
Wanita bergelar ibu memikul tanggungjawab sungguh berat. Tugasnya bagai tak pernah habis dari hari ke hari. Wanita selalu di sebut lemah tetapi cinta yang telah membuatkan mereka lebih kuat dari sesiapa pun.
Dalam perkongsian Ustaz Ebit Lew dalam laman Instagram, cukup terkesan di sudut hati apabila mengenangkan kerjaya paling berat tetapi mulia di dunia. Katanya, kerjaya sebagai ibu ayah tiada gaji. Ia adalah kerja paling berat tetapi paling mulia di dunia. Ia juga adalah amanah dari Allah.
“Hargailah ibu ayah. Ucapkanlah sayang kepada mereka. Jika kita sudah menjadi ibu ayah, berilah kasih sayang dan masa untuk membimbing anak-anak.
Menjadi ibu khususnya satu pekerjaan yang tidak ada titik nokhtah. Pekerjaan yang tidak ada cuti, tidak ada MC jauh sekali untuk berhenti. “Kerja ini duit tak dapat, gaji tak dapat. Tak ada istilah sakit dalam kerja ni. Bila dapat saja kerja bila umur bertambah,kerja dia pun bertambah. Kalau usianya 100 tahun, 100 tahun dia akan sayangkan kita,”katanya.
Melafazkan kerinduan pada suri hatinya yang menguruskan rumah tangga 24 jam sehari serta menjaga anak-anak tanpa rehat mencukupi, sama seperti semua isteri dan ibu di dunia. Dia memuji kekuatan yang ada dalam diri seorang wanita bergelar isteri dan ibu.
https://www.instagram.com/p/BoiDu83nrPf/?utm_source=ig_web_copy_link
Dalam ceramahnya lagi, Ustaz Ebit turut berkongsi rasa kerinduan yang teramat terhadap Allahyarham ibunya. Pernah sewaktu hari lahirnya, Ustza Ebit cuba menghubungi arwah ibunya dari Bangladesh hanya semata-mata untuk mendengar ucapan paling berharga. “Ebit, selamat hari lahir. Mak sayang dekat Ebit. Ucapan yang sangat saya rindui hingga sekarang,”katanya.
https://www.instagram.com/p/BvNhvnFFjaY/?utm_source=ig_web_copy_link
Pesan Ustaz Ebit, “Ucapkanlah sayang dan hargailah selagi ada kesempatan. Selalu doakan mereka. Rindunya nak menangis sebab dah tak dengar suara itu lagi dalam hidupku ini. Terima kasih Allah pinjamkan wanita yang sangat baik dalam hidupku. Semoga satu hari nanti, di sana, ku ingin ucapkan sayang dan terima kasih padanya.”
https://www.instagram.com/p/BvP9D6SlraP/?utm_source=ig_web_copy_link
“Tak Sukar Pun Nak Turun Berat Badan,” Kata Azizah Ariffin Maintain Cantik Di Usia 50

