
Pelakon cantik, Siti Saleha telah melangkah ke suatu aras lain dalam fasa kehidupannya apabila menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Baru-baru ini wanita yang berusia 31 tahun ini telah melancarkan produk kecantikan pertamanya, Güzelim By Siti Saleha Lush Jelly.


Berkolaborasi dengan syarikat pengilangan tempatan, Tyani, wanita kacukan Melayu-Inggeris ini telah berkongsi rahsia cantiknya dengan mengoptimumkan khasiat ekstrak habbatussauda.
Suplemen sedia untuk dimakan (ready-to-eat) ini turut menyediakan kebaikan buah delima, vitamin C, kranberi, madu dan banyak lagi. Diadun sempurna untuk melambatkan kesan penuaan dan merangsang kulit bersih serta berseri-seri.


Wanita cantik yang membintangi drama popular 7 Hari Mencintaimu ini menyatakan, ilham untuk mengeluarkan produk ini hadir apabila sering sibuk dengan tugas harian tetapi dalam masa yang sama mahu kekal cantik dan cergas.
Perkataan güzelim itu sendiri bermakna ‘kecantikanku’ dalam bahasa Turki. Semoga adik kepada vokalis kumpulan popular, Bunface ini terus sukses mengemudi perniagaan miliknya.

Dalam pada itu, penghujung tahun 2020 telah membawa tuah buat pelakon cantik ini apabila berjaya mencipta sejarah peribadinya dengan mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Siti Saleha telah memenangi anugerah kategori Asian Model sempena penganjuran Asia Model Festival 2020.

Mendapat pengiktirafan antarabangsa bukan sesuatu yang mudah kerana terpaksa melalui sistem penghakiman yang efisyen. Sebelum ini anugerah ini pernah diterima oleh dua selebriti popular tempatan iaitu Amber Chia dan Amelia Handerson.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Saya Terlalu WORKAHOLIC, Kurang Rehat & Pemakanan Tak Seimbang Punca Kanser” DR SITI ZAINAB

Tahun lalu merupakan detik paling getir buat wanita berusia 40an ini apabila diuji dengan kanser payudara. Sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran kerana tiada sejarah dalam keluarganya yang menghidap kanser yang menjadi ‘musuh’ paling digeruni setiap wanita.

Finalis Anugerah Wanita Cemerlang Nona yang juga pengasas Elite Group of Consultants dan Elite Wealth Advisors, Dr Siti Zainab Mohd Zaini atau terkenal dengan panggilan Bochi ini tidak patah semangat sebaliknya positif dengan apa yang berlaku selain pasrah dan percaya dengan hikmah Allah SWT. Berkat kesabaran dan semangat yang tinggi kini Dr Siti Zainab mampu tersenyum apabila disahkan sembuh sepenuhnya daripada kanser payudara.
“Saya dilahirkan dalam keluarga yang kuat bekerja. Abah seorang petugas kerajaan di siang hari dan berniaga satay pada waktu malam. Begitu juga ibu siang bekerja di kilang, malam membantu Abah menjual satay di samping bekerja sampingan sebagai ejen jualan langsung demi menyara kami 4 beradik. Jelaslah darah workhalic sudah mengalir dalam diri saya sejak kecil.

Ceritanya bermula apabila tahun lalu, saya melakukan rutin pemeriksaan kesihatan termasuk mammogram dan pap smear di KPJ Ampang Puteri. Keputusan secara keseluruhannya perfect tapi keputusan mammogram dan ultrasound pula sebaliknya. Terdapat satu ketulan kecil di payudara kanan. Saya dirujuk kepada pakar dan disyor melakukan pembedahan kecil iaitu biopsy bagi mengenal pasti ketulan itu dengan lebih terperinci.
Hari pertama saya didiagnos kanser, doktor mencari punca dengan interview saya lebih mendalam kerana tiada dalam sejarah keluarga saya yang mengidapnya. Point seterusnya doktor kaitkan dengan cara hidup saya. Menurutnya seorang yang workaholic, kurang rehat, pemakanan tak seimbang dan kurang bersenam antara sebab. Begitu juga dengan kerohanian semuanya perlu seimbang.

Walaupun mulanya agak terkejut namun saya pasrah dengan ketentuanNya. Saya mesti berjuang dan positif untuk beri semangat kepada keluarga. Saat merasa sakit, saya ingatkan diri ia hanya sementara dan membayangkan masa depan yang sihat dan bahagia. Maka bermulalah perjalanan saya sebagai pesakit kanser payudara yang perlu menjalani rawatan susulan dan pembedahan sehinggalah disahkan sembuh baru-baru ini.

