
Berusia 38 tahun, isteri kepada Presiden Brazil ini sememangnya memiliki personaliti yang mengagumkan. Selain bergiat aktif sebagai sukarelawan, Michelle Bolsonaro juga
sebenarnya mahir berbahasa isyarat. Kemampuan beliau menguasai bahasa isyarat mula mendapat perhatian dunia pada Majlis Ucaptama sulungnya sebagai First Lady Brazil
pada Januari 2019.
Pada kemunculan awal Jair Bolsonaro dilantik sebagai Presiden Brazil tahun lalu itu, kelibat Michelle de Paula Firmo Reinaldo Bolsonaro yang berada di sisi suami dalam
persalinan merah jambu turut mencuri perhatian khalayak. Saat ingin menyampaikan ucapan kepada umum, Michelle membuat ‘kejutan’ dengan kehadiran seorang penterjemah
di sebelahnya sambil berucap menggunakan bahasa isyarat.
Difahamkan, Michelle sudah mula menguasai bahasa tersebut sebelum bergelar First Lady Brazil dan telah membantu menterjemah bahasa berkenaan sepanjang kempen pilihan raya suaminya. Beliau juga dilaporkan berkhidmat untuk komuniti orang kurang upaya pendengaran atau pekak dengan sebuah gereja di Barra da Tijuca dan turut memberi khidmat mengajar bahasa isyarat kepada generasi muda yang berminat!

Sebagai isteri pemimpin dunia, Michelle dilihat cukup aktif dalam aktiviti kebajikan yang melibatkan golongan kurang upaya dan kanak-kanak. Beliau tidak hanya dikagumi
kerana keprihatinannya malah rupa paras cantik, sikap mesra dan penampilan Michelle yang bersahaja turut menjadi inspirasi masyarakat di sana.
Memetik laporan The Sun UK, jarak usia 27 tahun di antara Michelle dan Presiden Brazil yang kini berusia 65 tahun itu tidak menjadi penghalang kebahagiaan mereka. Pasangan ini dikatakan mula bertemu ketika Michelle bertugas sebagai Setiausaha Kongres pada tahun 2007. Tidak lama kemudian, ibu dua anak ini menerima tawaran berkhidmat dengan Bolsonaro dan memutuskan untuk berkahwin pada tahun 2013.
Enam tahun menjadi isteri Bolsonaro, Michelle akhirnya menjadi First Lady Brazil pada tahun 2019. Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Laura Bolsonaro dan Michelle turut mempunyai seorang anak perempuan, Leticia Aguiar hasil perkahwinan terdahulu.
Sepanjang pandemik Covid-19 yang melanda Brazil, Michelle merupakan antara individu berpengaruh negara terbabit yang kerap turun padang memberikan bantuan dan sumbangan kepada mereka yang terjejas. Namun kira-kira seminggu yang lalu, beliau turut disahkan positif jangkitan Covid-19 tetapi berada dalam keadaan stabil. Begitu juga suaminya yang menghadapi nasib serupa.
Brazil menjadi negara kedua yang mencatatkan angka jangkitan Covid-19 paling teruk di dunia selepas Amerika Syarikat. Sehingga kini, dianggarkan lebih 2.5 juta rakyatnya dijangkiti wabak berkenaan dan 90 ribu daripada kes tersebut telah disahkan maut.
Ingat! Rumahtangga Mungkin Tak Bahagia, Kalau Buat 10 Perkara ini…

MANISNYA saat berbulan madu. Tetapi mengapa kemanisannya hanya sebentar? Sering terdengar, individu yang baru berkahwin tetapi telah mulai bercerita tentang keburukan pasangan.
Antara keluhan yang sering kedengaran ialah; ‘Ingatkan selepas berkahwin dia akan berubah. Nak suruh buat secawan kopi pun malas’, atau ‘Saya selalu mengimpikan, mempunyai suami yang romantis seperti ayah. Tetapi, suami saya tidak begitu’ dan macam-macam keluhan lagi. Mengapa begitu jadinya.
10 perkara yang perlu dielakkan setelah bergelar suami dan isteri
1. JANGAN membandingkan pasangan anda dengan orang lain – Setiap orang mempunyai idola sendiri. Contohnya mengharapkan calon pasangannya yang berkeperibadian tinggi seperti ayah atau ibunya. Kalau yang lelaki inginkan isteri yang pandai masak dan mempunyai ciri-ciri keibuan serta pandai memasak seperti ibunya.
