Wajahnya sering kelihatan di majlis-majlis rasmi. Dengan penampilan sederhana dan tidak lekang mengukir senyuman, keperibadian Datin Seri Shamshida Taharin cukup menyenangkan. Bertentang mata dengan isteri kepada Menteri Besar Selangor ini ketika menjayakan sesi fotografi bersamanya dan ahli keluarga sekitar tahun 2017 ternyata satu pengalaman yang cukup manis. Melewati usia perkahwinan selama 29 tahun di samping Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, pasangan ini telah dikurniakan enam cahaya mata iaitu Farah Shazliyana (27), Mohamed Ameer Shazrin (25), Farah Amira (24), Farah Afifah (22), Mohamed Basheer Noor Al-Haq (17) dan Mohamed Yusuf Al-Sadiq (15).
Hampir 3 dekad berkongsi hidup bersama Dato’ Seri Mohamed Azmin yang kini menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, sudah pasti Datin Seri Shida cukup masak dengan sikap suami tercinta. “Dia di mata saya, seorang lelaki yang sangat beradat, beradab, pengemas dan sangat terperinci. Mungkin kerana terlalu mahir dalam matematik, dia mempunyai skil ketepatan dan ingatan yang amat kuat. Contohnya kalau dia bertugas di luar negeri, semua baju yang dipakai akan dilipat kembali, begitu kemas sampaikan saya keliru mana satu yang bersih atau kotor!
Pernah seorang pegawai Dato’ maklumkan pada saya, dia ni seorang yang sangat kemas dan kuat ingatan. Di atas meja, dia akan susun dokumen dengan cermat dan jika dia telefon dari luar negara, dia akan ingat di mana sesuatu dokumen itu disusun sebelum bertolak. Baris ke berapa, ditindih dengan apa. Tepat. Sebab tu kita tak boleh suka-suka alihkan barang dia.
Ads
Selain itu, Dato’ juga seorang yang pandai memasak, malah mungkin lebih handal daripada saya. Saya fikir dengan cara dia dibesarkan, banyak ilmu kepakaran memasak ibu mertua diturunkan kepadanya. Teringat ketika kami belajar di Amerika Syarikat dulu, dia juga yang memasak dan hantar juadah itu ke rumah saya. Bayangkan juga kaedah orang dulu-dulu buat nasi impit, tekan padat-padat dengan buku… Hah, macam itulah dia buat,” imbau Datin Seri Shida sambil tertawa.
Momen perkenalan pasangan genius ini menjadi perbualan kami seterusnya. “Sebagai anak guru, saya memang sentiasa didedahkan tentang pentingnya pelajaran oleh ibu bapa. Terutama sekali ibu saya, Puan Siti Rahmah Ismail (80). Alhamdulilah, ketika di Sekolah Menengah Sains Bukit Mertajam, Pulau Pinang, saya selalu menjadi top student dan mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester. Saya juga pernah ditawarkan untuk mendalami bidang perubatan tapi akhirnya saya menolak.
Saya masih ingat pertemuan dengan Dato’ buat pertama kali. Hari itu dia datang ke tempat saya di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Bukit Gambang, bersama wakil universiti bagi memilih pelajar terbaik ke University of Minnesota. Tanpa disangka, saya terpilih dan menerima biasiswa MARA untuk ke American Degree Program. Maka bermulalah kisah hidup saya sebagai anak perantau di Amerika.
Ads
Sayangnya ketika tiba di sana, bagasi saya hilang. Pihak syarikat penerbangan pula mengambil masa yang lama untuk mencari dan memulangkan bagasi itu. Maka secara tidak sengaja, bermulalah perkenalan kami dengan lebih rapat. Dia sebagai ketua pelajar, bertanggungjawab untuk mencarikan apartmen kami termasuk menguruskan hal ehwal pelajar baru Malaysia.
