Penyanyi juga pelakon terkenal Marc Anthony berkahwin buat kali keempat minggu lalu di mana penyanyi berkenaan memilih bekas ratu cantik berasal dari Paraguay, Nadia Ferreira sebagai isterinya.
Majlis perkahwinan dalam suasana romantis pasangan tersebut telah diadakan di Pérez Art Museum in Miami, Florida, Amerika Syarikat.
Memetik laporan Daily Mail, majlis perkahwinan serba mewah pasangan itu turut dihadiri ramai rakan selebriti antaranya bekas pemain bola sepak terkenal, David Beckham bersama isterinya, Victoria Beckham, Salma Hayek, Lin Manuel Miranda dan Luis Fonsi.
Menerusi beberapa keping gambar yang dikongsikan, penyanyi yang popular menerusi lagu My Baby You itu kelihatan segak mengenakan sut jenama mewah, Christian Dior, manakala Ferreire pula menggayakan gaun putih yang dihiasi renda daripada pereka fesyen ternama, Galia Lahav.
Pasangan bahagia itu mengikat tali pertunangan pada May tahun lalu, kira-kira selepas sebulan khabar angin tentang kisah percintaan mereka dihidu pihak media apabila kedua-duanya kelihatan mesra sewaktu menghadiri acara Latin Grammy Awards.
Anthony sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama isteri pertamanya, Dayanara Torres yang juga pemenang pertandingan ratu cantik, Miss Universe 1993 pada 2000, namun bercerai empat tahun kemudian.
Pada tahun yang sama (2004), Anthony sekali lagi berkahwin dengan selebriti terkenal, Jennifer Lopez. Namun rumah tangga yang dibina akhirnya runtuh selepas 10 tahun bersama.
Untuk perkahwinan kali ketiga, Anthony mendirikan rumah tangga bersama aktres asal Venezuela, Shannon De Lima pada 2014 dan bercerai pada 2017.
Hasil ketiga-tiga perkahwinan tersebut, Anthony dikurniakan enam orang cahaya mata termasuk dua anak Jennifer Lopez.
Perbezaan usia 30 tahun tidak menghalang penyanyi terkenal Marc Anthony untuk memilih Nadia Ferreira yang baru berusia 23 tahun sebagai isterinya baharunya. Pemenang Anugerah Grammy tiga kali dan Naib Juara pertandingan Miss Universe 2021 dari Paraguay sebelum itu mengikat tali pertunangan pada Mei 2022.
Ferreira turut berkongsi berita tersebut menerusi Instagram Story dengan memuat naik gambar kedua-dua tangan mereka. Pada jari manisnya tersarung cincin berlian yang besar dan berkilauan.