Masa pantas berlalu. Seperti baru semalam mendengar berita gembira tentang kehadiran Musa dalam hidup Hajah Shazrina Azman atau Mizz Nina, kini sudah setahun usianya. Meskipun memilih untuk merahsiakan wajah si kecil itu, beliau tetap berkongsi perkembangan terbaru anak angkat kesayangannya.
Genap berusia setahun, Mizz Nina yang merupakan penerima anugerah Ikon Aktivis Kemanusiaan di Majlis Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2022 berkongsi tentang ulang tahun kelahiran Musa pada 2 Disember.
Bayi lelaki ini merupakan anak angkat beliau dan bekas suami, Noh Salleh, selepas usaha mereka bertahun-tahun menjalani prosedur IVF menemui jalan buntu. Pasangan itu sah bercerai Ogos lepas selepas 11 tahun berumah tangga.
Dalam kemas kini itu, Mizz Nina yang kini berusia 42 tahun memuat naik fotonya bersama Musa dengan wajah yang dilindungi stiker emoji. Pasangan ibu dan anak itu kini dikhabarkan sedang berada di London.
“To my sayang Musa, today you are 1 years old, alhamdulilah…”
Jalan-jalan di Regents Park, London
Mizz Nina dijemput sebagai tetamu dalam program Salaam Britain di saluran Islam Channel
Mizz Nina menjadi personaliti Muslimah inspirasi di mata dunia
Meskipun dilihat sibuk memenuhi undangan temu bual dengan pihak media di sana, Mizz Nina tetap meraikan hari istimewa Musa bersama-sama.
“To my sayang Musa, hari ini genaplah usiamu mencecah setahun. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana membawa dirimu ke dalam hidupku.” Mizz Nina
Ads
Tulis wanita tabah itu lagi, Musa adalah seorang bayi yang istimewa, comel, suka tertawa dan mesra dengan sesiapa saja. Kehadiran bayi ini sangat menggembirakan hatinya, ibarat hadiah bernilai dan amanah terbesar untuk dipelihara dengan sebaik mungkin.
Meskipun hanya menjadi ibu angkat, sifat keibuan Mizz Nina jelas tergambar daripada titipan doa dan ucapan ikhlas ini buat buah hatinya.
“Ya Tuhanku, pilihlah dia agar sentiasa di bawah naungan, perlindungan, petunjuk, rahmat dan keampunan-Mu. Berkatilah dia dengan ilmu dan hikmah, jadikan Musa seorang yang merendah diri, berbudi pekerti, dikurniakan kesihatan terbaik, sahabat dan guru yang soleh.
Bantulah dia membesar, pantas belajar dari kesilapan dan kegagalannya serta pandulah dia di atas landasan Al-Quran dan Sunnah.
Allah loves you sayang Musa, I love u, your bapak and all your mummies love you too…” Mizz Nina
Ads
Tidak ketinggalan, vokalis Hujan iaitu Noh Salleh yang merupakan bapa angkat Musa turut berkongsi momen manis menarik anaknya di dalam wagon dalam hantaran terbaru.
****************** Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (klik) ******************
Ads
TUNAI UMRAH
Kasih sayang seorang ibu tidak bertepi. Selagi berdaya, semuanya mahu diberi untuk kebaikan cahaya mata yang disayangi. Tidak terkecuali, Mizz Nina juga turut membawa Musa menunaikan umrah pertamanya bersama-sama pada bulan lepas.
Doanya sentiasa melangit untuk melihat si kecil ini membesar sebagai manusia yang beriman dan beramal soleh. Bertuah sungguh Musa dibesarkan dalam pangkuan Mizz Nina.
Semoga anak comel ini terus dilimpahi keberkatan dan dipeluk kasih sayang oleh kedua ibu bapa angkatnya meskipun sesudah perceraian. Jalan hidup dan perjuangan manusia itu berbeza, namun doakanlah yang terbaik buat sesiapa pun yang singgah dalam hidup ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa pun tak dapat menafikan kejelitaan yang dimiliki oleh supermodel dan dramatis terkenal, Nasha Aziz. Setiap kali muncul di pentas fesyen pasti akan menjadi tumpuan lensa.
Baru-baru ini ketika memperagakan busana Muslimah di pertunjukan fesyen jenama Muslimah tempatan, Munawwareen di sebuah hotel terkemuka, Nasha tampil anggun berhijab sambil menggayakan rekaan jubah khas rona hijau zamrud bertatahkan jemeki.
Selebriti popular yang kini berusia 51 tahun itu terpilih untuk membuat penampilan khas sempena pelancaran koleksi terbaharu jenama tersebut bertemakan ‘Sempurnakan Hijrah Cinta’.
“Saya bersyukur dengan rezeki yang ALLAH SWT bagi dan berterima kepada pihak Munawwareen terutamanya Datin Hajah Aliza kerana memberi kepercayaan kepada saya.
