Mengenali Faizul Rohban, seperti mengimbau kembali kenangan penulis saat bertemu kakaknya, Allahyarhamah Faziani Rohban. Kemesraan dan semangat pengasas kosmetik Dnars itu seakan mengalir semula, dari DNA yang sama, cuma melalui orang yang berbeza.
Tenang menyapa penulis, Faizul atau nama penuhnya Mohd Faizul Rohban Ahmad tidak kekok bercerita pengalaman hidup beliau sebelum bergelar ahli perniagaan Beauty Kaseh.
Sejak dilancarkan sekitar 2013, nama produk minuman kesihatan, Manja Kaseh dan Arjuna Kaseh mula hebat diperkatakan. Di sebalik kejayaan itu, inilah orangnya yang bertungkus-lumus memajukan bisnes yang diilhamkan oleh kakak sendiri, Hajah Faziani Rohban.
Faizul Rohban dan Norbaizura Ibrahim
Lelaki segak asal Kelantan dan berusia 38 tahun itu kini merupakan Pengarah Urusan FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.
“Betul, bisnes Beauty Kaseh ditubuhkan hasil ilham dan kerja keras kakak saya yang pada waktu itu memerlukan seorang jurucakap untuk produk yang dilancarkan.
Arwah meminta isteri saya, Norbaizura Ibrahim untuk membantunya sebagai jurucakap kemudian mempelawa saya sekali untuk menjadi jurucakap bersama. Saya ingat lagi kata-katanya masa tu…
Allahyarhamah Faziani Rohban
Arwah pernah menjadi penghias cover Majalah Nona
‘Joe, aku nak mu dengan Zura jadi jurucakap bersama. Aku yakin mu ada kelebihan untuk bercakap.’
Bermula dari situlah penglibatan saya dan isteri menjadi jurucakap sepenuh masa. Namun pada tahun 2017, kira-kira dua tahun sebelum kematian arwah, dia membuat keputusan untuk melepaskan perniagaan Beauty Kaseh dan menyerahkan syarikat ini sepenuhnya kepada saya tanpa perlu membayar apa-apa.
Hanya ambil dan uruskan saja.” Faizul Rohban
Sebagai seorang adik, pemergian kakak tersayang pastinya meninggalkan banyak kenangan. Faizul tidak terkecuali.
“Saya tak pernah rasa ralat bila orang kaitkan saya dengan perniagaan arwah. Memang betul asalnya bisnes ini adalah hak arwah, dan setiap kali orang bertanya, saya juga akan mengaitkan arwah kerana mana mungkin saya mahu melupakan orang yang membawa saya ke tahap ini.
Arwah banyak berkorban tenaga, idea, wang ringgit dan doa untuk membawa kejayaan kepada saya. Setiap kali orang tengok saya dan tanya, ‘Adakah awak adik pengasas Dnars?’ maka jawapan saya adalah ‘Ya!’
Darah dan semangat arwah sentiasa mengalir dalam badan saya.” Faizul Rohban
Penerima Nona Best Men’s Halal Beauty Award
Faizul Rohban dan isteri
Ads
Pencapaian Beauty Kaseh yang membanggakan turut mengangkat nama Faizul Rohban sebagai penerima Best Men’s Halal Beauty Award di acara Nona Superhero Award 2021.
Meskipun maju dan menerima pengiktirafan yang tinggi, namun tak sedikit pun wujud rasa riak, sebaliknya Faizul semakin berazam mahu membawa nama Beauty Kaseh ke peringkat global.
“Sebenarnya saya mula berbisnes selepas tamat SPM 2002. Masa tu saya ambil alih bisnes kedai makan arwah abah iaitu sebuah kedai menjual roti tempayan (roti nan) yang tak dikenali. Dengan jualan kedai yang bagaikan hidup segan mati tak mahu, saya ubah landskap bisnes itu ke arah yang lebih baik.
Percaya tak, saya pernah promosikan kedai saya tu dengan menyelit flyers di dalam akhbar-akhbar? Saya masih ingat saat tu, hanya ada sebuah motosikal saja. Itulah kenderaan saya untuk membawa segala bahan mentah.
Pernah saya bawa seguni gandum di atas motosikal dan tiba-tiba talinya putus lalu berteraburlah gandum di atas jalan. Tanpa rasa malu saya turun dan ambil balik gandum-gandum tu. Pernah juga guni bawang bocor, pun saya turun dan kutip bawang-bawang di atas jalan raya.
Dulu saya hanyalah seorang budak penebar roti canai. Arwah abah buat roti dan saya buat roti canai. Selepas abah meninggal dunia pada tahun 2010, tinggallah saya seorang menguruskan kedai sambil dibantu oleh adik perempuan dan adik lelaki saya yang masih bersekolah waktu tu.
