Bermula hanya dengan hubungan profesional sebagai rakan sekerja, akhirnya membawa pasangan ini ke fasa yang lebih serius. Bekerja di bawah satu bumbung apatah lagi memiliki minat yang sama dalam bidang fesyen memudahkan lagi keserasian itu terjalin. Sekian lama bekerja bersama menerbitkan rasa selesa dan terbuka antara satu sama lain.

Nur Amalina Datuk Dr Mohd Yusoff bertemu jodoh dengan jejaka pilihan hatinya, Muhammad Syazwan Mohamed Khair. Tanggal 14 Mei 2017 Amalina sah menjadi isteri kepada Syazwan.

IKLAN

Namun, dek kerana jadual kerja yang begitu padat Amalina dan Syazwan tidak berpeluang untuk berbulan madu usai kedua-dua majlis selesai. Sebaliknya, pasangan ini memilih Januari 2018 sebagai detik untuk berbulan madu di Mykonos, Greece.

“Pertama kali mengenali kami sama-sama bekerja di H&M. Ketika itu saya sebagai Visual Merchandiser di H&M Retail sementara suami sebagai Pengurus di H&M Retail Malaysia. Suami memang sudah lama bekerja di situ. Kami berdua punya minat yang sama terhadap fesyen dan pakaian. Dalam tugas kami sentiasa berinteraksi memandangkan suami adalah Pengurus Bahagian.

Namun semakin lama bekerja kami makin selesa dan terbuka dengan pandangan serta cara kerja masing-masing. Saya suka dengan cara kerjanya yang tidak pernah meninggikan suara namun tegas. Dari situ kami dapat rasakan hubungan yang terjalin itu berpotensi untuk ke langkah seterusnya.

Selepas meninggalkan H&M dan menerima tawaran kerja sebagai Senior Vendor Manager di Lazada, hubungan kami kekal terjalin. Di awal perkenalan suami sudah menyatakan dia seorang yang serius dan hanya akan memulakan hubungan dengan niat untuk berkahwin. Bagi saya suami seorang yang matang,” ungkap Amalina yang berusia 29 tahun.

Amalina berkelulusan Ijazah Sarjana Muda jurusan Fesyen dan Tekstil dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Melbourne. Syazwan pula berusia 27 tahun berkelulusan Sarjana Muda jurusan Rekaan Grafik dari Cybernetics International College of Technology, Kuala Lumpur.

“Suami mengatur makan malam bersama ibu bapa saya malam sebelum tahun baru. Ketika itu ia seakan double date dan itulah pertama kali suami bertemu dengan ibu bapa saya.

Suami menyatakan hasrat untuk menikahi saya dengan berkata ‘Uncle and Aunty, I would like to ask for your permission to marry your daughter’. Bapa saya menjawab ‘Ya’ sambil tersenyum,” kongsi Amalina yang bersyukur kerana kedua belah keluarga merestui hubungan mereka.

Majlis pertunangan diadakan pada 18 Januari 2017. Mereka mengikat tali pertunangan selama tiga bulan setengah sahaja.

Everly Hotel Putrajaya dipilih sebagai lokasi majlis resepsi. Amalina memilih persalinan nikah dan resepsi rekaan rakan baiknya, Alaina Zunaidi. Sementara Syazwan pula memilih Omar Ali. Bunga tangan untuk pernikahan dan resepsi menggunakan bunga segar diimport dari Bunga by Galoh. Dekorasi pelamin pula dari Enrich Wedding.

“Kami tidak menggunakan khidmat perancang perkahwinan kerana ia diuruskan sepenuhnya oleh keluarga saya. Ini adalah tradisi keluarga kami yang akan berganding bahu jika ada majlis perkahwinan.

Sebagai peminat tegar Disney saya impikan pelamin berinspirasikan fairytale yang elegan dan sofistikated. Saya memilih elemen kristal dan cahaya terang ala Disneyland untuk pelamin. Terima kasih kepada Enrich Wedding kerana merealisasikan impian ini hanya dalam masa tiga hari.

Salah satu momen yang tidak dapat dilupakan ialah ketika malam berinai dan jamuan makan di suite hotel saya melihat seluruh ahli keluarga dan sanak saudara sangat gembira.

Melihat suasana itu tiba-tiba jiwa saya sebak lantas menitiskan air mata kerana begitu terharu,” kongsi Amalina yang disolek dan didandan oleh jurusolek terkenal, Ary Muzammer. Pihak pengantin perempuan memilih 9 berbalas 7 untuk dulang hantaran. Amy Mohd

Kredit Foto: WR.CO