Berkongsi kebahagiaan di media sosial… Oh, apa salahnya? Sekadar memuat naik momen romantis, foto makan malam atau detik bulan madu bertemankan rembulan. Disulam pula dengan ucapan rindu atau diari duka jika sehari berjauhan dengan si dia… Uppps, apakah niat anda yang sebenar?
Pesan Nora Ariffin bila kita menyentuh trend bercinta pasangan zaman ini, saya fikir bukan tak boleh mencanangkan kisah bahagia kita di Facebook atau Instagram, cuma harus berpada dan ia ada hadnya. Konteks kasih sayang itu amat luas. Tapi sebagaimana Allah SWT memberikan rasa itu dan meniupkan roh cinta ke jiwa-jiwa manusia, maka selayaknya Dialah yang patut kita cintai dahulu.
Ingat satu perkara, walau seluas mana pun cinta kita pada manusia lain, tidak mustahil kita akan dikecewakan. Tetapi cinta pada Allah sesungguhnya dan sepenuh perasaan, yakinlah, Dia tidak akan pernah mengecewakan.
Apabila cinta sudah terwujud di jiwa, janganlah ia disia-siakan. Masyarakat hari ini sudah semakin lupa akan nilai kasih sayang, malah merasakan ia sangat senang dibeli dengan duit. Kita memanjakan cinta dengan wang ringgit, kita beli kasih sayang seperti membeli barang di shopping complex.
Ads
Duit tak bawa ke mana, tapi hanya cinta yang menjamin hubungan berkekalan sampai bila-bila pun, selagi kita sayang-menyayangi kerana cinta yang Allah beri.
Sebagai pengguna media sosial, tak dinafikan kita terdorong membuka kisah peribadi untuk tatapan umum. Niat berkongsi foto-foto dengan pasangan, bagi saya tak salah asalkan kita ikhlas mahu mengajak orang lain agar sentiasa menyuburkan kasih sayang.
Ads
Tapi bagaimana kesnya dengan pasangan yang masih belum ada ikatan halal? Bukankah tidak manis dipandang? Jika sedang dalam fasa in relationship sekali pun, cukuplah ia menjadi kenangan anda berdua tapi ini siap bergambar dan muat naik di akaun Facebook pula. Bimbang bertukar promosi dosa.
Tentang foto-foto yang tak manis dipandang, trend pasangan bercuti di atas kapal pelayaran, pulau atau tepian pantai. Niat kita mungkin bersih sekadar ingin berkongsi keseronokan dengan sahabat Facebook, tapi tanpa sedar foto intim, berbikini atau berbaju seksi pula dimuat naik. Lain yang ingin ditunjukkan, lain pula yang menjadi perhatian. Sebab itu ada kebahagiaan yang lebih baik disimpan saja sebagai kenangan peribadi.
Ads
Hari ini beban hidup yang meningkat membuatkan kita terpaksa bekerja keras untuk membayar nilai keselesaan. Pun begitu, janganlah sehingga mempertaruhkan kasih sayang. Kembali kepada adat lama mencari pasangan, dahulukan calon yang baik pekerti dan mulia akhlaknya. Janganlah memandang pada yang berharta saja. Kalau nak kahwin mesti nak tengok si dia tinggal di mana, pandu kereta apa. Salah. Itu bukan ukurannya.
Bagi yang berkeluarga, guna kemudahan teknologi untuk merapatkan hubungan keluarga. Contohnya melalui Whatsapp Group kita boleh berhubung melalui grup dan di sinilah kita boleh berkongsi gambar, mengirim mesej secara Voice Note atau menyanyi bersama. Bergaduh manja pun ada juga! Guna cara ini untuk rapatkan hubungan dengan anak-anak dan alhamdulilah, kita boleh kecapi bahagia dan saling mengambil berat.
Foto: Instagram @itsnoraariffin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Usahawan, Anja Juliah Abu Bakar, menerima anugerah Commonwealth Points of Light sebagai pengiktirafan terhadap kerja sukarela dan khidmatnya yang luar biasa kepada masyarakat. Beliau menerima sijil yang ditandatangani mendiang Ratu Elizabeth II sebagai Ketua Komanwel sebelum pemergiannya, sekali gus menjadikan anugerah itu lebih istimewa kepada usahawan sosial itu atas khidmatnya dalam mendidik remaja perempuan di luar bandar mengenai kesihatan haid.
“Anugerah ini satu kejutan buat saya. Tepat 10 tahun yang lalu, saya mula mengajar kanak-kanak perempuan di luar bandar tentang haid dan menaja tuala wanita yang boleh dibasuh kepada mereka.