Pada masa tersebut, saya tiada impian nak usahakan bisnes produk lagi, sekadar fokus mempertahankan bisnes arwah abah saja.
Sehinggalah pada tahun 2013, arwah kakak telah membawa saya ke pentas perniagaan Beauty Kaseh ini.” Faizul Rohban
Ads
ARWAH KAKAK
Tekad mahu berjaya dan mengubah nasib dirinya, Faizul kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Pengajian Perniagaan di sebuah IPT. Impiannya besar, mahu membawa jenama Beauty Kaseh ke tahap global!
“Segalanya memerlukan perancangan rapi termasuk dokumen yang lengkap. Kerana itu kami telah mula bergerak ke arah ini sejak dari tahun 2019 lagi. Selain itu, kami juga memiliki sebuah kilang kosmetik yang akan beroperasi tak lama lagi.”
Menyedari betapa kuatnya persaingan dan cabaran pandemik yang melanda dunia, Faizul bingkas memperkasakan dirinya agar lebih dinamik dan berdaya saing.
“Hari ini media sosial bergerak pantas dan wujud ramai founder yang mencari ejen untuk produk mereka. Bersandarkan kekayaan yang dimiliki, segalanya ditayang dengan alasan supaya ejen lebih terangsang.
Tapi saya yakin untuk merangsang minda manusia agar berjaya, cara sebenar ialah dengan memberi ilmu perniagaan yang betul. Bukan beri khayalan.
Di Beauty Kaseh, saya lebih suka menghasilkan produk yang berkualiti serta menjalani R&D yang mantap berbanding menghasilkan contents yang tidak bermanfaat.
Prinsip saya mudah. Biar lambat tetapi berkualiti. Sebagai ahli perniagaan, kita mesti bergerak seiring dengan realiti yang sebenar serta pengalaman yang mematangkan kita.” Faizul Rohban
Menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai idola, Faizul juga tidak menafikan bahawa banyak sifat-sifat arwah kakaknya yang dicontohi untuk berjaya.
Ads
“Arwah adalah seorang yang tidak sekali-kali akan kalah pada keadaan. Apabila dia kata ya, maka tidak ada apa yang boleh mengatakan tidak. Dia akan berusaha sungguh-sungguh untuk mencapainya.
Satu hari kami berjumpa di airport, saya bagi kad bisnes saya yang baru kepada arwah. Dengan spontan arwah jawab, ‘Satu masa nanti mu akan berjaya sebab mu kreatif. Tapi dengan syarat jangan putus asa.’
Memang arwah kakak selalu berfikir untuk memajukan bisnes saya. Dua minggu sebelum nahas yang menimpa arwah, dia telefon isteri saya untuk berpesan, jagakan kelapan-lapan anaknya dengan sebaik mungkin.
Arwah mahu saya uruskan kilang dia kerana dah penat. Jarang dalam hidup dia yang dia katakan dia penat. Waktu tu kami tak perasan ini pesanan terakhirnya…” Faizul Rohban
Kenangan paling manis buat Majalah Nona, ketika bertamu ke mahligai indah Allahyarhamah Faziani Rohban di Tumpat, Kelantan. Mesra dan amat menyenangkan, sebak pula tonton video ni…
IMPIAN
Tidak mahu terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kisah peribadi Faizul pula menjadi topik sembang kami. Agaknya bagaimanalah cara membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga di rumah?
“Sebenarnya dua perkara ini penting dalam hidup saya. Isteri dan anak-anak kerana itu saya akan pastikan setiap Jumaat kami berada di rumah bersama-sama. Kalau tidak outstation, saya sentiasa berada di rumah untuk makan, solat berjemaah dan beriadah sekeluarga.
Faizul seorang yang tekun memperbaiki diri
Selain itu, ada beberapa hari yang saya akan pastikan hadir ke majlis pengajian kitab dan tafsir Al-Quran di masjid. Itulah cara saya melepaskan stres dalam hidup saya.
Biasanya bila saya lemah dan down, saya akan pujuk diri saya bahawa ini semua adalah ujian dan cabaran yang Allah berikan agar kita lebih kuat. Tanpa ujian, manusia sering akan merasa selesa tetapi dengan ujian, kita akan rasa lebih diperhatikan.” Faizul Rohban
Sama seperti tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar yang menjadi idolanya, lelaki berkulit cerah ini berkongsi hasrat yang sama iaitu mahu membangunkan ekonomi ummah tanpa menonjolkan kekayaan.
