Bukan mudah bagi usahawan mengekalkan perniagaan mereka kalau tidak konsisten memberikan produk terbaik kepada pelanggan. Lagi-lagi bisnes yang melibatkan makanan. Hasil kerja keras dan kreatif menghasilkan idea manisan terkini, tidak hairanlah produk Suka Dessert selalu viral!
Pujian seharusnya diberikan kepada pemilik Suka Dessert, Siti Hajar Mohd Razali atau lebih dikenali sebagai Auntie Ja kerana berjaya meletakkan produk keluarannya ke satu tahap membanggakan.
Siapa sangka, jualan manisan dan aneka sajian pencuci mulut yang diusahakan kira-kira enam tahun lalu berkembang maju dan sering diserbu penggemar coklat.
Dari utara tanah air sampai ke Selatan, mereka sanggup beratur panjang demi mendapatkan seleksi manisan menyelerakan di Suka Dessert yang terletak di Selayang.
Antara item yang laris ialah Cake in Bowl, Oval Cookies, Crunchpy, dan Strawberry in cup.
Dek kerana viral, produk Auntie Ja sering menjadi rujukan pengusaha manisan lain sehingga ada yang sanggup meniru kreativiti pengasas Suka Dessert itu termasuk dari segi hidangan, pembungkusan dan sebagainya. Perkara tersebut nyata menimbulkan rasa kurang senang Auntie Ja.
Malah dia turut memuat naik video di media sosial dengan menyatakan rasa kecewanya terhadap isu berkenaan.
Percaturan Auntie Ja berhenti kerja demi mengejar impian memiliki bisnes manisan nyata berbaloi. Apatah lagi pada Januari 2023, jualan yang diraih syarikatnya dianggarkan mencecah tujuh angka!
Difahamkan isteri Muhammad Syafiq Mohd Zamshari ini pada awal pembabitannya tidak mempunyai latar belakang dunia kulinari.
Namun bersandarkan minat mendalam terhadap coklat, dia memberanikan diri berniaga dan menghasilkan manisan sendiri.
Meskipun Auntie Ja mempunyai kafe sendiri dan puluhan staf di belakangnya namun wanita cekal ini akui masih belajar mendalami dunia coklat.
Selain menjual aneka manisan, dia turut tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai festival makanan di seluruh Malaysia bagi mempromosikan produk jualan kepada pelanggan.
Semoga Suka Dessert terus berkembang maju dan kejayaan Auntie Ja di samping suami tercinta menjadi inspirasi ramai untuk berjaya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebut sahaja nama Bienda atau pemilik nama penuh Nor Razlinda Razli pasti ramai akan terkenangkan suara lunak merdu bekas penyanyi nasyid kumpulan Solehah pada era 90-an ini yang juga pernah dianggotai oleh isteri usahawan terlajak laris, Datin Nur Shahida Mohd.
Sekadar recap, Bienda memulakan kerjaya nyanyiannya seawal usia 12 tahun dengan menganggotai sebuah kumpulan nasyid wanita Solehah selama 5 tahun, bermula dari tahun 1998 hingga 2002. Pada tahun berikutnya, Bienda telah mengambil keputusan untuk keluar daripada Solehah dan mula bergerak secara solo.
Pasti ramai diantara peminat Bienda mahupun ‘Biendalovers’ yang tertanya-tanya apakah perkembangan terkini artis versatil yang pernah diangkat sebagai ikon fesyen, sehingga menjadi ikutan ramai gadis disebabkan imej berhijab serta gaya penampilannya yang begitu gypsy satu ketika dahulu.
Kini NONA, tumpang gembira melihat bisnes pau yang diusahakan Bienda mendapat sambutan ramai. Pernah menjadi penyanyi kumpulan nasyid, Bienda bagaimana pun tidak segan berniaga di tepi jalan dan mencari pelbagai peluang rezeki halal demi kelangsungan hidup.
Sejak perniagaan pau viral sekitar tahun 2022, Bienda berkata perniagaan ‘Papapau’ yang diusahakan bersama suami tercinta iaitu Kamarul Zariman Abdul Rahman pada hujung Disember 2021 masih mendapat sambutan dan mempunyai penggemar tersendiri.
Pau yang dijual selain gebu dan berinti penuh, terdapat pelbagai perisa ditawarkan termasuklah Pau Kaya, Pau Kelapa, Pau Kacang, Pau Coklat Beryls, Pau Kari Ayam Dara dan Pau Kari Daging Empuk.
