“Saya mahu kasut MEDSHOE jadi satu keperluan. Semua orang sekurang-kurangnya mesti ada sepasang, tidak kiralah untuk bekerja atau berjalan-jalan,” kongsi usahawan kasut kesihatan MEDSHOE, Nur Diana Dzulkiply atau Kak D tentang impiannya.
Jenama MEDSHOE yang dinobatkan sebagai NONA BEST MEDICAL FOOTWEAR AWARD dalam Nona Superwoman Award 2020 jelas dipacu dengan kepimpinan serta strategi terbaik pasukan Kak D.
“Saya banyak belajar erti keyakinan, sifat berani, ambil risiko dan optimistik. Yang penting mesti selalu syura (bermesyuarat) dan berarbitrari sesama team. Saya juga banyak gabungkan ilmu advocacy dan cara menyampaikan hujah ke dalam perniagaan.
Seni memujuk pelanggan perlu dilakukan secara jujur dan cara menyampaikan maklumat pun mesti berhemah,” kata Kak D yang pernah bergelar peguam syarie itu.
Sebagai Pengasas MEDSHOE dan Pengarah Urusan di Ettijar Enterprise Sdn Bhd, Kak D awalnya bermula dengan perniagaan membekal barangan perubatan dan tudung untuk jururawat. Apabila sering berjumpa frontliners, timbul pula permintaan untuk membekalkan kasut yang sesuai untuk gaya kerja mereka.
Tahun 2016, Kak D bersama seorang rakan niaga pun memulakan MEDSHOE. “Kami bermula dengan menghasilkan kasut-kasut untuk jururawat dan seterusnya kasut yang praktikal untul pelbagai acara.”
Ads
Dengan tagline Health, Comfort, Style, jenama MEDSHOE berkembang pesat menerusi 22 outlet fizikal di seluruh Malaysia. Kak D turut melahirkan konsep jualan MEDSHOE On The Go dengan trak lori ke pelbagai tempat.
Sebelum ini Kak D pernah berhasrat untuk membuka lebih banyak outlet MEDSHOE. Tapi tiba-tiba dunia dilanda pandemik COVID-19, maka niat itu terpaksa dipendam.
Ads
“Dengan sebulat suara, kami bersatu majukan MEDSHOE di platform online. Alhamdulilah kini MEDSHOE boleh didapati di laman web, Shopee, Lazada serta media sosial seperti Instagram, Facebook dan Telegram.
Walaupun menjual secara online, tapi saya masih menekankan interaksi dengan pelanggan. Bagi saya, kami tidak fokus untuk sekadar menjual saja tapi kefahaman pembeli tentang sesuatu produk itu lebih penting.
Kami juga cipta satu kitaran ekonomi agar banyak pihak dapat berkongsi rezeki melalui sistem dropship dan ejen,” terang Kak D yang turut mengadakan sesi Facebook Live setiap minggu untuk berhubung dengan potential customer.
Kasut MEDSHOE juga amat selesa dan sering menjadi pilihan jemaah haji serta umrah. Disebabkan kualiti tersebut, Kak D menyasarkan untuk membuka outlet MEDSHOE di Mekah dan Madinah beberapa tahun lagi bagi memudahkan jemaah menunaikan ibadah dengan selesa di sana.
Ads
Seperti jenama kasut Bata umpamanya, yang sentiasa menjadi pilihan ramai.
Seperkara tentang kasut kesihatan MEDSHOE yang turut diiktiraf sebagai Super Health Brand 2019 ini adalah membolehkan pemakainya berdiri lebih lama tanpa menyakiti kaki.
Lebih-lebih lagi untuk kerjaya beruniform seperti jururawat, anggota keselamatan dan guru, kasut yang betul amat penting untuk mengoptimumkan tugas mereka.
“Sebut jenama MEDSHOE, saya yakin orang sudah tahu ia adalah jenama kasut kesihatan. Selain sistem ortotik, kami juga memastikan kasut dilengkapi pelbagai ciri-ciri hebat seperti microfibre yang baik untuk pesakit diabetes. Ini kerana mereka perlu menjaga kaki agar tidak terluka atau melecet.