“Saya hanya melakukan tugas dengan sehabis baik apabila diberikan tanggungjawab. Apa sahaja rezeki yang datang, saya terima.
“Bagi saya, dalam apa sahaja yang kita lakukan, buatlah sepenuh hati. Hargailah setiap momen, kreativiti, keindahan dan usaha masing-masing.
“Saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat. Walaupun dijemput dalam masa satu minggu, saya bersyukur dapat bersama pasukan yang hebat ini,” ujar bintang filem Talbis Iblis ini.
Pada acara yang dihadiri 300 tetamu itu, kira-kira 21 rekaan dengan jumlah 36 busana diperagakan. Ia merangkumi segmen Hawa 1 (koleksi telekung), Hawa 2 (koleksi jubah dan abaya), Rijal (jubah dan kurta lelaki) dan Hawa 3 (koleksi jubah dan dres eksklusif).
Kesemua rekaan bakal dilancarkan bermula Oktober 2022 sehingga Mac 2023 secara berperingkat.
Rekaan patuh Syariah, jenama ini direka dengan potongan Ionggar serta pemilihan fabrik yang tidak menampakkan bentuk badan.
“Munawwareen mahu dikenali dengan identiti fesyen Islamik yang berusaha mengikuti landasan Syariah. Sekarang kita dapat lihat lebih ramai wanita bijak berfesyen meskipun menutup aurat dengan sempuma,” kongsi Pengasas dan Pengarah Urusan Munawwareen Holdings Sdn Bhd, Datin Aliza Abu Bakar.
Munawwareen turut melancarkan lagu rasminya berjudul Munawwareen mewakili jenamanya ciptaan Hafiz Hamidun. Ia dinyanyikan oleh Ernie Zakri.
Turut menyerikan acara ialah persembahan daripada Tomok dan Syamel, selain kehadiran beberapa selebriti popular tanah air antaranya Hawa Rizwana dan Rozita Che Wan.
Kredit Foto: Instagram Munawwareen
Sumber: Sinarplus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dari syarikat korporat ke dunia penjagaan kanak-kanak, Muhaini Mahmud akhirnya menemui kerjaya yang diimpikan. Bersandarkan sifat keibuan yang tebal, wanita jelita berusia 43 tahun ini bangkit bersama rakan kongsi, Nadira Yusoff mengasaskan Kiddocare Sdn Bhd. Misi mereka jelas, mahu membantu menangani isu pengasuh di Malaysia dan menjana pendapatan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Peramah dan menyenangkan. Begitulah personaliti Muhaini ketika pertemuan kami di program MySTEP di The Club, Bukit Utama. Tampil anggun dalam persalinan sut serba putih, Muhaini mesra menyapa penulis sambil menerangkan program latihan team Kiddocare yang sedang berlangsung waktu yang sama.
Kiddocare diasaskan dengan tujuan membantu ibu bapa yang bekerja untuk menjaga anak-anak di rumah menggunakan perkhidmatan pengasuh terlatih dan boleh dipercayai.
“Semuanya bermula apabila Nadira mendapat idea untuk mengasaskan Kiddocare. Secara kebetulan idea tercetus apabila beliau terlupa untuk mengambil anak dari taska kerana terlalu sibuk bekerja. Dia hanya menyedari perkara ini apabila guru taska menelefonnya pada lewat petang.
Saya pula seorang ibu tunggal kepada anak lelaki, Mateen Maliq yang baru berusia setahun waktu itu. Jadi saya sangat memahami keadaan ibu bekerja, terutamanya ibu tunggal yang sentiasa memikirkan anak-anak dan sama ada mereka dijaga dengan baik atau sebaliknya.
Iya, memang susah nak mengimbangi kerjaya dan komitmen dalam satu masa.
Ibu-ibu sebenarnya menghadapi cabaran dan tekanan yang besar apabila bekerja. Mereka mempunyai komitmen tambahan terhadap pekerjaan. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang besar berkaitan keluarga, hendak atau tidak mereka terpaksa mengambil cuti sehingga menjejaskan tugas.
Jadi berdasarkan hal ini, timbul idea penubuhan Kiddocare untuk membantu ibu bapa mendapatkan pengasuh yang boleh dipercayai untuk anak-anak mereka sewaktu bekerja.
Selain itu, masa bekerja yang fleksibel dan peluang menjana pendapatan di Kiddocare mampu memperkasakan semula wanita daripada komuniti B40 untuk menyara keluarga.
Kami juga memberi peluang pendapatan kepada wanita yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 yang lepas. Ada banyak kisah kejayaan mengenai pengasuh kami dan bagaimana Kiddocare telah mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.” Muhaini
ILMU & LATIHAN
Bercerita isu pengasuh tanpa kelayakan yang banyak menjalankan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak, Muhaini pantas menekankan pentingnya ilmu dan latihan kepada bakal pengasuh Kiddocare.