Paling rare, perisa Pau Bolognese Mozarella Cheese dan Pau Carbonara Cendawan Subur.
Akui wanita cantik dan anak kepada penyanyi Sheeda ini, gerai jualan mereka dikunjungi ramai sejak gambarnya menjual pau di tepi jalan bertebaran di media sosial.
Malah, menurut Bienda sebelum memulakan perniagaan menjual pau, dia sememangnya sudah bergiat aktif hingga bidang perniagaan bukanlah satu perkara asing baginya. Bienda mula menceburi dunia perniagaan dengan menjual tudung dan inner.
Selain rancak berniaga pau aneka perisa, Bienda juga menjual koleksi jubah dan busana wanita. Sampai hampir licin di pasaran. Alhamdulillah!
Malah ketika ditanya, adakah dia merasa kekok keluar dari dunia ‘glamour’ dan kini bergelar oarang kebanyakkan, Bienda menegaskan bahawa dia langsung tidak kisah berniaga di tepi jalan seperti yang diusahakannya bersama suami ketika ini. Asalkan produk yang dijual berkualiti dan sedap.
Untuk rekod, Bienda berkahwin dengan suaminya yang merupakan bekas penerbit sebuah stesen televisyen pada pada 10 Oktober 2009.
Hasil perkongsian hidup selama 15 tahun itu, kehidupan pasangan merpati dua sejoli ini telah diserikan lagi dengan kehadiran dua cahaya mata perempuan iaitu Lavienda Namiraz dan Laxiendra Namiraz.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari NONA.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Siapa sangka, keputusan pasangan suami isteri ini untuk melepaskan jawatan sebagai Jurutera dan menceburkan diri dalam dunia perniagaan secara sepenuh masa menjadi asbab kejayaan jenama fesyen yang diusahakan sejak 10 tahun yang lalu.
Tahun ini, Muhammad Nizar Jamaludin dan Nur Hafizah Shaarani mengeluarkan lebih 100,000 unit koleksi baju raya RAVE Raya 2023 selain kerjasama sulung dengan jenama Hombre.
Menyingkap bagaimana jenama fesyen dikenali sebagai MCC Lifestyle mula bertapak, menurut Nur Hafizah ia merupakan keputusan terbaik yang diambil untuk mereka mencuba sesuatu yang baharu.
“Kami berdua belajar dan merupakan lulusan bidang kejuruteraan. Saya merupakan graduan Universiti of Southamptom United Kingdom dan bekerja sebagai jurutera di Tenaga Nasional Berhad sebelum ini.
“Manakala suami pula graduan Universiti Teknologi Petronas. Dia juga pernah bertugas sebagai Jurutera di syarikat minyak popular. Selepas tamat tempoh perkhidmatan wajib bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, kami memilih untuk berhenti kerja,” ujar Nur Hafizah.
“Dipendekkan cerita, tumpuan kami kepada dunia perniagaan termasuklah mengukuhkan lagi jenama. Dahulu, jenama ini hanya dikenali sebagai MCC, tapi kami melakukan penjenamaan semula terhadap nama dan logo,” kata Nur Hafizah.
Genap tahun ke-10 dalam dunia perniagaan berasaskan fesyen, ia terus mencipta ‘milestone’ membanggakan termasuk jualan koleksi baju rayanya. Serentak dengan itu juga, jenama berkenaan lebih bersifat interaktif dan inovatif menawarkan MCC Lifestyle Interactive Rave Raya 2023 Lookbook untuk memudahkan pembeli membuat keputusan pembelian dengan lebih sistematik.
“Lookbook atau koleksi foto pakaian dijual ini lebih memudahkan pembeli membeli dalam talian. Ia disifat sebagai strategi promosi untuk menarik pelanggan dan membantu mereka menentukan pilihan yang lebih baik. Ia lebih ‘feel’.
Terdapat lebih 300 pilihan koleksi ditawarkan di mana ia turut menawarkan polisi 90 hari jaminan pulangan wang jika pelanggan tidak berpuas hati dengan pembelian. Malah khidmat penasihat fesyen juga turut diberikan jika ada pelanggan mahukan bantuan atau nasihat.
