Usianya baru mencecah 27 tahun tetapi kejayaan yang ditempa Fifa Rasol hari ini cukup membanggakan. Meskipun mempunyai kelulusan dalam bidang perubatan namun wanita berjiwa besar ini nekad menjadikan perniagaan busana muslimah sebagai kerjaya pilihan. Apatah lagi impian untuk membina jenama pakaian sendiri sudah mula terbit sejak di bangku sekolah lagi.
Optimis membawa jenama Fifa Rasol dalam pasaran negara, Fifa atau nama sebenarnya Nur Afifah Rasol ketika dihubungi Nona mendedahkan dia mula serius menceburi bidang perniagaan kira-kira tiga tahun lalu.
“Modal permulaan saya dapat dari ibu sebanyak RM2,000. Saya mula serius berniaga lepas graduate Jun 2019 dan produk pertama saya ialah baju kurung chiffon. Sebenarnya sejak Tingkatan 1 lagi saya dah pasang impian mahu ada brand sendiri. Lebih-lebih lagi sebab saya boleh jahit baju dan suka design pakaian.
Jadi masa berada di tahun keempat perubatan, saya ambil peluang cuti semester 2 minggu untuk design baju dan jual. Tak sangka dapat sambutan. Sejak itu saya buat keputusan untuk teruskan bisnes ini dan anggap ia bukan sekadar untuk jualan isi masa lapang dan cuti semester saja.”
Ujarnya lagi, sejak kecil dia tertarik dengan kecekalan ibu tersayang menjana pendapatan melalui bisnes. “Sumber inspirasi saya ialah ibu saya sendiri sebab dari kecil ibu dah pernah jual macam-macam dan semua yang dia jual mesti laku. Hasil jualan itu jugalah ibu saya ada simpanan yang sangat kukuh sampai sekarang.
Ads
Dari situ saya nampak kesungguhan dan kerajinan ibu yang patut saya jadikan contoh. Saya mula minat dunia bisnes apabila melihat ibu seronok berniaga. Lagi buatkan saya mahu menceburi bidang ini sejak ibu hantar saya belajar menjahit ketika berusia 13 tahun.
Saya juga bersyukur ibu banyak bantu asah bakat saya menjahit dan mereka baju selain bagi duit untuk beli peralatan jahit kain dan mesin jahit. Ibu juga sanggup belikan dua mesin jahit baru untuk saya.
Berkat kerja keras dan sokongan orang sekeliling, Fifa kini mampu tersenyum bangga apabila dia bukan hanya berjaya membantu ramai wanita menjana pendapatan bahkan bakal berpindah ke kilang baru di Kajang, Selangor pada bulan Julai nanti. Tumpang bangga tengok bisnes FifaRasol makin berkembang maju!
Ads
“Alhamdulillah, sekarang saya dah ada 15 orang staf. Sepanjang buat bisnes ini, antara cabaran yang kakitangan saya hadapi ialah nak urus postage yang terlalu banyak setiap hari.
Lebih mencabar bila empayar FifaRasol dalam usaha mengubah hidup 6,000 wanita Malaysia daripada tak berduit kepada yang pandai menjana duit hasil bisnes bersama produk kami.
Sekarang kami dah ada hampir 6,000 agen FifaRasol. 14 orang pula dah berjaya buat sale capai 5 ke 6 angka sebulan. Sempena raya tahun ini, kami dah hasilkan 14 design baju raya dengan 42 pilihan warna yang diilhamkan dari fesyen negara China dan Korea serta ditambah baik menjadi design baju kurung,” jelas graduan MBBS of Jordan Science and Technology ini.
Ads
Sementara itu ditanya amalan yang dilakukan setiap hari agar perniagaan terus berkembang maju, ini jawapan jujur Fifa. “Setiap pagi saya amalkan bacaan Al-Waqiah dan doa dhuha bersama staf FifaRasol selain mengamalkan ayat tujuh untuk dipermudahkan segala urusan.
Sekiranya kita ada impian, kejarlah impian itu dengan berniaga sebab perniagaan ini antara jalan terpantas untuk kita capai impian lebih-lebih lagi apabila kita bersungguh-sungguh.
Kalau ragu-ragu dengan kebolehan diri, tolak tepi dan beri peluang kepada diri untuk mencuba. Zaman sekarang kita dapat kurangkan risiko kerugian dengan berbisnes sambil bermentor. Pastikan kita ada guru untuk mengajar.
Jika tak mampu untuk mengikuti kelas atau bayar khidmat mentor, jadi agen kepada produk sedia ada. Secara tak langsung, anda akan dapat belajar pengalaman berniaga daripada usahawan tersebut secara percuma,” pesan Fifa mengakhiri perbualan yang kini sedang hamil anak kedua.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pemilik jenama skraf Tudung Ruffle, Hanis Arif baharu sahaja melahirkan puteri sulungnya pada 22 November tahun lalu. Bayi perempuan yang digelar Irina oleh wanita yang lebih mesra disapa Anis ini begitu comel dan menjadi kesayangan pasangan ini.
