
Baru-baru ini tular seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang berasal dari Pulau Pinang pandai bersolek sehingga kelihatan jauh berbeza dengan wajah sebenarnya. Ramai yang memuji dan tak kurang juga yang mengeji kanak-kanak tersebut. Rupa-rupanya kerjaya sebagai seorang mekap artis atau juru solek boleh pergi jauh jika benar-benar minat dan berada di atas landasan yang betul.

Seorang kanak-kanak dari Thailand, Nong Phrae Ploen yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-12 tahun telah reward dirinya dengan membeli sebuah kereta mewah BMW Sedan. Kanak-kanak ini bukan membeli kereta mewah tersebut dengan duit ibu bapanya tetapi membeli kereta tersebut hasil daripada titik-peluhnya sendiri. Hebat bukan? Kita yang sudah kerja bertahun-tahun pun tak mampu pun nak beli kereta mewah tersebut.

Walaupun kanak-kanak yang mempunyai nama di Facebook sebagai Nong Phrae Ploen atau lebih dikenali sebagai Natthanan ini belum boleh memandu kereta lagi tetapi dengan membeli aset tersebut merupakan kebanggaan diri sendiri setelah penat bekerja. Kanak-kanak ini sangat meminati dunia solekan dan telah memulakan kerjaya ini secara profesional sejak usia 7 tahun.
Natthanan telah memuat turun video dan mekap tutorial di laman sosialnya dan mempunyai pengikut yang tersendiri. Mekap tutorial kanak-kanak ini menjadi tular sejak British Broadcasting Corporation (BBC) mengeluarkan cerita tentangnya dan mendapat liputan yang luas sehingga penambahan pengikutnya di laman sosial secara mendadak.

Kerjaya Natthanan semakin memuncak dan menjadikan dirinya terkenal setelah terpilih menjadi salah seorang mekap artis TERMUDA untuk bekerja di pentas fesyen berprestij – London Fashion Week 2018. Sehingga kini Natthanan mempunyai 800,000 pengikut di laman Facebook. Bayangkan berapa pendapatan yang diperolehnya untuk bekerja di situ dan tidak hairan mengapa kanak-kanak ini memilih hadiah kereta BMW sempena hari jadinya.

Ucapannya sempena hari jadinya yang ke-12, ““Happy birthday to me. I will be 12 years old this year. I am very grateful for everything I have so far and I’m thankful to my fans for supporting me. Thanks for all the well wishes, I wish everyone the same as well!,”.

Sumber: www.worldofbuzz.com
Makin Cerdik & Comel, AINUL MARDHIAH Bakal Jadi Kakak Tak Lama Lagi! Ibunya Kini Hamil 7 Bulan

“Hari ini bergema nama kakak di bumi Malaysia. Nama kakak banyak naik ke langit sebab orang tidak henti-henti menyebut nama kakak dan doakan kakak. Kakak, keep fighting! Ramai yang nak tengok kakak bangun dan berlari sayang!”
Itu antara cebisan kata-kata menyentuh jiwa yang dikongsi di Facebook Ahmad Safiuddin Ahmad Razak bapa kepada Ainul Mardhiah, bayi perempuan penghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ yang kisahnya tular sekitar April 2019 dan ramai yang prihatin dengan penderitaan anak kecil ini.

Dilahirkan sebagai bayi pramatang pada 13 Ogos 2018, Ainul merupakan anak kepada pasangan muda yang sangat tabah iaitu Nurul Erwani Zaidi dan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak. Kedua-duanya kini berusia 25 tahun. Bapanya seorang peniaga manakala ibunya suri rumahtangga dan pelajar di salah sebuah universiti swasta tempatan.
Diam tak diam kini Ainul sudah pun berusia dua tahun. Seronok melihat perkembangan Ainul yang kini bukan saja semakin sihat bahkan comel serta bijak! Keletahnya sering mencuit hati. Baca perkongsian ekslusif ibunya bersama Nona tentang perkembangan terkini Ainul.

