Kemampuan wanita pada hari ini tidak hanya terbatas dengan tugas-tugas hakiki saja. Segalanya out of box! Seperti Dr Juita ini yang berjaya buktikan kemampuannya di mata umum. Dr Juita menjadi wanita Malaysia pertama yang memiliki lesen Juruterbang Kawalan Dron Profesional atau Remote Pilot License (RePL) yang diiktiraf oleh Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam (CASA), Australia. Lesen tersebut diperoleh pada tahun 2019.
Dr Juita, graduan Cranfield University, United Kingdom.Sewaktu latihan bagi mendapatkan lesen pengiktirafan Juruterbang Kawalan Dron Profesional CASA di Australia.
Mari kita kenali siapa Dr Juita yang berusia 39 tahun ini.
Dr Juita atau nama sebenarnya, Dr Siti Juita Mastura Mohd Saleh merupakan anak bongsu daripada 3 beradik. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini sudah pun berkahwin namun belum dikurniakan zuriat. Bapanya seorang Pengurus Ladang yang kini telah bersara, manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.
“Walaupun ibu seorang suri rumah tapi beliau sangat mementingkan akademik. Dulu ibu selalu teman saya belajar dan duduk di sebelah sambil baca suratkhabar. Kalau saya belajar sampai pagi, ibu akan temankan saya sampai ke pagi juga,” kongsi Dr Juita tentang pengorbanan ibunya.
PENSYARAH & PENYELIDIK
Dr Juita dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merupakan pensyarah dan penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP). Dalam industri yang dimonopoli kaum lelaki, beliau pakar dalam bidang Struktur dan Reka Bentuk Pesawat, khususnya berkaitan Composite Aerostructures.
Graduan Doktor Falsafah Kejuruteraan Aeroangkasa dari Cranfield University, United Kingdom ini bukan saja aktif dalam bidang penyelidikan malah menjadi penggerak kepada pembangunan pensijilan aeroangkasa khususnya berkaitan teknologi dron yang kini ditawarkan di UTHM.
Ads
Dr Juita sebelum ini pernah terlibat dengan pembangunan Dron Penghantaran bagi mengikuti pertandingan Parcel Dron Malaysia anjuran Pos Malaysia 2019. Kini beliau bersama-sama penyelidik lain telah menghasilkan satu produk komersial dron pertanian PINEXRI-20 menerusi projek kolaborasi antara UTHM dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB).
Produk sulung Avitex, PINEXRI-20 yang menjadi inspirasi pembangunan & penyelidikan teknologi dron bersama pihak industri.
Bagi projek pembangunan Dron Gergasi Malaysia atau C-Drone di UTHM, beliau merupakan Ketua Unit Analisa Struktur. Menerusi projek khas negara ini beliau dapat menimba pengalaman dan menggunakan kepakaran dimiliki dalam aplikasi sebenar.
Hasil kerjasama dengan industri, satu geran penyelidikan diberikan oleh UTHM kepada beliau bagi membangunkan prototaip pesawat terbang rendah atau wing-in-ground effect craft. Terdahulu, Dr Juita pernah dilantik sebagai Ketua Kumpulan Penyelidikan Berfokus Struktur dan Reka Bentuk Pesawat.
Berada di salah satu institusi pengajian tinggi yang terkenal dengan aktiviti melibatkan bidang pengangkutan aeroangkasa, keretapi dan automotif, Dr Juita komited untuk meneruskan aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk aeroangkasa selari dengan hasrat negara memperkasa industri aeroangkasa menjelang 2030.
Ads
Dr Juita bersama para pelajar Aeronautik UTHM.
Peningkatan kepada pengetahuan integrasi sistem terutama berkaitan dron banyak dipupuk melalui projek-projek dron yang dibangun bersama-sama pelajar di bawah seliaannya.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang berbakti kepada universiti yang menggalakkan staf terlibat dalam aktiviti komuniti. Menerusi pelbagai program yang diatur UTHM, saya dapat menyumbang khidmat bakti dan ilmu berkaitan dron kepada komuniti setempat serta masyarakat orang asli.