“Satu lagi impian yang belum tercapai ialah ingin melihat produk-produk Beauty Kaseh berada di dalam rumah setiap Keluarga Malaysia seperti minuman, bedak, kosmetik dan lain-lain. Saya yakin semua ini pasti akan berhasil suatu hari nanti, insya-Allah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sabrina Chairunnisa merupakan isteri kepada YouTuber terkenal Indonesia, Deddy Corbuzier.
Wanita berketurunan Tionghoa-Indonesia yang berusia 30 tahun ini antrara influencer yang memiliki sumber pendapatan serta gaya hidup mewah di samping bisnes sendiri yang dilakukannya sebelum berkahwin lagi.
Asalnya, Sabrina Chairunnisa merupakan seorang model. Namun, kini dia lebih terkenal sebagai beauty influencer Indonesia.
Sejak bergelar isteri kepada Deddy Corbuzier, nama Sabrina Chairunnisa semakin menjadi tumpuan.
Selain cantik, Sabrina Chairunnisa turut memiliki susuk tubuh yang menawan berkat rajin melakukan aktiviti kecergasan.
Berikut adalah sumber kekayaan Sabrina Chairunnisa sebagai: –
MODEL
Modelling adalah karier awal Sabrina Chairunnisa. Dia juga pernah menjadi finalis Miss Indonesia 2011.
Walaupun kini Sabrina Chairunnisa lebih fokus sebagai influencer kecantikan dan kecergasan, bidang modelling masih menjadi salah satu sumber kekayaannya.
YOUTUBER
Sebagai influencer dalam bidang kecantikan dan kecergasan, Sabrina Chairunnisa menggunakan YouTube untuk berkongsi tip bermanfaat.
Saluran YouTube peribadinya kini diikuti oleh lebih 911 ribu subscriber. Menurut data Socialblade, pendapatan yang diperolehinya daripada YouTube boleh mencecah USD 2,100 sebulan.
ENDORSEMENT
Dengan populariti sebagai influencer, Sabrina Chairunnisa menerima banyak tawaran untuk beberapa produk.
Kebiasaannya, dia membuat promosi melalui akaun Instagram peribadinya yang memiliki lebih sejuta pengikut. Sama seperti kebanyakan artis lain, endorsement adalah sumber kekayaan yang besar buat Sabrina Chairunnisa.
DUTA JENAMA
Sabrina Chairunnisa turut bergelar duta jenama. Dengan imejnya yang kuat dalam bidang kecergasan, Sabrina dipilih mewakili jenama pakaian sukan Under Armour.
Pendapatan Sabrina Chairunnisa sebagai duta jenama juga menyumbang kepada tabung kewangannya.
ADA BISNES KECANTIKAN
Sabrina Chairunnisa turut memulakan empayar bisnesnya dengan membuka salun dikenali sebagai Adelinee.
Selain menawarkan perkhidmatan kecantikan, salun ini turut memfokuskan kepada penjagaan kuku, bulu mata dan kening. Ia diasaskan pada tahun 2020 dan terletak di Graha Bintara, Wolter Monginsidi, Jakarta Selatan.
HOBI MEWAH
Satu lagi perkara yang menarik tentang Sabrina Chairunnisa ialah hobinya yang suka mengumpul beg dan jam tangan mewah.
Dengan hobi ini, status kewangan Sabrina tidak perlu diragui lagi.
Kredit Foto: Instagram Sabrina Chairunnisa
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pempengaruh, usahawan digital serta jurulatih kecergasan dan pakar pemakanan terkenal, Kevin Zahri hari ini memuat naik satu hantaran di akaun Instagram miliknya sempena anniversary yang ke-13 tahun.
Titipan ucapan itu ditujukan khas buat isterinya yang tersayang, Rio Elani.
Sweet sangat ucapan yang diberikan namun punya maksud yang cukup istimewa dan mendalam.
13 tahun bukan tempoh yang singkat dalam sesebuah perkahwinan. Tentunya banyak onak duri, asam garam rumahtangga yang harus dilalui bersama.
Tulis Kevin di ruangan kapsyen: –
“Tiga belas tahun telah berlalu, sejak kita berkata “Aku terima nikahnya” dan menjadi satu. Kita kembangkan hidup bersama-sama, ketawa, dan menangis. Melalui semua itu, hubungan kita semakin kuat.”
Kevin yang kini berusia 44 tahun turut menyatakan, isterinya bukan sekadar pasangan hidup bahkan ‘sahabat’ yang sentiasa ada di sisi sejak dulu hingga kini.
“Sentiasa ada sejak awal hingga akhir. Walaupun masa telah berlalu cinta saya pada kamu semakin kuat.”
