Syabas dan tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Azalina Othman Said kerana dilantik Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu! Di sebalik ‘bahang’ pembukaan persidangan Parlimen semalam, terukir sejarah membanggakan bagi seluruh wanita Malaysia atas pelantikan tersebut yang menyaksikan beliau wanita pertama negara menyandang jawatan berkenaan. Yang pasti, portfolio Datuk Seri Azalina bukan calang-calang kerana beliau sememangnya iron lady yang menjadi sumber inspirasi ramai.
Bakal meniti usia 57 tahun pada 31 Disember ini, minat Datuk Seri Azalina terhadap dunia perundangan sangat mendalam kerana beliau memiliki latar belakang pendidikan Sarjana
Undang-Undang, London School of Economics & Political Science, UK dan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya. Bersandarkan pengetahuan luas berkenaan, tidak hairanlah Datuk Seri Azalina layak memegang tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
https://www.instagram.com/p/CCmz9DKDMUF/
Menelusuri pembabitan awal kerjaya Datuk Seri Azalina, pada tahun 1989 beliau diterima masuk ke Badan Peguam Malaysia sebelum menjadi rakan kongsi firma guaman sejak tahun 1994. Penglibatan politik beliau pula dilaporkan bermula ketika menyertai UMNO pada awal tahun 90an. Selepas 10 tahun bergelar ahli UMNO, Datuk Seri Azalina dipilih sebagai Ketua Biro Tindakan Sivil UMNO dan menerima pelantikan Ketua Puteri UMNO sehingga tahun 2004.
Dalam kesibukan menggalas tanggungjawab Ketua Puteri, beliau turut dilantik menerajui Kementerian Belia dan Sukan selama empat tahun. Atas prestasi cemerlang selaku
Menteri, Datuk Seri Azalina kemudian dipilih menjadi Menteri Pelancongan pada tahun 2008 hingga 2009.
Enam tahun berikutnya, wanita berjiwa kental ini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari tahun 2015 hingga 2018. Terbaharu, beliau diberi kepercayaan melaksanakan tugas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sekaligus menjadi wanita pertama mempengerusikan sidang Dewan Rakyat!
Pelantikan Datuk Seri Azalina dibuat selepas YB Nga Kor Ming yang meletak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin membawa usul supaya Ahli Parlimen Pengerang itu menggantikan kekosongan jawatan Nga Kor Ming dan ia turut disokong Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Selain prestasi akademik dan kerjaya yang cemerlang, Datuk Seri Azalina juga bergiat aktif dalam bidang sukan. Sebelum menjadi peguam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau ialah pemegang tali pinggang hitam kelas kedua seni mempertahankan diri, taekwondo dan pernah mewakili negara ke kejohanan dunia! Kagum!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia hampir 2 tahun ini membawa perubahan besar dalam kehidupan kita. Bukan saja rutin harian bahkan ekonomi antaranya sektor perniagaan. Tidak semua jenis perniagaan dibenarkan beroperasi antaranya perkhidmatan perunding acara.
Pengasas SA EVENTS, Sofiah Abdullah, 40, turut berhadapan dengan situasi tersebut apabila terpaksa menangguhkan segala aktiviti perniagaannya yang melibatkan pengacaraan dan rundingan acara. Sofiah merupakan kakak kepada bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-3, Akma Abdullah yang kini bergelar penyanyi, hos dan pelakon.
“Sememangnya pandemik COVID-19 memberi kesan terhadap perniagaan saya kerana banyak acara yang ditempah oleh klien hingga hujung tahun terpaksa dibatalkan. Ada sesetangah mereka yang dah bayar deposit booking juga saya terpaksa pulangkan duit mereka bila melihat situasi yang begitu kritikal ketika ini.
Kalau dulu perkhidmatan yang paling mendapat permintaan ialah untuk majlis pernikahan, perasmian syarikat korporat dan majlis-majlis sekolah. Setiap bulan sekurang-kurangnya ada 4 majlis yang menggunakan perkhidmatan daripada SA EVENTS, selalunya hujung minggu.