Dr Juita juga mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai badan bukan kerajaan seperti Yayasan Amal Malaysia dan Pertubuhan Masyarakat Orang Asli Kuala (D’Duanu) dalam usaha menganjurkan aktiviti bersama masyarakat kurang berkemampuan.
Ads
Berbekalkan semangat dan sokongan rakan-rakan berpengalaman dalam pembangunan Sekolah Penerbangan Profesional milik UTHM yang dikenali sebagai Asia Aeronautical Training Academy (AATA), Dr Juita diberi kepercayaan untuk membangunkan akademi dron milik UTHM yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
Dr Juita juga merupakan salah seorang lembaga pengarah di syarikat terbitan UTHM, Avitex Solution yang menjalankan aktiviti komersial produk berasaskan dron serta kursus asas pengendalian dron.
“Saya berharap, syarikat ini dapat memberi peluang kepada UTHM untuk terlibat dengan lebih aktif bukan saja dalam penyelidikan dan pembangunan produk malah aktiviti konsultasi melibatkan aplikasi dron dalam pelbagai industri,” ungkap Dr Juita yang gemar mengembara ke seluruh dunia. Beliau juga meminati sukan lasak seperti motorsport.
Kredit: Suriayati Baharom, Unit Perhubungan Awam & Media, Pejabat Pemasaran Pemasaran & Komunikasi Korporat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Suhu malam mencecah -6 darjah Celcius, buat ramai menggigil beku di Tajikistan termasuklah Heliza, Hazwani Helmi dan Pija Minaz yang tetap bahagia buat kerja kebajikan di sana.
Teruja melihat misi kemanusiaan yang dianjurkan oleh aktivis dan Pengasas CGM (Persatuan Cinta Gaza Malaysia) iaitu Nadir Al-Nuri pada jam ini.
Turut menemani, tiga ikon hijabi iaitu Heliza Helmi dan Hazwani Helmi serta usahawan fesyen Hafiza Abdul Hamid atau lebih dikenali Pija Minaz.
Membawakan keindahan bumi Tajikistan melalui Humanitarian Tours CGM, Nadir bukan saja menawarkan pakej pelancongan biasa malah dalam masa yang sama berkhidmat kepada saudara seagama di seluruh dunia.
“Bumi yang dikenali sebagai sebahagian Bumbung Dunia kerana wilayahnya merangkumi Banjaran Pamir yang merupakan salah satu banjaran tertinggi di dunia. Bumi ini juga dikenali sebagai salah sebuah negara laluan Pamir Highway yang menjadi bahagian utara Laluan Sutera suatu ketika dahulu.
Sedihnya hari ini Tajikistan dikenali sebagai negara paling miskin di Asia Tengah dibandingkan adik-beradik ‘tan’nya yang mungkin lebih dikenali seperti Uzbekistan dan Kazakhstan.
Dengan populasi sekitar 10 juta orang, 95% daripada penduduknya beragama Islam, walaupun mereka berdepan sedikit kesukaran dalam pengamalannya,” kongsi Nadir Al-Nuri.
MENGGIGIL
Suhu malam mencecah -6 darjah Celcius, buat ramai menggigil beku di Tajikistan termasuklah Heliza, Hazwani Helmi dan Pija Minaz yang tetap bahagia buat kerja kebajikan di sana.
Sambil menikmati keindahan alam, rombongan misi kemanusiaan ini turut berpeluang menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan kepada penduduk Tajikistan yang majoritinya beragama Islam.
“Subhanallah, suhu sekarang di Darvos Tajikistan. Ni lagi sejuk dari peti sejuk ni.
Kami pakai punya berlayer2, kadang2 dapat juga pemanas. Dapat juga bilik yang sangat alhamdulillah, tapi bila nak tidur dek kerana sejuk kadang tak dapat lena sgt.
Terus teringat mereka yang berada di P, Y, S dan tempat2 yang susah dan dijajah. YA ALLAH, depa lagi la x da apa apa, dengan nak jadi pelarian pula. Mmg sangat sedih terkenangkan saudara mara kita kat sana,” Heliza Helmi.
