
Beruntung Naquia Yasirah Mohd Khairi atau Cira dikurniakan seorang suami yang bertanggungjawab dan menghargai isteri. Diam-diam suami tercinta yang merupakan penyanyi Black Hanifah rancang kejutan istimewa buat ratu hati kesayangan dengan menghadiahkan kereta idaman.
Jelas pelantun lagu Hijab Rindu ini, pemberian tersebut diberikan kepada Cira kerana kesabaran dan keikhlasannya menjaga perniagaan mereka selama ini.
Kejutan Black Hanifah Buat Isteri Tercinta
Memuat naik momen indah itu di media sosial, Black atau nama penuhnya Hanifah Md Hanafiah menghadiahkan sebuah kereta mewah jenama Mercedes Benz GLC 43 berwarna hitam. Mengikut harga pasaran, kenderaan berkenaan mencecah harga lebih RM400,000!
Black dalam perkongsian di platform Instagram mendedahkan isterinya sudah lama meminati kereta tersebut kira-kira dua tahun lalu. Pun begitu, penyanyi berusia 37 tahun itu terpanggil untuk menghadiahkan kereta berkenaan sebagai tanda menghargai jasa Cira menguruskan bisnes mereka selama tiga tahun tanpa meminta sebarang balasan.
“Kadang-kadang kita terlalu sibuk cari yang sempurna, sampai lupa hargai yang sentiasa ada di sisi. Hari ini aku hadiahkan sebuah kereta, tapi hakikatnya takkan pernah cukup membalas semua pengorbanan dan kasih sayang yang dia beri.
Bukan sebab hari istimewa tapi sebab dia sendiri adalah istimewa. Hargailah orang yang kita sayang, bukan nanti bila dia tiada. Tapi sekarang, sewaktu dia masih tersenyum di hadapan mata.”
View this post on Instagram
Hampir 12 tahun bergelar suami isteri, Cira sentiasa berada di sisi Black Hanifah dalam suka mahupun duka. Sepanjang tempoh itu juga, mereka berusaha memperbaiki kehidupan dengan menguruskan pelbagai cabang perniagaan.
Black Hanifah Hargai Jasa Isteri Urus Bisnes
Atas izin Allah dan usaha gigih Black, dia kini mempunyai Rindu D’Villa, Dayyan D’Villa dan Buloh Perindu di Langkawi, kedai makan Charuoi by Buloh Perindu di Setia Alam dan sebuah kedai cat kereta.
Meskipun bukan berasal dari keluarga kaya tetapi Black berusaha keras meraih kesenangan hidup sehingga berjaya mengumpul aset dan hartanah demi masa depan. Tahniah!
Black Hanifah mendirikan rumah tangga dengan Naquia Yasirah Mohd Khairi pada 13 September 2013 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Khaleef Dayyan dan Rindu Dayyana.