Saya menyediakan perkhidmatan seperti perunding acara di bawah syarikat sendiri iaitu SA EVENTS yang mengendalikan perkhidmatan majlis seperti perkahwinan, perasmian, sukan sekolah, harijadi dan yang melibatkan perkhidmatan Pengacaraan dan PA System (Sistem Siar Raya). Setelah 10 tahun berkecimpung dalam bidang ini secara sambilan saya membuat keputusan untuk lebih serius lagi. SA EVENTS kini memasuki tahun ke-2.
Sebelum melibatkan diri dalam bidang perniagaan, saya merupakan pekerja sektor awam bertugas sebagai juruhebah Radio Klasik Nasional (sekarang Radio Klasik) dari tahun 2005-2011 dan seterusnya berkhidmat sebagai Penerbit di Saluran TV2, RTM. Setelah berumahtangga pada 2008, dan mempunyai cahaya mata tahun 2011 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada tahun 2014.
Bermula detik itu saya melangkah sendirian dengan menjadi pengacara majlis di majlis-majlis keraian dan menjadi konsultan kepada acara-acara korporat dan perseorangan. Pada Disember 2018 saya mengambil keputusan untuk set up business sendiri menubuhkan SA EVENTS dengan membeli peralatan PA System dan memberikan perkhidmatan pengurusan acara majlis kepada klien.
Antara sumbangan kecil saya sepanjang terlibat dalam bidang ini ialah berkolaborasi dengan Breast Cancer Foundation dan klinik swasta. Saya bertindak sebagai jurucakap dan pengacara ketika bulan kesedaran kanser payudara. Saya turut memberikan khidmat juruacara secara percuma sebagai sokongan kepada pesakit kanser (cancer survivor).
Saat paling down pernah saya lalui dalam perniagaan apabila mendapat rakan-rakan bisnes yang tidak jujur. Sebagai rakan kongsi saya ditipu dan dipermainkan dari segi kewangan. Wang habis begitu sahaja kerana terlalu percayakan mereka. Akhirnya saya mengambil keputusan berdiri sendiri tanpa rakan kongsi,” kongsi ibu anak 2 ini.
Bapa Sofiah seorang pesara kerajaan manakala ibunya seorang suri rumah. Semasa kecil, ibunya berniaga kuih di kawasan perumahan.
“Selalunya saya, kakak dan adik akan membantu ibu di dapur menyiapkan kuih-muih dan tempahan pelanggan. Kuih ibu yang paling popular ialah ketayap yang sering ditempah oleh pihak hotel kerana ia antara kuih kegemaran Tun Mahathir ketika itu,” ungkap anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
TETAP BERSYUKUR
Walau apa pun yang berlaku, saya tetap bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan sebagai juruhebah sambilan di Radio Salam FM 91.1 di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Jika keadaan kembali pulih dan kerajaan membenarkan sektor sosial, saya akan mulakan operasi perniagaan ini semula.
Pendorong utama semestinya suami yang sentiasa membantu menguruskan perniagaan kecil-kecilan kami. Ibu bapa dan keluarga juga antara yang sentiasa memberikan semangat sewaktu susah dan senang saya.
Saya sentiasa berpegang kepada kata-kata, jangan meminta-minta kepada orang, sentiasa mengharapkan pertolongan dan bertawakal kepada Allah SWT adalah jalan keluar dari segala kesulitan.
BIJAK BAHAGI MASA Saya seorang yang mengutamakan hubungan kekeluargaan. Dalam apa jua keadaan keluarga adalah keutamaan. Saya akan pastikan keperluan suami dan anak-anak serta ibu bapa sudah disiapkan kemudian barulah boleh bekerja atau melayani klien. Apapun kasih kayang keluarga mendahului segalanya kemudian barulah datangnya rezeki.