“Remaja perempuan terlepas lima hingga tujuh hari persekolahan dalam sebulan dan 60 hari persekolahan dalam setahun. Dan ini kerana mereka dari keluarga miskin tegar dan tuala wanita adalah sesuatu yang mewah bagi mereka.
“Kerana itu, mereka mengambil keputusan untuk tidak pergi ke sekolah pada hari berkenaan dan ini adalah satu pembaziran, banyak waktu persekolahan dibazirkan dan niat kami adalah untuk memastikan mereka pergi ke sekolah, mengurangkan ketidakhadiran kerana tidak mempunyai produk kebersihan.
“Pada tahun 2017, kami mula memantau rapat anak-anak gadis yang bekerja dengan kami, terutamanya daripada masyarakat Orang Asli dan kami gembira kerana 99 peratus daripada mereka kekal di sekolah sehingga tingkatan lima,” katanya pada sidang media selepas menerima anugerah itu daripada Pesuruhjaya Tinggi Britain Charles Hay di kediamannya, pada Khamis.
Beliau berkata usahanya menyediakan tuala wanita yang boleh diguna semula, membolehkan remaja-remaja ini meneruskan pengajian mereka dengan selesa selain mengurangkan jumlah tuala wanita yang dibuang ke tapak pelupusan sampah.
Sementara itu, Hay memuji usaha Anja Julian dan menyifatkan ia berjaya membantu dalam memastikan kanak-kanak perempuan di luar bandar kekal di sekolah dan mendapat pendidikan yang diperlukan.
Anugerah Commonwealth Points of Light telah dilancarkan di United Kingdom pada 2018 semasa UK mempengerusikan Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).
Sebelum Anja Juliah, empat lagi rakyat Malaysia telah menerima anugerah Commonwealth Points of Light sejak 2018, termasuk Kuan Chee Heng, yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.
Sumber: ASTRO AWANI
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejujurnya, penulis begitu kagum dengan Dr Kathreena Kadir atau mesra digelar sebagai Dr Kath ini. Dalam usia 39 tahun Dr Kath punya kehidupan sempurna seperti didambakan setiap wanita iaitu kerjaya hebat dan keluarga bahagia.
Perkongsiannya ini juga sarat dengan informasi untuk kita hadamkan terutama tentang jerit perih sebenar yang terpaksa dilalui para petugas barisan hadapan melawan wabak COVID-19.
Dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah doktor cantik ini merupakan ibu kepada dua anak berusia antara 8 dan 3 tahun. Dr Kath merupakan pensyarah kanan di Jabatan Sains Klinikal Mulut & Maksilofasial, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya. Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), beliau merupakan pakar perunding bagi pesakit yang mengalami kanser mulut. Menariknya, Dr Kath adalah anak jati Sabah pertama memiliki kepakaran dalam bidang diceburinya.
MERASAI TEMPOH PKP DI SHANGHAI, CHINA
“Saya sebenarnya terpaksa melalui tempoh PKP sebanyak dua kali. Saya terlebih dulu merasai bahang COVID-19 di negara asal wabak ini bermula iaitu China. Ketika itu saya baru saja tamat latihan sub kepakaran di Shanghai pada akhir Januari 2020. Pada masa sama, China mengumumkan penularan wabak COVID-19 (waktu itu masih dikenali sebagai nCov-2019).
Wuhan ketika itu telah pun melalui fasa lockdown. Shanghai pula diarahkan menjalani tempoh PKP. Hospital tempat saya menjalani latihan sub kepakaran itu juga diwartakan sebagai pusat saringan untuk kes COVID-19. Seluruh ahli keluarga dan rakan sekerja di Malaysia sangat risau dengan keselamatan saya yang berseorangan di sana ketika itu.
Mereka risaukan kesihatan saya, bimbang kemungkinan besar saya tidak dapat kembali ke Malaysia jika Shanghai diperintahkan lockdown. Syukur, saya cuma sempat melalui fasa PKP di Shanghai selama hampir dua minggu sebelum kembali ke Malaysia. Sebaik tiba di Malaysia, saya terlebih dulu mengasingkan diri daripada keluarga selama dua minggu sebagai langkah keselamatan.
PERANAN SEBAGAI FRONTLINER
Apabila wabak ini tular di Malaysia dan diarahkan menjalani tempoh PKP, saya berserta unit di jabatan menggunakan pengalaman pernah melalui tempoh PKP di Shanghai sebagai panduan dalam menguruskan pesakit di Malaysia. Ini adalah detik yang belum pernah berlaku di Malaysia, dalam keadaan kita semua tidak bersedia. Namun, sebagai pakar perubatan kami sedaya upaya melakukan yang terbaik.