Dan kalau wanita pula, mengharapkan calon suami yang mempunyai ciri-ciri seperti ayahnya; penyayang, suka memanjakan isteri, romantis, kacak dan berjaya dalam kerjaya. Sebaliknya setelah berkahwin, pasangan tidak seperti yang diimpikan. Sebenarnya perkara itu adalah lumrah, kerana tidak ada orang yang ‘perfect’. Sama juga seperti anda yang bukannya seorang yang serba sempurna. Jadi, belajarlah untuk menerima pasangan seperti seadanya. Jangan sesekali sampai terkeluar daripada mulut perkataan-perkataan yang boleh melukakan. Seperti; “Kenapa kari kepala ikan awak ni tidak sesedap kari kepala ikan yang emak saya buat?”
2. JANGAN mengharapkan pasangan memenuhi segala impian dan kehendak anda – Setiap orang yang ingin berkahwin pasti bercita-cita ingin memenuhi segala impian dan kehendak pasangan. Namun, tidak semuanya akan terlaksana. Kerana sifat semulajadi manusia, tidak ada yang sempurna. Sesungguhnya pasangan yang bahagia sentiasa bersedia untuk berkongsi apa yang ada dan tidak memaksa satu sama lain untuk menjadi alat mencapai impian.
3. JANGAN suka ambil mudah – Dulu anda bujang, tetapi kini telah mempunyai tanggung jawab. Berkelakuanlah seperti selayaknya. Kalau sebelum ini anda sering keluar malam bersama teman-teman, tetapi kini hendaklah dikurangkan. Atau sebaiknya dihentikan terus. Perkahwinan itu bukan sesuatu yang menyusahkan, tetapi ia adalah tanggung jawab. Mungkin anda lihat pasangan anda jenis tidak kisah, tetapi anda perlulah ambil kisah. Bukannya menggunakan kesempatan itu.
4. JANGAN memperbesar-besarkan perkara yang kecil – Sebelum berkahwin lagi anda sudah tahu, pasangan anda jenis yang tidak romantis, tidak pernah ingat tarikh-tarikh penting, tidak pandai untuk mengungkapkan perkataan maaf dan segala macam kekurangan lagi. Kemudian setelah berkahwin, mengapa perkara itu yang menjadi punca perselisihan faham. Belajarlah menerima pasangan dengan seadanya. Banyak lagi perkara besar yang harus difikirkan daripada merajuk kerana pasangan terlupa mengucapkan ‘selamat hari jadi!’
5. JANGAN letakkan kebahagiaan rumah tangga di bahu pasangan semata-mata – Kebahagiaan tidak terletak di bahu sesiapa kecuali diri sendiri. Seperti bagaimana cara seseorang itu berfikir. Jika mereka berfikiran secara positif dan gembira, bahagialah mereka. Suatu kesalahan besar jika meletakkan seluruh kebahagiaan pada pasangan, kerana jika berlaku sesuatu perkara yang buruk, umur atau jodoh tidak panjang, akan hilang seluruh kebahagiaan hidup mereka.
6. JANGAN cuba mengubah pasangan – Anda dan pasangan lahir, dibesarkan dan menjalani cara hidup yang berbeza. Setelah dewasa anda berdua dipertemukan. Adalah mustahil untuk mengubah pasangan mengikut cita rasa anda. Dan anda sendiri, pasti tidak suka jika pasangan cuba mengubah anda mengikut cita rasanya.
Cara terbaik ialah secara berdiplomasi. Seperti minta dia lebih peka dengan perasaan orang lain, terutama anda. Apa yang anda suka dan tidak suka tentang dirinya, tetapi dalam waktu yang sama jangan sampai si dia tersinggung. Selain daripada itu, dorong dia (kalau boleh tanpa disedarinya) menonjolkan sikap-sikap yang positif.
7. JANGAN memendam perasaan sekiranya berlaku konflik atau pertengkaran – Ada pasangan yang mengelak daripada membincangkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan konflik atau bagi mengelakkan pertengkaran. Perkara ini hanya akan menambahkan kerumitan kerana salah seorang merasa tidak puas hati. Dalam erti kata lain, ianya akan menjadi ‘kudis yang bernanah’ sekiranya tidak dirawat.