Jika ingin berjaya dalam perniagaan mahupun kerjaya, setiap wanita perlu tahu apa kehendak dan keinginan untuk terus berjaya. Lakukan perkara yang kita suka, bukan kerana terpaksa dan dipaksa. Memang zaman sekarang wanita juga perlu mencari rezeki tapi jangan memaksa diri akibatnya sakit di kemudian hari. Lakukan setiap pekerjaan itu dengan ikhlas dan minat barulah akan datang kesungguhan itu walaupun kerja yang dilakukan amat sukar. Suami juga memainkan peranan penting untuk mendorong emosi isteri.
Impian saya ingin membuat kelas pengacaraan dan pengurusan acara buat anak-anak muda yang sukakan bidang ini. Saya juga berhasrat ingin menjalankan acara khusus melibatkan kaum Muslimah sahaja bagi mereka yang ingin menjaga aurat untuk sebarang majlis melibatkan wanita. Saya juga akan kongsikan ilmu dan pengalaman yang ada jika satu masa nanti ada pihak yang sudi bekerjasama.
Bersesuaian dengan keadaan sekarang bisnes ini amat membantu saya menjana ekonomi kerana pengurusan acara adalah sesuatu yang mendapat sambutan setiap masa. Ada sahaja acara-acara yang diadakan di sekeliling kita, rugi jika kita tidak jadikan ia bidang komersial kepada kaum wanita kerana kebanyakannya dimonopoli oleh kaum lelaki. Saya yakin, wanita juga mampu melaksanakannya jika ada kesungguhan.”
Kredit Foto: Instagram @sofia8181
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Fuh, macam tak masuk akal kekayaan yang dimiliki Kylie Jenner! Bayangkan baru saja berusia 21 tahun tapi sudah memiliki segala-galanya yang diimpikan setiap wanita. Cantik, kaya, terkenal, berjaya dan paling penting mempunyai keluarga bahagia bersama Travis Scott dan anak perempuan mereka, Stormi Webster. Sempurnanya kanvas hidup billionaire termuda di dunia ini!
Mula membeli hartanah sendiri ketika berusia 17 tahun di Calabasas, California bernilai USD2.7 juta yang terletak berdekatan rumah Kim dan Kourtney Kardashian… Kylie akhirnya memutuskan untuk menjual kediaman yang telah siap diubahsuai tersebut pada tahun 2017 dengan harga USD3.15 juta, sekaligus membolehkannya mengaut keuntungan hampir setengah juta USD hasil penjualan aset rumah berkenaan.
Kylie yang waktu itu sedang meniti puncak kerjaya, mencipta fenomena luar biasa dalam industri kosmetik Amerika Syarikat apabila produk Kylie Cosmetics yang diusahakan pada tahun 2016 mendapat sambutan di luar jangkaan. Mana tidaknya, dalam masa kurang seminit… 15 ribu gincu bibir Kylie Cosmetics habis dijual!
Aktif mempromosikan bisnes di laman media sosial sebagai strategi pemasaran, selebriti kaya kelahiran Amerika Syarikat ini mampu tersenyum bangga apabila berjaya meraih pendapatan USD900 juta atau 3.68 bilion ringgit! Itu belum termasuk program realiti TV yang dijayakan, penjualan hartanah, aplikasi yang didaftarkan atas namanya dan bermacam-macam lagi sumber kewangan lain.
Sebelum dikenali sebagai pemilik empayar Kylie Cosmetics, Kylie terlebih dahulu mencipta nama dalam siri program realiti ‘Keeping Up With The Kardashian’ bersama ibu bapanya sewaktu dia baru berusia 10 tahun. Kylie kemudian berjinak-jinak dalam bidang perniagaan bersama kakaknya, Kendall Jenner menerusi label pakaian mereka Kendall + Kylie pada tahun 2012.