SYUKUR DIBERI UJIAN
“Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT dengan ujian yang telah diberikan kepada kami sekeluarga. Saya juga gembira serta terharu atas keperihatinan rakyat Malaysia yang tidak pernah jemu memberikan sokongan dan titipan doa buat Ainul.
Sejak Ainul dilahirkan sampailah sekarang saya dan suami tak pernah putus mengucapkan syukur kepada Allah SWT atas ujian yang diberi. Ujian ini mungkin ‘sangat sedikit’ kalau hendak dibandingkan dengan ujian lebih berat yang terpaksa ditanggung oleh orang lain. Maka kami sentiasa bersyukur walau diberikan ujian berat ini kerana percaya dengan hikmah yang ada di sebaliknya.
Ainul menjadi sumber kekuatan kami berdua. Kerana Ainul jugalah kami menjadi lebih matang dalam membuat keputusan. Banyak sangat hikmah yang Allah SWT tunjuk kepada kami melalui ujian ini.
Kami pun tak minta untuk dikenali namun apa yang berlaku semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT kepada kami. “Siapa yang bersabar dan solat, Allah SWT pasti akan bantu orang itu”. Ayat Al-Quran ini sentiasa menjadi amalan saya dan suami dalam mencari ketenangan jiwa.
Pastinya yang paling kuat menghadapi ujian ini ialah suami. Saya pula yang paling tidak kuat. Ketika Ainul lahir ke dunia sayalah yang tak henti-henti menangis dan sering menyalahkan diri sendiri kerana menyebabkan Ainul jadi begitu. Saya hampir putus harap. Suamilah yang sering memberi kata-kata semangat dan sentiasa berada di sisi saya. Suami seorang yang sangat positif walaupun saya tahu dia sebenarnya juga sedang menangis, cuma tak pernah tunjuk kepada saya.
TANGISAN
Detik atau perkara yang paling menyentuh hati saya sepanjang bergelar ibu ialah ketika Ainul mula dikenali ramai orang. Waktu itu saya berasa sangat malu kerana takut orang akan memandang serong atau rasa tak selesa tatkala melihat Ainul dalam keadaan begitu. Namun ternyata saya salah.
Rupa-rupanya ramai yang mula prihatin dan sanggup menjual barang-barang kesayangan mereka semata-mata untuk membantu dalam memberi sumbangan kepada Ainul. Orang ramai tak kira bangsa dan agama turut menghubungi saya dan suami sambil diiringi dengan tangisan mereka. Ini benar-benar menyentuh jiwa kami.
Saya seorang yang suka tersenyum dan sebolehnya tidak akan menangis di hadapan orang. Bohonglah kalau kata tak sedih namun bagi saya menangis bukanlah jalan penyelesaiannya. Seingat saya, tangisan paling teruk yang pernah saya alami ialah setelah Ainul selamat menjalani pembedahan di London. Tangisan saya waktu itu sebenarnya tangisan kegembiraan. Ianya berlaku secara spontan dan tanpa diduga.
HAMIL ANAK KEDUA
Rezeki anak adalah rezeki yang tak terhitung nilainya. Anak adalah anugerah Allah SWT untuk kita menyambung dan meramaikan lagi umat Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, sejak Ainul bertambah sihat dan cerdik saya dan suami mengambil keputusan untuk ‘menghadiahkan’ Ainul adik. Adalah kawan untuk bermain nanti.
Alhamdulillah kandungan saya sekarang sudah masuk 7 bulan. Ketika mengetahui saya hamil kali kedua kami bersyukur sangat. Nak kata merancang tak sebenarnya. Kami juga tak rancang berapa orang anak yang kami mahu. Kalau dapat ramai alhamdulillah rezeki kami. Allah lagi Maha Mengetahui.
Mungkin sekarang waktu yang sesuai untuk Dia beri rezeki. Lagi pun Ainul ramai yang jaga di rumah. Tak salah rasanya kalau tambah lagi anak. Tak sabar rasanya nak lihat Ainul main dengan adik nanti!
Alhamdulillah sepanjang kehamilan ini dipermudahkan. Cuma kali ini penat sedikit berbanding hamilkan Ainul dulu. Alahan teruk tiada. Mengidam pun makanan yang mudah dicari. Kalau diberi rezeki oleh Allah SWT, anak kedua ini InshaAllah lelaki. Saya dah buat scan empat kali, memang semuanya nampak lelaki.
Mungkin saya akan terimbas kembali momen-momen sewaktu melahirkan Ainul. Akan tetapi ianya akan menjadi salah satu penguat semangat saya dalam kehidupan ini. Allah SWT memberi ujian tanda Dia sayangkan kita.
AINUL MAKIN CERDIK
Alhamdulillah, Ainul juga sama seperti kanak-kanak lain. Walaupun perkembangan Ainul lambat sedikit berbanding umurnya sekarang tetapi setiap momen atau keletah Ainul sama seperti bayi normal yang lain antaranya celik mata sahaja terus hendak bermain. Antara rancangan kartun kegemaran Ainul ialah Omar & Hana.
