Tahniah, akhirnya pelakon Korea Selatan Jang Nara umum bakal berkahwin tak lama lagi! Walau dah meniti usia 41 tahun pada 18 Mac lepas tapi raut wajahnya kekal awet muda dan tak makan usia. Memang tak berubah macam mula-mula dia menceburi bidang lakonan dulu.
Nama Jang Nara kini trending di Twitter selepas aktres tersebut mengumumkan dia akan berkahwin dalam masa terdekat. Menerusi posting terbaharunya, dia mengaku sedang bahagia menjalin hubungan dengan kenalan lama yang bukan bergelar selebriti.
Memuat naik gambar nota tulisan tangan mengenai khabar gembira itu, peminat Jang Nara nyata terkejut dan perkongsian tersebut meraih lebih 100 ribu tanda suka!
Nota berkenaan menjelaskan, “Hari ini saya ingin menyampaikan berita peribadi tetapi bahagia untuk anda. Saya akan berkahwin! Setelah berkenalan selama lebih dua tahun dengan seorang kenalan yang enam tahun lebih muda dari saya dan bekerja dalam bidang video, kami berjanji untuk menjadi pasangan seumur hidup.”
Kongsinya lagi, “Saya benar-benar minta maaf kerana tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai lelaki ini kerana bimbang ia akan menganggu kerjaya kami. Saya memohon pengertian daripada anda semua.”
Jang Nara dikhabarkan terlibat dalam penggambaran filem ‘The Kindness of Others’ dan muncul dalam drama ‘Sell Your Haunted House’ pada Jun tahun lepas.
Dia turut memberitahu akan kembali aktif mewarnai dunia seni selepas perkahwinan dan akan terus aktif berlakon. Jang Nara turut pernah popular menerusi lagu Sweet Dreams sekitar tahun 2002.
Antara drama lakonannya yang mendapat tempat di hati peminat termasuk Successful Story of a Bright Girl, My Love Patzzi, The Last Empress dan VIP.
Sebelum ini Jang Nara pernah membuat pengakuan tertekan dan berkecil hati dengan komen peminat yang sering bercerita tentang wajahnya yang kelihatan muda daripada usia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kompak kusyen krim BB dan krim CC kini menjadi pilihan utama wanita. Kedua-duanya memberi liputan yang menyeluruh serta mudah dibawa ke mana-mana sahaja.
Namun, ramai yang keliru untuk memilih antara bedak asas, krim BB dan krim CC, malah kini sudah ada krim DD! Keraguan muncul apabila tidak tahu mana satu yang terbaik untuk kulit.
Apabila melihat di bawah label pula, penerangan lebih banyak ditulis dalam bahasa Korea, jadi bagaimana untuk memilih? Baca huraian lengkap tentang persoalan ini.
(a) Bedak asas
Bedak asas merupakan asas kepada solekan. Ia didatangkan dalam bentuk cecair dan padat. Bedak asas memiliki tekstur yang lebih padat dan berfungsi menutupi kekurangan wajah seperti pigmentasi, jerawat dan wajah berbelang dengan baik.
Pemilihan tekstur dan warna bedak asas sangat penting kerana jika tersalah pilih kecantikan semula jadi wajah akan bertukar. Bedak asas juga mempunyai peranan untuk mengekalkan solekan sepanjang hari. Selain itu, ia berupaya melembapkan kulit.
Oleh sebab liputan bedak asas ini tinggi, selayaknya bedak asas digunakan untuk keperluan seperti acara malam atau formal.
(b) Krim BB
Blemish Balm atau krim BB ini sangat sesuai digunakan sehari-hari kerana mempunyai tekstur yang lebih ringan tetapi berfungsi umpama bedak asas. Wajah kelihatan semula jadi dan mampu menutup kekurangan kulit.
Ia berupaya berfungsi seperti primer, tabir suria, krim BB dan bedak asas. Bersifat ringan dan didatangkan dengan pek isian semula, kompak kusyen krim BB ini memberi solusi solekan berkadar segera, segar, praktikal dan cepat, malah bikin kulit tampak cantik sempurna, cerah bercahaya serta lembap sepanjang masa.
Krim BB memiliki tekstur lebih ringan daripada bedak asas namun lebih kental jika dibandingkan dengan pelembap berwarna. Formulanya mampu merawat kulit sambil memberi perlindungan daripada matahari tetapi bahan utamanya adalah antioksidan yang membantu melindungi kulit terhadap radikal bebas dan kerosakan kulit akibat pencemaran.
Krim BB juga memiliki ciri anti-peluh yang sangat baik.