Anis juga telah berkongsi di laman Instagramnya tentang pengalaman bersalinnya dua dulan lalu. “Bila orang tanya Anis sakit tak bersalin Irina? Dulu masa baru-baru lepas bersalin, jawapan Anis sakit giloo, serik, fobia semualah. Sekarang bila orang tanya balik, dah tak ingat dah rasa sakit dia macam mana. Lupa terus padahal baru sebulan lebih. Haha.
Patut lah mommy-mommy ni tak pernah serikkan! Anis ingat bersalin ni macam movie indah bulan bintang bagai. Rupanya lain orang lain pengalaman dia. Bagi Anis sakit contraction taklah sakit mana (thanks to epidural, yeay), sakit masa nak jahit (doktor baru perasan ubat epidural habis) dengan first buang air kecil tu ya ampunnn…
Dan sebab itu jugak lah Anis tak ada gambar kenangan masa lepas deliver. Tudung semua dah terbang campak entah ke mana. Tak faham betul macam mana orang lain boleh still look good lepas bersalin,” kata Anis yang mempunyai pengikut seramai 524 ribu di laman Instagram.
Mengimbau kisah percintaan Anis bersama suaminya Muhammad Irshad Dato’ Capt. Razali ini, mereka telah dipertemukan oleh keluarga Anis. “Anis mula mengenali Irshad daripada keluarga Anis. Pada mula detik perkenalan tidak pernah terlintas sekalipun untuk mendirikan rumahtangga. Lantas selepas dia meminta nombor telefon, kami pun berkawan dan menyelami hati budi masing-masing.
Selepas kira-kira tiga bulan kami berkawan, Irshad datang ke rumah dan membawa bersama keluarganya untuk merisik lantas kami memutuskan untuk berkahwin. Menurut Irshad, dia menyukai Anis yang merupakan anak kedua daripada lapan adik-beradik ini kerana baginya mempunyai keistimewaan tersendiri. “Everything about her. She’s special and unique in her own way. The one and only,” ujar Irshad yang berasal dari Melaka ini.
Tambah Anis pula, “Kali pertama berjumpa, Anis ingatkan dia seorang pendiam tetapi selepas mula berkawan rupa-rupanya dia bukan begitu. Irshad seorang yang kelakar dan suka menyakat. Apabila sering menyakat tanpa disedari ia mencetuskan perasaan rindu kalau tidak mendengar gurau sendanya.
Selain itu pada Anis, dia seorang yang merendah diri, pandai mengambil hati, baik dan penyabar. Umi sendiri berkata dia baik orangnya. Irshad mempunyai matlamat dan hala tuju dalam hidup selain pemikirannya di luar kotak,” tutur Anis yang membuat majlis resepsi dahulu di JW Marriot Putrajaya.
Foto: Instagram @nononess
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Teduh dan nyaman, suasana hijau di lingkungan mahligai Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim menebar ketenangan. Pertama kali berkunjung ke sini, tak lepas mata memandang keindahan banglo yang tersergam. Cukup segalanya, lengkap sebuah pejabat Pesuruhjaya Sumpah di tepi lot kediaman.
Dinamakan sebagai Beyt Sitte Elhabayeb 9922, di sinilah warga Gombak dipelawa mendapatkan perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah. Rupa-rupanya penceramah yang juga ahli politik disegani ini sudah pun memulakan karier barunya bermula 2 Februari 2022 lalu.
“Alhamdulillah setelah hampir setahun saya melalui kursus dan peperiksaan di bawah Mahkamah Persekutuan, akhirnya saya dilantik sebagai Pesuruhjaya Sumpah untuk berkhidmat di kawasan Gombak.
Saya jadi macam pelajar balik, saya pun tak tahu kenapa saya cabar diri saya begitu (ketawa). Ramai orang tanya, ‘kenapa nak ambil ya, berapa sen je orang bayar Pesuruhjaya Sumpah ni? Satu surat akuan sumpah baru RM4 je.’
Saya jawab, ia bukan tentang RM4 tapi tentang mencabar diri untuk belajar semula dan mengetahui lebih banyak tentang undang-undang.
Saya pernah menjadi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kini saya nak mencabar diri saya dalam bidang kehakiman dan perundangan pula.
Sebagai seseorang yang datang daripada latar belakang keagamaan dan syariah, ia langsung tak sama dengan bidang kehakiman.
Saya cuma belajar secara cepat untuk jadi Ahli Dewan Negara dan Ahli Parlimen yang baik, mengikut basic requirement.
Jadi sekarang bila dah bukan siapa-siapa, saya ambil keputusan dalam waktu PKP – ‘Kenapa tidak saja belajar untuk menjadi Pesuruhjaya Sumpah?’ Sebab saya rasa itu sesuai untuk seseorang yang dah ada latar belakang ini.” Dato’ Dr. Mashitah
Mengenali peribadi hebat isteri kepada Dato’ Abdul Shakur Abu Bakar ini, Dato’ Dr. Mashitah sebenarnya bukanlah insan yang asing dalam arena pendidikan tinggi negara kerana pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 16 tahun bermula 1988 hingga 2004.