Terdapat juga teknologi PORON iaitu pelapik dalaman yang menyerap tekanan dalam kasut, ciri high arch, suede lining dan microfibre pada luaran kasut yang tahan lasak serta kalis air.
Bagi saya kasut kesihatan tidak semestinya membosankan. Walaupun bertujuan untuk menjaga kesihatan dan postur badan sewaktu bekerja, kami juga memastikan ia menepati cita rasa serta gaya hidup pemakainya. Umpamanya melahirkan pilihan rona-rona berani seperti ungu dan mustard dalam rekaan terkini,” akhiri Kak D.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Buat kaum wanita yang disayangi, anda semua wanita hebat. Anda hebat kerana anda adalah penyumbang kepada ekonomi negara. Ramai usahawan wanita yang hebat-hebat bermula dari asal sejarah lampau yang meninggalkan kesan luka teramat dalam.
Namun begitu, kerana sakit aku bangkit, kerana hinaan aku bangkit, terima kasih kesakitan kerana dengannya aku belajar berjuang, sehingga kita tidak pernah rasa menyerah kerana aku mempunyai impian dan mimpi-mimpi yang pasti menjadi kenyataan. InsyaAllah.”
Nur Hati Amran, terus mengorak langkah menggapai cita-cita. “Bermulalah perniagaan pertama saya di utara, Ai Florist menjual pelbagai jenis tudung bawal ciptaan saya sendiri mengikut design yang dilakar dengan gabungan pelbagai warna.
Pada mulanya perniagaan maju sehingga diuji sekali lagi dengan isu tudung diciplak. Tudung rekaan saya ditiru kerana saya tak trademark branding. Kedai terpaksa ditutup dan banyak sekali ujian lain yang menimpa, orang mungkin tak nampak semua itu.
Saya mula merasakan perniagaan bagai di hujung tanduk sewaktu saya menghidupkan lesen SSM. Waktu itu baki dalam beg duit saya hanya ada RM5 sahaja. Terduduk sejenak di kerusi SSM dengan memegang duit RM5. Tak sedar menitik air mata lalu saya berkata pada diri sendiri, ‘Ini sahaja duit yang tinggal. Macam mana aku nak teruskan perniagaan ni?’
Tiba-tiba terlintas di fikiran untuk buat event. Saya beli topup RM5 dan post gambar kuih dan tudung saya dekat Facebook. Alhamdulillah saya peroleh RM50 pada hari tu. Saya tersenyum kerana dapat beli beras untuk rumah.
Waktu itu bibik saya 3 bulan tidak bergaji dan dia masih setia. Dia selalu beri semangat pada saya, ‘Puan mesti berjaya! Puan mesti bangkit!’ Tanpa membuang masa, saya buat kertas kerja event pengantin dan fesyen. Idea itu saya bentangkan ke Amanjaya Mall, Alor Setar Kedah.
Dengan pengalaman saya dalam dunia bridal, saya berjaya meyakinkan pihak Mall hanya berbekalkan air liur dan kertas kerja. Setelah persetujuan dibuat, saya mula buat marketing menjual lot-lot tapak event kepada butik-butik pengantin dan vendor makanan dengan harga lot RM2800. Alhamdulillah, akhirnya semua lot laku dan duit-duit tersebutlah saya dapat bayar kepada pihak Mall untuk mengadakan event.
Pengajaran di sini, TIADA yang TIDAK! Ibarat ulat yang dalam batu pun boleh hidup. Selain daripada kita minta pertolongan dari Allah SWT, kita perlu sertakan dengan tindakan dan usaha dengan cara yang betul.
Keuntungan daripada event ini juga saya bernafas kembali. Saya mula buat marketing dan masukkan design baju dan tudung saya dalam Majalah Nur. Sewaktu itu juga saya terpilih sebagai salah seorang peserta rancangan Ratu Rania di Astro wakil utara, namun bukan rezeki saya dalam rancangan tersebut dan berhenti sampai di situ sahaja.