Selain itu, Ainul sekarang sangat cepat belajar. Macam-macam perangai yang Ainul sedang belajar sekarang. Tetapi yang paling mencuit hati saya dan suami ialah Ainul sedang berusaha untuk belajar bercakap. Kadang-kadang dah pandai mengamuk sebab tak bawa dia pergi berjalan-jalan.
TERUJA SAMBUT SYAWAL
Tahun lalu (2019) kami menyambut Hari Raya Aidilfitri di perantauan. First time jugalah saya dan suami berjauhan beribu-ribu kilometer dari keluarga. Alhamdulillah walaupun jauh daripada keluarga, kami dapat berkenalan dengan keluarga baru di London. Semuanya baik-baik dan sangat ramah.
Tahun ini sambutan Syawal lebih bermakna kerana kami dapat menyambutnya bersama Ainul yang semakin cerdik dan banyak ‘akal’. Ia memberi satu kelegaan buat saya dan suami kerana Allah SWT sentiasa memberi peluang dan mengkabulkan doa-doa yang pernah kami pohon sebelum-sebelum ini.
Banyak sebenarnya plan nak buat dengan Ainul sepanjang Syawal nanti. Salah satunya ialah mahu membawa Ainul ke rumah saudara mara. Namum atas faktor-faktor yang sedang berlaku pada negara Malaysia ketika ini kami terpaksa patuh dengan arahan dan menyambutnya di rumah sahaja. Tahun lalu tema raya kami bertiga adalah warna ungu, tahun ini kami akan memakai warna biru pula pada Hari Raya pertama.
RINDU DR AMALINA BAKRI
InshaAllah kalau ada rezeki suatu hari nanti kami sekeluarga pasti akan ke London semula untuk berjumpa dengan keluarga baru dan para doktor yang pernah merawat serta menjaga Ainul di sana. Paling kami rindu semestinya Dr Amalina Bakri yang gigih berusaha memastikan Ainul selamat tiba di London dahulu.
Dr Amalina sangat prihatin terhadap Ainul. Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada beliau kerana sanggup membantu kami demi memberikan yang terbaik buat Ainul. Dr Amalina adalah insan yang berhati mulia. Saya dan suami tidak mampu membalas jasanya. Pun begitu, beliau sentiasa ada dalam doa kami.
HARAPAN
Terima kasih juga untuk setiap bait-bait doa yang telah diselitkan buat kami sekeluarga. Saya dan suami tidak mampu membalas segala pertolongan dari segi wang ringgit, pengorbanan, dan tenaga. Kami hanya mampu mendoakan buat seluruh rakyat Malaysia. Semoga doa-doa yang diselitkan buat kami akan dikembalikan kepada kalian semula.
Setiap manusia pasti akan diuji, cuma ujian kita mungkin berbeza-beza mengikut tahap kemampuan. Yang penting lalui ujian dengan banyak bersabar dan solat, pasti akan datang sinarnya kelak. Mungkin saat ini doa-doa belum dimakbulkan oleh Allah SWT. Namun yakinlah bahawa doa itu pasti akan dimakbulkan tepat pada waktunya.
Kekuatan saya semuanya datang daripada Allah SWT. Sejak Ainul lahir sampailah sekarang keluarga kami sentiasa memberi kata-kata semangat. Di samping itu, saya juga banyak mendengar kuliah-kuliah agama agar dapat mengubah diri menjadi seorang isteri dan ibu yang lebih baik serta sentiasa positif.
Menyentuh tentang masa depan Ainul, saya dan suami akan sentiasa membimbing dan memberi didikan terbaik buat dirinya. Dari segi kerjaya, minat dan lain-lain saya serahkan kepada Ainul untuk tentukan hala tuju kehidupannya sendiri namun atas nasihat serta dorongan kami sebagai ibu bapa.
Seterusnya, saya mengharapkan agar Ainul sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya dan sentiasa bersikap baik kepada semua orang. Hakikatnya, jalan hidup yang Ainul lalui ini bukan mudah.
Buat Ainul, Mama tak pernah anggap anak Mama satu beban atau halangan untuk Mama teruskan kehidupan. Ainul Mardhiah penguat semangat Mama. Dari Ainul lahir sampailah sekarang rezeki yang tak disangka-sangka dari Allah SWT sentiasa mengalir. Alhamdulillah..
Seterusnya nasihat daripada ibu kandung dan ibu mertua yang masih segar dalam ingatan ialah mereka sering mengingatkan saya agar tidak meninggalkan solat, mengaji dan taat kepada suami. Mereka juga sentiasa berada di sisi saya dalam keadaan susah mahupun senang.”
Semoga Nurul Erwani dan suami terus kuat demi Ainul yang menjadi permata kesayangan seluruh rakyat Malaysia. Buat bidadari syurga, Ainul Mardhiah semoga menjadi anak yang solehah buat ibu dan ayah. Jadilah sekuat Sumayyah r.a, secantik Aisyah r.a, dan semulia Siti Khadijah r.a
Kredit Foto: Instagram Nurul Erwani Zaidi, Intagram Dr Amalina Bakri & Facebook Ahmad Safiuddin
“Auntie Noor Sangat Peramah” ARNI NAZIRA & NOORKUMALASARI Punya Pertalian Keluarga