SEMBUH
Syukur, pada Julai 2020 doktor memaklumkan saya sudah sembuh setelah melalui 6 cycle kemoterapi, 15 kali radioterapi dan setahun rawatan susulan. Satu pengalaman ‘perit’ yang tiada seorang pun mahu melaluinya. Namun, ia mengajar saya agar menghargai kehidupan sebaiknya. Sepanjang bergelar seorang pejuang kanser inilah 7 prinsip yang saya amalkan.
Pertama, pentingnya pemeriksaan kesihatan menyeluruh dibuat setiap tahun. Kebanyakan penyakit dalaman tidak menunjukkan tanda-tanda sehinggalah dah sampai ke peringkat serius. Bagi wanita bila dah berumur 40 tahun perlu menjalani pemeriksaan mammogram bagi mengesan kanser payudara di peringkat paling awal iaitu sebelum ketumbuhan dapat dirasai.

Kedua, peka dalam pemakanan. Tukar kepada yang lebih sihat agar lebih bertenaga dan dapat menstabilkan berat badan ke paras ideal. Saya juga bertemu dengan pakar diet. Selain belajar tentang pemakanan sihat saya juga belajar mengira kalori.
Saya juga jadikan senaman sebagai rutin seperti Zumba atau latihan regangan, minimum 20 minit sehari. Saya rasa lebih kuat, badan lebih ‘ringan’ dan mudah tidur lena di waktu malam. Bersenam menjadikan jantung kita lebih sihat, awet muda, mengurangkan risiko penyakit dalaman, menguatkan tulang dan stamina.

Seterusnya, tidur yang cukup. Dulu saya terlalu workaholic, kerja sampai 16 jam sehari pun ada. Kini saya tidur dalam 4 ke 5 jam sehari saja. Atas nasihat doktor saya mula berehat dan tidur pukul 11 malam. Keesokannya bangun pada pukul 5 pagi.
Urusan perniagaan saya hadkan kurang dari 8 jam sehari agar banyak masa dengan keluarga termasuk aktiviti bersama rakan-rakan, persatuan dan kebajikan. Saya amalkan work ife balance, bukannya berapa banyak masa yang kita kena fokus untuk sesuatu urusan. Yang penting kualiti kerja dan usaha kita.

Secara tak langsung saya belajar bagaimana menguruskan stres termasuk kurangkan banyak berfikir sebab saya ini pemikir orangnya. Jadi, dugaan kanser mengajar saya untuk nikmati kehidupan dengan lebih ceria, gelak tawa, menganggap sesuatu masalah kecil saja serta sayangi keluarga, rakan dan orang di sekeliling.
SUAMI SENTIASA DI SISI
Dari hari pemeriksaan sehingggalah keluar keputusan pemeriksaan dan biopsy suami sentiasa di sisi. Suami banyak memberi nasihat, dorongan dan kata-kata semangat agar saya terus berjuang dan kembali sihat.

Antara kata-kata semangat suami kepada saya ialah “Kita cari ubat, kita ikut cakap doktor”. Suami turut membawa saya bertemu dengan sahabat baik saya, Dr. Nor Aniza yang juga seorang pejuang kanser bagi bertanyakan pendapat dan nasihat. Selain suami, dua anak saya iaitu Iskandar dan Natasha juga sumber kekuatan saya.


Selain itu, semangat dan perkongsian yang diberikan oleh para pejuang kanser yang lain turut menjadikan saya semakin kuat. Saya terus memberikan inspirasi, semangat dan ilmu kepada orang lain melalui persatuan-persatuan kanser serta taklimat kesedaran tentang barah payudara di sosial media dan jemputan di majlis-majlis ilmu.

KERJAYA
Syarikat saya baru melancarkan Pelan IFP dan Elite Perihatin sempena meraikan 20 tahun berada dalam industri pengurusan kewangan. Pelancaran itu sejajar dengan permasalahan semasa iaitu perancangan kewangan yang efektif di kala COVID 19 dan bantuan serta idea menambah baik kewangan kepada mereka yang terjejas teruk. Selari dengan projek Penjana, saya juga menyambut baik saranan kerajaan untuk mengambil dan melatih seramai mungkin mereka yang telah hilang pekerjaan.
SOKONG KEMPEN PINK RIBBON
Tak ramai yang peka tentang kanser serta tabiat dan pola pemakanan yang betul. Kempen ini perlu beri tumpuan kepada pesakit kanser kerana ramai lagi di luar sana masih tak tahu untuk menguruskan dengan betul, baik pesakit mahupun penjaga itu sendiri. Semoga perjuangan saya ini memberi inspirasi kepada para pesakit kanser untuk berusaha ke arah kesembuhan. Usah berputus asa.”
Kredit Foto: Instagram @drsitibochi.skillmentor
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Sayangi Anak, Kita Tak Tahu Siapa Pergi Dulu,” Luluh Hati Dengar Luahan Linda Rafar

Rasa rindu pada yang telah tiada sukar diungkap dengan kata-kata. Lebih-lebih lagi rindu seorang ibu kepada anaknya. 7 tahun telah berlalu namun rindu Linda Rafar terhadap anak tersayangnya, Rezaimen Kiflin Kifli yang ‘pergi’ sekitar tahun 2014 akibat penyakit kanser perut terus mengalir.


