Makin ligat bekerja dan mahu jalan terus memajukan diri serta wanita di sekelilingnya, selebriti Diana Danielle umum lancarkan podcast Kata Kita.
Di sebalik segala desas-desus berkaitan keretakan rumah tangganya, Diana Danielle tetap tenang menjalani kehidupan seperti biasa.
Dalam pertemuan terbaharu di acara IQOS Together X yang berlangsung di REXKL, ibu anak dua itu tampil santai berkemeja biru dan rambut dilepaskan. Jelitawan dengan nama penuh Diana Danielle Danny Beeson itu kini berusia 33 tahun dan merupakan ibu kepada Muhammad, 11 tahun, serta Aurora, 9 tahun.
Terkenal sebagai pelakon berbakat besar, Diana Danielle kini dilihat makin ligat bekerja dan mahu jalan terus biarpun penuh liku, termasuk memperkenalkan projek podcast sendiri.
Ads
“Sekarang ni saya sedang bersiap-sedia untuk lancarkan podcast saya sendiri, iaitu Kata Kita. Setiap minggu kami akan membincangkan isu wanita atau apa saja yang berkaitan dengan wanita serta isu-isu yang dekat di hati saya. Saya harap sokongan peminat terhadap projek baru ni,” kongsinya.
Menyifatkan program podcast sebagai medium baharu yang cuba diterokai, Diana berusaha mendekati golongan seni kreatif, seni visual dan komunikasi melalui podcast ini. “Bagi saya tiada kekangan pun, kita akan cuba gunakan apa saja medium yang boleh sampai kepada golongan sasaran dan selari dengan masa.”
Ditanya komennya tentang podcast-podcast lain yang cenderung membuka aib, Diana dengan matang menjawab, “Podcast seharusnya interesting. Ia boleh menjadi infotainment. Tapi sebenarnya tak perlu pun unsur-unsur negatif yang menjatuhkan orang atau kontroversi.
Saya rasa apa yang menjadi perhatian adalah apabila sesuatu isu itu relevan atau dekat di hati pendengar. Kebanyakan yang kontroversi tu mungkin sebab mereka cuba naikkan rating, tapi itu cara mereka, saya cubalah untuk elakkan perkara yang membawa maksud negatif di atas platform saya,” ujar Diana yang bakal ke udara bersama seorang co-host yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Ads
Aktres hebat itu juga berkongsi tentang dua filem lakonannya yang bakal ditayangkan pada tahun 2025. “Saya ada dua filem yang bakal keluar tahun depan iaitu Baran dan Memori.
Baran adalah filem horror, manakala Memori mengisahkan tentang penyakit Alzheimer yang saya harap boleh memberikan pengetahuan kepada orang ramai tentang penyakit yang semakin serius di kalangan warga tua di Malaysia.
Ads
Jujurnya kita semua akan tua. Kita bukan saja boleh mendapat penyakit ini tapi mungkin perlu menjaga mak ayah yang ada dementia atau Alzheimer. Semoga filem berdasarkan kisah benar ini dapat menunjukkan realiti menjaga orang-orang tua kita yang mungkin dah nyanyuk,” kata Diana yang bergandingan dengan aktor kacak, Hisyam Hamid.
Mengimbau kenangannya sewaktu kecil, Diana terbuka untuk bercerita perihal nenek tersayang yang mengalami masalah nyanyuk. “Masa tu dia tak di diagnosa menghidap dementia, tapi saya rasa tu penyakit yang normal di kalangan orang-orang tua.
Jadi pelupa, jadi macam kanak-kanak, tapi dengan Alzheimer akan jadi lebih serius kerana ia membawa maut. Saya pun tak tahu betapa seriusnya penyakit ni sampailah saya berlakon dalam filem Memori,” akhirinya.
Ramai wanita yang pernah hilang keyakinan pada diri kerana masalah kulit wajah. Rupanya Nana Mahazan pernah menangis kerana masalah breakout yang dihadapinya.
“Saya sendiri tahu bagaimana diselubungi perasaan sedih kerana tiada keyakinan diri. Saya boleh faham pergelutan mereka yang diburu keresahan sebab kulit wajah teruk.