Sehari hanya 20 orang saja dibenarkan bertugas di unit kami sebagai frontliners yang terdiri daripada barisan pensyarah dan konsultan, doktor pelatih pembedahan sarjana, doktor pergigian, jururawat, pembantu pembedahan pergigian, dan pembantu perawatan kesihatan.
Sejak PKP, kami menguruskan pesakit yang mengalami masalah kecemasan di muka dan mulut secara rotasi di klinik dan hospital. Ini memastikan semua protokol perlindungan diri ketika mengendalikan pesakit dapat dijalankan dengan betul, berkesan dan mematuhi arahan PKP. Sekaligus mengelakkan jangkitan silang dan penularan wabak di kalangan staf bertugas.
Penyakit COVID-19 sangat mudah berjangkit terutama melalui sentuhan langsung ke bahagian mulut, hidung dan mata, serta aerosol. Golongan doktor pergigian mencatatkan peratusan risiko tertinggi untuk dijangkiti! Kami merupakan golongan health care workers yang paling berisiko tinggi kerana bekerja secara langsung di mulut dan muka pesakit dalam jarak yang sangat dekat.
Pesakit yang berkemungkinan positif COVID-19 tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala masih boleh menjangkiti orang lain. Maka, kami lebih extra cautious. Setiap pesakit disaring terlebih dulu iaitu dicatatkan suhu badan dan sejarah perjalanan.
Ancaman ini menjadi lebih teruk apabila ada segelintir pesakit yang tidak mahu berterus terang tentang sejarah perjalanan mereka. Every patient is a suspect, even though without travelling history or not showing any sign and symptoms. Everyone that walks through the door is considered as high risk.
Beberapa minggu sebelum PKP, pihak hospital terpaksa menangguhkan semua kes elektif di bawah bius setempat dan bius am termasuk menghadkan kepada jenis-jenis rawatan berunsur kecemasan sahaja. Pada ketika itu juga, doktor perawat masih belum bersedia penuh dengan perlindungan yang cukup bagi mengurangkan risiko dijangkiti.
Kami terpaksa menjalani latihan pemakain dan penanggalan “donning and doffing”of personal protective equipment (PPE) dan memastikan bekalan PPE sentiasa mencukupi. PPE adalah pakai buang dan tidak boleh diulang untuk pesakit lain. Disebabkan PPUM diwartakan sebagai salah satu hospital yang bertanggungjawab merawat pesakit positif COVID-19 dan PUI (patient under investigation) pihak hopsital mengutamakan pesakit-pesakit ini.
Sejujurnya, the world of Dentistry will never be the same again after COVID-19. Walaupun setelah PKP tamat, pandemik ini masih memerlukan masa yang lama untuk pulih. Setiap pesakit yang datang untuk terima rawatan masih dalam kategori disyaki. We need to protect ourselves termasuk memastikan keselamatan pelajar pergigian dan doktor pelatih pakar pergigian dapat menjalani pembelajaran dan latihan dengan selamat.
NASIHAT
Buat mereka yang pasangannya doktor, lebih-lebih lagi jika isteri seorang doktor bersedialah untuk memahami selok belok kerjaya beliau. Termasuk ‘berkongsi’ masa isteri bersama para pesakitnya. Bantu isteri untuk menjadikannya seorang ibu dan isteri terbaik buat keluarga seterusnya menjadi doktor berdedikasi di hospital. Pengorbanan isteri adalah atas dasar kepentingan tugas yang menjadi fadhu kifayah.
Pesanan buat rakyat Malaysia, walaupun dengan hanya duduk di rumah anda sebenarnya memainkan peranan sangat besar dalam membantu para petugas barisan hadapan yang setiap saat bertarung nyawa menguruskan pesakit-pesakit COVID-19.
Hentikan sikap tidak endah atau ‘Tidak apa, sebab bukan aku yang kena.’ Hargai usaha kerajaan dan patuh setiap arahan. Buat rakan-rakan seperjuangan, usah gentar. Have faith that it is His decision to choose heroes amongst us. Today we learn that not all heroes wear capes, yet the best heroes’ wears mask and face shields. Berjuanglah di medan perang ini bersama-sama, semoga kita tidak jatuh! Semoga Allah SWT sentiasa melindungi dan memberkati setiap amalan baik kita.
KERJAYA DISOKONG SUAMI
Saya bertuah kerana memiliki suami yang merestui dan mendorong saya untuk berjaya dalam bidang ini. Suami rela melepaskan saya pergi menjalani latihan sub kepakaran di Shanghai, China selama 12 bulan.