“Ya Allah, saya menangis lagi ni,” tutur Linda Rafar saat ditanya tentang rasa rindu tehadap anak tersayangnya yang mesra disapa Memen itu. Walaupun penyanyi yang pernah menganggotai kumpulan Elite ini reda dan positif apabila anaknya ‘dijemput’ lebih awal darinya tetapi kadang-kadang naluri keibuannya terusik.


Memen merupakan anak kedua Linda Rafar hasil perkahwinan pertama bersama bekas suaminya, Keifli Othman. “Sayangi Anak, Kita Tak Tahu Siapa Pergi Dulu,” kata Linda Rafar. Linda turut berkongsi bakal melancarkan novel keduanya, Menunggumu Di Pintu Syurga 2 dam tempoh dua minggu lagi.


Sebelum ini, novel hasil luahan perasaan tentang Memen, Menunggumu Di Pintu Syurga, telah mendapat sambutan dan terjual lebih 150,000 naskah. Bercerita tentang hasil tulisan keduanya, “Novel kedua ini lebih terperinci dan lebih banyak cerita dalam diari Memen yang saya jumpa serta berkisar tentang mimpi,” ulas Linda Rafar ringkas dan boleh menghubungi Linda Rafar untuk mendapatkan naskhah tersebut.



Bercerita tentang kelainan yang berlaku pada anaknya sebelum pemergiannya,”Ada sebuah charity yang sering memberi hadiah buat para pesakit. Setiap katil dia akan tanya nak apa. Mereka akan datang setiap Khamis untuk hiburkan kanak-kanak di wad.
Tapi Memen akan ambil present semua yang underage. Dia akan ambil playdoh, lego. Dia ambil dan simpan belakang katil dia. Saya hairan dan tanya kenapa, dia hanya jawab sebab nak lego dan simpan.



Hari dia nak ‘pergi’ tu, dia panggil adik-beradik dia datang, dia bagi wasiat dan serahkan barang-barang yang dia simpan kepada adik-adiknya,” cerita Linda lagi.
Membeli-belah di hujung jari.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penantian 20 Tahun Seorang Bapa Untuk Genggam Master Terbalas, Rai Graduasi Bersama Dua Anak

Penantian selama 20 tahun Leow Kam Choy, 53, untuk menggenggam segulung ijazah sarjana terbalas apabila beliau dapat meraikan hari graduasi bersama kedua anak perempuannya pada Majlis Konvokesyen UTM kali ke-65.
Beliau yang juga merupakan alumni UTM 1993, berkongsi kisah di sebalik penantian 20 tahun yang perlu dilaluinya sebelum berjaya menggenggam Ijazah Sarjana dalam jurusan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah selepas tempoh 3 tahun pembelajaran.

“Saya pernah melanjutkan pengajian Master dalam jurusan Pentadbiran dan Pengurusan Tanah pada tahun 2002, tetapi kerana keadaan yang tidak mengizinkan ketika itu saya tidak dapat menamatkannya.
Maka kejayaan hari ini merupakan sesuatu yang amat bermakna bagi saya kerana penantian selama 20 tahun berbaloi. Lebih bermakna apabila secara kebetulan saya juga dapat bergraduasi bersama kedua-dua anak perempuan saya,”.
Hasil pengorbanannya itu, Leow Kam Choy kini memiliki firmanya sendiri iaitu Juruukur Megah Jaya yang beroperasi di Taman Desa Skudai. Kelonggaran bekerja dari rumah ketika pandemik telah menghidupkan kembali semangat juang beliau untuk menyambung pengajiannya yang tertangguh.
Tidak menyangka akan bergraduasi bersama ayah tersayang, Leow Hui Xian dan adiknya Leow Hui Qing yang masing-masing telah menamatkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik dan Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah, mengakui kerjaya bapa mereka sebagai juruukur banyak mempengaruhi keputusan mereka dalam memilih laluan kerjaya.

Melanjutkan pengajian ketika usia sudah menginjak ke 50-an di zaman modenisasi kini, sedikit sebanyak memberikan cabaran buat beliau terutama bagaimana untuk mengendalikan pelbagai perisian di dalam komputer.
Namun begitu, cabaran itu dijadikan peluang bagi Leow Kam Choy untuk berinteraksi dengan lebih kerap dengan anak-anaknya. Secara tidak langsung hubungan anak beranak kian rapat.
“Apabila ayah mengalami kesukaran untuk menggunakan sesuatu perisian, kamilah yang banyak membantu. Secara tak langsung masa yang kami luangkan bersama ayah telah mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga,” kongsi anak perempuannya.
Pesan Leow Kam Choy buat generasi muda, “Study never end’ selagi diberi peluang dan kudrat untuk menuntut ilmu. Tuntutlah semaksima mungkin kerana ilmu merupakan harta paling berharga yang boleh dimiliki oleh seorang insan. Manfaat yang bakal diperoleh lebih luas daripada apa yang kita sangkakan.
Leow Kam Choy kini sudah mendaftarkan dirinya untuk melanjutkan pengajian Doktor Falsafah di dalam bidang yang sama dan berharap kesungguhannya menjadi ikutan serta ispirasi buat anak-anak,
Sumber: UTM Newshub
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


