Suatu ketika dahulu Kajol telah mencipta fenomena apabila muncul kembali dalam filem Dilwale. Kajol telah berdampingan dengan aktor terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan.
Penampilan Kajol yang kini berusia 44 tahun, dalam filem ini begitu langsing sehingga menjadi buah mulut peminatnya. Malah, menu dietnya menjadi viral dan ramai wanita seluruh dunia cuba meniru menu yang telah diusahakan oleh heroin filem Kuch Kuch Hota Hai ini.
Kini, tiba giliran Madhuri Dixit pula. Malah lebih hebat lagi apabila melihat penampilan terbaharu Madhuri Dixit persis anak dara walaupun sudah mencapai usia 52 tahun pada 15 Mei yang lalu.
Ads
Membayangkan usianya dan susuk tubuhnya yang begitu langsing membuat ramai wanita yang makan hati. Harap-harap Madhuri sudi berkongsi menu dietnya kelak.
Menyaksikan foto terbaharu yang dikongsinya melalui lama media sosialnya umpama melihat gadis yang menjadi heroin filem Dil To Pagal Hai.
Bersama salah seorang gandingan heronya dahulu, Govinda
Madhuri Dixit mula mempertaruhkan kerjaya seni saat pertama kali berlakon dalam filem Abodh pada tahun 1984. Ketika itu usianya baru menjangkau 17 tahun.
Ads
Wanita yang sering melemparkan senyuman manis ini bukan sahaja berbakat dalam dunia lakonan malah begitu hebat di pentas tarian. Madhuri Dixit juga aktif sebagai juri dalam rancangan pencarian bakat menari Jhalak Dikhhla Jaa selama 4 musim.
Madhuri Dixit bersama suaminya.
Pada tahun 1999, Madhuri Dixit telah mengambul keputusan menamatkan zaman bujangnya dengan berkahwin dengan Dr. Sriram Madhav Nene, seorang doktor pakar bedah kardiovaskular.
Famili potret.
Pelakon filem Hum Aapke Hain Koun ini juga telah berpindah mengikut suaminya ke Amerika Syarikat dan melahirkan dua orang anak lelaki, Arin pada tahun 2003 dan Ryan pada tahun 2005.
Puan Sri Nisa Bakri nyata bukan calang-calang wanita. Kejayaan yang diraih beliau bukan hanya dalam industri kulinari tempatan malah diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa. Salah satu pencapaian membanggakan yang terpahat segar di ingatan Puan Sri Nisa pastinya saat beliau berjaya membawa masakan warisan Malaysia sampai ke Kota London!
Menceritakan kembali perjalanan awal dalam bidang ini, pemilik nama Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid ini mengakui aktiviti memasak pada mulanya hanya dijadikan sekadar hobi. Namun lama-kelamaan isteri Tan Sri Mohd Bakri Zinin ini memilih dunia kulinari sebagai kerjaya.
Beliau yang mempunyai kelulusan dalam bidang ekonomi dan kewangan telah menempa nama dan reputasi cemerlang sepanjang bergelar cef selebriti.
“Memasak ini memang hobi saya dan dari hobi itu ia kemudian berputik menjadi passion. Sejak suami bersara kira-kira enam tahun lepas, saya banyak menghabiskan masa dengan memasak di rumah. Sepanjang aktif memasak ini juga saya akhirnya berjaya keluarkan buku masakan dan ada program masakan sendiri.
Tak sangka dari hobi, ia makin menjadi-jadi. Ingat hendak berehat dah, tapi Tan Sri faham minat saya dalam dunia masakan dan mahu saya teruskan minat ini. Mengenai pencapaian terbaik, alhamdulillah pada bulan Ramadan tahun lalu saya dapat buat program masakan sendiri yang disiarkan di saluran TV Okey bersama artis-artis tersohor negara.
Itu adalah salah satu pencapaian bermakna bagi saya. Keduanya pula ialah apabila saya dapat masak di London Fashion Week 2018. Saya buat masakan warisan Malaysia untuk empat fashion show melibatkan 700 orang. Memang ia pencapaian berharga buat saya,” telus Puan Sri Nisa yang merupakan penulis buku masakan, I Am Not A Chef.
