Identiti YAM TENGKU ZATASHAH, Tak Lekang Dengan Gaya KEBAYA Tradisi!

13384

Cantik sungguh Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarung busana tradisi, kebaya. Bagi mereka yang sering mengikuti perkembangan Tengku Zatashah pasti menyedari Puteri Diraja Selangor ini seorang wanita berjiwa klasik dan gemar mengenakan persalinan tradisional kebaya tidak kiralah ketika menghadiri majlis rasmi mahupun tatkala menyambut musim perayaan.

Pendek kata, ke mana saja pergi… inilah gaya pilihan Tengku Zatashah. Sampaikan waktu membeli juadah berbuka di bazar Ramadan bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah pun tetap selesa memakai baju kebaya.

Ketika berkunjung ke bazar Ramadan

 

 

 

Jika diamati koleksi baju kebaya Tengku Zatashah memang bermacam-macam rekaan dan warna ada dalam simpanannya. Tidak mahu terikat dengan style dahulu semata-mata… Tengku Zatashah bijak mempelbagaikan gaya agar sentiasa tampil segar. Ada masanya juga, Penaung Make-A-Wish Malaysia ini mengenakan padanan seluar panjang sesuai dengan cita rasa moden.

Tak kisahlah hendak bergaya dengan kain kebaya atau seluar, asalkan pakaian tradisi masyarakat Melayu tetap diangkat dan dihargai generasi muda hari ini.

Selain sarat dengan budaya ketimuran dalam pemakaian, Tengku Zatashah juga cukup klasik dan elegan orangnya. Masakan tidak, ketika mengunjungi bazar Ramadan lalu… Presiden AllianceFrancaise Kuala Lumpur ini tanpa segan-silu membawa mangkuk tingkat atau tiffin ke sana. Memang jarang-jarang dibuat oleh seorang puteri diraja ni!

Di samping aktif dengan kempen Say No 2 Plastic, penglibatan Tengku Zatashah dalam badan kebajikan bukan lagi rahsia. Ada sahaja peluang untuk membantu golongan kanak-kanak, kurang berkemampuan dan warga emas… pasti kelibatnya muncul dalam aktiviti kemasyarakatan sedemikian. Termasuklah pelindungan bagi hidupan liar dan laut yang kini diancam kematian akibat pencemaran.

Tengku Zatashah sebelum ini pernah terlibat dan masih aktif menyertai kempen Zero Food Wastage, Women Empowerment, No Bully, dan Save Wild Life. Moga usaha murni Tengku Zatashah dalam mempromosikan budaya Malaysia dan melindungi kebajikan semua pihak termasuk haiwan mencetus inspirasi kepada wanita lain untuk mengikut jejak langkah beliau.

 

 

Kredit foto: Instagram Tengku Zatashah