Pensyarah kami pernah mengusik. Katanya suami saya telah memilih saya dari awal untuk dijadikan isteri. Mungkin kerana selepas saya menamatkan baki pengajian dua tahun di Malaysia, tidak lama kemudian Dato’ pun masuk meminang. Tapi sebenarnya kami percaya pada jodoh dan alhamdulilah berkekalan sehingga ke hari ini,” kata Datin Seri Shida yang berbeza usia hanya setahun lebih muda daripada Dato’ Seri Azmin.
Ads
Selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat, Datin Seri Shida seterusnya bergelar pelatih di syarikat pembinaan EMKAY selama enam bulan dan di Malaysia Airlines sebagai management trainer selama enam bulan. Selepas mendirikan rumah tangga dengan Dato’, beliau menyertai Phileo Allied Bank sebagai konsultan. “Kini selain menumpukan perhatian pada anak-anak, masa saya lebih banyak terisi dengan program sendiri. Saya merupakan Pengerusi di Rumah Puteri Arafiah (di bawah kelolaan PEKAWANIS) yang merupakan sebuah rumah pemulihan dan perlindungan remaja bermasalah di antara usia 12 ke 21 tahun.
Saya dan anak-anak juga aktif berhubung melalui grup Whatsapp. Itulah cara kami bersembang dan mengeratkan hubungan bila masing-masing jauh di mata. Dato’ pula tidak memiliki Whatsapp dan saya fikir tak perlu pun kerana dia sudah begitu sibuk dengan tugasnya.
Sebenarnya sepanjang hidup suami saya, dia memang seorang yang selalu sibuk. Dari seorang ahli politik, sehingga bergelar ADUN, Ahli Parlimen dan sekarang, Menteri Besar, tingkat kesibukannya semakin lama semakin tinggi. Sebagai teman hidup, saya cuma mengikut apabila kehadiran diperlukan. Tapi sebenarnya saya suka berjumpa rakyat dan melalui program-program tertentu, saya seronok dapat menyalurkan amal jariah serta membantu golongan susah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bertuahnya insan bernama Noor Neelofa Mohd Noor. Daripada belum bertudung dan kemudian berhijab hingga kini tampil berpurdah, nilai eksklusiviti Neelofa masih bertahan sampai sekarang.
Tidak hanya perniagaan Naelofar dan Nunha miliknya semakin berkembang maju, personaliti Neelofa juga sering menjadi perhatian walau dia sudah pun berkahwin dan bergelar ibu!
Siapa sangka meskipun sudah berpurdah dan sedang hamil anak kedua ketika ini, jenama-jenama mewah antarabangsa tetap mahu menjadikan usahawan berusia 34 tahun ini sebagai penghias kempen mereka.
Pastinya kejayaan isteri Haris Ismail ini mengemudi perniagaan dan populariti dirinya menjadi salah satu faktor label fesyen dan produk mewah memilih Neelofa.
Bukan hanya dijemput menghadiri majlis fesyen mewah dunia, terbaharu Neelofa tampil menghiasi kempen terkini Louis Vuitton (LV) dengan menggayakan busana dan aksesori LV from head to toe!
Lebih istimewa, dia muncul di samping adik perempuannya iaitu Athisha Khan dan Ameera Khan.
Mengulas tawaran dari Louis Vuitton itu, Neelofa berbesar hati menerima tawaran jenama berkenaan.
“Kebetulan saya baru tahu yang LV for the first time keluarkan koleksi ‘modest’ untuk pasaran Timur Tengah yang memang untuk Muslim Wear berkonsepkan jubah, abaya dan long dress.
Mungkin itu juga antara sebab kenapa LV memilih untuk saya dan adik perempuan ada bersama dalam kempen itu dan boleh gayakan baju yang disediakan untuk pasaran Timur Tengah tersebut. Mungkin juga ada demand di sini.”
“Bila ditawarkan untuk mempromosikan produk muka walaupun berpurdah, saya sangat berbesar hatilah.
Saya rasa mereka nampak lebih daripada sekadar menonjolkan kulit wajah dan mungkin kerana kemampuan individu boleh bawa jenama itu dengan baik,” ujarnya yang pernah dilantik sebagai Duta pertama Lancome bagi Asia Tenggara.