(c) Krim CC
Foto: Be Beautilicious (www.bbeautilicious.com)
Color Correcting atau Complexion Corrector, lebih dikenali sebagai krim CC mempunyai formula yang lebih ringan dibandingkan dengan krim BB dan bedak asas. Kebanyakan krim CC memiliki tekstur krim lembut yang sangat ringan dan halus. Krim CC ini mempunyai fungsi untuk menyamarkan tona kulit wajah, melindungi kemerahan kulit dan menutup pigmentasi.
Kekurangan kulit disamarkan melalui kandungan yang terdapat dalam krim CC iaitu lycopene. Ia berfungsi untuk membantu mengurangi kemerahan kulit dan menghadirkan nutrisi vitamin C agar kulit wajah lebih sihat dan berseri.
Krim CC lebih sesuai digunakan oleh wanita matang kerana ia berupaya menutup permasalahan kulit wajah seperti tona kulit tidak sekata, garis-garis halus, kedut dan iritasi. Sifat krim CC yang kalis air dengan struktur rangkaian kukuh iaitu dibentuk oleh molekul yang tinggi membolehkan solekan bertahan sehingga 12 jam tanpa memerlukan sentuhan walaupun dalam cuaca yang panas.
Lapisan krim CC berfungsi untuk menyamarkan tekstur kulit dan dapat menampilkan kulit yang lebih sekata malah memberikan manfaat anti-penuaan serta menjaga kelembapan kulit. Layangkan bedak tabur di atas lapisan CC krim pada wajah untuk efek yang lebih sempurna dan mampu bertahan sepanjang hari.
Keistimewaan krim CC ini tidak menimbulkan kesan terlalu tebal, amat sekata pada kulit dan mudah menyerap ke liang sebum. Pada masa yang sama ia meresap pantulan daripada cahaya matahari untuk tona kulit semula jadi tanpa kesan minyak. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Alahai, tengok gambar zaman kanak-kanaknya sahaja sudah jelas terserlah kecantikan asli milik Marian Rivera Gracia Dantes! Dikurniakan hidung yang mancung, sepasang mata cantik, bibir mungil dan kening cantik terukir sejak kecil, pesona aktres popular Filipina ini nyata memukau. Tanggal 12 Ogos tahun ini, genap 37 tahun musia Marian Rivera!
Raut wajah sempurna dan susuk tubuh langsing Marian mampu membuatkan peminat memandangnya berkali-kali. Tidak hairanlah ibu muda tersebut dinobatkan sebagai selebriti wanita paling seksi di Filipina lebih daripada tiga kali.
Nama Marian mula bersinar di negara kelahirannya selepas kejayaan drama Marimar diikuti Dyesebel, Amaya dan Temptation of Wife. Selain berbakat dalam lakonan, selebriti berdarah keturunan Sepanyol ini juga rupa-rupanya memiliki bakat menyanyi. Sebelum ini Marian sudah menghasilkan dua album iaitu Marian Rivera Dance Hits dan Retro Crazy.
Lahir pada 12 Ogos 1984 di Madrid, Sepanyol… anak kepada Francisco Javier Gracia Alonso dan Amalia Revera ini mempunyai pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari De La Salle University Dasmarinas. Bapanya, Francisco ialah warganegara Sepanyol manakala ibunya pula Amalia ialah rakyat Filipina.
Disebabkan perkahwinan campur tersebut, Marian mampu bertutur dalam tiga bahasa iaitu Sepanyol, Inggeris dan Tagalog.
Marian di samping bapanya ketika kecil
Beberapa tahun mencipta nama dalam industri seni Filipina, jelitawan ini akhirnya memutuskan untuk berkahwin dengan aktor kacak Filipina, Dingdong Dantes pada 30 Disember 2014. Berdasarkan populariti mereka berdua dan kejayaan masing-masing, perkahwinan mereka turut mendapat julukan The Royal Wedding di Filipina pada tahun berkenaan.
Hampir setahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan romantis ini dikurniakan anak perempuan comel iaitu Maria Letizia pada 23 November 2015. Empat tahun kemudian, rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata lelaki yang dinamakan Jose Sixto G. Dantes IV pada tanggal 16 April 2019.
Meskipun sudah bergelar ibu dua anak, Marian masih kekal menawan dan ramping. Apa sahaja fesyen yang digayakan selebriti kesayangan Filipina ini pasti disambut baik peminat setianya.
Berbekalkan bakat, wajah yang cantik dan personaliti menarik dimiliki Marian, aktres yang memiliki ketinggian 158 cm ini turut menjadi buruan syarikat pengiklanan yang mahu melantiknya sebagai duta atau penghias kempen pelbagai jenama mewah. Difahamkan sehingga tahun lepas, nilai kekayaan Marian dianggarkan mencecah USD 6 juta!
