
Label instant turban yang menggunakan namanya sendiri kini semakin dikenali serta mendapat sambutan yang sangat baik khususnya di kalangan wanita berkerjaya mahupun VVIP. Pengasas jenama Ilham Echenta yang selesa disapa sebagai Echenta ini berjaya membuktikan wanita bergelar isteri dan ibu juga mampu berjaya dalam perniagaan.
“Saya mendapat idea untuk mewujudkam Ilham Echenta sekitar tahun 2011. Kebetulan waktu itu saya juga buat bisnes korset kecantikan. Disebabkan saya sering menggayakan turban sebagai pemakaian harian maka dari situlah datangnya idea untuk menghasilkan turban mengikut cita rasa sendiri.
Saya mula berniaga dari rumah. Saya bermula dengan modal yang sangat kecil dan tidak mempunyai pembantu untuk menguruskan perniagaan. Semuanya dilakukan sendiri. Masa tu lah hendak jaga anak, buat bisnes dan sebagainya.
Suami juga telah berhenti daripada bisnes fotografinya dan kini hanya fokus kepada Ilham Echenta. Beliau menjaga bahagian pengurusan, staf dan kerja-kerja produksi di butik. Manakala saya pula lebih kepada rekaan.
Masa awal-awal dulu saya hanya keluarkan satu design sahaja dalam kuantiti 50 helai. Itu pun sudah banyak bagi tempahan pre order. Yang menjahitnya kakak saya. Tetapi disebabkan kakak pun bekerja maka saya tak boleh nak harapkan dia seorang. Saya turut menjahitnya untuk selesaikan semua tempahan pre order.
Di samping itu, saya juga sering berkongsi ootd yang digayakan bersama turban Ilham Echenta di Instagram peribadi. Ini sebahagian daripada tugas saya, perlu memperagakan dan mempromosikan jenama sendiri. Tapi di luar waktu kerja saya seorang yang sangat ringkas,” kongsi ibu kepada 3 cahayamata ini yang berusia 34 tahun.
NASIHAT BUAT WANITA
“Buat wanita di luar sana beranilah untuk berdikari jika ingin bergelar usahawan berjaya. Saya dulu bertahun-tahun mempromosi turban sendiri. Ketika awal-awal berniaga tidaklah semudah yang disangka. Ada yang tak nak pakai turban saya tapi saya tak mudah putus asa.
Suami selalu pesan kalau bukan saya yang pakai siapa lagi yang nak pakai. Kalau saya segan nak pakai, tiada siapa yang akan beli. Saya positif dan mendengar apa yang suami kata.
Lagi satu, dalam berniaga kalau hendak meniru atau ciplak rekaan orang lain teruskanlah. Tetapi ingat, strategi perniagaan itu berbeza. Hanya individu itu sahaja tahu bagaimana cara dia hendak berniaga,” akhiri Echenta.
Anak- Anak Senang Dengan Cara Didikan LIZA ABDULLAH, Nak Buat Hal Pun Takut!

Siapa tidak kenal dengan aktres hebat 80-an Norliza Abdullah yang terkenal dengan bakat lakonannya yang sering kali meninggalkan kesan buat penggemar sinetron tempatan. Mula dikenali sebagai penyanyi pada tahun 1984 sebelum namanya menjulang sebagai pelakon sejak membintangi filem Ali Setan pada 1985. Majalah Nona membawakan bingkisan ceritera ibu dan anak cantik Liza bersama anak perempuannya yang bernama Nurnaffiz Syahiddah Zolkefli.
Figura yang pernah melalui kisah duka dalam kisah rumahtangga ini tidak pernah menjadikan ia sebagai benteng untuk anak-anaknya kekal berhubung dengan bapa kandung mereka. Walaupun bergelar ibu tunggal, beliau masih mengekalkan hubungan yang baik bersama bekas suaminya dan tidak pernah terlintas untuk memutuskan hubungan antara anak dan ayah.
