
Kejayaan Siti Ameera Liana Ahmad Kamal yang menerima penganugerahan ljazah Kelas Pertama Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (EEE) (Kepujian) serta Pingat Pencapaian Pelajar Cemerlang Tahun Empat Kursus EEE di The University of Edinburgh, Scotland baru-baru ini, membuktikan negara mampu berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi.
Memetik perkongsian Sinar Bestari, Siti Ameera Liana yang merupakan pelajar cemerlang tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, kejayaan itu adalah susulan daripada penulisan tesis yang mengkaji penggunaan semula bateri kereta elektrik untuk aplikasi fotovoltan (PV) solar di luar grid dengan menggunakan Simulink pada MATLAB iaitu satu platform pengaturcaraan.
“Segala usaha membuahkan hasil apabila menerima gred kelas pertama untuk projek saya.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada penyelia, Dr Jonathan Shek atas bimbingan dan sokongan berterusan sepanjang tahun.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pemeriksa, Dr Paul Judge atas maklum balas dan idea yang membina serta memastikan saya sentiasa berada di landasan yang betul,” katanya menerusi hantaran di laman LinkedIn.

Siti Ameera yang pernah mengikuti pengajian A-Level di Kolej MARA Seremban, Negeri Sembilan sebelum ini turut berkongsi kegembiraan tersebut dengan merakamkan penghargaan kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaannya.
“Selama empat tahun saya berusaha dan akhirnya ia membuahkan hasil.
“Terima kasih kepada MARA atas peluang yang diberikan untuk belajar di luar negara serta membantu merealisasikan impian belajar di salah sebuah universiti terkemuka dunia.
“Tidak ketinggalan kedua ibu bapa saya, keluarga dan sahabat-sahabat yang tidak putus memberikan sokongan,” jelas Siti Ameera.
Sementara itu, gadis cantik ini turut memberitahu, mengikuti pengajian di Edinburgh adalah satu pengalaman yang luar biasa.
“Sejujurnya, tiada tempat lain seindah bandar ini tetapi setiap perjalanan pasti ada pengakhirannya.
“Beribu kenangan telah tercipta sejak saya mula datang pada tahun 2018 dan setiap daripadanya akan saya ingat sampai bila-bila,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Kanvas Dan Berus Jadi Kawan Baik”- YM Sharifah Bahiyah Jamalullail Keturunan Diraja Berdarah Seni

Melangkah masuk ke galeri seni milik YM Sharifah Bahiyah Jamalullail yang terletak di Desa Sri Hartamas, mata terpaku dengan hasil kerja tangannya yang penuh berseni. Elemen alam semulajadi menjadi elemen utama yang diketengahkan di dalam koleksinya. Tema flora seperti bunga mawar menjadikan ianya nampak begitu hidup dan menyerikan segenap ruang.
Berpeluang melihat dan menghayati hasil karya artis berdarah keturunan diraja ini antara pengalaman menarik buat diri penulis yang sememangnya kurang kemahiran dalam menilai sesuatu hasil seni. Ini kerana, setiap lukisan yang digantung pada dinding ruang pameran milik Sharifah bahiyah yang terletak di Desa sri hartamas ini seakan-akan ‘hidup’ dan penuh penceritaan.

Terhasil daripada terjemahan rasa dan ekspresi artis di atas kanvas, lukisan abstrak ekspresionis yang ditampilkan bukan saja menampilkan nilai estetika tersendiri malah turut mengajak anda untuk berfikir lebih jauh. Malah tidak salah jika dikatakan, koleksi lukisan yang ditampilkan oleh YM Sharifah Bahiyah memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan karya bermula daripada karya awal ketika pembabitannya.
Terkenal dengan lukisan bermotif flora, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan unsur bunga-bungaan yang berwarna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni. Sambil berkongsi beberapa lukisan yang pernah dihasilkan, YM Sharifah Bahiyah sememangnya menggemari keindahan flora sebagai elemen utama lukisannya selain kini berjinak menghasilkan lukisan dalam bentuk abstrak selaras dengan perkembangan hasil seninya.