Saya terus bangkit dengan membuat event bazar Ramadan, alhamdulilah lot bazar tersebut penuh. Di sini saya belajar berdepan dengan peniaga bazar Ramadan dengan macam-macam kerenah dan kehendak.
Dari situ saya yakin bahawa setiap perniagaan pasti mempunyai risiko dan tiada satu perniagaan yang tiada jatuh bangunnya. Dan tiada satu perniagaan yang sentiasa manis tanpa pahitnya kerana inilah dunia perniagaan. Pendek kata, jatuh bangun berkali-kali adalah satu hal yang amat terkesan sehingga kini,” bicara Nur Hati.
Tanpa kenal erti putus asa, Nur Hati mencuba pelbagai perniagaan sebenarnya. “Saya pernah keluarkan madu jenama sendiri tetapi gagal. Saya juga pernah keluarkan produk pencuci wanita dan jamu pun gagal. Saya gagal dua kali dalam perkahwinan, biarpun saya tak pernah tuntut harta sepencarian bersama. Saya diam kerana saya perlu bangkit dan berusaha untuk jadi seorang jutawan.
Permulaan Popiah Mini Mama udang bersira di utara tidak diterima di mulut pelanggan kerana manis di luar mereka tak pernah cuba. Kesilapan saya ketika itu tidak membuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum keluarkan produk. Sehingga 100 botol baki yang tak habis dijual di event bazar Ramadan di Amanjaya Mall, saya berikan kepada Masjid.
Di sini mungkin ‘doa’ hamba Allah yang terima 100 botol popiah udang bersira dimakbulkan. Sehingga kini Eijaz Food berkembang melahirkan lebih 50 produk makanan tanpa bantuan mana-mana pinjaman. Keuntungan yang diterima, saya tak beli kereta mewah dan sebagainya. Hanya tambah produk, perbaiki dari aspek pembungkusan dan sebagainya,” ujar Nur Hati.
Memegang impian untuk jadi usahawan berjaya dan contoh pada ramai wanita, Nur Hati terus memberi kata semangat. “Orang yang lahir dari keluarga sederhana buktikan bahawa bukan status membezakan kita tapi semangat, usaha, tindakan dan kesungguhan yang membentuk siapa diri kita hari ini. Bagi saya pengalaman lampau yang pedih adalah pelajaran yang amat bermakna.
Saya masih berjuang untuk produk saya, diharapkan satu hari nanti boleh naik di papan tanda highway dan dipasarkan ke serata pasar raya. Masih panjang perjalanan ini, selagi dinamakan hidup jangan pernah putus asa.
Saya menyimpan harapan untuk bina pusat tahfiz sebagai saham akhirat saya dan membantu lebih ramai ibu tunggal kerana saya pernah rasa betapa sakitnya berjuang sebagai ibu tunggal. Saya juga nak bagi peluang kerja kepada ramai anak yatim kerana saya anak yatim.
Saya tidak mahu lahir di dunia sekadar lahir dan pergi sekadar pergi tanpa tinggalkan kebaikan yang boleh diguna pakai dalam perjalanan sebagai hamba Allah di bumi ini… InsyaAllah,” akhiri Nur Hati dengan tenang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
SARANG burung merupakan ‘suplemen kecantikan’ yang mempunyai seribu satu manfaat. Perkembangan teknologi dan industri pada hari ini telah memanfaat khasiat sarang burung dalam penghasilan produk seperti kosmetik dan juga sebagai produk makanan tambahan.
Menyedari kepelbagaian khasiat yang boleh diterokai jenama Eve Essential telah meneroka pasaran menghasilkan produk berasaskan sarang burung yang berkualiti tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Nurlyana Darwesh selaku Pengarah Urusan Evreen Empire Sdn Bhd, jenama Eve Essential merupakan jenama yang menghasilkan produk berasaskan sarang burung yang berkualiti tinggi dan hanya menggunakan bahan mentah sarang burung gred premium sahaja.
