
“Doa yang baik-baik, insyaAllah,” tutur Zara Zya tentang penghijrahannya kini. Ternyata penampilan pelakon yang mula dikenali menerusi drama Love You Mr Arrogant ini tambah manis apabila turut mengikut jejak langkah teman artis lain seperti Hannah Delisha, Cik Manggis, Kilafairy dan Dahlia Shazwan berhijab.

Pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini mohon doa agar ‘penghijrahannya’ ini dipermudahkan. “Keputusan ini saya fikir bukan sesuatu yang perlu dilengahkan. Semoga niat ini dipermudahkan. Saya juga tak mahu berbolak-balik dalam hal tuntutan ini.

Saya sempat menjalani penggambaran drama untuk TV3 berjudul Beri Sedikit Waktu dan tamat Jumaat lalu. Malah kerana keputusan ini juga saya putuskan untuk menolak beberapa tawaran berlakon yang kurang sesuai,” kata Zara Zya yang mengakui semuanya berlaku atas gerakan hati sendiri.

Wanita yang terkenal dengan kebolehan memasak dan memiliki sebuah restoran, Zarazyacooks berlokasi di Setia Alam ini sedar dan mengakui sukar melakukan perkara yang baik. “Saya selalu dengar cerita soal istiqamah ini bukan mudah. Saya harap Tuhan akan tetapkan hati ini. InsyaAllah perlahan-perlahan saya akan terus belajar menjadi lebih baik daripada semalam.

Sejujurnya saat hati ini sudah rasa tak sabar nak pakai tudung, saya berdoa moga ini akan jadi satu permulaan lembaran yang baik. Bahkan saya juga tak ada rasa sayang langsung untuk melepaskan baju lama ketika tidak bertudung,” kata Zara Zya yang dilihat sudah mula menjual pakaiannya melalui di IG Story.


Sebelum ini Zara Zya telah melancarkan Projek Zara Prihatin #zaraprihatin untuk membalas balik jasa Frontliners. Pesan Zara Zya, “Jangan kita mementingkan diri. Fikir orang lain. Kalau tiada kepentingan untuk keluar rumah, maka janganlah berbuat demikian.

Sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman, pakai topeng muka dan mengambil langkah berjaga-jaga. Pastikan jarak sosial anda sekurang kurangnya satu meter antara individu lain. Terus berdoa semoga semua ini akan pergi meninggalkan kita segera,” kata wanita kecil-molek ini.


Sumber: Berita Harian
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
7 Tahun Bina Legasi, ROSMA Kini Usahawan Berjaya & Bahagia Dapat Kongsi Rezeki!

Siapa sangka, dari seorang penyanyi kini Rosma merupakan salah seorang usahawan berjaya tanah air. Beralih untuk serius dalam bidang perniagaan apabila kerjaya seninya dilihat kurang bersinar, selebriti yang ‘lahir’ daripada program realiti Akademi Fantasia Musim 1 ini tidak lelah mengejar kejayaan. Berkat usaha gigih selama hampir tujuh tahun, Rosma bangga membangunkan legasi KR Successful Sdn Bhd di samping suami tercinta, Khai.
Berpeluang menghubungi Rosma baru-baru ini, Nona dimaklumkan bisnes yang diasaskan sejak tahun 2014 tersebut kian rancak merencana jualan. Apatah lagi sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Rosma mengakui permintaan pelanggan terhadap produknya adalah berlipat kali ganda. “Sekarang memang tengah fokus bisnes. Sebelum PKP ada juga terlibat dengan recording program TV tapi ada beberapa daripadanya terpaksa ditunda buat masa ini.
Bercerita tentang bisnes, alhamdulillah berjalan dengan baik. Lagipun saya dah mula berniaga online dari tahun 2014 jadi bila berlaku macam ni tak rasa sangat sebab kita memang fokus platform digital. Tak dinafikan jualan dapat berganda daripada biasa memandangkan orang duduk di rumah sekarang. Waktu PKP tahun lalu pun sambutan menggalakkan walau ada beberapa kesulitan termasuk dari segi penghantaran. Tapi bila berlakunya PKP kedua ni, kita dah ada pengalaman dan semua tu dapat di atasi dengan mudah. Syukur.”