Menurut wanita berketurunan diraja Perlis dan Negeri Sembilan ini, motif flora sering menjadi pilihan di awal pembabitannya dalam dunia lukisan kerana gemarkan keindahan bunga yang membawa maksud kecantikan dan keceriaan.
“Sememangnya motif bunga amat sinonim dalam kehidupan sehari-hari. Bayangkan bagaimana gembiranya seseorang sekiranya menerima jambangan bunga sebagai hadiah daripada yang tersayang. Ia sekaligus dapat menceriakan seseorang terutamanya untuk hari-hari istimewa seorang wanita. Jadi, saya mengabadikan signifikasi bunga dan wanita dalam lukisan yang dihasilkan kerana bunga melambangkan kebahagiaan untuk setiap wanita,” jelas Sharifah Bahiyah yang anggun dengan solekan oleh Vee Muhammad dan persalinan menawan dari Syomirizwa Gupta.
BERMULA DARI HOBI
Sambil membelek beberapa koleksi yang dipamerkan di ruang pameran, penulis sempat diberi kesempatan untuk melihat sendiri ruang kerja di mana Sharifah Bahiyah menghabiskan masa menghasilkan karya seninya. Aroma cat akrilik, pelbagai jenis berus dan kanvas menjadi teman setia Sharifah Bahiyah menterjemahkan sesuatu melalui lukisan cat yang dihasilkannya.
Selain memilih motif bunga-bungaan, kini Sharifah Bahiyah turut menampilkan unsur abstrak dan sebagainya sebagai elemen utama hasil seninya. Tidak hairanlah mengapa hasil seninya amat halus memandangkan dirinya mengabadikan sepenuh minat dalam seni lukisan sejak kecil lagi.
Ketika ditanya mengenai bagaimana minat dalam dunia lukisan mula bercambah di dalam dirinya, wanita anggun ini berkata sejak zaman kanak-kanak lagi dia sudah didedahkan dengan minat melukis dan mewarna oleh bonda tersayang, Almarhum YAM Tunku Mudziah bte Tuanku Munawir.
“Sejak kecil saya mempunyai hobi melukis dan mewarna. Ketika itu, di tangan pasti akan ada scatch book untuk membolehkan saya melukis apa juga yang dilihat seperti melukis pokok, bunga dan apa sahaja yang menarik untuk dilukis. Hanya kira-kira sepuluh tahun kebelakangan ini saya mula mengambil serius mengenai seni lukisan ini dengan mengambil peluang mendaftarkan diri di kelas-kelas lukisan.
Selain itu, mungkin dek kerana minat terhadap bidang ini terlalu mendalam, saya banyak belajar sendiri melalui latihan dan pembacaan mengenai hasil karya pelukis-pelukis ternama yang boleh dijadikan sumber inspirasi,” ujar Sharifah Bahiyah yang menghargai karya agung Monet dan Van Gogh.
Ditanya mengenai pandangannya mengenai industri seni terutamanya lukisan di Malaysia, beliau berpendapat Malaysia telah berjaya melahirkan ramai pelukis yang mempunyai bakat yang besar dan boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Namun jika diberi ruang yang lebih untuk masyarakat Malaysia lebih menghargai keindahan seni, sudah tentu hasil kerja artis tempatan mampu setanding dengan karya antarabangsa.