Tak sangka Arni Nazira sebenarnya mempunyai hubungan keluarga dengan artis legenda tanahair, Noorkumalasari. Arni Nazira pernah memuat naik gambarnya bersama Noor Kumalasari di Instagram dengan kapsyen “Small family gathering…” Posting itu juga telah mendapat perhatian para pengikutnya dan ada yang bertanya bagaimana Arni dapat bertemu dengan seniwati tersohor itu.
Melihat kepada gambar tersebut kedua-duanya nampak sangat mesra dan rapat. Sementara Noorkumalasari pula masih kelihatan anggun dan bertenaga biarpun telah lama bersara daripada industri seni.
Noorkumalasari merupakan pelakon dan penyanyi terkenal era 70an. Beliau merupakan anak kepada Datuk S. Roomai Noor dan Datin Umi Kalthum. Umum mengetahui, Noorkumalasari adalah adik kepada penyanyi versatile, Anita Sarawak.
“Auntie Noor (gelarannya kepada Noorkumalasari) adalah saudara sebelah suami saya. Sebenarnya kami jarang berjumpa melainkan kalau ada majlis-majlis keraian contohnya kenduri atau family gathering. Kalau dulu ada jugalah kami bertandang ke rumah Auntie Noor untuk bertanya khabar.

Sekarang usianya pun dah mencecah 60an dan dah bersara dari dunia seni. Secara peribadi saya cukup menyenangi Auntie Noor kerana kalau kami berjumpa beliau sangat friendly. Sikapnya itu yang menginspirasikan saya, tidak sombong walaupun dirinya seorang legenda. Kami akan berbual macam-macam topik. Selain bertanya khabar, saya juga suka bertanyakan tentang lakonan dulu-dulu.

Memang banyak pengalaman menarik yang Auntie Noor suka kongsi, memang seronok dengar. Walau pun saya sendiri dah lama meninggalkan dunia seni tetapi saya suka dengar Auntie Noor bercerita tentang lakonannya dulu-dulu. Dan kalau tak dapat berjumpa macam sekarang, masing-masing akan bertanya khabar,” kongsi Arni Nazira kepada Nona.
ANNIVERSARY 12 TAHUN PERKAHWINAN
Sedar tak sedar sudah 12 tahun Arni Nazira menyepikan diri dari bidang seni setelah mendirikan rumahtangga buat kali kedua pada tahun 2009. Dan pada tahun ini, 12 tahun jugalah usia perkahwinannya bersama suami, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar yang merupakan seorang usahawan.

Kini pada usia 42 tahun Arni Nazira masih kekal cantik walaupun bergelar ibu kepada 5 orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha (21), Puteri Aleefa Antasha (19), Wan Muhammad Mua’dz (11), Wan Ayesha Maserra (9) dan Wan Muhammad Mushrief (6).

Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha adalah zuriat hasil perkahwinan Arni Nazira yang pertama. Kedua-duanya kini sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej yang sama sekitar Kuala Lumpur dalam bidang event management. Disebabkan minat serta hubungan dua beradik ini sangat rapat, kedua-duanya memilih bidang pengajian yang sama.