Ironinya saya melalui fasa itu pada tahun 2017. Saya alami masalah kulit breakout atau timbul jerawat dan bintik merah kerana pori tersumbat dek pelbagai masalah melanda.
Suami saya sendiri menjadi saksi paling dekat melihat saya ada dalam keadaan paling dasyat itu. Masa itu, saya akan tengok cermin sambil menangis setiap hari.
Suami juga yang selalu beri semangat untuk saya cuba tip atau produk itu ini. Dialah penyokong setia menerima kelebihan dan kekurangan diri,” kata Nana yang setahun lebih bangkit daripada fasa breakout dengan mencuba pelbagai jenis produk kulit.
Siapa sangka daripada ujian masalah kulit yang dihadapi oleh wanita yang berusia 39 tahun ini merupakan hikmah yang tak terjangka.
Selepas ramai orang melihat perubahan wajahnya, Nana Mahazan terlintas memasarkan rangkaian jenama produk penjagaan kulit sendiri pada tahun 2020.
“Akhirnya saya bertemu dengan produk yang serasi dengan kulit wajah. Itupun selepas mencuba pelbagai produk. Selepas bertemu yang serasi, saya tidak lagi culas soal menjaga muka. Masalahnya produk itu harganya sangat mahal.
Situasi itu (harga produk mahal) menjadi titik tolak untuk saya cuba hasilkan produk seumpama dengan harga berpatutan. Saya memilih buah kiwi yang dianggap sebagai ‘superfood’ dengan banyak khasiat dan nutrisi. Ia mempunyai sumber vitamin C lebih bagus berbanding oren.
Ia juga bagus untuk merawat kulit muka. Tambahan pula ia menjadi buah kegemaran saya dan keluarga. Rangkaian produk ini mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), lulus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan harga ‘rakyat’,” kata Nana Mahazan.
Momen Nana Mahazan pernah menangis kerana masalah kulit membuatkan dirinya faham dengan masalah wanita yang menghadapi masalah breakout. Walaupun pada awalnya perniagaan diceburi itu berpaksikan minat, mengisi masa lapang dan sudah tentu untuk menjana pendapatan sampingan.
“Namun lama kelamaan saya memahami dunia niaga ini sebenarnya menjadi perantara atau kenderaan untuk membantu ramai orang. Seterusnya, insya-Allah untuk mendapat reda dan keberkatanNya.
Setiap hari akan jadi ruang belajar dan terus memperbaiki diri. Saya mahu terus menginspirasi dan membantu golongan wanita khususnya seramai mungkin. Ia sama ada membina keyakinan diri dengan menggunakan produk atau menjana pendapatan.
Saya mahu mewujudkan lebih ramai pemimpin dan wanita berdikari. Begitu juga keinginan mengubah mereka yang sentiasa rasa rendah diri. Saya nak tanam dalam diri mereka ini semangat atau jati diri yang kuat,” kata isteri kepada Mohammad Raqeem Brian ini.
Ibarat munculnya pelangi selepas hujan. Suatu ketika dahulu Maia Estianty pernah diuji hebat apabila rumah tangganya ‘hancur’ dan hidup dalam kesulitan kerana berjauhan daripada tiga anak kesayangan. Bertahun-tahun figura ini mengumpul kekuatan untuk bangkit dan akhirnya menemui kebahagiaan.
Maia Estianty merupakan bekas anggota Kumpulan Ratu bersama Mulan Jameela sekitar tahun 2005. Dia pernah menjadi bualan ramai menerusi lagu hit Teman Tapi Mesra sebelum kisah penceraiannya bersama Ahmad Dhani tersebar luas.
Sah berpisah dengan vokalis kumpulan Dewa itu pada tahun 2008, Maia diulit bahagia sampai sekarang setelah sah bernikah dengan usahawan ternama Indonesia, Irwan Mussry.
Dia kembali menjadi isteri pada tanggal 29 Oktober 2018 selepas dilaporkan mengambil masa selama 10 tahun untuk ‘pulih’ daripada penceraian.