Siapa sangka, graduan dalam bidang Sarjana Ekonomi Kewangan dari University of Southampton United Kingdom ini pada awalnya bertugas sebagai Penganalisa Pelaburan ini banyak memberi manfaat untuk dirinya sebelum menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Mana tidaknya, tugas sebagai Penganalisa Pelaburan yang memberikan ruang untuk dirinya mengkaji dan mencadangkan strategi pelaburan untuk syarikat.
“Selepas lebih setahun bertugas sebagai Penganalisa Pelaburan, saya mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan menceburkan diri dalam bidang perniagaan secara serius. Secara jujurnya, saya suka berniaga. Saya dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang minat berniaga. I could not see myself doing anything than business,” ujar Lyana yang mempunyai pengalaman dalam beberapa industri seperti peruncitan,makanan, kontrak kerajaan dan bidang pekerjaan professional.
Ketika ditanya mengenai idea untuk menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan sarang burung, menurut Lyana tercetusnya idea menghasilkan produk berasaskan sarang burung premium dan asli hasil dorongan ibu tercinta.
“Ibu, Norizan binti Md Zan merupakan pengamal tegar sarang burung. Selama ibu mengamalkan sarang burung dalam diet harian beliau, saya langsung tidak tertarik untuk mencuba. Kerana bagi saya, ianya makanan yang mahal, sehinggalah saya sendiri rasa “keajaiban” sarang burung ketika hamil anak pertama.
Dari situ, saya fikir kenapa tidak saya komersilkan resipi ibu saya ini? Ianya sedap dan juga berkhasiat. Pasti ada permintaan. Saya fikir waktu itu, ini adalah peluang yang besar. Ketika itu kesedaran tentang khasiat dan kebaikan sarang burung masih lagi rendah.
Dari situ, saya mula melakukan penyelidikan tentang sarang burung dan mengembangkan formula yang konsisten dan sesuai untuk dipasarkan. Eve Essential mula memasuki pasaran secara rasminya pada bulan Ogos 2017,” ujar Lyana yang amat berterima kasih kepada ibu tersayang yang turut menjadi pendorong dan idola untuk dirinya berjaya.
Tambah Lyana lagi, prospek perniagaan berasaskan sarang burung amat besar walaupun pada awalnya kesedaran masyarakat tentang produk berasaskan sarang burung masih rendah.
“Sepanjang pengalaman dan kaji selidik yang kami jalankan, ramai yang masih ragu ragu dan skeptikal dengan produk sarang burung. Kami mempunyai misi yang besar. Selain untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi, kami juga berazam untuk mendidik masyarakat tentang manfaat sarang burung. Perjalanan kami masih jauh.
Pada tiga tahun pertama, fokus untuk menguatkan brand awareness di Malaysia menjadi agenda utama Evreen Empire Sdn Bhd. Dalam masa yang sama, segala perancangan untuk mengembangkan sayap ke peringkat antarabangsa juga sudah mula digerakkan.
Berpeluang untuk memasarkan produk Australia dan Thailand merupakan antara langkah Lyana mengukuhkan jenama Eve Essential di mata dunia. Selain itu, produk ini sudah mempunyai pengedar di Brunei, Singapura, Indonesia dan juga United Kingdom.
Melihat bagaimana syarikat Bumiputera ini gigih membina jenama sehingga ke peringkat antarabangsa, tidak hairanlah mengapa Eve Essential dipilih oleh Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDEC) sebagai top 25 companies untuk segmen industri kecantikan dan kesihatan dibawah program Digital Business Accelerator pada tahun 2020.
“Kejayaan Eve Essential harini merupakan hasil titik peluh para pengedar yang berjuang bersama untuk menaikkan jenama Eve Essential. Mereka adalah asset kami. Saya berasa bangga dan bersyukur, sepanjang bersama Eve Essential, lebih ramai mampu meningkatkan taraf hidup masing masing. Lebih ramai mampu membayar zakat, lebih ramai yang berani keluar dari zon selesa dan lebih ramai yang mempunyai duit sendiri terutamanya wanita.