Mengimbas perjalanan awal menceburi bidang keusahawanan, Rosma atau nama sebenarnya Rosmayati Sidik menjelaskan produk MS SenaRos sudah mula dipasarkan sejak tahun 2014. “Ia ialah minuman detoks yang membantu meningkatkan metabolisme tubuh badan selain menstabilkan hormon dan sistem pencernaan serta memberi tenaga tambahan. Walau sebagai peniaga, kita nak produk terjual tapi saya lebih suka memberi knowledge kepada pelanggan terlebih dahulu dan menegaskan mereka tentang kepentingan pemakanan.
MS SenaRos ni boleh dijadikan bantuan untuk amalan gaya hidup sihat tapi 80 peratus mereka yang berjaya turunkan berat dan tampil lebih langsing serta sihat terletak pada pemakanan sendiri.”
Tambahnya lagi, “Tak pernah tercetus idea pun nak buat bisnes ni tapi sebab Khai suka berniaga, dia yang bagi idea memandangkan masa saya bersalin anak pertama memang gigih turunkan berat. Bila hamil anak kedua, Khai bagi idea keluarkan produk berkaitan slimming. Dari idea tu, kami ‘cantikkan’ lagi sehinggalah wujudnya MS SenaRos sekarang.


Waktu tengah sarat hamil anak kedua, gigih kami pergi tanya dan bincang dengan orang lab untuk ramuan produk. Elok je lepas saya bersalin, tester produk siap. Memang lepas anak berusia 6 bulan dan saya cuba, terus hilang 10 kilogram dalam masa dua bulan setengah. Sejak itu bisnes makin berkembang. Dekat setahun jugalah saya dan Khai berdua saja uruskan bab packaging, pos dan ambil order. Staf belum ada lagi masa tu. Memang tak cukup tangan dibuatnya.”
Selain produk minuman kesihatan dan detoks MS SenaRos, Rosma juga mempelbagaikan perniagaannya dengan menghasilkan rekaan body suit dan pants pada tahun 2017. Menjelang Februari nanti pula mereka akan mengeluarkan packaging MS SenaRos dalam bentuk kotak.
Jika kebanyakan usahawan muda selesa berkongsi gaya hidup kepada umum, lain pula situasinya bagi Rosma dan Khai. Biarpun rezeki dalam bidang perniagaan makin melimpah, namun pasangan romantis ini lebih bahagia berkongsi dengan orang sekeliling.

“Kami hidup bersederhana saja. Ada masa, memang perlu reward diri dengan barang yang diidamkan selama ini tapi kami lebih mengutamakan keluarga. Misalnya bawa mereka pergi bercuti dan luang masa bersama-sama. Untuk diri sendiri memang saya tak beriya sangat. Rasanya dalam setahun, baru sekali pergi shopping. Waktu muda dulu memang ketagih shopping tapi sejak kahwin, Khai banyak ajar saya macam mana nak uruskan duit.
Lagi-lagi musim PKP ni, kita pakai apa ada je. Jenis saya memang suka kasut, tapi sekarang ni banyak tengok je dari membeli. Sebab saya fikir ada benda yang jauh lebih penting daripada semua itu. Kalau ada rezeki duit lebih, kita bagi bantuan untuk orang lain lagi baik. Asalkan dapat membantu ikut kemampuan. Dulu saya pernah cakap, ‘Kalaulah ada duit banyak nak tolong orang.’ Jadi bila Allah dah bagi rezeki macam sekarang, saya kena buat.”
Rosma mendirikan rumah tangga bersama Khai yang juga bintang Akademi Fantasia Musim Pertama pada 26 April 2008. Hasil perkongsian hidup selama hampir 13 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Amzar Danish, Nur Amani Damia dan Nur Alya Dhania.
Kredit foto: Instagram Khai Rosma
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
2 Kali Kehilangan Suami, Enggan Meratap Terlalu Lama JAMAIAH Bangkit Bergelar Pengasas Ayour Spa Enterprise

Kita tidak akan pernah lari dari masalah mahupun penderitaan. Adakalanya penderitaan itu harus dikongsi asalkan pada mereka yang benar-benar dipercayai dan bukan ‘kaki canang’. Justeru, dalam hidup ini kita perlu sedar kawan mana yang boleh dipercayai, bersedih bersama dan pendengar yang baik.
Meluahkan bukan bermaksud memberi beban masalah kepada mereka untuk diselesaikan sebaliknya sekadar berkongsi rasa, menenangkan jiwa. Kerana hanya kita sendiri yang boleh menyelesaikannya. Paling utama kembali kepada Pencipta. Mengadulah kepadaNya dan muhasabah diri.
Jamaiah Mohd Isa atau dikenali sebagai Kak Jem merupakan seorang ibu tunggal yang sangat cekal. Ibu kepada seorang anak (dari perkahwinan pertama) ini juga seorang wanita yang pandai berdikari. Berusia 44 tahun, Jamaiah merupakan pengasas dan pengurus Ayour Spa Enterprise.