“Sejujurnya saya dan bekas suami masih berkawan baik dan antara kami tiada istilah permusuhan. Malah, kami masih beraya bersama dengan anak-anak dan kadangkala memilih pakaian sedondon untuk digayakan. Isu hak penjagaan anak-anak juga tidak pernah timbul kerana saya tahu, bekas suami saya boleh menjaga anak-anak saya dengan baik.
“Naffiz membesar dalam keadaan dimana dia membesar dengan saya dan ayahnya sebagai suami isteri. Kemudian selepas saya berpisah dengan bekas suami, saya lihat dia jadi semakin matang dan dewasa. Saya nampak Naffiz ini seorang yang pandai membawa diri dan sentiasa bertanggungjawab mengenai urusan adik-beradik yang lain.
Selain itu, dia seorang yang cekal dan bijak dalam dalam mencari peluang yang ada. Naffiz juga seorang yang mudah didekati dan disenangi oleh orang yang berada disekelilingnya. Setakat ini saya tidak pernah mendengar perkara-perkara yang tidak enak mengenai dia dan yang boleh merisaukan saya,” ungkap Liza.
Tambah Liza lagi, beliau cukup berbangga dengan pencapaian Naffiz terutamanya dalam bidang akademik. Sikap Naffiz yang rajin berusaha dan sikap tidak mudah mengalah membawa satu lembaran baharu dalam karier yang diceburinya sekarang.
Manakala bagi Naffiz pula, dia cukup memahami karier ibunya sebagai pelakon dan selebriti. Anak kedua daripada 4 beradik ini tidak pernah merungut bahkan berbangga menjadi anak kepada insan bernama Liza Abdullah. Bertanyakan keistimewaan Liza Abdullah dimatanya, ini jawapan yang diberikan.
“Ibu seorang wanita yang kuat bekerja. Dia tidak pernah merungut mengenai kerja dia walaupun saya tahu dia penat. Dia seorang yang sangat berdisiplin. Apabila dia masuk ke set, dia akan tolak semua masalah dia ke tepi dan boleh ceriakan semua orang.
“Saya dan ibu juga sangat rapat. Walaupun saya tahu ibu selalu sibuk dengan jadualnya, tapi dia tetap mencari masa untuk saya dan adik-beradik yang lain”, bicara Naffiz.
Akui Naffiz, ibunya sentiasa menjadi pendorong utama dalam setiap perkara yang dilakukannya. Ibunya tidak pernah menghalang untuk dia menceburi bidang yang diminatinya.
“Selama ini ibu tidak pernah mengongkong dan bersangka buruk terhadap anak-anaknya. Dia akan percayakan anak dia sendiri berbanding orang lain. Jika dia dengar sesuatu yang tidak betul sekalipun mengenai anak-anak dia, dia akan tanya terlebih dahulu sebelum dia marah. Jika betul sekalipun kesalahan itu datang dari anak-anaknya, dia ada cara tersendiri untuk menyelesaikannya.
“Sebagai anak yang membesar di zaman moden ini, saya selesa dengan cara didikan ibu. keterbukaan ibu membuatkan saya sangat seronok dengan cara didikan dia. Bagi saya, cara ibu mendidik saya membuatkan saya lebih jujur dan saya berasa lebih berjaga-jaga untuk khianati kepercayaan yang ibu berikan kepada saya.
“Bukan itu saja, saya juga cukup kagum dan terinspirasi dengan sikap ibu yang terlalu jujur dan ikhlas dalam kariernya. Susah untuk saya describe tahap kejujuran ibu namun orang yang berada disekeliling dia tahu dia seorang yang bagaimana. Antara prinsip yang ibu pegang dari dulu sampai sekarang ialah “biar orang buat kita tapi jangan kita buat orang”, kata Naffiz.
“Minda & Sikap Saya On & Off. Tak Suka Bawa Masalah Politik Balik Rumah”-DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI

Figura bapa disifatkan sebagai seorang hero kepada anak-anaknya. Lelaki yang menjadi pelindung dan membuatkan si anak rasa selamat di sisinya. Tular di media sosial baru-baru ini apabila wajah Timbalan PM, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan sedikit berbeza apabila muncul di kaca TV menerusi Buletin Utama, menyaksikan mata beliau yang kelihatan sedikit bengkak dan lebam.
