
Impian MimiFly sejak usia 20-an kini jadi kenyataan apabila wajahnya terpampang di billboard Times Square, New York. Ini sekaligus menempatkan dirinya sebaris dengan penyanyi wanita hebat dari Malaysia yang menakluk perhatian pencinta muzik global.
Terkini, nama MimiFly menyusul barisan artis Malaysia yang pernah menghiasi billboard Times Square melalui kempen Spotify. Antara artis-artis tempatan yang pernah meraih pencapaian serupa ialah Yuna, Dolla, Iman Troye, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Aina Abdul, Ernie Zakri dan Misha Omar.
Dilahirkan sebagai Shamimi Amalina Norhisham pada 15 Disember 1986 di Petaling Jaya, MimiFly kini menginjak usia 39 tahun. Usia yang mencerminkan kematangan, ketenangan dan kejelasan tentang siapa dirinya. Dalam industri hiburan yang sering memuja sensasi dan perubahan pantas, Mimi memilih jalan berbeza, membina karier secara berlapis dan berakar pada nilai diri.


“Yang kelakarnya Mimi pernah berangan in my 20s. I saw myself on a billboard besar tepi jalan…. Mana nak tau billboard tu Kat Times Square, New York. Mama tersangatlah bangga. My close friends pun tersangatlah happy. Me? I feel… unstoppable.
Thank you Spotify for this recognition. Sharing this space with so many powerful female voices in the world is something I don’t take lightly. This belongs to everyone who pressed play,” ucapnya penuh syukur.
Langkah Solo Yang Membentuk Identiti
Keputusan bergerak solo pada tahun 2015 menjadi titik perubahan besar. MimiFly mula mempersembahkan karya yang lebih peribadi, berani dan jujur. Setiap lagu hadir sebagai refleksi emosi, keresahan dan pertumbuhan seorang wanita yang sedang membesar bersama pengalaman hidup.
Dia tidak takut berubah. Malah, perubahan itulah identitinya. Di sinilah MimiFly membina ruang sendiri tanpa perlu menyesuaikan diri dengan kehendak industri semata-mata.
Personaliti MimiFly adalah gabungan ketegasan dan kepekaan. Dia reflektif, berani bertanya dan mencabar dirinya sendiri. Dalam dunia seni, Mimi tidak mengejar kesempurnaan tetapi kejujuran. Itulah yang menjadikan karya-karyanya terasa dekat dan relevan.

Lagu seperti Angkat dan Serumpun memperlihatkan kematangan muzik serta keberanian mengangkat naratif wanita dan budaya Nusantara dalam pendekatan moden dan berkelas. Pengiktirafan di Anugerah Industri Muzik membuktikan bahawa konsistensi akhirnya menemukan jalannya.
MimiFly di Times Square
Momen paling menggetarkan emosi ramai hadir apabila MimiFly dipilih sebagai wajah kempen Spotify EQUAL, sekali gus membawa namanya ke billboard ikonik dunia. Kemunculan MimiFly Times Square bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi simbol pengiktirafan global terhadap suara wanita Asia Tenggara.
Dari Kuala Lumpur ke New York, MimiFly membawa kisah wanita Malaysia yang berani bermimpi tanpa mengecilkan diri.
Bagi Mimi, kejayaan ini bukan tentang populariti semata-mata. Ia tentang representasi, membuka pintu dan mencipta ruang. Setiap langkahnya membawa makna yang lebih besar daripada dirinya sendiri.
View this post on Instagram
Perjalanannya bermula bersama One Nation Emcees pada tahun 2008, sebuah kumpulan hip hop yang mencabar dominasi lelaki dalam genre tersebut.
Mimi bukan sekadar pelengkap, tetapi suara yang lantang, berani dan intelektual. Sejak awal, dia berdiri sebagai wanita yang tahu nilai dirinya.
Inspirasi Wanita Moden Malaysia
Hari ini, MimiFly bukan sekadar seorang penyanyi atau ikon fesyen pentas. Dia adalah refleksi wanita moden yang berani memilih jalannya sendiri, berani berubah tanpa kehilangan jati diri, dan berani percaya bahawa impian tidak mengenal usia.
Billboard itu mungkin akan berganti wajah. Namun kisah MimiFly Times Square akan kekal sebagai bukti bahawa apabila seorang wanita setia pada impiannya, dunia akhirnya akan berpaling dan melihat.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/dibesarkan-ibu-tunggal-oku-mimi-fly-kenang-pengorbanan-ratu-hati-mimi-sangat-sayangkan-mama/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