8. JANGAN menutup mata terhadap kesalahan pasangan – Pasangan anda tidak pandai menghormati orang tua anda. Anda hanya mendiamkan diri kerana takut dia berkecil hati atau pun marah. Mengharap, lama-lama nanti dia akan faham juga. Maklumlah baru berkahwin. Ini satu kesilapan besar. Bagaimana nanti jika setelah beranak pinak, pasangan anda masih tidak mahu berubah.
Malah apabila anda menegur, dia menjawab:
“Kenapa baru sekarang awak nak tegur? Dulu awak tak kisah pun.
Mentang-mentanglah saya dah tua, dah tak cantik.
Semuanya dah tak kena di mata awak.” Siapa nak jawab?
9. JANGAN terlalu cemburu – Memang cemburu tandanya sayang. Tetapi cemburu yang berlebihan sehingga pasangan tidak boleh bergerak langsung pun, tak elok juga. Daripada cemburu akan timbul perbuatan mengawal. Sikap terlalu mengawal akan menimbulkan rasa bosan kepada pasangan kerana merasa dirinya tidak dipercayai. Sesungguhnya sikap percaya mempercayai adalah teras dalam sesebuah perkahwinan. Dan lagi, orang yang merasa dirinya dikawal akan berusaha mencari jalan keluar untuk bebas daripada rasa terkongkong.
10. JANGAN menyerang pasangan secara peribadi – Jika berlaku pertengkaran, jangan sesekali menyerang pasangan secara peribadi. Cuba berbincang secara rasional. Elakkan daripada meletakkan kesalahan pada pasangan dan mengungkit keburukan satu sama lain sehingga terlupa tentang nilai perhubungan yang sebenar. Seronok bagi yang menang. Tetapi yang merasa dirinya kalah, sudah pasti akan memendam perasaan. Ini bererti, tiada jalan penyelesaian yang diperoleh.
Hari Wanita Sedunia 2022 Raikan Perjuangan Wanita, Bangkit Memecahkan Stereotaip

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2022, Twitter membawa kempen #SheInspiresMe di seluruh Asia Tenggara bagi meraikan peranan dan sumbangan wanita dalam memberi inspirasi kepada komuniti mereka.
Hari Wanita Sedunia bertujuan membentuk masyarakat seimbang serta menghormati setiap pencapaian dari segi sosial, ekonomi, budaya dan politik di kalangan wanita yang bangkit memecahkan stereotaip.
Meniti arus globalisasi, wanita menggunakan media sosial seperti Twitter sebagai medium perbualan dalam membincangkan isu-isu semasa termasuk hak wanita, akses kepada sumber dan isu sosial. #WomenOnTwitter menyumbang, membentuk, dan membangkitkan beberapa peristiwa penting di Twitter.
Para wanita juga dapat berinteraksi dengan komuniti mereka yang mempunyai pandangan dan hala tuju yang sama. Sekaligus, memberi inspirasi kepada mereka yang terdiri dari Ketua Pegawai Eksekutif, artis digital, pakar kewangan peribadi hinggalah ke sektor perubatan.
Kenali 8 wanita inspirasi yang bangkit menempuh cabaran melalui Twitter:
ALINA AMIR
Pengasas Bersama Arus Academy
Graduan dari University of Illinois di Urbana Champaign dan berpengalaman sebagai penganalisa di Accenture Management Consulting selama setahun. Alina menyertai gerakan Teach For Malaysia (TFM) bagi membanteras ketidakadilan dalam sistem pendidikan. Pada tahun 2014, Alina tercalon mewakili Malaysia di World Innovation Summit for Education di Doha, Qatar. Pengalaman di TFM telah membuka matanya bahawa lebih banyak perkara yang perlu dilakukan.
Alina bersama 3 alumni TFM memulakan Arus Academy untuk menjadi sebahagian daripada jalan penyelesaian dalam memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar. Arus Academy menawarkan program kurikulum berkaitan falsafah Maker Education, komputer dan STEM kepada pelajar yang kurang berkemampuan. Alina turut menyatakan minatnya dalam menggunakan Twitter sebagai platform pembangunan profesional kegemarannya serta mendapatkan inspirasi daripada pendidik seluruh dunia.
