Tidak dinafikan untuk menjadi usahawan berjaya bukan saja perlu kreatif dan berani. Tetapi juga mesti pantas mencari peluang. Sedar Pilihan Raya Umum (PRU) 15 bakal berlangsung pada 19 November nanti, Nur Hazwani Abdul Zainal mengambil peristiwa itu untuk menghasilkan rekaan terbaharu koleksi tudung keluarannya.
Yang pasti, bahang PRU 15 nyata membuka pintu rezeki buat pengusaha tudung terkenal ini apabila rekaan tudung bermotifkan logo parti politik mendapat sambutan hangat di pasaran.
Pengasas bersama tudung bawal Kekaboo, Nur Hazwani Abdul Zainal berkata 11,000 helai tudung jenamanya dijual dalam tempoh kurang 20 minit!
Ini selepas rekaan eksklusif berkenaan dimuat naik di laman sesawang jenama itu pada 19 Oktober lalu. Luar biasa!
Difahamkan antara 13 logo parti politik yang dipilih sebagai motif tudung ialah Barisan Nasional, UMNO, PKR, PAS, BERSATU, AMANAH dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Ads
Memetik kenyataan Nur Hazwani kepada Bernama, menerusi perusahaan Kekaboo miliknya dia ingin memeriahkan suasana PRU ke-15 dengan rekaan tudung baharu memandangkan sudah sekian lama tiada peristiwa besar di Malaysia susulan penularan Covid-19.
“Kekaboo memainkan peranan untuk menghangatkan dan memeriahkan suasana PRU-15. Ini adalah sesuatu yang manis untuk semua orang terutamanya untuk memberi kenangan setiap lima tahun sekali kita meraikan pilihanraya.”
Pertama kali mengeluarkan corak tudung dengan motif parti politik sejak menubuhkan jenama fesyen tersebut pada 2014, wanita berusia 31 tahun ini tidak menyangka menerima sambutan luar jangkaan dan menyasarkan pengeluaran lebih 50,000 helai tudung sehingga PRU ke-15.
Kata Nur Hazwani, idea menghasilkan rekaan itu bagi memenuhi permintaan pelanggan daripada pelbagai parti politik selain mahu mengeluarkan produk mengikut musim dan trend semasa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini di beberapa negeri terutama Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan memberi kesan mendalam terhadap mangsa yang terlibat. Ada juga yang terpaksa menanggung kerugian besar akibat kerosakan dan kehilangan harta benda yang menjejaskan kelangsungan hidup mereka.
Ia bukan saja mendapat liputan meluas seluruh negara bahkan menjadi perhatian para sukarelawan termasuklah Presiden Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) yang juga Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau antara pemimpin terawal yang turun padang untuk membantu penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam. Sekelip mata saja nama YB Syed Saddiq menjadi trending sekaligus membuka mata masyarakat akan keprihatinan pemimpin termuda negara ini.
Maka, selayaknya beliau diiktiraf sebagai pemimpin belia berjiwa rakyat dan dianugerahkan Nona Men’s Inspiring Award.
Memperjuangkan suara anak muda serta golongan terpinggir dan tidak berkemampuan menjadi perjuangan utama bagi pemimpin berusia 28 tahun ini. Syed Saddiq terkenal dengan keberanian dan kelantangannya bersuara dalam setiap isu terutama berkaitan generasi muda.
“Kalau takut untuk berkorban jangan masuk landskap politik. Saya tidak pernah menoleh ke belakang. Saya sertai politik untuk bersihkan politik. Bagi memastikan golongan yang ‘tiada suara’ iaitu yang tidak berkemampuan dan terpinggir mendapat pembelaan sewajarnya.
Seterusnya, membina sebuah negara yang mana semua rakyat tak kira agama, bangsa, usia dan fahaman bangga untuk memanggil negara Malaysia sebagai rumahnya. Rumah yang akan kita pertahankan bersama.”
BAPA PERNAH DIBUANG KERJA
“Orang yang paling memberi impak paling bermakna pada diri saya ialah bapa. Saya dilahirkan dalam keluarga dari golongan pertengahan. Ibu seorang guru manakala bapa seorang yang kuat bekerja namun tiada pekerjaan tetap. Setiap hari bapa akan pergi ke Singapura dari Johor Bahru untuk mencari rezeki buat keluarga. Setiap hari saya melihat bapa bangun seawal jam 4 pagi dan keluar bekerja jam 5 pagi. Ada hari naik motor, ada hari naik bas dan ada hari naik kereta. Bapa akan pulang ke rumah pada lewat malam sekitar jam 11 atau 12 malam.
Walaupun pernah dibuang kerja beberapa kali tetapi bapa sentiasa bangkit untuk terus bekerja keras untuk menyara keluarga. Bapa sumber inspirasi saya yang sebenar. Walau jatuh bangun pun bapa tidak pernah abaikan keluarga. Semangat yang dibawa, apa pun rintangan yang dihadapi jangan mudah putus asa. Itulah pengalaman yang tidak akan saya lupa. Bapalah yang mengajar saya erti hidup sebenar dan usah mudah mengalah.
Kini usianya sudah mencecah 66 tahun. Selayaknya bapa digelar superhero kerana beliau seorang yang sanggup korbankan diri demi kepentingan yang lebih besar. Justeru, saya sentiasa berpegang kepada prinsip ‘Di mana ada kemahuan di situ ada jalan’. Perlu ada matlamat hidup. Kedua, always follow your heart selagi ia membawa ke arah kebaikan. Jika melibatkan keputusan-keputusan besar yang perlu saya buat, ibu dan bapalah yang menjadi penasihatnya selain membuat pertimbangan pro and cons,” kongsi Syed Saddiq.