Dari awal penubuhan Eve Essential, saya sangat menititik beratkan kempen memperkasakan wanita. Wanita perlu berdikari, wanita perlu ada sumber pendapatan sendiri, wanita perlu ada rasa “empowered” dan yakin diri. Dari situ, kebanyakkan kempen Eve Essential adalah berkisar tentang memperkasakan wanita. Kempen memperkasa wanita sentiasa mendapat sambutan yang tinggi setiap kali dilancarkan, Lebih 70% pengedar merupakan golongan suri rumah yang kini mempunyai kerjaya,” ujar Lyana penuh bangga.
Melihat pandemik Covid19 sebagai peluang untuk mengembangkan jenama, Eve Essential menjadikan situasi ini sebagai peluang berkongsi rezeki dan memberi peluang untuk individu lain menjana pendapatan.
“Sejak bermulanya PKP pada bulan Mac lepas, kami dapat melihat pertambahan minat dari rakyat Malaysia untuk menambah sumber pendapatan secara sepenuh masa dan separuh masa. Terdapat peningkatan yang mendadak untuk jumlah pengedar Eve Essential. Kebanyakan mereka berniaga secara serius dan juga secara sampingan.
Dalam usaha mengembangkan perniagaan sehingga ke peringkat tertinggi, Lyana tidak pernah lupa memastikan keseimbangan antara urusan perniagaan dan memanjatkan kesyukuran terhadapNya yang menurunkan rezeki untuk dirinya.
“Saya sentiasa memohon dan berdoa kepada Allah untuk bantu saya, bimbing saya jika saya rasa lelah dengan perjuangan ini. Saya sentiasa memanjatkan doa supaya Allah memudahkan urusan perniagaan saya, supaya saya boleh membantu lebih ramai lagi orang dan semoga apa yang saya rancang berjalan dengan baik. Selebihnya, saya tawakal dan serahkan segalanya kepada Dia,” ujar Lyana.
Tidak pernah lupa bagaimana perniagaan ini dijalankan, Lyana menetapkan matlamat dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi kemahiran dalam dunia perniagaan.
“Pada awalnya, bisnes hanya untuk ada pendapatan sendiri dan berkongsi manfaat sarang burung sahaja. Apabila sudah mempunyai pengedar,tanggungjawab saya menjadi lebih besar. Saya perlu memastikan mereka berjaya bersama saya. Saya juga ada staf dan team syarikat yang mencari rezeki bersama Eve Essential. Saya merupakan kemudi kapal perniagaan saya. Saya perlu kuat.
Mengalah tidak boleh ada dalam kamus hidup saya. Saya mempunyai support system yang kuat, terutama suami yang sentiasa ada bersama saya. Selain itu, keluarga juga sentiasa beri sokongan moral dan tenaga di saat saya memerlukan. Jika ditakdirkan saya berada dalam fasa down dalam bisnes, saya wajib bangkit untuk mereka,” ujar penerima NONA BEST PREMIUM BIRD NEST HEALTH & BEAUTY BRAND AWARD seraya mengakhiri perbualan.
Eve Essential juga sedang mengadakan 2020 finale deal sehingga 28 Disember 2020. Setiap pembelian akan mendapat satu kit sample set produk penjagaan wajah dari Eve Essential yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi. Jadilah individu terawal mencuba produk penjagaan wajah Eve Essential yang eksklusif!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebuah kejayaan itu bukanlah kebetulan. Harga untuk mencapai sebuah impian itu memerlukan kegigihan, kesungguhan, belajar dan belajar, pengorbanan dan rasa cinta yang mendalam. Nur Ernawati Mohd Nor, 34 tahun merupakan pengurus peribadi (Artist Management) kepada suami, aktor Zul Huzaimy. Beliau turut menguruskan kerjaya beberapa talent, stuntman dan pelakon muda lain. Tidak cukup dengan itu, wanita ini juga membantu perniagaan keluarganya dalam industri katering makanan.