“Hasil seni sebenarnya adalah salah satu bentuk pelaburan untuk sampai ke pemikiran dan hati seseorang manusia. Bayangkan jika sebuah kediaman tanpa sebarang lukisan, sudah tentu ia akan terasa kosong dan tidak bermaya. Hasil seni ini memberikan anda satu dimensi baru dan suasana yang lebih nyaman. Jadi, saya melihat konteks ini sebagai salah satu kombinasi kehidupan yang memberikan sumber ketenangan buat seseorang,” ujar Sharifah Bahiyah lagi.
Hampir 10 tahun berada dalam industri, karya terbarunya banyak memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan dan nyata berbeza daripada karya ketika awal pembabitan.Secara peribadi, karya yang dihasilkan olehnya kini adalah penanda aras bagi perjalanan kerjaya seni sejak 10 tahun yang lalu sehingga kini. Sisi kematangan bukan saja menjelaskan pengalaman dan perjalanan karya seni tapi turut diterjemahkan dari sudut penghasilan karya itu sendiri.
Terkenal dengan lukisan campuran media cat minyak di atas kanvas, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan warna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni.
Menyentuh pula mengenai kedatangan Ramadan yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam, anakanda kepada YAM Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail ini tidak terkecuali dari merasai keseronokan menyambut kedatangan Ramadan kerana ia merupakan antara momen indah yang dikenang sepanjang hayat.
Menurutnya, setiap kali kedatangan Ramadan, dia dan keluarga akan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk sama-sama menyertai umat Islam mengerjakan solat sunat terawih di masjid ataupun di kediaman saudara-mara terdekat untuk mengeratkan ukhwah persaudaraan.
“Namun begitu, malam ke 20 Ramadan lebih istimewa kerana seluruh keluarga akan berkumpul di Istana Besar Seri Menanti dan menunaikan solat sunat terawih bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan kerabat diraja yang lain,” ujar YM Sharifah Bahiyah yang juga merupakan anakanda saudara kepada Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Selain menunaikan solat sunat terawih, Ramadhan merupakan bulan yang istimewa untuk melihat refleksi diri dan muhasabah diri serta bersyukur dengan nikmat kehidupan yang diperolehi. Selain itu, Sharifah Bahiyah juga menjadikan bulan istimewa ini untuk lebih bertenang dan sumber ketenangan tersebut membolehkan dirinya menghasilkan hasil seni yang lebih dekat di hatinya.
Selain menantikan kedatangan Ramadan, bulan Syawal juga menjadi momen yang ditunggu olehnya memandangkan ia membolehkan kebanyakan kaum kerabat berkumpul. Kesibukan dengan tugas seharian pastinya membataskan waktu untuk bertanya khabar.
“Sememangnya sambutan Hari Raya merupakan saat paling dinantikan kerana ia merupakan momen untuk berkumpul bersama keluarga. Kebiasaannya, saya akan mengambil giliran menyambut Hari Raya sama ada di Perlis dan Negeri Sembilan. Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, seluruh kaum kerabat akan berkunjung ke Makam Diraja sebelum meneruskan tradisi memenuhi jemputan rumah terbuka di istana.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menitipkan pesanan supaya masyarakat Malaysia lebih berhati-hati dalam memilih juadah untuk berbuka puasa agar pembaziran tidak berlaku. Tambahnya lagi, Ramadan sewajarnya menjadi bulan untuk setiap insan bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan soal pembaziran dari segi makanan tidak seharusnya berlaku.
“Ramadan adalah saat yang istimewa kerana nikmat dan syukur seharusnya melebihi dari segalanya. Usah terlebih berbelanja, ingat kepada umat islam lain yang berpuasa dalam keadaan serba kekurangan. Semoga Ramadan dan Syawal ini lebih diberkati untuk setiap umat Islam,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyelam Wanita Berhijab Pertama Malaysia,Nurul Azlifah Bukti Kemampuan Wanita

Menyelam di dalam lautan yang dipenuhi hidupan akuatik berwarna-warni dan unik semestinya menjadi pengalaman mengujakan buat sesiapa saja.Apatah lagi apabila sesi menyelam itu diserikan lagi dengan penghasilan gambar dasar laut yang indah nan mempersona.

Pujian wajar diberikan kepada jurulatih skuba profesional, Nurul Azlifah Tan Sri Gen Mohd Ismail melakar sejarah sebagai satu-satunya penyelam Muslimah berhijab yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Pencinta sukan air ini membuktikan wanita mampu melakukan apa sahaja di dasar laut mahupun di daratan!