Heliza dan Hazwani Helmi
Bagi Pija Minaz pula, beliau bersyukur kerana penghujung 2024 ini mendapat jemputan ke Tajikistan sambil menjalankan misi kemanusiaan dan melihat keindahan alam.
“Kak Pija ambil peluang ni utk bermonolog dgn diri, apakah takdir di hadapan yang Allah sedang aturkan. Banyak masa Kak Pija tahun ni berada di atas awan dan berkelana di negara luar atas urusan kerja, yg mana Kak Pija tak pernah terfkir pun Allah nak bg rezeki macam ni.
Semoga ada kebaikan dan manfaat di atas setiap permusafiran dan pengorbanan. Aaminnn.
Day 2 di Tajikistan ni, kami dapat la merasa naik cable car di Safet Dara Ski Resort dan naik atas puncak gunung. Subhanallah view cantik sangat!
Semoga depa dpt la bukak resort dekat sini so ramai la org boleh experience dok dekat salji mcm dekat Swiss tu hihi tp depa ni kurg arang batu dan generator. Bercatu elektrik kalau dekat kawasan pedalaman. Semoga Allah mudahkan,” doa Pija.
Seronok betul tengok perjalanan mereka, jom saksikan video ni…
Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi, kakak kepada Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn telah memecah tradisi keluarga diraja Thailand apabila pertama kali menyertai pilihan raya Thailand. Beliau yang akan bertanding di bawah tiket Parti Thai Raksa Chart pada pilihan raya yang dijadual pada 24 Mac ini bakal merebut jawatan sebagai Perdana Menteri (PM).
Puteri Ubolratana Rajakanya kini berusia 67 tahun, Lausanne, Switzerland adalah tempat kelahirannya. Puteri Thailand ini melepaskan status sebagai keluarga diraja Thailand pada 25 Julai 1972 apabila menemui cinta sejati dan mengambil keputusan untuk berkahwin dengan lelaki pilihan hati, seorang warganegara Amerika Syarikat, Peter Jensen yang ditemui ketika melanjutkan pelajaran di Massachusetts Institute of Technology (MIT).
Puteri Ubolratana Rajakanya belajar dalam jurusan Matematik dan Bio-Kimia di MIT. Kemudian beliau telah melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang Kesihatan Awam di University of California di Los Angeles.
Puteri Ubolratana Rajakanya telah menruskan hidupnya bersama suami selama 26 tahun dan pulang ke tanah air pada tahun 1998 apabila telah bercerai dengan suaminya, Peter Jensen. Hasil perkahwinan mereka telah dikurniakan tiga orang anak iaitu, Ploypailin Mahidol Jensen, Bhumi Jensen dan Sirikitiya Mai Jensen. Malangnya anak kedua Puteri Ubolratana Rajakanya, Bhumi Jensen telah meninggal dunia pada tahun 2004 akibat tragedi tsunami di Lautan India pada usia 21 tahun.
Menyambut kepulangan Puteri Ubolratana Rajakanya semula ke Thailand, beliau telah dikurniakan gelaran ‘Tunkramom Ying’ yang membawa maksud ‘Daughter to the Queen Regent’ atau Puteri dan berhak mendapat layanan sebagai kerabat diraja Thailand.
Puteri Diraja yang berjiwa rakyat ini aktif sebagai aktivis kemanusiaan. Puteri Ubolratana Rajakanya telah mempengerusikan 4 pertubuhan amal dan memperjuangkan kempen anti-dadah, menyokong program-program untuk kanak-kanak autism. Malah Puteri Ubolratana Rajakanya juga sering membantu mereka yang memerlukan seperti orang miskin.
Keluhuran jiwa murni Puteri diraja Thailand ini tersu tersingkap apabila memperjuangkan kempen ‘To Be Number One’ iaitu kempen anti-dadah yang menyasarkan untuk membantu anak-anak muda terjebak dengan gejala dadah.