Bagi penulis wanita ini punya kekuatan yang tersendiri dan luar biasa. Pernah merasai dua kali kehilangan insan tersayang dalam hidupnya. Bercerai mati adalah satu kehilangan tiada ganti yang mencetuskan rasa rindu paling sakit dalam hidup Jamaiah.
“Ketika merasai kehilangan mahupun ditinggalkan, wanita perlu kuat! Bersedih boleh tapi biar sementara. Jangan meratap terlalu lama dengan apa yang terjadi. Segera bangkit demi mencari sebuah kebahagiaan. Rebut segala peluang dan ruang yang ada untuk membina kehidupan serta kerjaya yang lebih baik,” ungkap Jamaiah yang berasal dari Ipoh, Perak.
“Saya asalnya dari kampung dan bukan dari keluarga yang senang. Sebelum berkahwin saya tidak pernah berniaga, hanya bekerja biasa saja. Selepas berkahwin (perkahwinan kedua) saya tidak bekerja kerana menjaga arwah suami yang ketika itu sedang sakit. Alhamdulillah selama berkahwin kami bahagia dengan cara kami. Semasa kami mula-mula kenal saya berusia 28 tahun dan arwah suami 72 tahun.

Ketika perkahwinan pertama, saya diuji dengan kematian suami yang ketika itu menghidap penyakit berkaitan paru-paru. Perkahwinan kami bertahan selama 6 tahun dan kami sama-sama muda. Kehidupan kami agak susah dan hidup menyewa. Walau apa pun berlaku saya tak pernah jadikan kesusahan itu satu penderitaan. Saya tidak meratap, sebaliknya terus mencari kerja. Bila arwah sakit menjadi tanggungjawab saya pula untuk membantu cari rezeki. Saya bekerja dan pada masa yang sama perlu menjaganya yang terlantar sakit.
Macam-macam kerja saya buat antaranya menjadi pembantu kedai gambar. Gaji saya ketika itu hanya RM350 sebulan. Tapi saya tak kisah asalkan bekerja. Yang penting saya bekerja, setiap bulan dapat duit untuk teruskan hidup. Sedih itu memang ada, kalau nak menangis pun tidak tunjuk di rumah.

Setelah 2 tahun arwah suami pertama meninggal dunia, saya bertemu jodoh dengan suami kedua. Waktu kenal suami, saya bekerja di Dewan Bandaraya Ipoh dan pada masa yang sama buat part time di kedai gambar. Kali pertama kami kenal adalah di kedai gambar tersebut. Beberapa kali juga arwah ajak saya keluar makan.
CABARAN
Tak dinafikan pada mulanya saya terima dia hanya kerana kasihan sebab nampak kesungguhannya nak berkawan. Tapi arwah memang dah sakit waktu kami mula-mula kenal. Arwah ada penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan gout. Bila ibu dapat tahu, saya dinasihatkan agar fikir betul-betul. Ibu sebenarnya bimbang kalau hubungan kami itu hanya atas dasar kasihan. Jadi saya fikir semula kata-kata ibu itu. Dalam serba salah, saya mula jauhkan diri dan menyekat nombor telefon kerana tak mahu mempermain-mainkan perasaannya.

Namun, suatu hari ketika balik kerja tiba-tiba saya ternampak arwah di luar rumah. Arwah tanya ke mana saya menghilang? Saya terus menangis. Bayangkan umur 72 tahun datang cari kita dalam keadaan sedang sakit macam tu, kalau kita terima pun bukan sebab cinta tapi hanya sebab kasihan. Arwah cakap, “Kalau you tak ada matilah I” Sampai macam itu sekali.
PINANGAN
Arwah kata nak datang meminang dan minta persetujuan anak-anaknya. Hasrat itu saya maklumkan kepada ibu. Ibu tanya saya, betul ke? Sebab bila dah kahwin saya kena menjaganya betul-betul sebab arwah sakit. Waktu itu saya terima hanya sebab kasihan, tiada cinta.