“Kita dibesarkan dalam persekitaran di mana wanita perlu menjadi submisif, pasif, dan pendiam. Dalam bidang kerja yang majoritinya lelaki, saya cuba untuk kawal perasaan-perasaan tertentu di tempat kerja, atau punca ketakutan saya untuk bersuara dan menilai sama ada ia adalah akar dalam norma budaya kita.”
BOO SU LYN
Ketua Editor di CodeBlue
Misinya untuk menangani isu serangan seksual, salah laku etika dan isu penjagaan kesihatan. Boo sentiasa bersuara berkenaan isu-isu ini di Twitter dan menurutnya, Twitter adalah platform terbaik untuk pakar subjek menyampaikan maklumat yang kompleks terutama dalam bidang kesihatan, sains dan perubatan. Boo menggunakan Twitter sebagai alat advokasi untuk abstrak Rang Undang-undang kerajaan mengenai kawalan penyakit berjangkit dalam konteks kehidupan sebenar.
Dengan cara ini, rakyat Malaysia dapat memahami impak dan ketidakadilan penalti yang dikenakan terhadap salah laku COVID-19. Baru-baru ini, beliau telah melancarkan Ova, sebuah laman berita yang membicarakan isu kesihatan wanita dan perkara-perkara lain seperti ruang pekerjaan, hak wanita dalam seks, dan rumahtangga.
“Lelaki dan wanita perlu hentikan stereotaip terhadap jantina. Kenal pasti diskriminasi jantina dan bebannya yang lebih berat ke atas wanita. Contoh, wanita bekerjaya memikul tanggungjawab membesarkan anak dan mengurus hal rumah tangga yang lebih berat. Para lelaki hendaklah memberi sokongan kepada pasangan.”
DR AMALINA CHE BAKRI
Pakar Bedah Am, National Health Service UK
Felo Penyelidik Klinikal di Imperial College London, Dr. Amalina terkenal dengan semangatnya dalam memperjuangkan hak wanita. Beliau menggunakan Twitter sebagai medium untuk memperkasakan wanita, memecahkan stereotaip, serta berkongsi petua kesihatan dan perubatan. Beliau turut berkongsi pengalaman menarik yang dilaluinya sendiri tentang stereotaip.
“Dalam pembedahan kecemasan, saya pernah membedah seorang warga emas lelaki. Keesokan harinya, saya melawat beliau dan memperkenalkan diri saya sebagai pakar bedah kes tersebut. Saya menerangkan tentang keputusan pembedahan dan proses operasi yang telah dilakukan. Waktu itu, saya bersama-sama dengan junior yang juga rakan sekerja saya iaitu seorang lelaki warga tempatan yang tinggi dan berkulit putih. Beliau memegang nota pesakit manakala saya masih dalam pakaian bedah. Selepas saya bercakap dengan pesakit selama kira-kira 10 minit, pesakit kemudian bertanya kepada rakan sekerja saya, “Jadi, adakah kamu pakar bedah?” mengabaikan apa yang saya katakan kepadanya selama 10 minit yang lepas. Dia menyedari kesalahannya dan meminta maaf.”
IVY JOSIAH
Aktivis Hak Asasi Wanita
Berperanan penting dalam pembentukan Women’s Aid Organisation, sebuah NGO Malaysia yang memberikan bantuan kepada wanita untuk bebaskan diri daripada keganasan rumah tangga. Kini, Ivy bersama 4 organisasi wanita menerajui Tribunal Wanita pertama Malaysia. Misi tribunal adalah untuk menyediakan satu bentuk keadilan alternatif serta advokasi untuk hak wanita dan kesaksamaan jantina di negara ini. Usaha ini akan memperkasakan suara wanita yang terjejas oleh diskriminasi jantina.
“Pemerkasaan adalah peribadi dan politik, anda bukan sahaja memperkasakan diri sendiri tetapi anda memperkasakan dan bekerja dengan wanita lain.”