Selama 13 tahun melayari bahtera rumahtangga, Kevin dan Rio dikurniakan dua cahaya mata yang comel dan bijak iaitu Rafa dan Mika.
Kedua-duanya adalah harta paling berharga buat mereka.
Kevin turut menghargai pengorbanan isterinya yang dianggap sebagai ‘jantung’ keluarga.
“Keluarga adalah harta. Rafa dan Mika harta terbesar kita. Namun kamu juga adalah ‘jantung’ di rumah yang mengikat kita semua.
“Sempena hari istimewa ini, terima kasih kerana menjadi isteri saya dalam segala hal. Saya menyayangi kamu lebih daripada apa yang diungkapkan. Selamanya dan sentiasa, Bee sayangku, kamu yang terbaik.”
Semoga Kevin dan isteri kekal bahagia sampai syurga.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata para pengikutnya menitipkan ucapan tahniah serta doa. Isteri dan anak Kevin iaitu Rio turut meninggalkan komen.
Untuk info, Kevin Zahri dan isteri berkahwin pada tahun 2010. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Rafa dan Mika.
Kevin yang turut dikenali dengan panggilan Cikgu Fitness Malaysia berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri.
Kevin bersama Allahyarham Abam Bocey.
Pengasas program ‘Bukan Soal Kurus’ dan ‘1000 Liga – Jom Aktif’ ini telah membantu beribu-ribu individu mencapai matlamat penurunan berat badan dan kecergasan menerusi program dan platform dalam talian.
Kredit Foto: Instagram Kevin Zahri
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Buat penggemar kopi, pasti sangat familiar dengan tagline Kopi Kapal Api – Betul-Betul Kaw. Berasal dari Indonesia, jenama kopi legenda ini kembali diperkatakan apabila ia tiba-tiba dikhabarkan berdepan masalah kewangan yang serius.
Diasaskan oleh Go Soe Loet, bisnes Kopi Kapal Api dimajukan oleh Soedomo Mergonoto, anak lelaki Go kelahiran Surabaya.
Beliau merupakan CEO PT Kapal Api Global yang memulakan bisnes Kopi Kapal Api dari rumah ibu bapanya, yang terlebih dahulu mengusahakan bisnes kopi sejak tahun 1927.
Nama Kapal Api diambil daripada kenangan bapa Soedomo iaitu Go Soe Loet yang menaiki pengangkutan tersebut dari negara asalnya di Fujian, China ke Indonesia.
Pada saat itu, Go Soe Loet bersama dua saudaranya iaitu Go Bie Tjong dan Go Soe Bie menaiki kapal api belayar ke Surabaya pada tahun 20-an, seterusnya menjual serbuk kopi dari rumah ke rumah.
Melihat ayahnya yang bekerja keras mencari rezeki, Soedomo turut sama membantu mengayuh basikal ke Pelabuhan Tanjung Perak, Surabaya untuk menjual kopi.
Beliau pun belajar berniaga sedikit demi sedikit dari pengalaman membantu ayahnya itu sehinggalah timbul keberanian mengiklankan kopi jualannya pada tahun 1978.
Soedomo Mergonoto
Seiring berjalannya waktu, pengasas Kopi Kapal Api mengambil keputusan mengiklankan produknya di televisyen. Dengan penampilan seorang pelawak, kopi tersebut mula meraih perhatian dan dikenali secara meluas sehingga ia dieksport ke Malaysia, Arab Saudi, Hong Kong dan Taiwan.
Bermula tahun 2009, jenama ini terus melebarkan sayap ke tahap global khususnya Asia Tenggara. Dengan aroma kopi yang harum dan rasanya yang mantap, penggemar kopi begitu terpikat dengan Kopi Kapal Api yang kaya dengan sejarah tersendiri.
Kini perusahaan Kopi Kapal Api dimajukan oleh anak Soedomo iaitu Christeven Mergonoto yang mempunyai kelulusan tinggi dari Amerika Syarikat. Christeven merupakan anak sulung Soedomo daripada empat adik-beradik.
Meskipun keluarga usahawan kopi legenda Indonesia ini sedang terpalit kontroversi hebat, namun jenama Kopi Kapal Api tetap menjadi pilihan ramai dan segar dalam fikiran. Yang penting, kekayaan yang dikumpul oleh keluarga kopi ini sudah mampu diwariskan pada generasi mereka!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pelakon dan pengacara, Dynas Mokhtar baru-baru berkongsi detik manis penuh bermakna apabila anak sulungnya berjaya meraih anugerah kecemerlangan di sekolah.Ibu mana yang tidak gembira...