Sebelum ini wajah cantik Neelofa juga pernah menghiasi jenama aksesori bertaraf dunia, Swarovski.
Ini yang dikatakan rezeki baju Melayu. Rezeki datang tanpa di sangka dan tak mengenal tempat. Apa yang penting usaha yang berterusan tanpa kenal istilah jemu.
Pasangan adik-beradik Zarif Azrie Zahari dan Zarul Shafiz Zahari ini mengusahakan perniagaan baju Melayu semata-mata sukar mendapat saiz dan kini sudah berjaya bergelar usahawan baju Melayu.
Bercerita tentang di awal pembabitan pasangan adik-beradik ini menceburi perniagaan baju Melayu ini, “Kami mula menceburi bidang perniagaan ini sebab masing-masing susah nak cari saiz baju sesuai yang ‘ngam’ dengan badan. Kalau nak beli di pasaran, mesti menggelebeh.
Lalu mulalah inisiatif menempah sendiri baju ikut saiz sendiri. Bila pakai ‘ngam’, tak sangka kawan pun nak ikut tempah juga. Nampak ada permintaan di situ, jadi kami tak menoleh ke belakang lagi,” kata Zarif selaku abang sulung memikul mandat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) jenama Mjestic.
Mengusahakannya perniagaan baju Melayu potongan ‘slim fit’ sejak hujung tahun 2017 dan bermula dari rumah ketika menghuni di apartmen hingga kini memiliki butik fizikal di Setia Alam, Shah Alam.
Tak sangka! Percubaan suka-suka kerana susah mencari baju Melayu untuk kegunaan sendiri, akhirnya membuka pintu rezeki Zarif dan Zarul. Rezeki baju Melayu sungguh!
Tambah Zarif lagi, “Saya dan adik hanya memiliki latar belakang dalam bidang perniagaan semata-mata. Cuma masa zaman belajar dulu, kami suka menjual baju kasual lelaki. Minat berniaga itu ada,” katanya.
Zarul yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) pula optimis dengan rekaan jenama mereka yang mempunyai tarikan tersendiri.
“Baju Melayu kami juga lebih moden kotemporari dengan kolar jenis ‘double’ nampak lebih ampuh dan tak mudah kemek. Paling utama, harga dijual serendah RM169 hingga RM189 dengan pemberian tambahan enam aksesori percuma.
“Ia termasuk butang baju, pelitup muka, sampul duit raya, kotak baju, brooch bunga poket dan paper beg edisi terhad untuk melindungi pakaian.
Insya-Allah lepas raya kami akan keluarkan baju nikah moden dan tradisional selain abaya bagi memenuhi permintaan pelanggan lelaki dan wanita,” kata Zarul yang mempunyai lima orang adik-beradik.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran daripada Universiti Tsukuba, Jepun.
Keberangkatan Paduka Baginda ke Amari Kuala Lumpur diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Turut mengiring ialah paduka-paduka anakanda YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Encik Noriyuki Shikata; Presiden Universiti Tsukuba, Dr. Kyosuke Nagata serta Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) Encik Khozo Tashima.
Penganugerahan berprestij itu disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Paduka Baginda dalam bidang sukan dan pendidikan, selain mencerminkan hubungan persahabatan serta kepercayaan yang kukuh antara Malaysia dan Jepun.
Dalam titah ucapan, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Presiden, fakulti serta seluruh warga Universiti Tsukuba atas pengiktirafan bermakna itu.
Paduka Baginda turut menekankan bahawa penganugerahan ini bukan sahaja satu penghormatan peribadi, tetapi juga simbol jalinan erat kedua-dua negara.
Paduka Baginda turut mengimbau kenangan pada tahun 2019 ketika lawatan rasmi ke Tokyo bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Naruhito, di mana Paduka Baginda berpeluang bertemu dengan mendiang Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.-
Sumber: Kesultanan Pahang
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.