih atau merah, benjol atau ulser di dalam mulut yang sukar pulih.
- Sakit semasa menelan.
- Sering rasa kebas dalam mulut.
- Pendarahan tanpa sebab pada lidah.
- Kadang-kadang sakit telinga.
Sekiranya gejala ini berlarutan selama lebih tiga minggu, terutamanya bagi seorang perokok tegar atau selalu mengamalkan minuman keras, anda WAJIB membuat pemeriksaan segera di hospital.
Faktor
- Rokok
- Minuman keras (alkohol)
- Human papillomavirus (HPV)
- Kebersihan mulut yang rendah
Bagaimana kisah arwah Andre yang viral kerana dibunuh kanser lidah? Baca selengkapnya luahan si isteri (telah dialih bahasa) menerusi Facebook Rezy Selvia Dewi.
Selamat Jalan Suamiku
“Mii, ulser dalam mulut abbi ni buat hilang selera makan.” Sepulangnya dari kerja, suamiku menolak untuk makan walaupun terhidang lauk ayam kegemaran.
Setiap hari suami selalu mengeluh sakit ulser di atas lidahnya yang tak pernah sembuh. Sudah 2 minggu, tapi aku kurang menghiraukan keluhannya kerana fikir ia sekadar ulser biasa.
“Mii, tadi di pejabat ada medical checkup, ini hasilnya…” sambil menunjukkan selembar kertas hasil pemeriksaan. Aku ingat betul saat itu, bulan April 2016.
“Kesihatan abbi ada masalah, cuma kata doktor, abbi kurang nutrisi, abbi kurang gizi ni. Ummi sibuk sangat dengan Zuma, hehehe,” gurau suamiku saat itu.
Memang anak kami baru berusia 1 tahun, jadi sebagai ibu, akulah orang yang paling sibuk kerana anakku mulai aktif.
Aku memang terlalu sibuk, sampai tak sempat memerhatikan suami. Aku diam saja ketika dia merokok tanpa henti. Aku tak pernah marah.
Dan aku pun tak pernah tahu, apa makanan yang dimakannya di pejabat. Makanan sihatkah? Atau bukan? Itulah kesalahan terbesarku.
3 minggu kemudian, ulser di mulut suami masih lagi belum hilang. Malah katanya sampai sakit di kepala dan telinga.
“Abbi… esok periksa doktor ya, biar diberi ubat sepatutnya.” Suamiku pun mengangguk.
Keesokan harinya, pemeriksaan doktor mendapati dia hanya kurang makan sayur dan buah. Ubat yang dibekalkan pula hanya balm khas untuk disapu pada ulser.
“Kalau 2 minggu lagi belum sembuh, periksa lagi ya,” pesan doktor tersebut.
2 minggu kemudian, sakit ulser itu masih juga tak sembuh. Doktor hanya menambah antibiotik tapi sampai habis pun belum juga ada tanda-tanda sembuh.
Kali ini, dia dirujuk ke pakar bedah mulut dan pemeriksaan kali ini mendapati ia mungkin berpunca akibat masalah gigi bongsu.
“Oh, ulser di lidah ni sebab ada gigi bongsu, tapi posisinya abnormal. Mungkin itu sebabnya susah nak sembuh. Gigi ni mesti dibedah dan dibuang,” kata mereka.
Bulan Jun 2016, saat awal Ramadan, suamiku tak puasa kerana bakal menjalani pembedahan gigi. Maka dicabutlah gigi bongsu yang dikatakan. Tapi anehnya selepas seminggu berlalu, ulser masih lagi terasa dan sakit di kepala kian menjadi-jadi. Lidahnya pula tidak boleh digerakkan ke kiri.
Dari situ, dia bertemu pula pakar saraf dan seterusnya membuat fisioterapi lidah. Selepas enam kali terapi masih tiada perubahan, doktor mengesyorkan pemeriksaan MRI.
Hari Aidilfitri, suami lebih memilih tidur dan tidak mahu beraya dengan saudara mara. Sakit di kepalanya semakin kerap, jadi aku biarkan dia beristirahat saja di bilik.