“Kami selalu memberi latihan kepada mereka melalui kursus-kursus dan mengajar kemahiran asas seperti kursus penjagaan kanak-kanak, kursus CPR & Safety serta sebagainya. Malah dalam kerja asuhan mereka pun kami akan buat pemantauan dan penilaian berterusan.
Bukan itu saja. Kami juga akan sering berbincang tentang apa yang baik dan apa yang boleh diperbaiki.
Dengan ini dapat melengkapkan kemahiran mereka bukan sahaja sebagai pengasuh, malah sebagai seorang insan kerana semua kursus ini dikendalikan oleh pakar industri yang berwibawa dan berpengalaman.” Muhaini
Tonton temu bual Nona bersama Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud tentang aspirasi penubuhan Kiddocare untuk ibu bapa Malaysia ni…
Menyelami sejarah kerjaya Muhaini, wanita jelita asal Kuala Lumpur ini rupanya memiliki kelulusan tinggi dan pernah bertugas di syarikat korporat terkemuka Malaysia. “Saya memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Kemudian saya melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam Sains Aktuari di City University di London.
Kerjaya saya bermula dalam sektor korporat dan di sana saya berkhidmat kira-kira 14 tahun. Lebih lima tahun sebagai Perunding Aktuari di The Actuarial Partners dan lebih lapan tahun sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat di The Weststar Group. Saya banyak menimba pengalaman dan itulah yang membantu saya sehingga hari ini untuk menubuhkan Kiddocare.
Pada awal kerjaya saya ketika muda, memang menjadi kebiasaan apabila kita terbiasa mencurahkan segala usaha dan tumpuan kepada kerja supaya boleh mencapai standard hidup yang lebih baik dan maklum jugalah, sektor korporat ini memang penuh dengan cabaran, tekanan dan kerja yang tak habis-habis jadi saya mempunyai jadual kerja yang sangat sibuk dan padat ketika itu.”
****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
****************
KEIBUAN
Menjadikan masa bersama si kecil sebagai momen ‘me time’ dan cara menghilangkan stres, Muhaini kebiasaannya suka melancong atau bersantai di rumah dengan anakanda tersayang.
“Selain itu, saya suka melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, berbasikal, ‘personal training’ di gym dan bermain golf apabila kerana saya percaya senaman itu bukan sahaja penting untuk tubuh dan kesihatan kita, malah ia berfungsi sebagai penghilang stres. Bila saya melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, saya rasa seperti bebanan kerja dan hidup saya teralih sementara.”
Muhaini juga bijak mengagihkan tugas di Kiddocare di antara sesama rakan kongsi. Katanya, mereka akan melihat kepada minat, kecenderungan dan kemahiran masing-masing dalam bisnes.
Misalnya, jika ada sesi bersama pelabur, mungkin yang lebih mahir bercakap dan bersosial akan lebih ‘ke depan’ dan jika ada promosi yang perlu dilakukan melalui laman web atau media sosial pula, yang lebih mahir menulis atau mereka bentuk bahan promosi akan melakukan tugas ini.
“Tetapi apa pun tugas kami berdua, kami sentiasa membincangkan pelan tindakan kami dan kami juga akan saling memberi komen dan cadangan kepada satu sama lain. Di antara kami, ada banyak perbincangan, input dan komen yang diberikan dan kami sering menyelesaikannya bersama-sama.” Muhaini
Kini Kiddocare giat melakukan promosi untuk menarik para pelanggan seperti pakej harga murah, pemberian diskaun dan sebagainya.
Mengakhiri pertemuan, Muhaini turut berkongsi impian mereka.
“Kiddocare juga sering bergandingan dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk mencari hubungan kerjasama dan sinergi, dan dengan memaksimumkan pengaruh pihak-pihak ini, kami dapat berkembang dan menyebarkan konsep perniagaan kami kepada jaringan audiens yang lebih besar.
Setakat ini, khidmat asuhan kami meliputi bandar-bandar besar di Malaysia tetapi kami menyasarkan supaya khidmat Kiddocare boleh dicapai di mana-mana sahaja di Malaysia. Itulah yang kami ingin usahakan.
Dalam pada itu, kami juga memasang niat untuk berkembang ke negara-negara jiran juga kerana konsep perniagaan kami yang unik ini saya rasa ada potensi untuk dimajukan sebagai suatu konsep yang boleh mengubah dan memodenkan industri jagaan kanak-kanak.
Seperti di Malaysia, saya yakin negara-negara jiran yang lain juga ada potensi yang besar untuk kami ke sana.