Tahun ini genap tujuh tahun pasangan romantis berkenaan menyambut ulang tahun perkahwinan. Gembira dan syukur atas kurniaan seorang sosok suami yang baik, Maia menerusi media sosial menitipkan ucapan penghargaan buat lelaki kesayangannya.
“7 tahun cinta, 7 tahun tawa, 7 tahun belajar menjadi satu jiwa. Bukan kesempurnaan yang membuat kita tetap bertahan, tapi kasih yang selalu pulang pada tempat yang sama iaitu kamu. Happy Anniversary my love. You are best of the best.”
Maia dan Irwan Mussry diijab kabul di Masjid Tokyo Camii sambil disaksikan ketiga-tiga anak lelakinya hasil perkongsian hidup dengan Ahmad Dhani.
Pada hari bahagia itu, kedua-dua ibu bapa Maia iaitu Harjono Sigit dan Kusthini hadir memberikan restu. Malah personaliti ini mendedahkan bapa tersayang tidak dapat menahan sebak ketika majlis berkenaan.
“Pada saat ijab kabul, tangisan ayahku sebelum selesai membaca bacaan ijab, pecah seada-adanya sampai kira-kira 10 minit, sehingga proses ijab kabul harus diulang oleh ayah yang akhirnya tenang.
Aku pikir ayahku adalah lelaki terkuat yang pernah ada, karena aku tidak pernah melihat beliau menangis, ternyata mengantar melepas anak perempuannya, beliau tidak sanggup menahan tangis harunya, diikuti kemudian tangisan ibuku dan ketiga anakku serta saudara-saudara yang datang.”
Maia berpisah dengan Ahmad Dhani selepas 12 tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkahwinan terdahulu, Maia dikurniakan Ahmad Al Ghazali, Ahmad El Jallaludin dan Abdul Qodir Jaelani.
Meniti usia 49 tahun, Maia Estianty yang juga seorang penerbit gemar beriadah dan bercuti bersama suami ke luar negara. Lebih bermakna, suami menerima dan menganggap ketiga-tiga anak Maia seperti anak sendiri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tidak ada seorang wanita pun yang tidak mahu menjadi wanita cantik. Sejak kecil lagi sudah pandai ‘mencuri’ lipstik ibu dan bersolek secara sembunyi-sembunyi di bawah katil.
Bila sudah meningkat remaja, perubahan hormon pula menggalakkan jerawat timbul di atas permukaan kulit. Ketika ini ramai remaja yang melakukan try and error untuk menyingkirkan jerawat. Sudahnya bukan sahaja jerawat hilang malah meninggalkan parut.
Wanita sering melakukan kesilapan dalam menjaga kecantikan kulit sama ada yang sengaja ataupun tidak. Melakukan kesilapan yang sama berulang kali adalah suatu yang tidak boleh dimaafkan terutama dalam rutin penjagaan diri. Apakah kesilapan yang sering kita lakukan?
(1) Guna pembersih wajah yang salah. Pernah tak kulit rasa tegang atau cekang sebaik sahaja selepas membersihkan wajah? Jika ya, anda telah memilih buih pembersih yang salah. Buih pembersih itu telah mengeringkan kulit dan turut menyingkirkan kelembapan semula jadi kulit. Cari pembersih wajah yang bersesuaian dengan jenis kulit anda seperti kering, berminyak, sensitif atau kombinasi.
(2) Tidur dengan posisi terlungkup. Tidur dengan cara ini tidak elok kerana boleh member kesan kepada wajah. Tidur dengan posisi ini biasanya akan menambahkan lagi kesan garisan halus pada wajah. Lama-kelamaan akan menjadi kedut yang sukar disingkirkan.
(3) Sapu krim tabir suria bawah mata. Kulit di bawah mata merupakan kulit paling nipis yang perlu dijaga dengan sempurna. Menyapu krim tabir suria dekat dengan mata boleh mengundang pedih atau mengeluarkan peluh tetapi anda boleh memilih tabir suria yang lembut atau bebas pewangi.