“Mii, ada benjol kat lidah abbi, cuba tengok.”
Benar. Aku terlihat sebiji benjol kecil sebesar biji jagung pada lidahnya yang sakit. Kata doktor, benjolan ini mungkin seketul tumor dan sekali lagi dia perlu menjalani pembedahan membuangnya.
Tanggal 13 Ogos 2016, kami kembali menemui doktor untuk mengetahui hasil makmal terhadap benjol yang dibuang.
“Suami usianya berapa tahun?”
“28 doc.”
“Sudah ada anak?”
“Sudah, baru usia setahun doc.”
Doktor pun menghela nafas panjang. Ada perasaan tak enak saat itu.
“Hasil pemeriksaannya kurang bagus. Suami puan positif terkena kanser lidah.”
Masa itu seolah detak jantungku berhenti. “Kanser?”
Tiba-tiba mataku jadi gelap, sebuah beban serasa berat menindih badanku. Aku diam tanpa berkata apa-apa. “Kanser?” tanyaku.
Kutatap wajah suamiku, dia hanya terdiam. Pucat.
Seluruh pemeriksaan sudah kami lakukan – ujian makmal, USG, CT Scan, Bone Scan.
“Dari hasil pemeriksaan, 3/4 lidah suami puan sudah terkena kanser. Dia mesti dibedah untuk membuangnya,” kata doktor yang merawat.
Ya Allah… apa lagi ni? Dibuang lidah? Kenapa harus suamiku yang mengalaminya? Kami pun pulang dengan perasaan tak menentu, nanti kita periksa lagi ya bii, dapatkan second opinion.
Esoknya kami periksa lagi. Doktor melakukan endoskopi dari lubang hidung dan daripada kabel kecil kamera itu, terlihat jelas gambar di monitor.
“Wah, kansernya dah merebak ke kerongkong.”
Masa itu terlihat banyak benjolan merah berhampiran peti suara.
“Boleh tahu sudah stage berapa doc?”
“Stage 4 puan.”
“Terus… bagaimana?” tanyaku perlahan.
Kata doktor, suamiku perlu menjalani rawatan kemoterapi 3 kali dan radiasi selama 30 kali.
Wajah suamiku yang putih bertambah pucat. Dia hanya terdiam. Aku terbayang beratnya derita yang harus dialaminya kelak.
Awal September 2016, kami pulang ke kampung selepas suami mendapat cuti sakit sehingga sembuh.
Kami tekad mahu berikhtiar dengan cara alternatif dan herba. Masa itu suami cuma mampu menelan ubat yang direbus atau cecair.
Pada masa yang sama, aku disahkan hamil dan berita tersebut cukup menggembirakan kami berdua. Semangat suami kelihatan kembali semula.
5 bulan berubat, tapi Allah seperti belum memberi jalan kesembuhan. Kondisi suami semakin teruk. Lalu akhirnya kami tinggalkan rawatan tradisional.
Berat badan suamiku mula turun dengan drastik. Daripada 65kg kini tinggal 40kg. Dia makin tenat dan kemuncaknya setiap hari dia muntah darah. Mukanya lemas dan sangat pucat.
Selepas itu, kami kembali membuat segala rawatan moden. Kemoterapi dan radiasi, semuanya dicuba satu persatu tanpa henti. Dalam pada itu juga, aku selamat melahirkan anak kedua kami yang ditunggu-tunggu selama ini.
Tiada tanda-tanda sembuh sehinggalah menjelang hari terakhirnya di sisiku. Kuhampiri suami yang terbaring lemah. Tubuh badannya penuh dikeliling segala peralatan hospital dan wayar yang berselirat.
Waktu itu tekanan darahnya sangat tinggi, nadinya terlalu cepat hingga menunjukkan angka 200 di skrin monitor. Berkali-kali doktor menyuntik ubat anti sakit tapi suamiku masih mengeluh kesakitan.