Buku masakan yang diterbitkan pada tahun 2015 tersebut merupakan sebuah karya unik beliau berkonsepkan Romance, Food and Love yang menghimpunkan 25 resipi tradisional. Selepas kejayaan menerbitkan buku masakan sendiri, Puan Sri Nisa turut mendapat pengiktirafan sebagai Top Outstanding Gourmet Ambassador di World Gourmet Award 2018 selain dilantik Culinary Advisor oleh World Gourmet Award Association 2019.
Pada tahun sama juga Puan Sri Nisa menerima Anugerah Outstanding ASEAN Women Enterpreneur Award 2019 anjuran Awen iaitu ASEAN Women Entrepreneur Network di Bangkok, Thailand.
Berbicara soal rutin harian, Puan Sri Nisa mengambil manfaat situasi pandemik Covid-19 untuk mengajak semua kakitangannya tampil lebih kreatif dan berani mencuba strategi pemasaran baharu dalam usaha menarik semula permintaan pasaran.
Antara inisiatif yang dijalankan adalah pengenalan pek makanan, menyediakan makanan DIY, membantu golongan wanita yang diberhentikan kerja menjana pendapatan dari rumah, menyediakan modul perniagaan dari rumah, memantapkan jenama NisaBakri secara dalam talian, mengadakan kelas makanan online dan kelas masakan untuk kanak-kanak.
“Setiap minggu hari Jumaat, NisaBakri (NB) Gourmet akan tutup katering untuk public business. Kami ambil hari Jumaat untuk memasak bagi pihak pemberi sumbangan sebelum diagihkan kepada anak-anak yatim, gelandangan, warga emas, petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan makanan sihat dan lazat.
Individu-individu yang memberi sumbangan kepada NB Gourmet ini percaya dengan kebolehan kami untuk melaksanakan niat mereka sebab kami amat mementingkan masakan yang sihat tanpa pengawet atau preservatives.
Sejujurnya, saya sudah mulakan program ‘Friday Givings’ ini sejak enam tahun lepas. Sekarang alhamdulillah, ramai yang sudah tahu program berkenaan. Hari Jumaat ialah hari paling istimewa buat saya dan saya sendiri akan masak untuk insan-insan istimewa berkenaan.
Antara menu yang disediakan ialah Biryani Ayam Yemen, Biryani Grill, Ayam Masak Merah, Lontong Ayam Sayur, Daging Dendeng dan banyak lagi,” jelas Puan Sri Nisa yang mengambil tempahan makanan bagi tujuan kebajikan.
Terinspirasi dengan gaya hidup Puan Sri Nisa. Meskipun sibuk mengurus keluarga, cucu dan anak, tetap komited dengan bisnes yang diusahakan. Moga kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita.
Kredit foto: Instagram Puan Sri Nisa Bakri
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memang cantik atlet boling kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi. Persis seorang model. Baru berusia 27 tahun, nama Syaidatul Afifah menjadi bualan hangat rentetan kejayaan atlet muda ini memenangi pingat emas dan perak di Sukan Asia ke-18 Jakarta-Palembang baru-baru ini.
Beliau yang telah berkecimpung dalam arena sukan boling sejak 2002 nyata berjaya mempertahankan prestasi cemerlang sampai ke saat ini. Sepanjang pembabitan tersebut, pelbagai kejuaraan sudah dirangkul antaranya Pingat Emas Acara Berpasukan Kejohanan Boling Dunia Las Vegas 2017 dan Pingat Emas Sukan SEA di Singapura.
Gembira kerana mampu membawa pulang pingat emas dan perak dalam temasya Sukan Asia kali ini, Syaidatul Afifah meluahkan rasa syukur atas sokongan padu yang diberikan kepadanya.
“Pertama sekali, syukur alhamdulillah. Saya sangat berbesar hati mewakili Malaysia dan berpuas hati dengan prestasi saya di Sukan Asia ini. Syukur saya dapat menyumbangkan pingat emas dan perak untuk negara tercinta ‘Malaysia’. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga, jurulatih, OCM, ISN, MSN, MTBC, podium program, para penaja, Air Asia, Kerajaan Negeri Perak, fisioterapi dan para penyokong atas doa yang diberikan sepanjang Sukan Asia. Akan terus berusaha membanggakan Malaysia di mata dunia,” kongsinya di Instagram.
Memetik kenyataan Syaidatul Afifah dalam Stadium Astro, “Saya telah beraksi dalam empat edisi Sukma sebelum ini. Mewakili Malaysia bersama-sama idola saya, Shalin Zulkifli sudah tercapai serta mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.”