Menjadi wanita cantik mungkin suatu perkara biasa tetapi apabila kekal cantik di usia 50 tahun mungkin suatu yang luar biasa. Azizah Ariffin seorang wanita yang terkenal kerana kepetahannya berbicara sebagai pembaca berita.
Kecantikan Azizah Arifin memang tidak perlu dinafikan ketika di awal kemunculannya sebagai pembaca berita sehingga ramai yang sanggup menunggu penampilannya saban malam.
Kini, di usia 50 tahun Azizah Ariffin lebih mengkagumkan kerana masih kekal cantik menawan seperti dahulu dan pandai menjaga penampilannya.
Azizah Ariffin berkata tidak sukar mana untuk menurunkan berat badan wanita atau mahu maintain berat badan jika sudah berjaya mencapai berat badan ideal. Tip yang diberi oleh wanita yang masih bertugas sebagai pembaca berita do TV AlHijrah ini, “Tak sukar pun nak turunkan atau maintain berat badan.
Sarapan selepas 15 jam Intermittent Fasting (IF). Semalam dinner agak lewat pada jam 8.00 malam. Ada protein, sayur dan buah-buahan untuk melengkapkan nutrisi. Biar colorful baru selera.
Makan telur 3 biji sehari dikatakan dapat menurunkan kadar kolestrol jahat LDL kita ya. Walaupun sarapan saya agak lewat tapi selepas subuh dah menjadi rutin ambil minyak zaitun Olivie30x, pati delima dan madu kyrgyztan sebagai bekalan tenaga. Jika mampu puasa Isnin dan Khamis. Intermittent fasting bila tak niat puasa.
Oh ya! Telur tu nampak tak berapa cantik sebab ditabur dengan chia seed dan ceylon cinnamon. Ceylon cinnamon ni termasuk dalam kategori superfood dan siapa yang amalkan berterusan boleh awet muda dan cepat turun berat badan tau. Chia seed pula bantu utk kekal kenyang supaya perut mampu bertahan sehingga next meal jam 5 atau 6 petang nanti,” kongsi Azizah Ariffin di akaun Instagramnya.
Diet cara Intermittent Fasting lebih mudah kerana boleh makan apa sahaja termasuk makanan kegemaran cuma perlu mengikut waktu yang telah ditetapkan.
Namun, keistimewaan intermittent fasting ini adalah pelakunya boleh memilih waktu yang sesuai dengan gaya hidupnya untuk berpuasa. Antara kaedah yang popular dan sering diamalkan adalah;
The 16/8 Method
Kaedah ini dilakukan dengan membahagikan masa 16 jam berpuasa dan 8 jam masa untuk makan. Contohnya boleh memulakan hari dengan mengambil sarapan pada pukul 7.00 pagi dan boleh makan sehingga pukul 3.00 petang. Kemudian boleh mula berpuasa sehingga 16 jam lamanya. Ini bermakna anda boleh makan semula ketika sarapan esok harinya pada pukul 8.00 pagi.
Eat-Stop-Eat
Diet dengan cara ini Nampak lebih mudah tetapi pelaksanaannya mungkin sedikit mencabar. Kaedah ini dilakukan dengan berpuasa iaitu tidak mengambil sebarang makanan selama 24 jam tetapi boleh minum air.
Sebagai contoh boleh menikmati makanan sehingga pukul 7.00 petang pada hari Sabtu. Kemudian berpuasa sehingga pukul 7.00 petang hari Ahad keesokannya. Selepas berpuasa boleh kembali makan seperti biasa dengan mengambil 2,000 kalori sehari untuk wanita dan 2,500 sehari untuk lelaki.
Kaedah ini menggalakkan berpuasa sehari atau dua hari dalam seminggu dan tidak boleh lebih daripada dua kali seminggu. Tidak juga dibenarkan melakukan amalan berpuasa ini dua hari berturut-turut.
Walaupun hanya mengamalkan amalan berpuasa sehari seminggu dapat mencipta defisit kalori sebanyak 10 peratus. Buat permulaan jika tidak mampu melakukan selama 24 jam boleh cuba dengan cara berperingkat mengikut kemampuan tubuh.
The 5:2 Diet
Diet mengikut kaedah ini pula tidak mengehadkan pengambilan makanan seharian sebaliknya mengurangi jumlah pengambilan makanan dengan hanya 25 peratus daripada jumlah pemakanan biasa.
Sebagai contoh, dua hari dalam seminggu, anda makan 25 peratus daripada rutin makan harian. Secara teknikalnya wanita hanya boleh makan dalam 500 kalori manakala lelaki pula dalam 600 kalori. Baki lagi 5 hari boleh meneruskan pola pemakanan yang biasa anda amalkan.
Syafinaz Yunus Pernah Jumpa Mangsa USUNG JENAZAH ANAK SENDIRI Ketika Misi Kemanusiaan Di Syria