MOON
Artis NFT
Mumu the stan, juga dikenali sebagai Munira Hamzah merupakan seorang artis visual dan penyair tempatan yang mencipta non-fungible tokens (NFTs) sebagai sumber pendapatan. NTFs adalah aset digital yang mewakili pemilikan item digital seperti karya seni dan barang koleksi. Dengan wujudnya NFT, artis dan pengumpul boleh menjadi pemilik kekal seni digital dan aset digital unik lain dan menjana pendapatan daripadanya. Karya seninya menarik perhatian Mike Shinoda dan telah menjadi pembeli NFT pertamanya. Mike juga mendorongnya untuk meneruskan NFT demi kelangsungan hidup. Pada tahun 2021, karya seni Moon pernah dipamerkan di Art Basel, Miami. Dengan NFT, Moon dapat menjana keuntungan dengan menjual karya seni digital. Tambahan lagi, beliau turut menerima royalti daripada penjualan semula karya seninya. Moon juga percaya, dengan wujudnya sistem desentralisasi, NFT menjadi sebuah medium yang dapat mendorong artis dari pelbagai lapisan masyarakat untuk berhubung dengan khalayak global dan meletakkan nilai karya itu kepada penciptanya.
“Sebagai seorang ibu, masyarakat sekeliling mengharapkan wanita untuk bekerja umpama mereka tidak mempunyai keluarga tetapi untuk menjaga keluarga seolah-olah mereka tidak mempunyai kerjaya. Wanita juga ada cela, dan kami juga ada impian dan cita-cita. Bukan hanya untuk memuaskan hati orang lain. Sebaliknya, kita bekerja untuk diri sendiri. Fikirkan apa yang anda ingin capai. Jadilah kawan baik anda sendiri. Letakkan diri seperti mana anda masih kecil dan tanyakan kepada diri anda apakah matlamat hidup yang anda impikan?”
NADIAH WAN
Ketua Pegawai Eksekutif, Thomson Hospital
Merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Hospital, Kota Damansara dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMC Life Sciences Bhd. Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengarah di Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM) dan seorang mentor bersama sebuah NGO antarabangsa, Endeavour. Nadiah sentiasa memanfaatkan akaun Twitter beliau untuk membantu meningkatkan lagi komunikasi kesihatan. Nadiah kerap berkongsi pandangan tentang usaha kerajaan dalam memerangi virus COVID-19.
“Hal ini bertakuk kepada pilihan dan ia datang dari pemahaman pertama tentang apa yang anda inginkan untuk diri sendiri. Tidak semua wanita mahukan anak dan sesetengah wanita lebih suka menumpukan perhatian kepada keluarga daripada kerjaya mereka. Namun, berapa ramai wanita yang yakin bahawa ini adalah apa yang mereka mahukan? Antara soalan yang sering saya tanyakan kepada diri sendiri adalah jika saya meneruskan trajektori saya sekarang, apakah bentuk kehidupan saya dan adakah itu kehidupan yang saya inginkan?
NALINI ELUMALAI
Aktivis Hak Asasi Manusia
Berpengalaman selama 15 tahun sebagai aktivis yang memperjuangkan hak asasi manusia. Kini, beliau merupakan Senior Malaysia Program Officer di ARTICLE 19, sebuah NGO antarabangsa yang memperkasakan hak kebebasan bersuara. Sebelum menyertai ARTICLE 19, Nalini memegang jawatan di NGO, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan Anti ISA Movement (AIM).
“Kita perlu membuka minda dan membebaskan diri daripada norma masyarakat terhadap wanita. Jadilah diri sendiri dan jalani hidup anda tanpa sebarang penyesalan atau keraguan. Tidak mengapa untuk melepaskan diri dari rantai yang dikenakan pada wanita selama beberapa generasi.”
SURAYA ZAINUDIN
Pakar Kewangan Peribadi
Seorang penulis, penceramah dan pemasar digital. Suraya juga merupakan pengasas laman web kewangan peribadi yang popular, RinggitOhRinggit.com. Selain itu, beliau juga merupakan kurator siri buku ternama Cerita Duit Orang Malaysia. Suraya banyak meluaskan ilmu kewangan peribadi di Malaysia dengan berkongsi petua, nasihat untuk berbelanja dengan bijak, simpanan dan pelaburan. Beliau juga telus dalam berkongsi maklumat berkaitan pendapatan dan kewangannya sendiri.