Melihatkan keadaannya yang cukup mencemaskan, doktor menenangkanku sambil berkata suamiku sudah tak dapat ditolong lagi.
Seluruh badanku terasa gementar. “Benarkah tak ada lagi harapan,” tiba-tiba aku merasakan ketakutan yang luar biasa.
Aku berbisik ke telinganya, “Aku tak mahu kehilanganmu bii.” Kupegang erat jari-jemarinya. “Buka matamu bii,” dan aku ingat dia cuma tersenyum lemah.
Pukul 4 petang, doktor menghulurkan surat persetujuan. Di situ tertulis agar aku tidak akan mengambil apa-apa tindakan pun jika sebarang perkara berlaku pada suamiku.
“Abbi… inilah yang terbaik yang diberikan Allah buat kita. Maafkan ummi, tak bisa menjagamu selama ini. Ummi ikhlas abbi pergi. Ummi terima semua dengan ikhlas.”
Kubimbing suamiku menyebut kalimah Laaillaha illallah muhammadur Rasullullah… kuulang berkali-kali sampai tepat jam 4.40 petang, dia pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Tak ada lagi yang bergerak di sana. Kudakap kemas tubuh suamiku, kukucup bibirnya dan kuusap matanya… Inna lillaahi wainna ilaihi raajiun.
Selamat jalan suamiku. Jemput aku dan anak-anak kita di pintu syurga-Nya.
Kredit: Tribunnews
Segala-galanya Hanya Di Hujung Jari, Pizza Hut Lancar Restoran Digital Pertama Di Asia Pasifik!

Pizza Hut Malaysia (“Pizza Hut”), rangkaian piza No.1 Malaysia telah mengorak sempadan digital baru dengan memperkenalkan sebuah restoran konsep digital yang diperbaharui di Sunway Pyramid berserta aplikasi mudah alih baru. Kedua-dua inisiatif ini telah melonjakkan Pizza Hut dalam transformasi digitalnya di samping menyokong misi rangkaian berkenaan untuk menjadikan proses membeli piza “Lebih Senang” dan memberi pengalaman “Lebih Baik” kepada pelanggan.
Restoran konsep digital baru Pizza Hut memberikan pelanggan pengalaman digital yang baru dari saat mereka melangkah masuk ke restoran, membuat pesanan dan menikmati hidangan mereka sehingga saat mereka keluar. Begitu juga dengan panel pesanan dan pengurusan yang terletak di luar restoran serta robot penyambut tetamu yang direka khas untuk berfungsi secara digital. Di restoran konsep digital baru Pizza Hut juga semua pekerja dilengkapi dengan tablet untuk mengambil pesanan dengan lebih efisien dan tepat.
Lebih menarik, ia merupakan cawangan pertama Pizza Hut di Asia Pasifik yang menampilkan Kios Bawa Pulang Digital. Kios ini membolehkan pelanggan membuat pesanan dan bayar dengan lebih pantas, menjadikan proses ini lebih cekap dan mengurangkan masa menunggu.
Pelanggan juga dapat menggunakan menu “Augmented Reality” dengan keupayaan untuk berinteraksi dengan para pelanggan sambil memaparkan makanan dengan animasi-animasi yang membangkitkan selera. Pengalaman digital ini berterusan selepas pesanan dibuat dengan penyediaan permainan digital yang menarik untuk memastikan para pelanggan akan terhibur sambil menunggu piza mereka.
Kemudahan di hujung jari anda
Bagi pelanggan yang lebih suka menikmati piza yang dihantar ke rumah, Pizza Hut telah mula membuat pengalaman ini lebih baik dengan pembaharuan laman webnya pada awal Mei tahun ini. Lengkap dengan mekanisme pesanan, navigasi dan penjejakan yang lebih mudah menerusi aplikasi mudah alihnya.