PENCAPAIAN TERBESAR
Salah satu pengalaman yang agak manis namun permulaannya pahit ialah ketika saya mengusulkan pindaan perlembagaan untuk Undi 18, undi automatik dan Calon 18. Dalam sejarah Malaysia tidak ada mana-mana kerajaan yang tidak ada sokongan dua pertiga berjaya untuk meminda perlembagaan.
Tetapi melalui usaha merentasi parti, saya berunding dan berdiplomasi dengan mereka yang dalam kerajaan dan juga pembangkang. Saya berjumpa dan berdiskusi dengan mereka mencari titik tengah bagi mengangkat martabat suara anak muda. Akhirnya buat pertama kali dalam sejarah Malaysia kita berjaya meminda perlembagaan 3 kali sekaligus memberi suara yang sangat kuat pada anak-anak muda.
Ada penambahan 7.8 juta pengundi muda sekaligus memastikan anak muda akan menjadi king maker atau penentu utama hala tuju negara, automatic voter registration dan Calon 18. Umur 18 tahun sudah boleh dicalonkan. Ini sangat bermakna buat saya kerana ia dapat dilakukan melalui usaha semua pihak. Pada masa yang sama ia akan menjadi political earthquake terkuat dalam sejarah politik Malaysia yang akan menentukan pilihanraya akan datang dan seterusnya. Suara anak muda tidak akan lagi ditenggelamkan,” kongsi graduan Undang-Undang serta Maktab Tentera Diraja ini.
Kredit Foto: Instagram Syed Saddiq
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bangga bila wanita Malaysia mampu ‘bawa’ masakan tempatan ke persada antarabangsa. Secara tidak langsung berjaya mempromosikan budaya dan tradisi negara kepada dunia. Sememangnya usaha Diana Chan dalam dunia kulinari bukan saja memberi manfaat buat diri sendiri. Malah mengangkat juadah Malaysia agar lebih dikenali ramai.
Bagi mereka yang meminati dan mengikuti perkembangan dunia masakan sudah pasti mengenali sosok tubuh selebriti chef yang anggun ini. Wanita bernama Diana Chan mula menempa nama setelah berjaya merangkul gelaran juara pertandingan MasterChef Australia musim ke-9.
Ia sekali gus melayakkan wanita kelahiran Sitiawan, Perak ini membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah AUD250,000 bersamaan dengan RM834,000.
Meskipun sudah hampir lima tahun berlalu namun pertandingan yang berlangsung pada tahun 2017 itu telah melonjakkan nama Diana Chan. Difahamkan dia yang dibesarkan di Johor Bahru sejak usia tiga tahun turut diberi peluang beraksi dalam rancangan masakan termasuk Unplated with Diana Chan di SBS Food Channel.
Terpegun melihat anak Malaysia ini menghidangkan sajian yang begitu istimewa. Terbaharu, Diana menerusi media sosial miliknya turut mempromosikan keenakan kuih tradisi, Kuih Lapis!
Mengimbas kembali pembabitan Diana Chan, dia mula berpindah ke Australia pada usia 18 tahun untuk menyambung pelajaran di Deakin University dalam jurusan perdagangan. Selepas menamatkan pengajian Diana diberi peluang bekerja di sana sebagai akauntan.
Wanita yang berusia 34 tahun ini mendapat inspirasi untuk memasak dari masakan Peranakan Baba-Nyonya yang diwarisi daripada ibu dan bapanya.
Semoga Diana Chan terus bersemangat membawa masakan Malaysia ke persada dunia dan terus mencipta nama dalam dunia masakan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebagai satu-satunya negara yang mengalami pertumbuhan positif di sebalik pandemik COVID-19, China terus menunjukkan ‘taringnya’ sebagai kuasa ekonomi No. 1 di dunia dengan melahirkan ramai jutawan wanita.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Hurun Research Institute, 61 peratus usahawan wanita bergelar jutawan memiliki kekayaan melebihi AS$1 bilion, jauh mengatasi Amerika Syarikat di tempat kedua dan United Kingdom ketiga.
Zhong Huijuan, seorang usahawan China berusia 61 tahun memulakan syarikat farmaseutikal tanpa sebarang pengalaman kini bergelar wanita terkaya di dunia dengan kekayaan bernilai 106 bilion yuan (kira-kira AS$15.1 bilion).
Menurut Bloomberg Billionaires Index, Zhong berada di senarai ke-97 orang paling kaya di dunia dengan anggaran kekayaan US$19.2 juta.
Merupakan seorang graduan lulusan sarjana kimia dari Jiangsu Normal University, wanita ini memulakan kerjayanya sebagai guru kimia di sebuah sekolah menengah.
Pada tahun 1995, bekas guru kimia itu mengasaskan Hansoh Pharmaceutical, iaitu pembuat ubat-ubatan farmaseutikal terbesar di China.
Sementara suaminya, Sun Piaoyang juga menjalankan bisnes yang sama melalui Jiangsu Hengrui Medicine, menjadikan pasangan ini sebagai keluarga perniagaan farmaseutikal terkaya di dunia.
Penularan kes COVID-19 meningkatkan permintaan pasaran stok ubat-ubatan dan pelbagai peralatan perubatan China yang dibekalkan oleh syarikat Hansoh Pharmaceutical.
Sebagai pengasas, Zhong Huijuan merupakan pemegang saham terbesar di syarikat yang terkenal dengan ubat-ubatan sistem saraf, kanser, diabetes serta perawatan gastrousus dan kardiovaskular.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT dan sudah pun tertulis di Luh Mahfuz. Industri seni tanah air pada 5 Ogos lalu kehilangan seorang bintang berbakat besar dikenali sebagai Cik Man yang telah lama mewarnai dunia hiburan sejak 40 tahun lepas.