Dalam Sukan Asia 2018, atlet ini merangkul emas dalam acara trio wanita bersama Esther Cheah dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman. Sementara pingat perak acara berpasukan wanita pula diraih bersama Siti Safiyah Amirah, Cheah Mei Lan, Natasha Mohamed Roslan, Sin Li Jane dan Shalin Zulkifli.
Kredit: Instagram Syaidatul Afifah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebagai sebuah negara Islam dengan anggaran populasi sekitar 3 juta orang, Nona tertarik melihat keanggunan ‘First Lady of Qatar’ iaitu Sheikha Jawaher Al Thani. Berusia 41 tahun, gaya elegan dan kecantikan semula jadi Baginda Permaisuri mencuit perhatian, ditambah lagi sifat cintakan ilmu yang menebal dalam jiwa isteri Emir Qatar tersebut.
Merupakan sebuah negara monarki diraja, Yang Mulia Sheikh Tamim menerima kuasa pemerintahan daripada ayahandanya, Yang Mulia Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani.
Ketika menaiki takhta pada tahun 2013, Sheikh Tamim yang ketika itu baru berusia 33 tahun mencatat sejarah sebagai raja termuda berkuasa di negara Teluk Arab.
Namun sebelum itu pasti ramai yang masih mengingati keanggunan bonda Sheikh Tamim, Sheikha Moza bint Naseer yang cukup dikagumi oleh ramai wanita.
Seorang yang aktif dalam bidang kebajikan, Sheikha Moza juga terlibat dengan pelbagai kerja amal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta pernah diangkat sebagai di antara 100 Wanita Paling Berkuasa Di Dunia.
Kehebatan Sheikha Moza sering menjadi inspirasi pemimpin wanita. Kini selepas takhta Qatar diambil alih oleh anaknya, ramai yang berharap agar First Lady of Qatar yang terkini iaitu Sheikha Jawaher meneruskan legasi ibu mertuanya.
INSPIRASI
Sebagai Emir Qatar yang disegani dunia, Sheikh Tamim banyak membawa perubahan kepada negara pengeluar petroleum dan gas asli itu.
Antaranya melakar sejarah sebagai negara pertama di Timur Tengah diberi penghormatan menganjurkan Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2022.
Sheikha Jawaher merupakan isteri pertama Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani. Baginda berdua berkahwin pada tahun 2005 dan bergelar permaisuri apabila suaminya menaiki takhta pada tahun 2013.
Sosok permaisuri berusia 41 tahun ini jarang menjadi perhatian media malah ketika baginda berkunjung ke Madrid, Sepanyol pada Mei 2022, ia menjadi penampilan perdananya secara rasmi, kira-kira sembilan tahun selepas diangkat sebagai Permaisuri Qatar.
Pertemuan pasangan diraja Sheikh Tamim dan Sheikha Jawaher bertemu Raja Felipe VI dan Ratu Letizia di Istana Zarzuela, Sepanyol itu ternyata menjadi perhatian media.
Tampil elegan dalam balutan kemeja dan celana panjang rona putih krim, penampilan Sheikha Jawaher disempurnakan dengan sepasang kot labuh Chanel juga dalam rona serupa.
Dalam pertemuan diplomatik tersebut, baginda telah dianugerahkan pingat Dame Grand Cross of The Royal Order of Isabella the Catholic oleh Raja Felipe.
Berdasarkan sumber, Sheikh Tamim dan Sheikha Jawaher merupakan dua pupu. Sheikha Jawaher adalah salah seorang kerabat diraja Qatar dan merupakan puteri bekas Menteri Sheikh Hamad bin Suhaim Al Thani.
Pasangan diraja Qatar ini melangsungkan pernikahan pada 8 Januari 2005 di Istana Al Wajbah. Baginda berdua dikurniakan empat cahaya mata terdiri dua putera dan dua puteri bernama Sheikha Al Mayassa, 16 tahun; Sheikh Hamad, 14 tahun; Sheikha Aisha, 12 tahun; dan Sheikh Jassim, 10 tahun.
Seorang yang cantik dan pintar, baginda Sheikha Jawaher berjaya menamatkan pengajian di Universiti Qatar dan menggenggam Ijazah Sarjana Seni pada tahun 2021. Namanya membawa maksud yang indah dalam Bahasa Arab iaitu jawaher yang bererti ‘permata’.
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.