Nurul Azlifah, atau dikenali lebih mesra dengan panggilan Ipah Uid atau Lynn telah memenangi banyak pertandingan fotografi dasar laut. Penampilannya yang berhijab berjaya menarik minat syarikat antarabangsa dan dilantik menjadi duta mewakili penyelam Muslim dan jurugambar dasar laut berhijab.

Setakat ini, beliau sudah menerima 18 anugerah di peringkat antarabangsa dalam tempoh empat tahun sejak pembabitannya sebagai jurufoto dasar laut.
Antara anugerah yang diperolehinya termasuklah meraih tempat pertama Pertandingan Fotografi Dasar Laut bagi 2018, 2019 dan 2020 di Mares, Itali dan juara Pertandingan Fotografi Dasar Laut Kategori Kamera Kompak pada 2018 dan 2019 di United Kingdom.

Menyingkap kembali bagaimana dia berjinak-jinak dengan sukan air ini, Lynn terlebih dahulu mempunyai sejarah buruk berkaitan dengan sukan air apabila pernah terlibat dalam kemalangan jet ski ketika berusia 19 tahun.
“Saya mengalami kemalangan jet ski yang teruk sehingga doktor mengesahkan saya hanya mempunyai peluang 50-50 untuk sembuh. Ia mengambil masa agak lama untuk sembuh akibat kemalangan dilanggar jet ski itu.
Namun begitu, apabila Lynn menyertai MAS sebagai Pramugari dan seterusnya mendirikan rumahtangga, suami dan anak-anak gemarkan sukan air. Apabila usia menjengah ke angka 30, barulah Lynn memberanikan diri untuk mencuba sukan air.

Lynn mahu buktikan kepada anak-anak Lynn juga mampu menjadi role model untuk mereka,” ujar Lynn yang berani melawan rasa takutnya untuk mencabar keupayaan dirinya.
Segalanya seakan berbaloi apatah lagi kini selepas 15 tahun berlalu Lynn berjaya mengharumkan nama di peringkat antarabangsa melalui hasil kerja dari dasar laut yang mengagumkan serta meletakkan keindahan ciptaan Allah S.W.T sebagai elemen utama untuk diberi pengiktirafan.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana membawa bersama nama Malaysia apabila memenangi banyak pertandingan fotografi dasar laut bertaraf antarabangsa. Sekaligus, saya menjadi duta kecil memperkenalkan Malaysia kerana sebelum ini ramai peminat sukan skuba tidak mengetahui keindahan dasar laut negara kita.
Malah penampilan Lynn yang berhijab juga membawa mesej yang utuh mengenai kebolehan wanita berhijab dalam melakukan apa sahaja perkara sememangnya tidak boleh disangkalkan lagi.

“Saya berbangga apabila penampilan berhijab membuka ruang untuk saya ke peringkat antarabangsa. Saya dilantik menjadi duta mewakili penyelam Muslim dan jurufoto dasar laut yang berhijab oleh syarikat kelengkapan sukan skuba terkemuka dunia, Fourth Element,” ujar Lynn mewakili kejayaan wanita berhijab yang mampu melakukan apa sahaja.
Melalui pembabitannya bersama Fourth Element, Lynn bertanggungjawab untuk membangkitkan kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai kepentingan memelihara, melindungi dan memulihara hidupan laut.

Ibu kepada enam orang anak berasal dari Johor Bahru ini mengakui banyak cabaran yang perlu ditempuhi untuk dirinya berada di tahap kini apatah lagi pada masa yang sama perlu menguruskan kerjaya dan rumahtangga.
Mempunyai anak berusia antara 25 hingga 16 tahun, Lynn turut memperuntukkan masa untuk menguruskan anak syurga kesayangannya (Autisme) yang pastinya memerlukan perhatian yang lebih darinya.