Aplikasi ini akan menjadikan proses pesanan piza satu pengalaman yang lebih mudah dan bermanfaat. Ia mampu mengingati pesanan dan pilihan pelanggan yang terakhir termasuk alamat penghantaran sebelumnya, supaya pelanggan tidak perlu memasukkan data berulang kali. Dengan data GPS dan data lokasi yang terbina di dalam kebanyakan telefon mudah alih hari ini, aplikasi ini dapat mengesan lokasi pelanggan dan menjadikan proses menempah semudah satu klik sahaja. Pemantauan status penghantaran juga memudahkan pelanggan menjangka bila penghantaran pizza mereka akan tiba.
Di samping membuat proses memesan lebih mudah. Dengan setiap pesanan, pelanggan akan diberikan point piza yang boleh ditebus untuk ganjaran seperti hidangan sampingan percuma, minuman ataupun piza percuma. Sejak diperkenalkan pada awal bulan September, aplikasi mudah alih ini telah dimuat turun sebanyak 37,432 kali dengan peningkatan kadar jualan melaluinya.
Gandakan ganjaran dengan “You download, We Belanja!”
Untuk meraikan aplikasi mudah alih baru ini, Pizza Hut akan memberikan 35,000 piza percuma melalui promosi terbaru mereka, “You Download, We Belanja”. Pelanggan hanya perlu memuat turun aplikasi mudah alih Pizza Hut dan buat pesanan untuk satu piza saiz biasa dan mereka akan mendapat satu lagi piza saiz biasa secara percuma! Pizza Hut berhasrat untuk teruskan pelaburan mereka dalam teknologi digital bagi meningkatkan kualiti kepuasan pelanggan.ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Al Pacino Timang Anak Keempat Usia 83, Jarak Usianya Dengan Pasangan 54 Tahun!

Aktor Hollywood, Al Pacino kembali menunaikan tanggungjawab menyalin lampin dan menyusukan bayi sebaik sah bergelar bapa pada usia mencecah 83 tahun. Hal tersebut walaubagaimanapun membuatkan beliau teruja kerana sekali lagi berpeluang merasai nikmat itu saat menimang anak keempat, Roman Pacino pada 15 Jun.
Kelahiran bayi lelaki itu merupakan bukti cintanya dengan Noor Alfallah, 29 tahun, seorang penerbit dalam industri hiburan di sana. Meskipun jarak perbezaan usia pasangan ini mencecah 54 tahun, ia langsung tidak menjejaskan hubungan intim mereka.
Bintang Godfather itu dan Noor Alfallah dikatakan menjalin hubungan sejak pandemik COVID-19. Namun hubungan cinta mereka hanya mula diketahui umum pada April 2022.


Justeru, kehadiran si kecil itu adalah tanda kasih dan bukti wanita berkenaan yang sangat mencintai Al Pacino serta menyukai lelaki yang jauh lebih berusia daripadanya.
Spekulasi yang mendakwa Noor Alfallah mendekati Al Pacino kerana hartanya serta-merta disangkal. Menurut laporan Page Six, wanita jelita asal Kuwait itu sebenarnya anak orang berada.
Wanita jelita berkelulusan Sarjana Penerbitan Filem & TV dari UCLA tersebut kini merupakan seorang penerbit. Antara hasil kerja Noor Alfallah adalah La Petite Mort, Brosa Nostra dan terbaharu Billy Knight.
Merupakan anak sulung daripada empat beradik, Noor Alfallah merupakan kakak kepada Sophia, Remi dan Nasser. Keluarga bahagia itu membesar di Beverly Hills, California.

TERUJA
Pun begitu, Al Pacino mengakui terkejut dan tidak menyangka akan dikurniakan cahaya mata pada usia senja iaitu 83 tahun.
“Saat orang lain menimang cucu pada usia 83 tahun, saya pula dikurniakan bayi lelaki. Apa pun saya sangat gembira.” Al Pacino

Sekadar makluman, selain Roman, Pacino sebelum itu memiliki tiga anak perempuan iaitu Julie Pacino, 33, dan kembar Olivia Pacino dan Anton Pacino yang kini berusia 22 tahun.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/pelajar-phd-bakal-jadi-ibu-nazirah-nasir-teruja-timang-anak-sulung-usia-26-tahun/