Tabiat makan lewat malam seolah-olah menjadi kebiasaan masyarakat kita pada masa kini. Ramai yang mengetahui bahawa makan pada lewat malam boleh menyebabkan risiko kegemukan, tetapi ternyata itu bukan suatu halangan. Pendapat mereka, sekali sekala apa salahnya dan kita tidak akan menjadi gemuk dengan sekali makan. Realitinya memang benar kita tidak akan gemuk semalaman, tetapi jika keinginan makan pada waktu ini tidak dibendung, seperti yang berlaku di situasi anda, ia pasti menjadi ‘budaya’ yang sukar ditinggalkan untuk masa akan datang.

IKLAN

Kesannya bukan sahaja pada peningkatan berat badan, malah ia boleh mendorong pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dalam darah dan penyakit jantung. Malah, anda juga akan kehilangan bentuk badan tanpa disedari kerana penambahan berat badan berlaku secara senyap dan untuk menurunkan berat badan pula bukannya mudah, khususnya bagi individu yang berusia 30 tahun ke atas.

Bagi golongan lelaki, pengumpulan lemak di bahagian pinggang boleh meningkatkan risiko untuk mendapat pelbagai masalah kesihatan kerana di sinilah terletaknya pelbagai jenis organ penting. Kehadiran lemak visceral akan menjejaskan kebolehan organ-organ ini untuk berfungsi dengan sempurna.

KEBURUKAN

Apabila kita makan, badan akan menghasilkan insulin untuk membawa gula ke dalam darah supaya ia boleh digunakan sebagai tenaga. Bagaimanapun, sensitiviti insulin ini berkurang ketika kita tidur. Jadi sekiranya anda makan beberapa minit sebelum tidur, tenaga yang diperoleh daripadanya kurang digunakan dan sukar dibakar. Sumber tenaga yang berlebihan ini disimpan sebagai lemak. Jika tabiat ini berterusan, lama-kelamaan simpanan lemak bertambah dan berat badan akan meningkat.

IKLAN

Berikut antara saranan saya bagi mengatasi masalah anda:

IKLAN
  • Makan malam awal. Walaupun anda sibuk atau masih di tempat kerja, luangkan masa untuk makan malam tepat pada waktunya. Cuba peruntukkan masa yang cukup antara tiga hingga empat jam untuk menggunakan tenaga dari makanan tersebut sebelum tidur.
  • Jika teringin untuk makan pada tengah malam, cuba minum dua cawan air atau segelas minuman panas rendah kalori seperti teh herba tanpa gula atau susu suam yang boleh mengurangkan keinginan makan.
  • Bagi individu yang sedang menjaga berat badan, dinasihatkan agar mengikut jadual makan, tetapi pada kuantiti yang kecil. Ingatkan diri bahawa lapar pada tengah malam adalah normal dan keinginan ini tidak perlu dipuaskan.
  • Jangan simpan makanan ringan di rumah, terutama yang boleh dinikmati sambil menonton televisyen. Malah, jangan bazirkan masa terlalu lama di depan tv kerana iklan yang disiarkan mampu merangsang keinginan untuk makan.
  • Langkah yang paling mudah ialah memberus gigi sejurus selepas makan malam.
  • Senaraikan makanan yang diambil sepanjang hari. Cara ini membolehkan anda melihat kuantiti kalori secara kasar dalam sehari dan bandingkan pula dengan aktiviti fizikal.

 

PANDUAN MAKAN MALAM SIHAT

  1. Utamakan makanan yang seimbang pada setiap waktu makan termasuk makan malam. Pastikan hidangan anda mengandungi bijirin seperti nasi atau roti, ikan, ayam atau kekacang serta sayur-sayuran mengikut saranan Piramid Makanan Malaysia.
  2. Hadkan pengambilan makanan yang bergoreng, berlemak dan berminyak pada setiap masa.
  3. Ketahuilah saiz hidangan makanan anda. Makan malam sepatutnya membekalkan anda 400-500 kalori.
  4. Waktu makan malam yang ideal adalah di antara 6.30 petang hingga 8.30 malam. Sekiranya anda tidur lewat, anda boleh mengambil snek yang ringan sebelum tidur seperti buah-buahan, roti, biskut atau segelas susu suam.
  5. Tidak digalakkan mengambil makanan pada lewat malam. Ini adalah kerana pengambilan makanan hampir dengan waktu tidur akan menyebabkan ketidakselesaan dan akan mengganggu tidur anda.
  6. Elak makan malam sambil menonton televisyen. Ini adalah kerana anda tidak sedar berapa banyak anda makan sambil menonton rancangan kegemaran anda tersebut.
  7. Elak mengambil teh atau kopi selepas makan malam. Pengambilan teh atau kopi boleh mengakibatkan gangguan tidur.
  8. Sekiranya anda perlu menghadiri jamuan makan malam, anda tidak perlu makan semua jenis makanan yang dihidangkan. Makan secara sederhana dengan mengambil saiz hidangan yang kecil. Pilih makanan yang lebih sihat. Utamakan buah-buahan serta air kosong.