Siapa sahaja boleh menjadi wanita yang kuat tetapi untuk terus bertahan dan percaya pada kemampuan diri itu, perlu disertakan dengan kesabaran dan kebijaksanaan. Nur Ernawati merupakan bekas penuntut Convent Kajang dan memiliki Ijazah Komunikasi Pengajian Media (Masscomm UiTM), Nur Ernawati mempunyai minat dalam bidang perniagaan yang mendalam untuk berjaya.
“Saya pernah berkhidmat di beberapa buah syarikat swasta sejurus selepas tamat pengajian. Saya juga menjalankan perniagaan fashion retail secara dalam talian (kecil-kecilan) dan akhirnya menyambung khidmat sebagai pengurus outlet bagi menyediakan katering hospital untuk para pesakit dan doktor di beberapa buah hospital swasta serta kerajaan.
Kemuncak kerjaya saya sekarang apabila berjaya mendapatkan sijil lulus MSQH (akreditasi audit hospital) dan kemudian menubuhkan syarikat pengurusan artis, selepas berkahwin dengan aktor Zul Huzaimy. Saya menjadi pengurus peribadinya dan membantu kerjaya artis baru yang lain,” jelas Nur Ernawati yang merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik perempuan kesemuanya.
Bagi Nur Ernawati, hidup kita ini jangan dibiarkan terlalu banyak ruang kosong, takut nanti terlalu banyak unsur negatif hadir. Hari-hari yang berlalu penuh dengan pelbagai aktiviti dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. “Tanggungjawab saya setiap hari adalah membentangkan jadual klien selain mencari booking job baru untuk talent di bawah pengurusan saya. Segala urusan mengenai kontrak, projek, tour, sponsor, merchandise, pemasaran dan sebagainya termasuk sebagai representative yang berinteraksi dengan pihak ketiga diuruskan oleh saya sepenuhnya.
Dalam masa yang sama, saya sebagai pengurus syarikat katering bersama ibu tercinta terus menerima tempahan katering. Tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada saya untuk memastikan segalanya berjalan mengikut perancangan dan pelanggan berpuas hati dengan tempahan yang dibuat.
Pada masa lapang, saya suka menyertai aktiviti kelab permotoran SPARK (NGO), seperti menghulurkan bantuan kewangan, makanan kepada pesakit di hospital dan membantu khairat kematian yang memerlukan. Aktiviti ini bagi menarik golongan muda belia untuk beriadah secara sihat tanpa terus terjebak dengan perlumbaan haram mahupun penyalahgunaan dadah. Setakat ini, aktiviti CSR kami sudah mencakupi seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak,” jelas Nur Ernawati yang mengakui aktiviti ini agak terhad sekarang.
GIGIH
Mengimbas kembali kegigihan berniaga, Nur Ernawati terus bercerita, “Sedari dari dulu saya sejenis yang suka mencabar diri saya untuk menceburi pelbagai bidang kerjaya. Sungguhpun aliran pengajian saya dalam bidang MassComm, namun minat yang sangat mendalam terhadap dunia perniagaan membuatkan saya belajar ‘from scratch’ tentang hospital catering/dietitic dan juga patient food services. Ternyata saya telah membuktikannya apabila memperoleh sijil akreditasi dan HACCP dalam bidang ini.
Pengalaman banyak mengajar saya untuk jadi lebih matang. Saya pernah berkhidmat di sebuah syarikat produksi tempatan dimiliki oleh Datuk Rosyam Nor di awal permulaan karier saya. Kemudian saya mendalami ilmu teknologi pengkomputeran dan selok-belok dunia perniagaan sepanjang bekerja dengan sebuah anak syarikat milik Touch Group Holdings yang dimiliki oleh YM Raja Dato’ Karib Shah Raja Shahruddin. Pengalaman kerjaya dalam pelbagai bidang inilah yang menjadi bekalan langsung melahirkan rasa untuk mengembangkan perniagaan kecil saya sendiri. Terkini, saya telah menjalankan perniagaan online fashion retail, selain daripada tumpuan sepenuhnya pada servis pengurusan suami dan talents di bawah pengurusan saya.