Selain meluaskan perniagaan, kami akan sentiasa mencari peluang untuk menambah baik lagi model perniagaan semasa kami supaya tidak ketinggalan dan dapat memenuhi kehendak pelanggan kami yang sedia ada dan juga menarik lebih ramai lagi pelanggan yang baharu.” Muhaini
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Nor Yanti Shaharudin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masih ingat lagi dengan penyanyi cantik bersuara lunak, Azie Mustapha? Terkenal dengan lagunya Pelamin Anganku Musnah dan Kau Tetap Dalam Anganku. Inilah wajah terkininya, masih cantik dalam usia 44 tahun. Nona menyingkap rahsia serta perkembangan terkini artis kelahiran Kuching, Sarawak ini yang rancak berniaga dari rumah secara online dengan tanda pagar #aziedapoanganku
“Saya kini menetap sepenuhnya di Kuching, Sarawak bersama suami dan 3 cahayamata. Anak sulung dah berusia 20 tahun, anak kedua 17 tahun dan yang ketiga 11 tahun. Saya kini menjalani kehidupan sebagai seorang isteri, ibu dan surirumah sepenuh masa sejak berlakunya pandemik COVID-19. Semua undangan nyanyian sebelumnya terpaksa ditolak. Redha dengan keadaan dan saya yakin dengan rezeki.
Sekarang ini saya bergiat dalam bisnes masakan dan baking secara online. Bisnes harian saya ialah menghasilkan Curry Puff Carbonara dan Popia Carbonara Goreng. Saya juga menerima tempahan frozen food. Manakala tempahan kek, kuih, hidangan minum petang, untuk bersedekah pun saya terima. Bila perayaan saya turut menerima tempahan biskut-biskut terutama daripada regular customer.
Sebagai peniaga kecil-kecilan, saya sentisa pastikan produk betul-betul fresh kerana saya tak suka simpan stok. Bila customer gembira ia satu kepuasan bagi saya. Alhamdulillah feedback yang diterima pun sangat memberangsangkan, selalu dapat repear order. Dengan adanya online business ini dapatlah juga penuhi masa lapang saya di rumah.
RAHSIA BAHAGIA
Alhamdulillah usia perkahwinan saya dan suami genap 21 tahun pada awal Julai lalu. Antara rahsianya memahami antara satu sama lain, percaya dan saling bertolak ansur. Saya juga berpegang kepada nasihat serta bimbingan daripada ibu bapa. Kalau kita nak kekal dalam rumahtangga, setiap kali kalau suami marah kita sebagai isteri kena diam. Walau kita tak salah sekalipun kita diam saja.
Bila keadaan kembali tenang kita boleh mula berbincang dari hati ke hati. Kalau kita tak salah kita boleh beri nasihat yang terbaik untuk suami. Cakap elok-elok dan berhemah. Dalam perkara ini saya sangat menitikberatkan pesanan ibu bapa demi kebahagiaan keluarga. Biar ada ‘api dan air’ dalam sesebuah keluarga baru harmoni rumahtangga, Insha-Allah.
MASIH ANGGUN
Saya bersyukur atas kurniaan Allah Taala. Yang penting jaga kesihatan. Kaya macam mana sekalipun kita kalau tidak sihat tiada makna. Paling penting percaya dan redha denagn ciptaan Allah SWT. Untuk kekal sihat dan cantik, rutin harian saya dengan mengamalkan makan suplemen dan vitamin serta minum air kosong secukupnya. Tidur kena cukup, makan minum kena jaga lebih-lebih lagi kalau dah berusia 35 tahun ke atas penyakit mudah nak ‘datang’.
Saya jaga waktu makan. Paling penting ialah sarapan, jangan skip. Kalau tak makan tengahari sekalipun sekurang-kurangnya dah bersarapan kerana ia membekalkan tenaga. Sebagai suri rumahtangga nak kena bekerja sepanjang hari. Kerja mesti selesai semuanya. Saya pula berbisnes jadi perlukan tenaga yang cukup. Saya sentiasa berdoa agar diberi kesihatan yang baik. Hati kena bersih. Bila dalaman bersih akan terserlah kecantikan sebenar di luaran.
PERKEMBANGAN SENI
Pada tahun 2018 saya ada merakamkan album single berjudul Anganku Terhenti Di Sini. Ianya album kompilasi bersama 4 lagi artis 90an. Alhamdulillah mendapat sambutan yang hangat di kalangan peminat. Saya sangat gembira dan terharu kerana berpeluang merakamkan album single terbaru setelah sekian lama. Sekarang ini aktiviti seni terhad disebabkan pandemik. Rindu sangat tapi dengan adanya aktiviti seperti bisnes kecil-kecilan yang saya buat sekarang tidaklah terasa kesannya itu. Apa pun bersyukur dengan setiap rezeki yang Allah beri.”
Kredit Foto: Instagram @azie_mustapha
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.