“Pemerkasaan wanita ialah tugas seorang wanita untuk menjaga keluarga, komuniti dan masyarakat. kebanyakannya pada masa ini tidak berbayar dan hal ini akan meruntuhkan mereka dari segi ekonomi dan politik, diberi pampasan dari segi kewangan. Ia bukan hanya tentang ‘melengkapkan diri dengan set kemahiran untuk berjaya dalam dunia lelaki’, akan tetapi lebih kepada memperakui tugas yang dipikul secara percuma adalah sangat berharga dan layak mendapat ganjaran dari segi kewangan”.
“Fahamilah, walaupun anda fikir anda berjuang untuk hak dan kesaksamaan wanita, anda mungkin juga mempunyai perasaan berat sebelah yang tersembunyi terhadap wanita. Mungkin anda mahukan mereka menjadi lebih mudah disukai dan berkemahiran tinggi, sedangkan lelaki hanya perlukan kemahiran. Mungkin juga anda keliru antara keyakinan dan kecekapan. Mungkin anda tidak sedar, wanita sentiasa merendahkan diri mereka untuk lelaki walaupun hasil kerja mereka jauh lebih baik. Saya juga ingin menasihati anak muda agar mengamalkan budaya membaca. Jika anda mahu mempelajari sesuatu, bacalah buku mahupun artikel. Jika tidak berkesempatan, bacalah Tweets.”
Teruja Pertama Kali Keluar Mengundi, VIVY YUSOF Ajak Wanita ‘Suarakan’ Hak Mereka Esok!

Debaran Pilihanraya Umum Ke-14 kian terasa. Kurang 24 jam saja lagi, rakyat Malaysia yang layak mengundi akan melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap negara di peti undian esok. Siapa pucuk pimpinan yang bakal mentadbir negara untuk lima tahun lagi, semuanya terletak di tangan anda.
Pertama kali menunaikan kewajipan sebagai rakyat Malaysia esok, Pengarah Urusan FashionValet, Vivy Yusof mengakui sangat teruja menjadi salah seorang ‘penentu’ masa depan negara. Ketika diajukan persoalan tentang kepentingan undi terutamanya di kalangan wanita, Ikon Wanita untuk Tahun Memperkasa Wanita 2018 dan personaliti Forbes Under 30 ini cukup bersemangat mengutarakan pandangan.


“Sebenarnya kita tak sedar yang walaupun kita seorang, we can make a difference. Ia adalah tanggungjawab kepada negara kita. You play a big part in the future of our country bukan saja untuk kita, untuk anak-anak kita juga.. to make sure ia tak jatuh ke tangan pihak yang tidak sepatutnya.
Saya sangat excited sebab ini adalah pertama kali saya akan pergi mengundi dan tentunya akan jadi kenangan yang sentimental. Sebab buat pertama kalinya juga saya dapat dictate apa yang saya nak untuk negara. Jadi, saya sarankan kepada semua wanita untuk pergi keluar mengundi.”
Dalam pada itu, Vivy yang kini berbadan dua turut mengakui berdepan alahan yang agak teruk pada awal kehamilan. Meskipun sudah bergelar ibu kepada dua cahaya mata iaitu Daniel Azim Shah dan Mariam Iman Shah, namun kehamilan kali ini begitu menguji kekuatan dirinya.
“This pregnancy is quite difficult sebab sakit belakang, muntah sampaikan every morning nak bangun pun rasa bad mood dan malas. Tapi lepas fikir tentang kerja dan banyak komitmen serta acara yang perlu saya hadiri, I don’t have a choice. Kena bangun juga pakai mekap dan pilih baju untuk pergi kerja. Bila sibuk bekerja, dapatlah lupa rasa pening dan mual. Apa-apa pun saya bersyukur ada pekerjaan yang banyak membantu saya mengatasi morning sickness ni.
Selain itu, saya juga perlu makan ubat atau cari cara untuk kurangkan rasa mual seperti minum air sejuk. Memang lain daripada kehamilan dulu. This one memang special baby,” kongsi Vivy sambil ketawa.
Menelusuri kejayaan Vivy mengemudi FashionValet bersama suami tercinta, perniagaan berorientasikan fesyen ini telah berjaya membuka butik ketiganya di Publika April lalu dan bakal membuat pelbagai perancangan di samping membuka beberapa lagi butik FashionValet sepanjang tahun ini.