Ketika ditanya mengenai simbolik Rave sebagai nama koleksi raya tahun ini, Nizar berkata ia mempunyai maksud yang tersendiri.
“R itu merujuk kepada romantik dengan menampilkan koleksi Abaya, gaun labuh dan jubah. Ada lebih 50 look yang sesuai untuk majlis berbuka puasa atau persalinan menunaikan umrah mahupun haji.
“A pula bermaksud anggun menampilkan kurung pelbagai potongan, fabrik dan kemasan. Ada koleksi songket, kurung lace, pleated, lasercut dan sulam. V pula versatil terdiri daripada koleksi harian seperti blaus, gaun yang sesuai untuk digayakan harian atau majlis rumah terbuka.
“Manakala E pula diambil untuk abjad terakhir ejaan Hombre menerusi 20 warna koleksi baju Melayu Tailored Fit,” kata Muhammad Nizarl lagi.
Tidak hanya mencipta nama di dalam negara, jenama ini turut menyertai London Modest Runway di Excel London yang dianjurkan pada 25 dan 26 Februari lalu.
“Untuk pertunjukan fesyen di London kami ketengahkan 16 rekaan bertemakan Summer Raya dan Regal Ramadan. Kami turut berpeluang membuka tiga booth di acara itu dan mendapat sambutan menggalakkan dari golongan muslim di sana.
“Malah 8 rekaan diperagakan juga direka khas oleh rakan kerjasama dari Paris. Kami juga berpeluang melebarkan rangkaian di sana sekali gus dalam perancangan meneroka perniagaan pakaian di Timur Tengah iaitu Jordan.
“Insya-Allah, kami dijemput ke sana untuk lawatan lapangan. Malah kos penerbangan dan pengangkutan turut ditanggung pembeli berpotensi,” kata Nur Hafizah.
Jenama yang ditubuhkan pada tahun 2013 ini juga turut menaja baju raya untuk 200 orang wanita asnaf dan kanak-kanak. Majlis penyerahannya akan dibuat 10 terakhir Ramadan ini. Tidak ketinggalan, ia melancarkan Blessed Beyond Belief Programme bagi menaja bantuan kewangan bagi pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.
Selain itu, siri 30 Hari Tadabbur Ramadan bersama Pengasas Tadabbur Centre Sdn Bhd, Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman turut diterbitkan bagi siaran Instagram.
Ditanya pula mengenai aktiviti sepanjang Ramadan dan Aidilfitri, Muhammad Nizar berkata ia telah menjalinkan kerjasama dengan Hombre menampilkan 30 penyanyi rock, otai dan semasa negara untuk rakaman takbir raya bersama platform perkhidmatan strim filem Melayu, Siar baru-baru ini.
“ Antara artis yang turut terlibat termasuklah Zamani Slam, Akhil Hayy, Rahmad Mega, Ameng Spring, Zarul Husin, Datuk Nash, Lan Solo dan ramai lagi.
“Tanda pagar Raya Macam Rockstar, Raya Macam Legend turut dicipta sebagai sokongan kerjasama ini,” kata Muhammad Nizar.
Majalah Nona pun ada di Telegram tau.
Dah follow Telegram Majalah Nona?
Follow kami sekarang di link berikut: https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim ini berusia 13 tahun ketika menyaksikan kediaman keluarganya diserbu oleh sepasukan anggota polis. Dalam usia yang sudah menginjak remaja, Nurul Nuha sudah faham apa yang sedang berlaku.
“Pada usia 13 tahun ketika itu, saya sudah tahu apa yang sedang berlaku. Keperitan dan kesedihan hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi berkat doa dan sokongan ramai, semangat kami adik-beradik tidak pernah luntur. Alhamdulillah kami dikurniakan seorang figura bapa yang amat optimis dan exceptional. Selain itu, sikap mama yang penyayang, penuh kesabaran dan selalu bersifat positif juga menjadi nadi kekuatan kami. Kombinasi ini sememangnya luar biasa dan merekalah sumber kekuatan kami adik beradik,” jelas Nuha yang ternyata bangga mempunyai ibubapa yang penuh dedikasi dan tahap kesabaran yang tinggi.
“Mengenang kembali saat itu, pastinya meruntun hati tetapi ia adalah antara episod duka yang banyak mematangkan saya,” ujar Nurul Nuha yang menjadi insan hebat di belakang kakak sulungnya, Nurul Izzah.