Anak kelahiran Kedah yang mendapat pendidikan menengah di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah (1977-1982) tersebut mempunyai latar belakang pendidikan tinggi yang cemerlang iaitu merupakan lulusan Sarjana Muda Tafsir dan Hadis dari Universiti Al-Azhar Mesir (1984-1987) serta memiliki Ijazah Sarjana Shariah Islamiyyah (1994) dan Doktor Falsafah (PhD) Shariah Islamiyyah (1997) dari Darul Ulum, Universiti Kaherah, Mesir.
Malah, beliau turut memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Revealed Knowledge and Heritage dari UIAM (1991). Dato’ Dr. Mashitah mula menceburi bidang politik apabila memenangi kerusi Parlimen Baling pada Pilihanraya Umum 2004 dan terus diberi kepercayaan oleh Kerajaan untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri selepas itu (2004-2008).
Pada 2008, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Dato’ Dr. Mashitah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri melalui lantikan sebagai Senator.
CABARAN
Ditanya bagaimana timbulnya minat untuk kembali mentelaah dan mendalami buku undang-undang pada usia begini, Dato’ Dr. Mashitah sempat tertawa kecil.
“Memang sangat mencabar. Saya terpaksa menghadapi peperiksaan, 1 soalan 1 minit untuk jawab, sebanyak 60 soalan. Saya kata – ‘Biar betul at the age of 57 ni! Kuat lagi ke memori nak ingat ni!’ (ketawa)
Alhamdulillah dalam banyak-banyak beratus orang tu, akhirnya berjaya. Ada orang yang sampai 10 kali peperiksaan pun tak berjaya. Sebab peperiksaan ni agak sukar, banyak buku yang kena dibaca dan lebih lagi tentang undang-undang ni kita kena ‘sharp’.
Saya duduk dalam bidang politik, saya dilatih untuk membolehkan apa saja. Yang tak boleh pun kita kena bagi boleh, sebab kita politician. Iyalah, nak bagi rakyat seronok. Itu kita punya latihan dulu. Tapi duduk dalam undang-undang, it’s a big NO. A is A. Tidak ada tolak-ansur. Ia melatih saya kepada satu bidang baru.
Menjadi Pesuruhjaya Sumpah, saya perlu lebih precise, sharp, tepat, tidak boleh tersilap. Kena tepat betul, kalau orang datang, kena periksa dulu latar belakang sebelum nak tanda tangan.
Pastikan betul ke dia ni tanpa dipaksa untuk sumpah dia, apa afidavit yang dibawa, kita ni sebagai pembantu Mahkamah apa exhibit dia… A lot of things yang saya belajar dalam satu dunia baru.” Dato’ Dr. Mashitah
KERJAYA
Dato’ Dr. Mashitah turut berkhidmat dan menyumbang dalam pelbagai lapangan lain berkaitan institusi agama Islam, pendidikan dan industri antaranya Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (2012-kini); Pengarah Grand Commerce Network Sdn. Bhd (2014-kini) dan Panel Perunding Majlis Perundingan Islam (MPI) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (2015-2018).
Beliau juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 28 September 2020 hingga 27 September 2022. Pelantikan beliau dibuat oleh YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi adalah selaras dengan Seksyen 17(1)(f) Perlembagaan USIM (Wakil Swasta).
Mengakhiri pertemuan singkat kami, Dato’ Dr. Mashitah turut berkongsi perasaannya dengan kehidupan yang dijalani kini.
“Alhamdulillah saya rasa kini saya juga dah menetap langsung di Gombak. Kalau dulu saya berpolitik di Baling, agak sukar. Jadi bila bermula PKP hari tu, saya dah tak boleh balik. Susah nak bergerak ke luar kawasan.
Selepas bincang dengan Presiden Parti untuk bertukar, menumpukan kerjaya politik saya di Gombak supaya tak menyusahkan saya untuk berulang-alik. Akhirnya mendapat restu.
Jadi saya banyak menumpukan karier politik di Gombak sekarang. Anak-anak pun alhamdulillah, ketiga-tiganya sudah berkahwin. Saya rasa penumpuan pada keluarga tu, dapat lebih banyak berbanding dulu.
Di peringkat-peringkat umur ni, saya mahu kestabilan. Dulu kita tak stabil, terpaksa berulang-alik. Di sini tinggal, di sana kena tengok. Sekarang saya rasa diri saya lebih stabil.
Saya ada karier, saya masih lagi boleh berpolitik dan dalam masa yang sama, saya ada pejabat yang kondusif dengan rumah saya. Saya boleh bagi semua orang hak masing-masing.” Dato’ Dr. Mashitah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.