(4) Eksfoliasi berlebihan. Melakukan eksfoliasi kulit sangat baik untuk menyingkirkan sel kulit mati di atas kulit. Tetapi kalau melakukan secara berlebihan atau keterlaluan akan menyebabkan kelembapan semula jadi kulit tersingkir dengan sendirinya. Lakukan eksfoliasi paling kurang seminggu sekali, kemudian sapu dengan pelembap untuk mengembalikan kelembapan di bawah kulit.
(5) Sering mengabaikan leher. Sebenarnya leher juga mengalami proses penuaan yang sama seperti kulit wajah. Tetapi, wanita sering menumpukan perhatian pada kulit wajah berbanding kulit leher. Jika kulit leher nampak berkedut tetapi kulit wajah tegang, nampak macam pelik pula. Jangan lupa sapu pelembap dengan SPF pada kulit leher!
(6) Membasuh wajah dengan air panas. Sama ada mandi atau bilas wajah dengan air panas boleh menyingkirkan minyak semula jadi di bawah kulit. Elakkan wajah terkena air panas dan seelok-eloknya bilas dengan air suam atau air sejuk sahaja.
(7) Guna pelembap berasaskan minyak mineral. Pelembap yang mengandungi minyak mineral memang baik untuk kulit tetapi tidak hidrasi kulit. Sebaik-baiknya guna produk yang mengandungi hyaluronic acid atau ceramides yang akan menyerap lembapan bawah kulit.
(8) Guna krim tabir suria yang sudah tamat tempoh. Kebiasaannya krim tabir suria ini bertahan hanya tiga tahun sahaja. Lebih daripada itu, bahan-bahan yang terkandung di dalamnya akan menjadi tidak efektif. Jadi kalau krim tabir suria dalam laci sudah tamat tempoh, buang sahaja dan gantikan dengan yang baru.
(9) Tidur dengan wajah yang bersolek. Lebih banyak kali anda tidur dengan wajah yang bersolek, lebih banyak kerosakan yang anda lakukan pada kulit wajah. Ketika tidur sebenarnya memberikan peluang kulit untuk berehat tetapi apabila ada bedak asas yang menghalang, kulit boleh menjadi rosak.
(10) Tidak hirau jenis kulit. Jika anda seorang wanita yang menggunakan pembersih, penyegar dan pelembap mengikut trend atau mengikut kawan, anda salah. Anda perlu meneliti jenis kulit dengan membuat analisa kulit dengan ahli dermatologi. Bila sudah kenal pasti baharu memilih produk yang bersesuaian dengan kulit.
(11) Terlalu kerap membersihkan wajah. Dalam sehari cukup hanya membersihkan wajah pada waktu pagi dan malam sebelum tidur. Tidak ada sebab wanita membersihkan wajah lebih daripada dua kali. Jika tidak yakin dengan kulit wajah pada siang hari, cukup hanya menggunakan micellar water untuk kulit yang bersih.
(12) Tidak mendapat tidur yang cukup. Wajah anda melambangkan setiap aktiviti yang dilakukan. Jika anda tidak mengambil berat tentang kesihatan atau kecantikan turut terpamer pada wajah. Apabila tidak mendapat tidur yang cukup, kulit wajah akan menjadi kusam, kering dan tidak bermaya. Kulit wajah perlukan beauty sleep untuk mengembalikan kesempurnaan wajah yang letih dengan aktiviti seharian.
(13) Rawatan kulit berjerawat. Kulit berjerawat memang menyebabkan kurang keyakinan diri. Memang seboleh-bolehnya mahu menyingkirkan jerawat dengan segera. Jalan pintas yang bertindak dengan cepat adalah menggunakan krim jerawat. Memang krim jerawat bagus untuk menghilangkan jerawat tetapi kalau terlalu banyak menggunakannya boleh menyebabkan kulit rosak.
(14) Tabiat memegang kulit wajah. Ramai wanita yang gemar memegang, memicit dan mengelus kulit wajah. Tabiat ini tidak elok lebih-lebih lagi dengan tangan yang belum dibersihkan. Ini kerana berjuta-juta bakteria yang terdapat pada tangan akan berpindah pada kulit muka yang akhirnya menjadi punca jerawat.
