Chempaka Emalin Pahamin seorang wanita yang ringkas namun memiliki karisma tersendiri. Meskipun bergelar isteri selebriti popular dan lahir dalam kalangan keluarga ternama, Chempaka cukup low profile. Jarang kisah mengenai dirinya dikongsikan kepada umum.
Pun begitu, apabila sebut sahaja nama Chempaka pasti ramai yang terkenang wajah kacak suaminya iaitu Azhar Sulaiman. Pelakon era 90an ini pernah membintangi beberapa filem popular antaranya Abang 92.
Berbakat sebagai pelakon, aktor ini juga mempunyai kelulusan akademik dalam bidang seni bina dan bergelar arkitek.
Di sebalik kejayaan Azhar, ada seorang wanita bergelar isteri yang sentiasa menyokong minat dan kerjaya suami. Difahamkan usia perkahwinan Azhar dan Chempaka mencecah 28 tahun.
Mesra menyapa isteri dengan gelaran Maling, Azhar bertuah dikurniakan isteri yang bukan hanya ‘humble’ dan bijak tetapi juga cukup menjaga nama baik suami.
Ads
Mengenali Chempaka, ibu hebat yang meniti usia 52 tahun ini ialah anak sulung kepada Allahyarham Datuk Pahamin A Rajab dan Datin Zainab Mohamad.
Bapanya merupakan pengasas bersama AirAsia Berhad dan pernah berkhidmat dalam kementerian serta agensi kerajaan lebih 30 tahun.
Sebelum ini bapa Chempaka menggalas tugas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan.
Ads
Meskipun berasal dari keluarga ternama, Chempaka seorang wanita ringkas dan selesa tidak dibayangi hidup glamor memandangkan suaminya berstatus selebriti. Aktif menyertai Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Chempaka dilantik sebagai Chair of Asia Pacific Regional Committee.
Bukan itu saja, Azhar sebelum ini turut pernah mendedahkan isterinya ialah seorang peguam.
Wanita bijak ini juga ibu kepada tiga anak iaitu Kasih Leia Ixora, Kasih Iris Leona dan Andika Rees Pahamin. Mewarisi gen bijak Azhar dan Chempaka, ketiga-tiga cahaya mata pasangan ini menjadi tumpuan masyarakat kerana meraih keputusan akademik cemerlang.
Anak sulung mereka, Kasih Leia Ixora ialah graduan dari University of Notthingham. Sementara anak kembar, Kasih Iris Leona dan Andika Rees pula sambung pengajian di luar negara. Julai lepas, Rees selesai menamatkan pengajian di Solent University di England.
Bukan 10 atau 20 tahun tetapi dah lebih tiga dekad Dato’ Seri Dr Farah Khan sukses sebagai usahawan! Mengikut pengalaman dan kejayaan yang diraih, beliau sememangnya sudah layak diangkat sebagai ‘sifu’ dalam industri fesyen tanah air. Mana tidaknya, wanita cekal inilah yang menjadi pencetus pembukaan jenama fesyen mewah antarabangsa ke dalam pasaran Malaysia. Bukan calang-calang!
Kepakaran Dato’ Seri Dr Farah Khan bukan hanya mencipta busana anggun serba eksklusif bahkan beliau juga kreatif mempelbagaikan cabang bisnes di bawah syarikat miliknya, The Melium Group. The Melium Group merupakan satu entiti perniagaan yang memfokuskan kepada lanskap fesyen mewah di Malaysia. Penubuhannya diasaskan Dato’ Seri Dr Farah sejak tahun 1989 yang dengan berani membawa masuk jenama fesyen bertaraf antarabangsa ke dalam pasaran negara.
Sepanjang 31 tahun menerajui syarikat, The Melium Group sudah pun mempunyai lebih 100 jenama antarabangsa dengan kejayaan pembukaan butik fizikal antaranya Tod’s, Aigner, Emilio Pucci, MCM, Max Mara, Roger Vivier dan Hacket London.