“Alhamdulillah saya sangat bahagia dan selesa dengan kehidupan sekarang, apatah lagi suami memang suka saya tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap keluarga. Dulu ada juga perancangan untuk berbisnes namun tertangguh kerana tanggungjawab terhadap keluarga lebih utama.
Sebagai suri rumahtangga sepenuh masa saya menguruskan keluarga dan hal-hal rumahtangga. Semuanya saya lakukan sendiri tanpa pembantu rumah. Sejujurnya tawaran berlakon masih ada tetapi saya menolaknya dengan cara baik.

12 tahun hidup bersama pasti ada pasang surutnya. Sebagai isteri kena banyak bersabar, bertolak ansur dan sentiasa berbincang. Saya dan suami suka berkongsi apa jua perkara termasuk masalah. Tak sembunyi apa-apa kalau ada tak puas hati. Masing-masing kena jujur demi kebaikan bersama.

Alhamdulillah rezeki saya dikurniakan seorang suami yang boleh give and take, memahami, bertanggungjawab dan sehati sejiwa. Me-time saya pun hanya dengan suami. Kalau ke mana-mana selalu berdua atau berlima dengan anak-anak. Keluarga adalah harta dan segala-galanya buat saya. Kalau sedih atau stres saya tetap perlukan suami di sisi.
AMALKAN JAMU & PANTANG
Atas nasihat ibu dan nenek saya amalkan jamu, minum air kosong secukupnya dan ulam-ulaman sejak usia muda. Alhamdulillah berkat konsisten dengan amalan itu ia telah menjadi salah satu asbab untuk kelihatan awet muda dalam usia sekarang. Paling penting kesihatan dalaman turut terjaga.

Satu lagi amalan ialah disiplin ketika berpantang. Dulu setiap kali bersalin ibu akan jaga saya sepanjang berpantang. Ibu seorang yang sangat menitikberatkan amalan berpantang. Kalau ikut cara berpantang dulu-dulu memang sangat ketat. Contohnya, cara berjalan dan makan ada pantangnya. Makanan sejuk-sejuk tak boleh ketika dalam pantang. Amalan bertungku dan ‘menyalai’ juga penting untuk kecutkan peranakan.
Kita wanita ni bila dah cecah usia 40 tahun dan ke atas kena beringat, jaga badan elok-elok luar dan dalam. Kerana pada usia ini badan akan mula mudah jatuh sakit. Tahap kesihatan kita dah tak sama seperti muda-muda dulu. Jadi amalkan gaya hidup sihat termasuk jaga pemakanan.
Sebagai isteri dan ibu saya sentiasa ingin menjadi yang terbaik di mata suami serta anak-anak. Begitu juga hubungan saya dengan anak-anak bekas suami iaitu Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha, kami selalu berhubung. Kalau tak berjumpa kami akan berhubung melalui Whatsapp atau video call setiap hari.
Saya mendoakan agar mereka menjadi anak-anak yang soleh serta solehah, berakhlak mulia, kental jiwanya dan tidak mudah tersasar dari landasan kehidupan yang sebenar. Seterusnya menjadi insan yang berilmu. InshaAllah.”

Arni Nazira Anuar, anak kelahiran Terengganu ini mula digilap bakatnya menerusi pertandingan nyanyian Asia Bagus 1996. Setelah bergelar penyanyi, lagu nyanyian Arni Nazira berjudul ‘Cinta Antara Benua’ mula menjadi siulan sekitar tahun 1997. Manakala filem lakonan Arni Nazira ialah Nafas Cinta (1998) dan Bara (1999).
Kredit Foto: Instagram @arninazira
Jahit Baju Umur 13 Tahun, Graduan Perubatan DR FIFA RASOL Kini Usahawan Busana Berjaya!