Pernah sekali saya terpaksa berniaga di konvensyen Singapura sewaktu anak pertama cuma baru berusia 6 bulan dan masih menyusu. Saya tidak boleh tinggalkan anak bersama pengasuh, sementara suami pula tidak dapat ikut serta ke Singapura disebabkan komitmen kerja di KL. Sambil menyusukan anak dan tidurkan anak di booth jualan itu, saya terpaksa lakukan urusan jual-beli sendirian kerana ketiadaan staf lain pada waktu itu. Ia merupakan pengalaman yang amat berharga dan merasakan pengorbanan yang saya sanggup lakukan ini, demi membuktikan bahawa anak kecil bukan halangan untuk saya serius berniaga,” jelas Nur Ernawati.
“Alhamdulilah, kalau dulu pada awal mula berniaga secara dalam talian saya cuma bermodalkan RM200 sahaja dan kemudian berkembang hingga menjadi ‘pop-up store’ di event besar serata tanah air. Manakala dalam perniagaan katering pula saya cuma mengambil gaji tetap setiap bulan dan ditambah pula dengan pendapatan servis pengurusan artis saya mampu capai 5 angka pendapatan bulanan. Syukur, alhamdulillah.
Sebagai seorang isteri dan juga ibu, saya harus bijak membahagikan masa secukupnya untuk keluarga memandangkan usia anak-anak masih kecil namun begitu saya bersyukur dikurniakan seorang suami yang sangat memahami dan kebanyakan kerja kami buat bersama-sama. Kami menolak sangkaan yang menyatakan suami isteri tidak boleh bekerjasama kerana dikhuatiri hubungan rumah tangga akan terjejas.
Ironinya, kami capai keserasian dengan kerjasama sehari-hari dan saya akui sikap timbang rasa itu sangat penting. Pengurusan masa untuk wanita yang bekerja adalah kunci utama kerana berbeza dengan lelaki, mereka tidak perlu melaksanakan tugasan rumah seharian seperti kita. Oleh itu, para wanita yang ingin menjalankan perniagaan samada kecil-kecilan mahupun suri rumah tangga harus bijak dalam menguruskan pembahagian masa,” pesan Nur Ernawati sambil tersenyum.
Apakah cabaran sebagai seorang peniaga dalam keadaan sekarang? “Cabaran peniaga dalam keadaan pandemik ini antaranya adalah kekangan dari segi supply dan juga limited movement. Namun begitu, trend jual beli dalam talian adalah lebih mudah dan meningkat sejak kebelakangan ini yang mempengaruhi peniaga untuk mempertimbangkan semula konsep jualan masing-masing.
Banyak faktor yang perlu diambil kira dalam melancarkan proses jualan online antaranya packaging, penyimpanan dan teknik pemasaran yang berkesan (mostly online) serta pelan strategi ‘return customer’. Apa yang penting adalah jangan mudah berputus asa dan sebagai peniaga selain harus kekal positif kita juga perlu produktif. Tiada usaha yang sia-sia dan tiada kejayaan tanpa usaha. Kebanyakan peniaga yang gagal selalunya apabila mereka cepat merasa give-up dan kurang refleksi diri. Berniaga perlukan kemahiran dan jangan segan untuk mempelajari sesuatu yang baru, sentiasa tambahkan skill anda dari masa ke semasa,” ujar Nur Ernawati yang mendapat sokongan penuh dari ibu dan suami tercinta.
Impian dan perancangan masa hadapan, “Saya jarang meletakkan harapan yang tinggi dan impian luar biasa, tapi saya percaya dengan praktikaliti. Saya biasanya akan tetapkan satu ‘target’ dengan jangka masa tertentu, contohnya ‘Dimana saya akan berada dalam tempoh 3 tahun lagi?’
Impian dalam masa jangka masa begini lebih mudah dan jelas untuk dicapai. Saya amat berharap agar perniagaan katering bersama ibu saya berkembang maju dan ingin menambah lagi aset tetap di masa hadapan. Saya juga berharap kerja-kerja NGO kami di kelab SPARK dapat memberikan impak besar kepada masyarakat dalam melahirkan kumpulan motor yang berhemat, insyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.