(15) Guna berus solekan terlalu lama. Berus mekap sangat penting kala bersolek untuk mendapatkan hasil yang sempurna. Tapi bila berus yang kotor digunakan untuk bersolek akan mengundang bakteria. Seelok-eloknya berus solekan dibersihkan seminggu sekali menggunakan cecair pembersih yang khusus buat berus solekan atau syampu yang lembut.
(16) Tidak mengamalkan makanan seimbang. Apa sahaja yang anda makan akan terpancar pada kulit. Jika anda mengelakkan makanan ringan atau minuman bergas anda akan dapati kulit lebih berseri dan bermaya. Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk kulit yang sihat dan cantik.
(17) Periksa kandungan produk yang dipakai. Tidak ramai wanita yang meneliti terlebih dahulu setiap produk yang dipilih. Ramai yang mengikut kawan-kawan atau terpengaruh dengan promosi yang ditawarkan. Bahan yang terkandung dalam sesuatu produk perlu diteliti dengan mendalam agar tidak merosakkan kulit di kemudian hari.
(18) Tidak menyapu pelembap dengan sempurna. Memakai terlalu banyak pelembap, menyapu terlalu sedikit pelembap dan tidak memakai langsung akan memberikan yang teruk kepada kulit. Kulit boleh menyerap lembapan pada kadar yang tertentu sahaja dan selebihnya akan tinggal di atas kulit menjadi punca kulit tersumbat. Jadi sapu pelembap dengan jumlah yang diperlukan oleh kulit.
(19) Bersihkan kulit tanpa menanggalkan solekan. Tidak semua buih pembersih berupaya menanggalkan solekan jadi sebelum membersihkan wajah, pastikan anda mencuci solekan dengan cecair pembersih solekan. Pastikan kulit bebas daripada sebarang solekan sebelum membersihkan kulit dengan buih pembersih.
(20) Bersenam dengan solekan. Tiada kompromi tentang bersenam dengan wajah yang bersolek ini. Bersenam dalam keadaan bedak asas menutupi kulit wajah akan menggalakkan pori-pori tersumbat dan iritasi. Mengelap kulit dengan tuala pada kulit berpeluh dan ditambah pula dengan solekan akan mengakibatkan keadaan lebih buruk.
(21) Bersihkan wajah sebelum bersyampu. Ramai yang tidak perasan bahan yang terdapat dalam syampu dan perapi rambut akan menyebabkan kulit tersumbat. Cuba perhatikan kadang-kadang tumbuh jerawat di atas garisan rambut, tepi wajah atau leher. Tiba masanya untuk menukar rutin dengan bersyampu serta menyapu perapi terlebih dahulu kemudian baharu diikuti dengan membersihkan wajah.
(22) Guna penyegar yang berasaskan alkohol. Menggunakan penyegar yang berasaskan alkohol akan merosakkan kulit wajah semata-mata. Penyegar yang berasaskan alkohol ini akan membuatkan kulit menjadi ketat dan kadang-kadang menjadi kering.
(23) Tidak membasuh sarung bantal. Ketika tidur kita pasti akan berpeluh. Bantal yang kita tidur sepanjang malam kalau tidak dibersihkan akan membuat bakteria berkumpul. Apabila kulit wajah terkena sarung bantal akan membuatkan bakteria itu berpindah ke atas kulit. Kalau boleh seminggu sekali basuh sarung bantal yang kita guna itu.
(24) Terdedah awal kepada produk anti-penuaan. Anda masih muda, berumur awal 20-an tetapi telah mengambil langkah awal dengan menggunakan produk anti-penuaan. Jangan takut, kulit anda masih muda dan biarkan sahaja. Apabila usia sudah meningkat 25 tahun baharu perlu mengambil langkah awal mengekalkan keremajaan kulit dengan mengamalkan produk antipenuaan.
(25) Salah pegang sikat ketika mengeringkan rambut. Jika anda memegang alat pengering rambut dengan tangan dominan dan memegang sikat pada tangan yang satu lagi, anda tidak berkeseorangan. Tapi, sebenarnya cara itu adalah salah. Tangan yang lebih kuat sepatutnya mengawal sikat agar lebih banyak masa dapat dijimatkan. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.