Di samping membawa jenama-jenama mewah masuk ke pasaran negara, Dato’ Seri Dr Farah Khan turut memartabatkan identitinya sebagai pereka fesyen. Pada tahun 2007, beliau melancarkan jenama fesyen sendiri iaitu Farah Khan yang kini menyambut ulang tahun ke-13.
Tidak cukup dengan itu, Dato’ Seri Dr Farah turut meluaskan portfolio empayar perniagaannya dengan mengembangkan sayap dalam bidang makanan menerusi pembukaan kafe Dome dan restoran eksklusif, Mamasan. Mengulas pembabitan awal Presiden The Melium Group ini, Dato’ Seri Dr Farah Khan menjelaskan penglibatannya dalam industri ini banyak dipengaruhi oleh minat dan kerjaya ibu tersayang.
“Jiwa fesyen sudah sebati dalam diri sejak zaman remaja lagi dan saya mewarisi bakat tersebut daripada ibu yang pernah terlibat dalam perniagaan busana fesyen wanita suatu ketika dahulu. Sepanjang mendalami bidang ini saya dapati kerjaya fesyen telah banyak membantu kehidupan saya terutamanya dari segi mental dan fizikal. Malah melalui fesyen juga ia memberi saya kepuasan!
Apa yang boleh saya katakan ialah saya sangat gembira kerana berjaya menjadikan minat sebagai kerjaya. Bukan hanya dapat memberi sumbangan kepada industri fesyen tetapi juga merealisasikan segala manifestasi dan impian yang saya diidam-idamkan selama ini menjadi satu kenyataan. Fesyen juga memberi peluang kepada saya untuk memperkasakan kaum wanita dan generasi muda. Selain itu, ia membuka jalan untuk saya terlibat dalam kerja amal kebajikan di samping menjadi insan lebih baik dan berguna kepada masyarakat.”
31 tahun bertapak dalam industri nyata bukan satu tempoh singkat. Biarpun kredibiliti Dato’ Seri Dr Farah Khan sebagai pereka fesyen dan usahawan diperakui ramai namun beliau percaya tanpa usaha gigih para pekerja, The Melium Group tidak akan mampu bertahan seperti hari ini. Apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ekoran pandemik Covid-19.
“Covid-19 telah banyak menjejaskan kehidupan ramai orang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Walaupun pada awal PKP dulu saya masih berada dalam keadaan terkejut tapi sebagai usahawan dan juga majikan, saya perlu merangka strategi dengan cepat supaya perniagaan kami kekal bertahan dan memastikan kebajikan para pekerja terjaga. Setiap hari saya bersama barisan ahli lembaga, pihak pemasaran dan kakitangan akan berbincang mencari pembaharuan serta pendekatan terbaharu supaya pelanggan mudah mendapatkan khidmat kami.
Mujur usaha memperhebat platform dalam talian dan pelancaran aplikasi The Melium Group memberi impak berkesan dalam meniti keadaan sukar ketika ini. Seiring peralihan teknologi era digital, aplikasi berkenaan sangat relevan kerana pelanggan bukan hanya dapat mengetahui perkembangan bisnes kami menerusinya malah boleh merebut pelbagai tawaran dan diskaun menarik tanpa perlu mengunjungi butik fizikal. Paling penting adalah keupayaan kami untuk kekal kreatif memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan,” ujar Dato’ Seri Dr Farah Khan yang mempunyai 500 kakitangan di bawah pengurusannya.
Tidak hanya memfokuskan kepada dunia fesyen mewah dan perniagaan, Dato’ Seri Farah Khan turut prihatin dengan golongan memerlukan. Buktinya, beliau dan kakitangan The Melium Group berjaya menganjurkan pelbagai program dan kempen kebajikan. Salah satunya menerusi Support The Economy yang melibatkan para usahawan, pemain industri, selebriti dan peminat fesyen antaranya Cef Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali Cef Wan, Kavita Sidhu dan suami, Magie Abang Saufi serta sosialit Ezurin Khyra dalam usaha menyokong ekonomi negara.