Hidup dalam sebuah negara yang aman daripada peperangan wajar disyukuri dengan penuh nikmat. Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan wanita dan kanak-kanak yang hidup dalam pelarian akibat peperangan yang melanda tempat tumpah darah.
Hidup dalam ketakutan dan sentiasa was-was dan tidak mempercayai orang di sekeliling. Lebih sedih lagi apabila melihat kanak-kanak terbiar tanpa menikmati keriangan seperti kanak-kanak yang lain dan tertinggal dalam pelajaran.
Sebagai seorang wanita yang prihatin terhadap keamanan negara, telah membawa Syafinaz Yunus bangun melakukan misi kemanusiaan di negara yang sedang bergolak.
Tidak mahu menoleh ke belakang kaki yang melangkah akan terus melangkah sehingga ke penghujung yang belum pasti masanya. “Terlalu banyak peranan yang boleh dimainkan oleh seorang wanita dalam setiap misi kemanusiaan.
Saya sendiri melalui pengalaman di Syria melihat seorang ibu sedang mengusung jenazah bayinya. Juga seorang ibu muda yang menangis kerana bayinya kelaparan akibat 3 hari tidak makan dan minum.
Selain daripada bantuan makanan, apa yang mereka paling perlukan adalah sokongan moral seorang wanita lain kepada mereka,” jelas Syafinaz yang bertugas di stesen TV Al-Hijrah sebagai pembaca berita dan pengacara program Analisis.
“Penderitaan yang mereka dilalui membuatkan ada yang berputus asa dengan kehidupan yang dilalui. Justeru mereka sangat perlukan motivasi daripada wanita lain untuk lebih kuat dalam meneruskan kehidupan.
Itu juga yang sering saya lakukan sewaktu di lapangan di negara perang. Saya akan peluk mereka, comfort them and tell them that they’re our inspiration. Kekuatan mereka adalah sumber inspirasi kita wanita seluruh dunia. Jadi mereka perlu terus kuat menghadapi ujian Allah ini. Itulah peranan seorang wanita kepada wanita lain lebih-lebih lagi di negara yang sedang bergolak,” tutur Syafinaz lembut.
Menurut Syafinaz, pegangannya ketika sedang melakukan misi kemanusiaan adalah kerana Allah SWT semata-mata. “Ini adalah sumbangan kecil saya sebagai ‘bekalan’ untuk dibawa pulang kelak.
Ini sahaja yang dapat saya bantu sebagai saudara seislam yang sedang dalam kesusahan. Selain itu ‘pedang’ yang boleh saya hunus untuk melawan pihak yang menzalimi mereka iaitu melalui penulisan. Melalui penulisan saya boleh menyampaikan kisah yang sebenar buat rakyat Malaysia.
Sehingga ke hari ini saya memperjuangkan dan membantu sehabis daya saudara Islam yang sedang dizalimi seperti di Palestin, Rakhine dan Syria.
Kalau diizinkan Allah SWT saya mahu membantu membebaskan Al-Aqsa daripada cengkaman mereka yang tidak bertanggungjawab,” kata Syafinaz bersungguh-sungguh. Tambah Syafinaz yang dapat dipelajarinya sepanjang terlibat dengan misi kemanusiaan adalah menjadi hamba yang bersyukur ketika menerusi misi-misi bersama Aman Palestin ke negara-negara perang.
Bersyukur dilahirkan sebagai umat Islam, bersyukur masih tinggal di negara yang aman, bersyukur dengan apa sahaja kurniaan-Nya tidak kira ujian mahupun rezeki. Namun, kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu kemanusiaan masih kurang. Masyarakat kita lebih gemar dengan isu sensasi berbanding ambil tahu apa yang sedang berlaku pada dunia Islam.
Menyingkap pengalaman ibu kepada seorang anak lelaki ini dalam misi kemanusiaan, “Pengalaman yang paling tak mampu saya lupakan apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Kem Yarmouk di Syria.
Melihat puluhan ribu saudara Islam dizalimi dan saudara Islam iaitu rakyat Palestin seakan mayat hidup kerana kebuluran disebabkan sekatan tentera Bashar Al-Assad. Dalam hati ketika itu bertanya, dimanakah perginya nilai kemanusiaan?
Nasihat saya jika ada wanita lain yang turut sama mahu meneruskan usaha kemanusiaan, teruskan niat murni itu. Banyakkan membaca isu-isu dunia dan kemanusiaan.
Dapatkan informasi berkenaan misi kemanusiaan di NGO yang diyakini kredibilitinya seperti Aman Palestin dan lain-lain,” tutur Syafinaz penuh semangat mengakhiri perbualan kami pada petang itu.
“Jualan Tak Laku, Berniaga Dari Pagi Sampai Malam Untung RM15 Saja Sehari” AYDA

Perjalanan hidup setiap orang berbeza-beza. Ada yang mudah, serba serbi lancar tanpa banyak halangan. Namun, ada pula sebaliknya sehingga terpaksa menempuh bermacam dugaan yang adakalanya boleh mengakibatkan ‘jatuh terduduk’. Natijahnya, mudah ataupun sukar kedua-duanya adalah ujian kerana setiap yang berlaku menjadi asbab dan penentu masa depan.
Finalis Pencarian Nona Superwoman, Nur Aida Nazili Norazlan berkongsi jatuh bangun dalam bisnes yang menjadi sumber pendapatan utamanya. Mesra disapa sebagai Ayda, wanita berumur 30 tahun yang berasal dari Kelantan ini merupakan ibu anak 3.