Usianya baru mencecah 26 tahun tetapi kejayaan yang ditempa Dr Fifa Rasol hari ini cukup membanggakan. Meskipun mempunyai kelulusan dalam bidang perubatan namun wanita berjiwa besar ini nekad menjadikan perniagaan busana muslimah sebagai kerjaya pilihan. Apatah lagi impian untuk membina jenama pakaian sendiri sudah mula terbit sejak di bangku sekolah lagi.
Optimis membawa jenama Fifa Rasol dalam pasaran negara, Dr Fifa atau nama sebenarnya Nur Afifah Rasol ketika dihubungi Nona mendedahkan dia mula serius menceburi bidang perniagaan kira-kira dua tahun lalu.
“Modal permulaan saya dapat dari ibu sebanyak RM2,000. Saya mula serius berniaga lepas graduate Jun 2019 dan produk pertama saya ialah baju kurung chiffon. Sebenarnya sejak Tingkatan 1 lagi saya dah pasang impian mahu ada brand sendiri. Lebih-lebih lagi sebab saya boleh jahit baju dan suka design pakaian.
Jadi masa berada di tahun keempat perubatan, saya ambil peluang cuti semester 2 minggu untuk design baju dan jual. Tak sangka dapat sambutan. Sejak itu saya buat keputusan untuk teruskan bisnes ini dan anggap ia bukan sekadar untuk jualan isi masa lapang dan cuti semester saja.”
Ujarnya lagi, sejak kecil dia tertarik dengan kecekalan ibu tersayang menjana pendapatan melalui bisnes. “Sumber inspirasi saya ialah ibu saya sendiri sebab dari kecil ibu dah pernah jual macam-macam dan semua yang dia jual mesti laku. Hasil jualan itu jugalah ibu saya ada simpanan yang sangat kukuh sampai sekarang.
Dari situ saya nampak kesungguhan dan kerajinan ibu yang patut saya jadikan contoh. Saya mula minat dunia bisnes apabila melihat ibu seronok berniaga. Lagi buatkan saya mahu menceburi bidang ini sejak ibu hantar saya belajar menjahit ketika berusia 13 tahun.
Saya juga bersyukur ibu banyak bantu asah bakat saya menjahit dan mereka baju selain bagi duit untuk beli peralatan jahit kain dan mesin jahit. Ibu juga sanggup belikan dua mesin jahit baru untuk saya.”



Berkat kerja keras dan sokongan orang sekeliling, Dr Fifa kini mampu tersenyum bangga apabila dia bukan hanya berjaya membantu ramai wanita menjana pendapatan bahkan bakal berpindah ke kilang baru di Kajang, Selangor pada bulan Julai nanti. Tumpang bangga tengok bisnes FifaRasol makin berkembang maju!
“Alhamdulillah, sekarang saya dah ada 15 orang staf. Sepanjang buat bisnes ini, antara cabaran yang kakitangan saya hadapi ialah nak urus postage yang terlalu banyak setiap hari. Lebih mencabar bila empayar FifaRasol dalam usaha mengubah hidup 6,000 wanita Malaysia daripada tak berduit kepada yang pandai menjana duit hasil bisnes bersama produk kami.
Sekarang kami dah ada hampir 6,000 agen FifaRasol. 14 orang pula dah berjaya buat sale capai 5 ke 6 angka sebulan. Sempena raya tahun ini, kami dah hasilkan 14 design baju raya dengan 42 pilihan warna yang diilhamkan dari fesyen negara China dan Korea serta ditambah baik menjadi design baju kurung,” jelas graduan MBBS of Jordan Science and Technology ini.
Bercerita mengenai cabaran ketika waktu pandemik Covid-19, ibu kepada seorang cahaya mata ini sama sekali tidak menyangka situasi tersebut membuka lebih banyak peluang perniagaan tanpa sedar. “Situasi pandemik Covid-19 ini saya lihat sebagai peluang untuk saya tambah lebih banyak dropship dan juga pelanggan kerana mereka meluangkan lebih banyak masa dalam talian. Untuk itu, kami perkuatkan lagi marketing untuk pastikan mereka mengenali jenama FifaRasol dan sepanjang PKP yang awal dulu kami dapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan. Alhamdulillah.”
Sementara itu ditanya amalan yang dilakukan setiap hari agar perniagaan terus berkembang maju, ini jawapan jujur Dr Fifa. “Setiap pagi saya amalkan bacaan Al-Waqiah dan doa dhuha bersama staf FifaRasol selain mengamalkan ayat tujuh untuk dipermudahkan segala urusan.
Sekiranya kita ada impian, kejarlah impian itu dengan berniaga sebab perniagaan ini antara jalan terpantas untuk kita capai impian lebih-lebih lagi apabila kita bersungguh-sungguh. Kalau ragu-ragu dengan kebolehan diri, tolak tepi dan beri peluang kepada diri untuk mencuba. Zaman sekarang kita dapat kurangkan risiko kerugian dengan berbisnes sambil bermentor. Pastikan kita ada guru untuk mengajar.
Jika tak mampu untuk mengikuti kelas atau bayar khidmat mentor, jadi agen kepada produk sedia ada. Secara tak langsung, anda akan dapat belajar pengalaman berniaga daripada usahawan tersebut secara percuma,” pesan Dr Fifa mengakhiri perbualan.