Mengintai kekayaan Kylie, wanita bertubuh seksi ini mempunyai sebuah rumah berhampiran Los Angeles di Hidden Hills yang berkeluasan 13, 200 kaki persegi dengan halaman 1.4 ekar dilengkapi panggung wayang mini, bilik urutan dan spa, kolam renang mewah dan bilik khas yang menempatkan koleksi beg tangan berjenama mewah.
Menyentuh koleksi beg tangan Kylie, antara yang paling mahal ada dalam simpanannya ialah jenama Hermes diperbuat daripada kulit buaya asli, 18 karat dan bertatahkan lebih 200 butir berlian berharga USD432 ribu! Malah Kylie pernah berseloroh, ia adalah beg tangan pertama yang akan diselamatkan jika berlaku kebakaran.
Satu lagi kediaman mewah yang dibeli ialah di Beverly Hills bernilai USD13.45 juta yang dimiliki bersama Travis. Tidak hanya gemar membeli dan menjual hartanah, Kylie juga sanggup mengeluarkan belanja besar untuk kereta idaman.
Antara koleksi kereta yang dimiliki Kylie termasuk Range Rover Autobiography (USD200,000), Rolls Royce Ghost (USD320,000), Rolls Royce Wraith (USD340,000), Ferrari Italian Spider (USD260,000), Mercedes G63 (USD140,000), Mercedes Maybach (USD250,000) dan Lamborghini Aventador (USD400,000).
Kylie yang terkenal dengan cita rasa tinggi dan mewah dalam pada itu sanggup membelanjakan kira-kira RM620 untuk satu sesi rawatan manicure and pedicure. Juga RM1,450 untuk membayar kos jurulatih kecergasan untuk setiap satu sesi.
Selain itu, Kylie juga gemar menggayakan busana eksklusif dan mewah dari jenama Chanel, Alexander Wang, Gucci, Celine, Versace serta memakai aksesori Cartier dan Rolex. Belum dihitung lagi koleksi pakaian, kasut, dan peralatan bayi Stormi.
Kalau diceritakan satu persatu harta yang dimiliki Kylie memang tak terbilang harganya. Dengan usia yang masih muda, kejayaan Kylie pastinya dikagumi ramai wanita tambahan pula dia bukan berasal dari keluarga berada dan apa yang dimiliki Kylie hari ini adalah di atas usahanya sendiri. Biarpun dilimpahi dengan kemewahan, Kylie tidak lokek berkongsi rezeki apabila menghadiahkan sebuah kereta Mercedes kepada rakan baiknya selain mengagihkan sebahagian keuntungan yang diterima kepada pengurus iaitu ibu Kylie sendiri, Kris Jenner.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Usahawan muda berjiwa besar, Puteri Emira atau lebih dikenali sebagai Emira Khan akui turut terkesan dengan situasi yang sedang melanda Malaysia kini. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19 sedikit sebanyak ia telah memberi kesan terhadap perniagaan.
Situasi itu turut dirasai oleh Emira. Pun begitu, Emira kekal positif dan berdoa agar segala kesulitan beransur pergi. Berbekalkan pengalaman pernah merasai jatuh dan bangun dalam perniagaan menjadikan Emira seorang yang sentiasa bersedia dan terus berjuang.
“Saya terlibat dalam industri fesyen. Kesannya memang sangat dirasa. Permintaan terhadap produk (pakaian) semakin kurang. Ketika ini orang lebih mengutamakan keperluan asas. Ujian yang sangat berat tetapi saya percaya ada hikmah di sebalik ujian ini.
Sebagai usahawan, masa itu emas. Setiap masa berharga. Kadang kerja sampai tak ingat dunia. Tapi sekarang dapat rasa nikmat dari segi masa. Bila PKP selain dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga, saya juga dapat muhasabah diri termasuk membetulkan dan memikirkan strategi yang lebih mantap terhadap syarikat.
Selain itu, kesan lockdown terhadap China juga memberi kesan di mana saya tak boleh menempah kain-kain untuk menghasilkan baju. Jadi, saya hasilkan semuanya di Malaysia saja.
