Kusyen dapat menambahkan kelembutan dan keselesaan kerana warna serta coraknya mampu mempengaruhi suasana ruang. Untuk memilih kusyen sebagai penghias tambahan sofa beberapa perkara perlu pertimbangkan.
- SAIZ
Saiz kusyen perlu sesuai dengan saiz sofa. Saiz purata antara 16” ke 18”. Jika saiz kusyen lebih besar contohnya 24” pastikan ia digandingkan dengan perabot yang besar bersama ruang yang secukupnya. Jika tidak anda terpaksa menurunkan kusyen setiap kali hendak duduk kerana ruang dipenuhi kusyen.
- FUNGSI
Adakah anda menggunakan kusyen sebagai tempat menyandar atau hiasan sahaja? Jika penggunaannya agak lasak belilah yang mahal sedikit, bukan saja untuk keselesaan bahkan jangka masa panjang.
- MATERIAL
Elakkan membeli kusyen yang isiannya daripada polyester berkualiti murah atau busa yang longgar. Takut lama-kelamaan ia akan menjadi berketul-ketul.
- KUANTITI
Bilangan kusyen terserah kepada anda. Contohnya, anda boleh membeli dua biji kusyen rekaan yang sama di sofa bersaiz besar. Kemudian dua biji lagi rekaan yang berbeza diletakkan di single chair.
- JENIS
Tiga jenis asas bentuk kusyen iaitu segi empat, segi empat tepat dan bulat. Tentukan bagaimana ia digunakan. Contohnya, jika anda memerlukan kusyen bagi menyokong badan ketika beristirahat, kusyen berbentuk segi empat tepat sesuai untuk menyokong bahagian belakang dan leher.
- CORAK & WARNA
Corak dan warna haruslah serasi antara satu sama lain. Contohnya, pilih kusyen bercorak warna neutral. Putih, krim atau kuning air akan menyejukkan pandangan. Jangan takut untuk mencampurkan corak, sekurang-kurangnya satu warna yang sama.
- TEMA
Tema ruang memainkan peranan penting antaranya yang melibatkan tekstur kusyen, warna serta fabrik.
- PADANAN
Sepasang kusyen masih belum cukup untuk menyerikan sofa. Tambahkan sepasang lagi yang menampilkan tekstur, warna serta corak yang berlainan dengan warna latar sofa.
- KOMBINASI
Kombinasi antara kusyen berwarna hitam dan sofa berwarna putih polos akan mencetuskan suasana moden serta minimalis pada ruang. Untuk kusyen bercorak pula gabungkan bersama sofa yang sepadan. Sofa berwarna putih mampu beradaptasi dengan semua warna dan corak kusyen. Seeloknya, warna kusyen mempunyai sedikit persamaan dengan elemen yang ada di ruang tamu. Contohnya, warna kusyen boleh mengikut warna karpet, langsir, kertas dinding mahupun lantai di ruang tamu.AMYMOHD