Malah dalam posting Instagram milik Timbalan Perdana Menteri itu 2 minggu lalu, beliau lebih banyak mengenakan kaca mata hitam. Tidak gelabah dengan spekulasi yang dilemparkan, anak sulungnya Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dengan tenang tampil menjelaskan bapanya mengalami kerosakan saraf optik dan memerlukan pembedahan.
“Saraf mata dia tak function (berfungsi). Sebab tu mata dia jadi ‘jatuh’. Buat muka buat apa, bukan super star pun. Kalau sampai mudarat sebab saraf mata, kena la buat sesuatu. Tapi biasalah orang lagi seronok fitnah daripada tahu perkara sebenar,” tulisnya membalas komen netizen di Instagram.
Bukan itu sahaja, Nurulhidayah menjelaskan bahawa sebagai ahli politik, ayahnya perlu kuatkan semangat dan tetap bertugas demi rakyat dan negara walaupun sakit kerana ayahnya memikul satu tanggungjawab besar yang diamanahkan.
Nurulhidayah berkata bapanya masih dalam proses pemulihan dan tidak berehat lama selepas pembedahan mata. Pada 22 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan Zahid bercuti selama dua minggu.
Nona bertandang ke kediaman Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid atau Datuk Nurul pada awal Mei lalu sambil ditemani bapanya secara eksklusif, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tiada kasih sayang yang lebih besar daripada kasih sayang ibu bapa terhadap permata sulungnya. Anak pertama yang mendidik kita erti keluarga bahagia dan menjadi harapan menjaga adik-beradik yang lain. Selain ibu dan isteri, anak perempuan sulung juga cinta hati sebenar seorang insan bergelar bapa.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bukan mudah untuk mengatur temu janji apatah lagi dengan kepadatan jadual beliau dalam pelbagai urusan pentadbiran negara.
Namun demi memenuhi permintaan Nona yang ingin mendekati keperibadian Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang bapa, segalanya bagai dipermudahkan. Keluar daripada limelight sebagai ahli politik, NONA menyelami kasih sayang seorang bapa dalam diri pemimpin nombor dua negara ini.
KEPADATAN JADUAL
Pada usia menjangkau 70 tahun, Dato’ Seri Ahmad Zahid jujur mengakui sukar membahagikan masa untuk keluarga terutama sekali sebagai bapa untuk anak-anak tersayang.
“Sejak 1 Oktober 1987, saya akui berlaku ketidakadilan untuk anak-anak sepanjang saya bergiat aktif dalam politik secara sepenuh masa. Ketika itu saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan.
Tapi Alhamdulillah isteri, anak-anak dan cucu-cucu faham. Yang penting, sebagai seorang bapa dan datuk, saya perlu bijak bahagikan masa untuk mereka. Mungkin masa tidak panjang, tapi saya manfaatkan masa tersebut sebaik mungkin bersama-sama,” ujar Dato’ Seri Ahmad Zahid memulakan bicara.
Kata bapa kepada 5 cahaya mata itu lagi, keperibadian dirinya banyak dipengaruhi oleh bapa tersayang, Raden Hamidi Abdul Fatah yang menjadi role model kehidupannya.
Klik: https://www.nona.my/video/kita-buat-apa-yang-allah-suka-datuk-nurul-zahid/
“Tak seperti anak-anak lain yang dapat selalu berjumpa bapa setiap hari, saya pula kurang bernasib baik. Sebaik menamatkan persekolahan darjah enam, saya ‘melangkah keluar rumah’ untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah dan seterusnya sehingga menamatkan pengajian di universiti. Tetapi arwah bapa merupakan seorang guru agama yang tegas dalam mendidik anak-anak. Dalam ketegasan itu, penuh sifat kasih sayang.
Saya masih ingat kenangan ketika ‘mengubah suai’ motor yang beliau gunakan untuk pergi mengajar. Tanpa background mekanikal, saya dan adik overhaul motor tersebut.
