PUAN SRI NORMALA SAMSUDIN

Meskipun sudah lama meninggalkan dunia pengacaraan namun bakat dan nama Puan Sri Normala Samsudin masih diperkatakan hingga ke hari ini. Bersandarkan pengalaman yang luas dalam industri penyiaran, tidak hairanlah beliau sering dijadikan rujukan generasi muda yang berhasrat menceburkan diri dalam pentas dunia glamor tersebut.

IKLAN

Pernah menjadi salah seorang juri bagi pencarian Ratu Hijabista tahun lalu, jelitawan berusia 57 tahun ini menyokong penuh program yang mengetengahkan wanita berhijab berkenaan dan selaku pengacara senior beliau mengharapkan ciri-ciri berikut perlu ada dalam diri wanita yang mahu menceburkan diri dalam dunia penyiaran.

“Bijak dan berpendidikan tinggi, kukuh berhijab walau apa sekali pun kekangan dan rintangan, jati diri yang disegani dan sentiasa peka dengan keluarga dan masyarakat, natural dalam tugasan yang diberi dan bukan terpaksa buat. Selain itu, mereka juga tidak mudah berputus asa walaupun tersilap atau kalah.”

Mengulas trend dan situasi dunia penyiaran hari ini yang lebih mementingkan rupa paras berbanding bakat, dalam nada tegas bekas personaliti TV ini melontar bicara. “Ini adat dunia, wajah dan pesona cantik sejak zaman dahulu lagi sejak lahirnya Adam AS lagi memang begitu. Sememangnya, cantik itu menjadi pilihan utama tapi, di zaman ini cantik dan bijak itu adalah yang utama.

Setiap wanita itu dilahirkan berbakat cuma ia berbeza-beza. Kalau cantik dan bijak serta berbakat namun kurang budi bahasanya, dia tidak dikenang sebagai manis dan santunnya. Jadi, jadilah wanita yang bukan saja cantik, berbakat dan bijak, malah wanita yang penuh santun susila dan teguh imannya.

IKLAN

Benar, setiap wanita itu perlu diberikan pendidikan yang tinggi walaupun akhirnya sebagai suri rumah. Wanita berpendidikan adalah pengurus yang sangat baik. Mengurus anak dan rumah tangga bukan sesuatu yang senang, ia perlu sentiasa ada instinct dan mengurus setiap masalah dengan baik, bijak dan tepat.

Wanita bijak tidak akan sentiasa serabut, kerana dia takda masa memikirkan sesuatu masalah terlalu lama dan jadi berkarat. Jika dia tidak ada pendapatan dan terpaksa jadi ibu tunggal, dengan pendidikan walaupun tidak tinggi dia boleh menyara keluarga. Bayangkan kalau pendidikan tinggi, wanita itu akan hebat walau apa pun situasi yang menyusahkan dan menjengkelkan,” ujar isteri Tan Sri Azmi Khalid ini.

IKLAN

“Teguhkan diri dengan ilmu dunia dan akhirat, cekal dan bulatkan tiap cita-cita dan hasrat, pasang niat yang baik kerana setiap yang baik Allah akan balas baik. Jangan putus asa dan bertawakkal hanya kepada yang mencipta impian kita dan utamakan Yang Mencipta Allah dalam segala hal yang kita mahukan, impikan, fokuskan dan kerjakan dengan penuh sabar dan dedikasi.

Doalah supaya kita jadi orang yang tetap fikiran bukan seperti pohon yang sentiasa bergoyang bila di tiup angin. Berfikiran positif dan sentiasa ikhlas merendah diri di mana jua kita berada.”