Selain aktif dengan aktiviti seni, Marian juga sebenarnya pengasas perniagaan bunga-bungaan segar Flora Vida by Marian. Ujarnya, bukan mudah untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga namun kerana tanggungjawab terhadap peminat dan anak anak serta suami dia tetap akan memastikan semuanya berjalan lancar.
“Pada mulanya memang agak sukar menguruskan keluarga dan kerjaya dalam satu-satu masa. Tapi apabila anda sudah dapat membezakan masa satu yang menjadi keutamaan, ia akan menjadi mudah.
Di samping menjaga keluarga, dalam masa sama saya juga akan memantau perniagaan yang diusahakan kerana kedua-duanya adalah penting bagi saya. Walau ada ketikanya susah, tapi saya mampu uruskan keluarga dan perniagaan dengan baik.”
Bagi merancakkan lagi perniagaan tersebut, pada 10 Jun lepas Marian telah melancarkan edisi terbaharu Flora Vida by Marian yang berkonsepkan dried bloom collection. Menariknya, dalam masa hanya 5 hari selepas ia dilancarkan, koleksi ini habis dijual! Selain perniagaan bunga segar, Marian juga mengeluarkan koleksi fabrik dan dekorasi kediaman rumah serta bakal melancarkan jenama pakaian miliknya sendiri.
Sememangnya aura Marian cukup berbisa. Apa sahaja yang dijual mahupun dipromosikan pasti laris di pasaran. Patutlah ramai pengusaha dan syarikat berskala besar berebut-rebut menjadikan jelitawan Filipina ini sebagai duta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tak ada apa yang lebih menggembirakan seorang wanita apabila solekan pada wajah tak perlu di touch-up berkali-kali. Apa yang perlu anda lakukan?
Cukupkan vitamin untuk kulit wajah
Sebelum mula bersolek, lihat terlebih dahulu kondisi kulit anda. Wajah yang berseri bukan hanya terletak pada warna solekan tetapi kesegaran kulit sebelum di solek. Gunakan produk penjagaan kulit yang benar-benar sesuai dengan kulit anda.
Jangan lupa untuk mengamalkan rejimen kecantikan lengkap seperti skrub, eksfoliasi, penyegar dan pelembap supaya permukaan wajah bersedia untuk ‘diwarnakan’ umpama sekeping kanvas! Paling penting, solekan juga tahan lebih lama.
Guna primer
Jangan lupa untuk menggunakan primer sebelum menyolek wajah. Primer digunakan untuk mengunci kelembapan dan menjadikan kulit lebih halus. Selepas menggunakan krim pelembap, sapukan primer untuk mengelakkan solekan diserap ke dalam kulit, membiarkannya tahan lebih lama.
Jika anda bimbang solekan mata menjadi comot, pilih primer mata yang sesuai agar sapuan pembayang mata lebih sekata dan kekal lama.
Bedak asas
Sentiasa memilih bedak asas bebas minyak dengan formulasi tahan lebih lama supaya kompleksi wajah anda kekal sepanjang hari. Dengan menggunakan beauty blender, sapu lapisan bedak asas nipis pada wajah. Sedikit concealer pula boleh menyembunyikan cela.
Pastikan anda memilih bedak asas dengan pilihan warna yang sesuai dengan kulit wajah. Anda tentu tidak mahu dilihat umpama memakai topeng ketika bertemu rakan-rakan!
Solekan nipis
2019 bukan lagi mengenai solekan dengan warna bold dan terlalu menonjol. Solekan no-makeup-look adalah pilihan terbaik supaya anda nampak lebih natural dan berseri. Ada juga juru solek terkenal mencadangkan agar menggunakan concealer sahaja.
Maskara dan penggaris mata
Untuk memastikan solekan mata tidak comot, gunakan maskara dan penggaris mata kalis air agar ia tahan lebih lama.
Translucent powder
Jangan lupa menggunakan translucent powder atau setting powder untuk mendapatkan efek matte, menyerap lebihan minyak yang tertinggal pada wajah dan memastikan seolak anda tahan lebih lama. Selepas selesai bersolek, gunakan berus bedak debu secara ringan pada wajah.
Malah, anda juga boleh tab sedikit translucent powder pada bibir di antara gincu untuk menampakkan bibir lebih mungil.
Jangan sentuh solekan akhir
Proses terakhir untuk memastikan solekan anda kekal lama adalah dengan translucentpowder. Selepas itu, pastikan anda tidak menyentuh wajah kecuali atas sebab-sebab tertentu agar solekan tidak comot dan menghalang sentuhan bakteria pada kulit.
Sekiranya berpeluh, hanya tab tisu kering secara perlahan, cukup sekadar untuk menyerap air peluh sahaja.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!