“Rentetan wabak Covid-19 semua komuniti tidak kira dalam industri fesyen, seni, perusahaan restoran mahupun pelancongan perlu saling berganding bahu untuk merancakkan semula ekonomi. Support The Economy ini ialah inisiatif The Melium Group sebagai satu medium penyatuan dalam menyokong golongan usahawan, bisnes tempatan, industri seni dan sektor pelancongan untuk kembali pulih,” jelas usahawan ini yang turut tidak ketinggalan menyantuni dan memberi sumbangan berupa makanan kepada insan kurang bernasib baik seperti Orang Kurang Upaya dan ibu tunggal yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19.
Tatkala ditanya bagaimana dia mampu kekal memberi suntikan inspirasi kepada wanita lain, dengan penuh merendah diri Dato’ Seri Dr Farah Khan berkata ia bukanlah satu perkara mudah memandangkan dirinya juga insan biasa yang turut mengalami pasang surut kehidupan. “Kunci utama ialah kekal positif dan terus maju ke hadapan kerana minda kitalah yang membawa hala tuju seterusnya. Sentiasa ingatkan diri sendiri untuk terus pandang ke matlamat hidup hari ini dan esok. Walau ada yang menjadikan saya sebagai sumber inspirasi tetapi sebenarnya saya turut terinspirasi dengan realiti kehidupan masyarakat.
Saya juga cukup bertuah kerana dikurniakan ramai sahabat dari pelbagai lapisan masyarakat. Mereka inilah yang menggalakkan saya untuk menjadi insan lebih baik setiap hari. Selain mahu berjaya dalam perniagaan, saya juga mahu menjadi individu yang boleh berbakti kepada keluarga, rakan-rakan, pekerja dan orang ramai kerana tujuan utama kita hidup di muka bumi ini juga adalah untuk saling membantu di antara satu sama lain,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Raut wajahnya cantik dan susuk tubuh Shilpa Shetty Kundra pun tidak ubah seperti anak dara, kekal langsing! Bergelar isteri kepada Raj Kundra, Shilpa cecah usia 48 tahun pada 8 Jun depan dan ibu kepada 2 anak comel.
Apalah agaknya rahsia Shilpa sampai boleh sentiasa tampil anggun seperti zaman bujang dulu.
Lepas diselidik dan meneliti gaya hidup Shilpa, rupa-rupanya jelitawan ini cukup disiplin soal pemakanan dan rutin senaman. Malah, aktres jelita India ini juga ada menerbitkan buku resipi ‘The Diary of A Domestic Diva’ yang memaparkan 90 jenis resipi sihat.
Sudahlah berbakat dalam bidang lakonan, di dapur pun dia lincah beraksi. Ada bermacam-macam jenis sajian dikongsikan Shilpa dalam rangkaian media sosial Youtube, Facebook, Instagram dan Twitter di bawah nama ‘The Shilpa Shetty’.
Jadi, buat wanita yang sedang berusaha menurunkan berat badan dan mahu menjalani gaya hidup sihat, anda patut jadikan Shilpa Shetty sebagai inspirasi dan ikuti platform media sosial berkenaan.
Sesekali, bolehlah cedok resipi sihatnya sebagai diet harian. Confirm dengan usaha gigih dan komited, anda pun mampu milik tubuh ideal sepertinya.
Antara sajian yang pernah dihasilkan Shilpa termasuk Mushroom Bruschetta, Vegan Pumpkin Curry & Rice, Nutrition Bar, Chickpea & Sweet Potato Chaat dan sajian pencuci mulut Baked Karanji.
Mencungkil lagi rahsia kecantikan, dia juga tekun mempelajari rutin senaman baru dan kardio terutamanya melibatkan senaman yoga. Kini petua kecantikan Shilpa Shetty bukan lagi rahsia.
Asalkan konsisten bersenam dan menjaga pemakanan, impian memiliki tubuh idaman berada dalam genggaman.
Kalau tengok media sosial The Shilpa Shetty, ia umpama medium gaya hidup sihat yang sarat dengan pelbagai rutin senaman, pilihan menu berkhasiat dan sisi hidup Shilpa di samping keluarga tercinta.