“Saya bersyukur kerana suami, Abdul Rahman Jamaludin menjadi pendorong utama dalam kerjaya. Dia melihat keistimewaan Lynn dari sisi yang berbeza.

Anak-anak juga merupakan pendorong Lynn untuk melangkah lebih jauh kerana sebagai ibu, Lynn ingin buktikan apabila kita berusaha mengejar impian, Insyaallah ianya boleh dijadikan realiti. Sekaligus, ia menjadi pembakar semangat untuk anak-anak mengejar cita-cita masing-masing seperti menjadi doktor, cef dan sebagainya,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak Suka Bau Sabun, ZIRA AYUB Kongsi Pengalaman Alahan Hamil Anak Ketiga

Pada 10 September baru-baru ini kita dikhabarkan dengan berita gembira apabila pelawak dan pengacara tersohor tanahair, Nabil Ahmad memuat naik status “Alhamdulillah, dah lekat.” di Instagram sekaligus mengesahkan isterinya, Zira Ayub hamil anak ketiga.

Pasangan bahagia ini sudah pun memiliki dua anak perempuan yang cukup comel iaitu Naera Mikayla (7 tahun) dan Leyla Medyna (4 tahun). Selain mengharapkan kandungan Zira sihat dan selamat, pastinya ramai yang mendoakan agar kali ini pasangan ini dikurniakan seorang hero pula.
“Alhamdulillah pengalaman hamil kali ini dipermudahkan seperti mana pengalaman mengandungkan Naera Mikayla dan Leyla Medyna sebelum ini. Trimester pertama pun berjaya dilalui dengan tanpa sebarang alergik.

Cuma pada trimester pertama hari tu saja saya alah kepada bau sabun. Masuk trimester kedua sekarang ini semuanya kembali normal. Bayi dalam kandungan pun baik-baik saja, alhamdulillah.
Sepanjang kehamilan juga saya sentiasa aktif dan hari-hari yang dilalui juga penuh dengan kegembiraan. Anak-anak sentiasa menceriakan saya dengan keletah mereka jika suami sibuk bekerja,” kongsi Zira yang juga pengasas kepada Zira Eye Kit.

TAK KISAH JANTINA
“Kami sebenarnya tak kisah jantina untuk anak kali ni. Apa yang penting sihat dan cukup sifatnya. Kalau boleh kami nak surprise kali ni. Saja untuk suka-suka. Boy or girl tak kisah janji sihat dan selamat kami dah bersyukur sangat-sangat.
Saya juga berharap agar detik kelahiran kelak pun akan dipermudahkan serta berjalan dengan lancar.


Suami sekarang lebih alert dengan semua perkara. Lagi-lagi berkenaan dengan isu anak-anak. Jiwanya mudah sensitif. Semua perkara perlu dititikberatkan kalau berkaitan dengan anak-anak. Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab.
Kalau suami sibuk we always keep in touch sama ada melalui pesanan ringkas, video call atau berkongsi gambar anak-anak untuk mengubat rindu. Selepas pulang kerja barulah kami habiskan masa bersama antaranya menonton TV, bersembang tentang isu-isu semasa dan sebagainya,” ungkap Zira yang suatu ketika dulu pernah bertugas di awan biru.
RAHSIA BAHAGIA
“Kami sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain. Antaranya ialah banyak berbincang tentang masa depan keluarga. Plan something big for the family contohnya buat bisnes atau rumah bersama, atau mencari ruang waktu yang sesuai untuk pergi bercuti bersama.
Secara tak langsung hubungan suami isteri menjadi lebih intim. Bagi saya itu salah satu cara bagaimana saya dan Nabil dapat mengeratkan hubungan walaupun salah seorang sibuk dengan kerjaya. Banyakkan berbincang tentang perkara-perkara yang melibatkan hal bersama,” jelas Zira.


Kredit: Instagram Zira Ayub & Nabilzira
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