Bila arwah tahu, kami kena marah tapi itulah momen yang tak boleh saya lupakan,” imbau beliau sambil tersenyum mengingati momen bersama bapanya yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun, 9 tahun yang lalu.
PANGLIMA KELUARGA
Sering dilabel sebagai individu lantang di media sosial, sosok Datuk Nurul Zahid sememangnya menjadi sebutan apabila timbul isu berkait dengan bapanya. Melihat keakraban dua beranak ini sepanjang sesi fotografi berlangsung, tidak hairanlah mengapa kedua-duanya mempunyai bonding yang kuat dan menyokong antara satu sama lain.
Melihat kesibukan jadual tugas sang bapa, Datuk Nurul Zahid mempunyai pandangannya tersendiri. Beliau menyifatkan sudah menjadi lumrah seorang bapa untuk mencari rezeki untuk keluarga. Justeru, wanita hebat ini cukup mengagumi pengorbanan lelaki bergelar bapa di mana-mana sahaja.
Klik: https://www.youtube.com/watch?v=OW5TjnpT-8Q
“Sebenarnya Abah selalu berlaku adil pada kami. Kalau bukan ahli politik pun, Abah tetap akan sibuk dengan kerjaya. Jadi sebagai ‘panglima’ keluarga, saya akan ke depan untuk menjaga air muka dan maruah keluarga kami. Saya ambil pendekatan saya sendiri yang lebih mengetahui tentang keluarga serta tak endah dengan kata-kata orang,” akui Datuk Nurul Zahid tanpa berselindung.
Ketika ditanya tentang penglibatan anak perempuan sendiri dalam dunia politik, sebagai seorang bapa, Dato’ Seri Ahmad Zahid mempunyai pandangan yang tersendiri.
“Saya tak galakkan Nurul masuk politik, tapi tak juga melarang. Malah saya juga selalu melarang dia daripada bersusah-payah mempertahankan diri saya. Biarkan masyarakat melihat realiti sebenar. Bagi saya, yang penting realiti politik yang sangat dinamik dan tiada batas sempadan. Kebebasan media perlu ada etika,” tutur si bapa sambil melirik anak kesayangan yang mesra disapa Kak Long dalam keluarga itu.
Tambah Dato’ Seri lagi, sempena Aidilfitri lalu, ramai yang datang memohon maaf pada beliau secara terbuka, mungkin kerana terlajak mengatanya secara terang-terangan tanpa perasaan.
“Maka sempena sambutan Aidiladha ini, saya maafkan semua. Asalkan tak buat lagi,” pinta Dato’ Seri Ahmad Zahid yang turut mengambil pendekatan memaafkan lebih besar ertinya dalam kehidupan.
Ketika ditanya mengenai perangai mereka yang saling mempengaruhi satu sama lain, dua beranak ini rupa-rupanya mempunyai persepsi yang tulus mengenai perwatakan yang banyak mempengaruhi keperibadian keluarga ini.
“Minda dan sikap saya on & off… Saya tak suka bawa masalah politik balik ke rumah dan sebaliknya. Alhamdulillah saya dapat tidur dengan lena. Saya tak fikirkan masalah,” ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid.
“Pada pandangan saya pula, Abah merupakan seorang yang pandai reset perasaan. Dia sangat profesional terutamanya dari segi emosi. Saya juga banyak mengikut cara Abah dari segi priority hidup. Utamakan apa yang penting dalam kehidupan iaitu mak, abah, suami dan keluarga,” balas Datuk Nurul Zahid.
Generasi berganti, harapan Datuk Nurul Zahid sebagai seorang anak ini mencuit perasaan.
“Abah sudah menjangkau usia 70 tahun. Kalau boleh saya nak Abah hidup tenang dan habiskan sisa hidupnya di samping anak-anak. Kami adik-beradik boleh berbakti untuk Mak dan Abah.
Seandainya Allah bagi ujian Mak atau Abah sakit, saya sendiri akan berkorban menjaga mereka hingga ke akhir hayat. Sebab bagi saya, tak guna jika kita ada harta di dunia tapi tak boleh berbakti dan beri kasih sayang pada ibu bapa.