Sejak PKP, jadual juga terganggu apabila ada sesetengah kilang tak dapat nak jahit baju raya kami. Takut baju-baju tak sempat siap sebelum tarikh sepatutnya. Tambahan pula, baju-baju yang dah jahit tu tak tahu sempat jual atau boleh jual bila.
Dari segi Work From Home (WFH), ujian untuk syarikat saya juga. Ada staf yang tak boleh nak WFH kerana banyak kerja yang perlu hands on di HQ seperti jurufoto, juru video, pereka, bahagian operasi, dan sebagainya.
Jadi, ini ujian paling mencabar untuk saya fikir strategi dan handle staf yang WFH. Sementara staf yang tidak boleh WFH pula saya perlu fikirkan what their ends are sama ada nak diberi cuti tanpa gaji atau bantu department lain. Saya takut tak adil untuk mereka yang boleh WFH.
Dari sudut hubungan dengan pelanggan pula I get to communicate with my own customers. Selalu akan ada team untuk uruskan bahagian customer service. Secara tak langsung, it’s like bonding, ambil tahu tentang mereka yang mungkin kebanyakan usahawan terlepas pandang sebelum ini.
PERSEDIAAN
Raya sudah hampir, memang tak dinafikan banyak duit habis untuk stok raya. Working capital kurang. Tapi apa yang bagusnya bila kita buat retail business, stok baju tiada tarikh luput. Cuma dari segi rekaan baju, ye, kerana fesyen fast forward. Jadi saya kurangkan yang printed dan banyakkan rekaan plain and simple supaya lebih evergreen.
Seterusnya didik pelanggan untuk create demand. Bersamalah kita berdoa agar rantaian wabak ini berjaya diputuskan sebelum raya ini. Andai kata COVID-19 belum berakhir, kita wajib meraikan hari raya. Jadi kita perlukan juga baju raya. Apa yang saya lakukan ialah buat installment untuk customer. Mereka boleh bayar deposit untuk tempahan.
Saya juga memperkukuhkan lagi platform digital kerana itu adalah kunci kekuatan. Saya merancang untuk menjangkau pasaran ke tahap maksimum. Saya percaya kita tidak boleh memberi tumpuan hanya pada satu benda saja.
Perlu mencuba cabang-cabang perniagaan lain bagi menjana aliran pendapatan berganda. Wang yang datang dari pelbagai sumber memberi manfaat kepada usahawan kecil seperti saya agar aliran wang tidak terhenti.
NASIHAT BUAT GOLONGAN MUDA
Nasihat saya buat golongan muda yang mahu berjaya dalam bidang bisnes, jangan terburu-buru. Paling penting kumpul duit dulu dan cari mentor atau penasihat yang dapat membantu kita ke arah yang betul. Dunia bisnes tak selalunya indah, banyak liku dan cabaran yang perlu ditempuh.
Dalam bisnes juga perlu ada sokongan kuat sebab kita akan selalu kena ‘pukul’. Yang memukulnya ramai tapi kita kena bangun sendiri. Kena sentiasa kuat dan jangan mudah putus asa.”
Wanita berusia 27 tahun dan ibu kepada dua anak ini memiliki darah campuran Cina, Belanda dan Jawa. Hampir enam tahun anak kelahiran Johor Bahru ini membawa Losravelda menjadi antara jenama fesyen modest & modern terkenal di Malaysia.
Kempen Losravelda Raya 2020 bakal membawa mesej “Raya Cara Kita” dalam usaha melengkapkan keperluan sebagai Muslim, pada masa yang sama mengamalkan kesederhanaan ketika menyambut Aidilfitri. Walaupun dengan situasi sekarang, kita sebagai Muslim masih dapat menikmati hari raya dengan cara berbeza, cara kita. Koleksi Losravelda 2020 boleh dilihat di Instagram atau laman web Losravelda. #rayacarakita
Kredit Foto: Instagram Emira Khan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!