Ayda kini mempunyai dua rangkaian bisnes iaitu Beautsahara (inai) dan Nutellabanana (makanan). Ayda cukup bertuah kerana turut dibantu oleh suami, Lut Bosni yang sanggup berhenti kerja kerana mahu bersama-sama menguruskan bisnes.
“Sebelum berbisnes saya pernah bekerja. Kemudian saya ambil keputusan untuk berhenti kerana nak beri tumpuan kepada keluarga. Tiba masanya untuk saya buat keputusan sendiri dan ‘bebas’ daripada tekanan kerja bawah orang. Bila menjadi surirumah sepenuh masa fokus saya hanyalah keluarga. Waktu itu suami seorang saja yang bekerja.
Tetapi lama kelamaan saya mula terfikir untuk bantu suami tambah pendapatan keluarga. Tambahan pula saya jenis yang tak boleh duduk diam. Saya mulakan langkah buat bisnes online dari rumah dengan menjadi stokis produk inai.


Saya juga buat bisnes makanan. Buka gerai tepi jalan jual nasi lemak. Dari segi keuntungan tak seberapa. Sebulan berniaga tak laku lantas saya buat keputusan tutup gerai. Kemudian saya cuba jual sushi pun tak laku juga. Akhirnya saya kembali meniaga inai. Saya buat full time bersama suami bila dia ambil keputusan berhenti kerja untuk bantu saya.
Alhamdulillah dalam masa 3 bulan bisnes inai menjadi dan telah pun mempunyai 32 agen seluruh Malaysia. Permintaan juga tinggi bukan hanya untuk majlis perkahwinan malah sebagai salah satu perhiasan bagi wanita (aksesori). Inai Sahara ini adalah instant maka mudah digunakan serta boleh dibawa solat.
DETIK STRUGGLE
Pengalaman paling tak dapat saya lupakan ketika buat bisnes sushi. Dengan modal yang ada saya laburkan semua untuk bisnes tersebut tapi tak laku. Berniaga dari pagi sampai malam untung RM15-RM20 saja. Memang tak balik modal dan tiada langsung simpanan.
Pernah satu hari terjadinya hujan lebat. Khemah tempat kami berniaga tu koyak disebabkan angin ribut yang kuat. Kami terpaksa bertahan walaupun barang-barang jualan basah dan rosak. Walau jualan tak laku, selama 2 minggu jugalah kami bertahan. Dengan saya lagi yang sedang sarat mengandung 7 bulan, Allah saja yang tahu betapa peritnya ujian kami ketika itu.

Kami tak mampu bayar sewa rumah dan terpaksa merayu pinjam duit Mama nak langsaikan hutang. Setelah berfikir mencari jalan penyelesaian akhirnya saya dan suami sepakat untuk kembali buat bisnes inai secara online. Alhamdulillah Allah mudahkan jalan dan bertahan sehingga kini. Kehidupan kembali tenang dan kami bahagia dengan apa yang ada. Rezeki Allah sentiasa cukup buat kami sekeluarga.
PENDORONG
Semestinya suami dan Mama. Suami adalah mastermind dalam bisnes yang kami lakukan. Suami jugalah yang akan menjaga anak-anak jika saya sibuk dengan urusan bisnes. Suami tulang belakang saya, tanpa beliau saya tak akan mampu lakukan semua.

Manakala Mama, Shalieza Shafii, sejak kecil sampailah sekarang tak pernah lupa memberikan saya kata-kata semangat. Mama adalah satu-satunya wanita inspirasi saya. Sentiasa ada di belakang saya untuk support apa yang saya suka. Kalau tak boleh pun Mama tetap akan cakap saya boleh buat. Itulah istimewanya Mama, tak pernah memandang rendah kemampuan anaknya.


IMPIAN
Saya akan terus berkongsi rezeki dengan orang lain dan kembangkan bisnes inai serta makanan ke tahap yang lebih tinggi. Sebab itulah saya sertai Pencarian Nona Superwoman untuk bina keyakinan diri dalam bisnes. Satu lagi impian saya untuk memiliki pusat consultancy grooming suatu hari nanti untuk berkongsi ilmu serta motivasi tentang kecantikan seperti solekan dan imej. Doakan saya.”
Semoga Ayda terus sukses membina empayar perniagaanya serta tercapai segala impian yang diharapkan, Insha-Allah.

Rancangan Pencarian Nona Superwoman 2021 di ASTRO PRIMA bermula 22 September setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh Usanita.
Kredit Foto: Instagram @aydaazlan