Saya memilih bidang ini kerana pada mulanya mempunyai pandangan bahawa doktor pergigian sesuai bagi wanita yang inginkan balance antara keluarga dan kerjaya. Bekerja di klinik dan mempunyai 9-5 working shift. Namun, minat mendalam terhadap bidang pembedahan mengubah haluan saya kepada “hospital based” dentistry yang serupa seperti doktor perubatan dan pembedahan yang beroperasi di hospital.“
Dr Kath memulakan kerjaya pada tahun 2005 setelah tamat Ijazah dasar Bachelor of Dental Surgery (BDS), Fakulti Pergigian, UM. Kemudian berkhidmat di Sabah selama empat tahun sebelum kembali ke UM bagi melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Klinikal Pergigian (Master of Clinical Dentistry) dengan kepakaran dalam Pembedahan Mulut & Maksilofasial (Oral & Maxillofacial Surgery). Setalah tamat pengajian beliau diserap masuk ke Fakulti Pergigian UM sebagai ahli akademik (pensyarah pargigian) dari tahun 2013 sehingga kini.
Kredit Foto: Koleksi Peribadi Dr Kathreena Kadir
#syukurbersama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berseri-serinya! Pelakon terkenal Sharifah Amani Syed Zainal Rashid menamatkan zaman bujangnya di usia 36 tahun. Aktres terkenal filem ‘Sepet’ itu disatukan dengan pasangannya dalam majlis tertutup di sebuah premis acara sekitar pukul 10.15 pagi tadi.
Dengan sekali lafaz, anak kepada pelakon dan guru lakon, Fatimah Abu Bakar ini sah bergelar suri di hati Ahmed Faris Amir yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Impact Integrated.
Pasangan ini dinikahkan oleh Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara merangkap Penolong Pendaftar Nikah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee berwalikan bapa Sharifah Amani iaitu Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin.
Majlis dihadiri oleh 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan teman rapat. Pasagan pengantin tampil berseri dalam persalinan nikah rona putih. Terserlah keanggunan Sharifah Amani dalam persalinan serba putih rekaan Tangsi Tujuh yang ditatarias sendiri oleh adik bongsunya, Sharifah Aryana.
Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh. Pun begitu, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga kedua belah pihak.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, juga rakan artis antaranya Vanidah Imran, Sherry Alhadad, Nadiya Nisaa’, Nadia Aqilah, Sangeeta Krishnasamy, Bront Palarae, Megat.
Memetik kenyataan pelakon filem Sepet ini di portal Berita Harian, dia bersyukur kerana perancangan hari bahagianya itu berjalan lancar.
“Alhamdulillah, di sebalik ujian pandemik COVID-19 melanda dunia sejak dua tahun lalu impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan.
“Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami sebagai pasangan suami isteri yang sah.
“Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami, Insha-Allah,” luahnya.
DETIK PERKENALAN Pasangan ini mula bertemu tiga tahun lalu ketika Sharifah Amani memikul tugas sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah organisasi diketuai Ahmed Faris Amir. Namun, ketika itu mereka bekerja atas dasar profesinal, belum ada bibit-bibit cinta.
“Cinta bertandang tanpa diduga hingga akhirnya kami diizinkan bertemu jodoh,” kongsi Shariah Amani.
KEISTIMEWAAN SUAMI “Kebijaksanaan suami telah menawan hati saya. Selain itu, suami tangkas dalam setiap gerak geri. Dia pandai dan bijak ambil hati saya. Sering buat saya tergelak dan mudah terhibur. Apa yang buat kami serasi, dia adalah antara kawan lepak yang ‘sempoi’ dan terbaik,” katanya.
Manakala suaminya cukup menyenangi sikap isterinya itu yang disifatkan sebagai baik hati, pemurah dan penyayang.
Berkongsi tentang bulan madu pula, pasangan ini belum merancang sementara berkenaan zuriat, mereka tidak menolak rezeki.
Selepas ini mereka sibuk dengan urusan berpindah rumah serta komitmen kerja. Kemungkinan mereka akan membuat perancangan spontan untuk menghabiskan masa berdua pada hujung tahun ini.
Sharifah Amani dan Ahmed Faris Amir bakal diraikan mala mini dalam satu majlis resepsi di lokasi sama.
Untuk info, pasangan ini bertunang pada Jun 2022. Menerusi hantaran di akaun Instagram Sharifah Amani telah memaparkan satu foto cincin di jari manisnya bersama kelibat jejaka dipercayai Ahmed Faris Amir.
Semoga kekal bahagia sampai syurga buat Sharifah Amani dan suami. Selamat Pengantin Baru!
Kredit Foto: Instagram Sharifah Amani & Ahmed Faris Amir
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada Allah jua kita kembali. Baru beberapa hari menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihanraya Negeri Sabah ke-17, Datuk Seri Bung Moktar Radin kembali ke rahmatullah pada 5 Disember 2025.