BANGKIT BERJUANG
Bukan sekali, malah dua kali melihat bapanya dipenjarakan merupakan tamparan hebat yang harus dilalui oleh keluarga ini. Episod hitam kembali berlaku apabila Anwar dipenjarakan sekali lagi pada 2014. Tetapi Nurul Nuha bukan lagi ‘budak mentah’ yang hanya mampu melihat tanpa melakukan apa-apa. Kebahagiaan bersama ayah yang hanya sempat dinikmati 10 tahun direntap sekali lagi. Usia 30 tahun sudah cukup mematangkan untuk dirinya berjuang mencari keadilan buat si ayah.
Nuha dengan sokongan ahli keluarga telah menggerakkan kempen March to Freedom setahun kemudiannya sebagai menyambung usaha Ketua Umum PKR yang dipenjarakan kerana kesalahan moral.
“Kempen itu sebagai manifestasi saya mewakili lima beradik lain sebagai satu perjuangan keluarga selepas papa ditahan akibat ketidakadilan dalam sistem kehakiman negara. Kempen March To Freedom adalah kesinambungan perjuangan selepas 17 tahun seluruh ahli keluarga menjalani kehidupan penuh emosi yang sukar digambarkan melalui kata-kata,” ujar Nurul Nuha yang mempunyai rupa para seiras ibu tersayang.
Tambah Nurul Nuha lagi, kempen yang dilancarkan pada 11 Februari 2015 telah digerakkan melalui platform media sosial termasuk di peringkat antarabangsa.
“Ia turut memberikan fokus kepada hak kemanusiaan untuk pembebasan Anwar dan paling penting memberikan kesedaran tentang hak kemanusiaan dalam sistem undang-undang,” ujar ibu kepada tiga cahayamata ini lagi.
“Pengorbanan seorang ayah yang menyayangi anaknya tak ada batasan, tambahan pengorbanan seorang pejuang terhadap negara yang dicintainya merangkumi segala batasan perjuangan.
“Saya amat menyayangi papa, terima kasih kerana mengajar kami untuk tidak mementingkan diri sendiri, tabah, mengasihi satu sama lain, berjuang untuk rakyat dan negara ini supaya kita semua dapat berkongsi impian yang lebih baik,” kata graduan dari George Mason University Amerika Syarikat ini.
SYAWAL NAN DINANTI
Ditanya mengenai sambutan Ramadan dan Syawal kali ini, Nuha memanjatkan rasa kesyukuran kerana dapat meluangkan masa dengan keluarga tersayang. Sambil berseloroh, Nuha berkata dia ingin menikmati pelbagai hidangan bersama keluarga kerana sudah lama tidak menikmati momen indah seperti ini.
“Alhamdulillah, kami dapat meluangkan masa dengan keluarga dengan harapan tak makan sampai sakit perut. Dengan nikmat begini, kami doakan dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang tidak dapat bersama keluarga supaya tabah dan mendapat ketenangan dan kesabaran InsyaAllah,” ujar Nuha sambil memandang adik-adik yang lain ketika sesi fotografi dijalankan.
Sambil bercerita mengenai kenangan musim perayaan yang lalu, tambah Nuha lagi dia menantikan detik indah dapat berkumpul bersama keluarga tersayang.
“Tahun lalu, Kak Izzah dan Iman memasak menu rendang dan tak sangka sedap dan menepati citarasa kami. Jadi tahun ini tidak pasti samada rendang istimewa ada dalam rancangan atau tidak. Persiapan Raya memang kelam kabut, tapi kepentingan itu lebih kepada meluangkan dengan keluarga”, sambung Nuha lagi.
Nurul Nuha turut melahirkan rasa kesyukuran kerana kesabaran dalam mengharungi liku-liku hidup telah berjaya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan bersama adik-beradik tersayang. Selain itu, perjuangan reformasi juga telah membuka mata mereka dan rakyat Malaysia khususnya untuk melalui pelbagai rintangan dan kesusahan.
“Papa dan mama senantiasa mengingatkan kami, ada kuasa yang lebih kuat dari apa sekalipun adalah ALLAH SWT. Jadi, sentiasa berzikir dan berdoa selepas tawakkal dan usaha. Doa menjadi rutin harian, cekal dan berazam agar mendapat ketenangan dan kemenangan,” ujar Nuha penuh makna.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.