Saya tahu dari segi harta, Abah boleh cari sendiri. Apa sahaja Abah dan Mak boleh cari sendiri. Tapi kasih sayang anak memang Abah dan Mak tak boleh cari di mana-mana. Dan saya juga tak boleh dapat Abah atau Mak seperti itu kerana mereka tiada galang gantinya,” akhiri Datuk Nurul Zahid seraya mengakhiri perbualan.
TEKS: ROSMAH IDAYU ABU SAMAH @rosmahidayu_as
FOTO: NURUL AKMAR AZIMI @ownakmarazimi
SOLEKAN: AYANG KAMELL @ayangkamell
Suka Pakai Batik Dengan Sneakers, Gaya Wanita Kacukan Bugis-Arab Usia 45 Ini Curi Tumpuan!

Najwa Shihab merupakan anak perempuan ke-2 Quraish Shihab, bekas Menteri Agama Republik Indonesia pada era Kabinet Pembangunan VII. Najwa juga anak saudara kepada ahli politik, Alwi Shihab. Ternyata, Najwa lahir dalam keluarga yang sangat berpengaruh.

Ibu anak satu berusia 45 tahun ini yang juga mesra disapa sebagai Nana, dilahirkan pada 16 September 1977 berketurunan Bugis dan Arab.

Kini, Najwa terkenal sebagai penyampai, wartawan, pelakon, feminis, dan aktivis media sosial di Indonesia.
Jangan tak tahu, Najwa ni sebenarnya seorang pencinta produk lokal tau. Jom lihat 4 gaya trademark Najwa Shihab yang sering mencuri perhatian warganet.
GEMAR PAKAI SNEAKERS
Najwa sememangnya terkenal sebagai salah satu figura yang sering tampil dengan pemakaian sneakers bak anak muda.
CANTIK DENGAN BATIK
Kalau dah peminat produk lokal sudah tentulah produk tradisi turut menjadi pilihan wanita jelita ini. Najwa seringkali memadankan pakaian batik dengan sentuhan kasual dan terkini. Adakalanya Najwa mengenakan pakaian batik pilihannya bersama sneakers. Memang trendy, kan?

PENCINTA PRODUK LOKAL
Contohnya, lihat kepada gaya ini. Pakaian bermotifkan batik yang adakalanya Najwa memadankannya dengan sneakers atau heels. Ia membuatkan penampilan Najwa sangat anggun walau hanya dengan produk lokal. Terbaik!
SUKA GAYA KASUAL & RINGKAS
Najwa lebih selesa mengenakan pakaian berwarna putih dan dipadukan bersama seluar rona kelabu gelap atau hitam. Adakalanya Najwa mengenakan jaket bersama T-shirt putih. Gayanya ini terlihat sangat kasual, ringkas dan ‘awet muda’ walau dah berusia 45 tahun dan ibu anak satu.
Untuk info, Najwa merupakan Pengasas Bersama PT. Naratif Citra Sahwahita iaitu sebuah syarikat dalam bidang kandungan digital (digital content) yang diasaskan pada tahun 2018.
GEMAR MEMBACA SEJAK KECIL
Najwa gemar membaca sejak kecil. Tak hairanlah Najwa kini menjadi penyampai, hos dan jurnalis yang hebat serta disegani ramai kerana kebijaksanaan yang dimiliki. Berani melontarkan soalan-soalan yang ‘tajam dan berat’ kepada sumbernya itulah kekuatan yang ada pada Najwa.

Selain pernah dilantik sebagai Duta Membaca Indonesia (2016-2020) oleh Perpustakaan Negara Republik Indonesia, Najwa juga bergelar Duta Perpustakaan Bergerak. Seterusnya, selain dikagumi dalam kariernya, Najwa juga menjadi inspirasi bagi anak muda dan golongan wanita dari segi penampilan.

Kredit: Portal Merdeka.com & Rakyat Priangan
Foto: Instagram Najwa Shihab