Sumber: https://www.thestar.com.my
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Untungnya bayi comel yang diberi nama Yusoff Al Qardawi ini. Bukan saja menjadi kesayangan ibu bapa, Dato’ Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Shahida Mohd Rashid bahkan kelahirannya pada 25 Jun lalu turut mendapat perhatian meluas. Semalam, di kediaman mewah Aliff Syukri Palace telah berlangsungnya Majlis Tahnik, Cukur Jambul dan Akikah Yusoff Al Qardawi. Diraikan mengikut adat dan budaya Melayu, putera keempat usahawan ternama ini sekali lagi mencuri tumpuan apabila majlis tersebut mendapat sentuhan dekorasi dan pelamin dari Glam Weddings by Dato’ Rizalman. Memang luar biasa cantik!
Tanpa berselindung, Dato’ Seri Aliff berkata majlis menyambut cahaya mata seumpama ini yang menggunakan khidmat Dato’ Rizalman telah lama menjadi impian isterinya. Alhamdulillah, angan-angan Datin Seri Shahida akhirnya menjadi realiti. Enggan berkongsi jumlah belanja yang diperuntukkan untuk acara berkenaan, Pengasas D’Herbs ini turut memaklumkan persalinan yang dipakai beliau, isteri dan Yusoff Al Qardawi juga merupakan rekaan Dato’ Rizalman.
Datin Seri Shahida, biarpun baru dua minggu melahirkan anak namun pesona ibu muda ini tetap terserlah. Kelihatan anggun dan ceria melayan tetamu yang hadir, pertanyaan Nona tentang kelahiran Yusoff Al Qardawi tanpa jahitan dan hanya mengambil masa sejam disambut dengan senyuman manis. “Tak ada apa-apa amalan pun cuma memang daripada anak ketiga lagi memang dah tak ada jahitan.. so, kita banyak berjalan la.”
Mendengar jawapan isteri tercinta, Dato’ Seri Aliff yang berada di sebelah sempat mencelah. “Sebenarnya dia banyak baca Al-Quran setiap hari. Lepas tu dia minum air zam-zam dan waktu beranak dia baca ayat-ayat Al-Quran.” Sambil tertawa, Datin Seri Shahida menambah. “Biasa je, memanglah bila kita mengandung mestilah banyakkan beribadah. Macam tu lah..”
Yusoff Al Qardawi di samping nenda tersayang
Memang merendah diri sungguh Datin Seri Shahida ni. Mengakui beliau bukanlah seorang yang gemar mengumpul koleksi barangan berjenama … namun jauh di sudut hati, Datin Seri Shahida sangat menghargai setiap pemberian suami tercinta. Meskipun ada yang menganggap, air mukanya seolah-olah tidak menyenangi hadiah Dato’ Seri Aliff selepas melahirkan anak mereka baru-baru ini namun tegasnya ia sekadar tanggapan negatif masyarakat.
“Sebenarnya saya suka tapi saya bukan jenis yang karakter macam tu. Saya bukanlah seorang yang ‘gila’ shopping handbag ke, jam tangan ke, barang kemas ke.. memang saya tak suka.”
Pada majlis sama, Dato’ Seri Aliff dan Datin Seri Shahida turut menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri. Selain dihadiri rakan media, rakan bisnes dan masyarakat setempat, beberapa artis tempatan turut kelihatan memeriahkan majlis. Antaranya, Norman Hakim dan isteri, Memey Suhaiza, Joy Revfa, Vie Shantie dan Fasha Sandha.
Mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Ammar Ahyan, 10 tahun, Qadejah El Zahra, 8 tahun dan Ibraheem Adham, 6 tahun. Tahun lalu, Dato’ Seri Aliff dan Datin Seri Shahida mengambil dua anak angkat iaitu Ameena yang kini berusia sembilan bulan dan Qayyum, tujuh bulan. Moga dengan kehadiran cahaya mata baru ini perniagaan Dato’ Seri Aliff terus berkembang maju dan seisi keluarga diberkati Allah SWT.
Kredit foto: Haikal Mulia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti yang dinanti-nantikan, majlis pernikahan Erra Fazira dan Mohamad Ezwan Mohamad Zain atau Mr E berlangsung penuh indah pada tanggal 12 Disember 2025. Mengambil keberkatan Hari Jumaat, pasangan ini selamat disatukan sebagai suami isteri sekitar jam 9.19 pagi tadi.