Dalam kalangan peminat Bollywood, kekayaan yang dimiliki Shilpa Shetty bukan lagi perkara asing. Suaminya iaitu Raj Kundra merupakan usahawan kelahiran British yang menjalankan pelbagai pelaburan termasuk kelab kriket dan seni bela diri.
Raj berkahwin dengan Shilpa pada tahun 2009 dan sepanjang 14 tahun melayari rumah tangga, mereka dikurniakan anak lelaki, Viann Raj Kundra yang kini berusia 11 tahun dan Samisha Shetty Kundra yang lahir pada 2020 menerusi ‘ibu tumpang’.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Kejelitaan Engku Aleesya Engku Emran, 11 tahun mewarisi kejelitaan ibunya, Primadona Erra Fazira. Khabarnya, puteri tunggal Miss Malaysia World 1992 ini telah menerima banyak tawaran dalam industri seni terutamanya lakonan iklan.
Walau bagaimanapun pelakon dan penyanyi yang berasal dari Rawang Selangor ini sentiasa menyokong apa sahaja keputusan yang dipilih oleh puteri kesayangannya itu. Cuma buat masa sekarang Engku Aleesya perlu mendapat restu daripada bapanya terlebih dahulu.
Teringat kala bertemu dengan pelakon filem Sembilu ini bercerita tentang anak kesayangannya ini di sebuah majlis dahulu. Cerita Erra Fazira tentang Engku Aleesya, “Saya jaga Aleesya tiga hari dan empat hari seterusnya bersama ayahnya.
Saya berbicara dengan Aleesya macam orang dewasa tapi ada juga masa untuk bermanja. Apabila saya nak menjelaskan sesuatu tu saya kena ada fakta, saya bagi contoh untuk buka minda dia. Jadi di situ saya cerita bagaimana kehidupan dewasa nanti apa expectation kita.
Cantik macam mana pun kalau perangai tak elok orang tak suka. Walaupun saya nampak muka dia macam tak berapa faham tapi itu tanggungjawab saya. Saya fikir dalam pada saya ‘simbah (siram) air’ sedikit sebanyak ada penyerapan,” ujar Erra Fazira.
Mendidik anak remaja bukan suatu tugas yang mudah lebih-mebih lagi membesar di era teknologi ini. Erra Fazira juga mengakui turut menghadapi masalah yang sama. “Saya dah mula merasa bahang bila anak meningkat remaja ni makin mencabar tugas sebagai seorang ibu. Bila kita cakap sepatah dia ada jawapan dia, dulu masa kecil hanya “yes mom“.
Tapi itu cabaran saya juga, saya pun tidak sempurna. Saya belajar daripada pengalaman dan dalam masa yang sama, saya rasa tanggungjawab ibu zaman sekarang kena banyak membaca, cari pengetahuan atau ilmu parenting untuk mendidik anak.
Saya ada buku saya yang saya beli macam mana nak mendidik anak. Jadi, itu semua saya ambil kira. Sebab masa saya terhad dengan dia. Dalam tiga hari itu lah masa saya nak mendidik, marah dan nak bermanja,” ulas wanita yang berusia 47 tahun ini.
Ramai yang memuji kecantikan dan penampilan Engku Alesya dan adakah ibunya sudah mengajar untuk menjaga kecantikan? “Memang saya dah mula didik Aleesya jaga kecantikan. Macam-macam saya beli untuk dia tapi, being budak dia buat apa dia nak buat. Bila tanya dah pakai, dah bila tengok tak pakai pun.
Saya dulu pun macam tu bila mak membebel kita belum tentu nak pakai tapi bila ada kesedaran baru kita tahu, dulu mak suruh pakai tapi tak pakai kan. Jadi, sekarang ni tiba masa saya membebel dekat Aleesya dan besar harapan saya satu hari dia ada kesedaran untuk menjaga kecantikan,” kata Erra yang mahu beri pendidikan seimbang buat anak tersayangnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Filem Khadam tampil dengan kisah seram penuh emosi mengenai seorang ibu yang terpaksa berdepan warisan saka keluarga. Ketahui jalan cerita, barisan pelakon dan keunikan naskhah ini.