Namun saya bersyukur anak-anak arwah boleh terima saya dengan baik. Lepas berkahwin saya berhenti kerja atas permintaan suami. Tugas saya menjaga suami termasuk menjalankan tugas seorang isteri dan membawanya ke hospital untuk rawatan. Saya juga membawanya berjumpa anak-anak yang tinggal di Kuala Lumpur dan sebagainya.
Alhamduillah kami tetap bahagia dan saya sedar rasa sayang dan cinta itu mula ada dalam diri saya. Arwah pun seorang yang sangat romantik dan penyayang. Beberapa tahun kemudian, penyakit arwah semakin kronik. Saya perlu membawanya bertemu doktor 6 bulan sekali. Setiap tahun arwah kena masuk wad.

Tahun ke-8 perkahwinan, saya buat keputusan untuk buka kedai makan. Saya minta izin dengan suami dan jelaskan niat memandangkan kesihatan suami semakin merosot. Usia saya juga makin meningkat dan ini sebagai persediaan masa depan. Jika saya tak bertindak awal, kelak saya akan susah. Apatah lagi, sepanjang perkahwinan itu saya tak pernah tanya suami apa yang saya akan dapat.
8 tahun berkorban demi suami, sampai masanya saya perlu fikir masa depan jika suami sudah tiada. Saya termenung dan berfikir jika apa-apa terjadi. Ke mana saya hendak pergi. Alhamdulillah arwah faham niat saya tetapi nak dia ada bersama saya. Ketika buka kedai makan saya upah orang untuk menjaganya di rumah. Saya bermula dengan membuka kedai makan di tepi jalan saja. Kemudian Allah SWT beri rezeki lebih, saya sewa pula sebuah kedai. Saya bawa arwah bersama dan letak di satu bilik bagi memudahkan saya memantau dan menjaganya sambil berniaga.

Masuk tahun ke-9 arwah dah mula terbaring. Dalam keadaan begitu saya terpaksa tutup kedai makan. Saya buat keputusan untuk bawa suami duduk sekali dengan keluarga saya. Di rumah ramai yang boleh bantu tengok-tengokkan arwah jika saya ada urusan di luar.
Saya buatkan sebuah troli kayu mengikut saiz badan arwah bagi memudahkan kami mengangkatnya ketika mandi. Alhamdulilah kami happy dapat menjaganya dengan cara begitu. Mungkin sebab dah niat sejak awal nak menjaganya maka Allah SWT memudahkan urusan kami.

Genap 10 tahun arwah meninggal dunia. Saya bersyukur kerana saya ada di sisinya di saat akhir. Walaupun jarak usia kami jauh tapi arwah seorang yang sangat baik. Sebab itulah pengakhirannya juga baik. Walau sedang sakit, kasih sayangnya tak pernah berkurang. Saya juga bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang sangat memahami dan supportive.
SEMAKIN TENANG & BAHAGIA
Selepas pemergian arwah, saya rasa sangat sedih terutama terkenangkan saat-saat menjaganya ketika sakit. Namun, saya tak layan kesedihan itu lama-lama sebab nak cipta bahagia sendiri. Niat saya satu saja, nak buka kedai makan semula.

Alhamdulillah kini saya bahagia dengan kehidupan sendiri, tiada lagi kata-kata negatif yang kedengaran sebelum ini. Saya dikelilingi orang-orang yang baik. Saya ambil masa 2-3 bulan untuk kembali bangkit dan kuat. Saya sertai pelbagai kursus yang bersangkut paut dengan mengurut contohnya refleksologi, spa dan sebagainya.

Bagi saya, kehilangan tidak terlalu sakit berbanding ditinggalkan. Kalau kehilangan kita akan sedih, kita sayang dia pergi. Tapi kalau ditinggalkan, derita itu mungkin lagi sakit. Percaya atau tidak, yang ditinggalkan itu lebih kuat sebenarnya kerana dia boleh tunjuk kepada bekas pasangannya itu yang dia lebih kuat dan hebat.
Usah terlalu bersedih, buktikan anda mampu teruskan hidup dan boleh pergi lebih jauh. Yakinlah Allah SWT akan berikan yang lebih baik. Jangan berhenti berdoa agar dikurniakan pasangan yang terbaik. Rajinkan diri untuk bertanya badan-badan NGO serta persatuan-persatuan wanita dan ibu tunggal untuk cari peluang membina kehidupan baru. Allah SWT sentiasa ada bersama kita, usah takut untuk bangkit. Jangan malu untuk bercerita dengan keluarga atau sahabat yang dipercayai tentang kesusahan atau penderitaan kita.


Di luar sana kebahagiaan menanti cuma dalam bentuk yang berbeza-beza. Rezeki masing-masing, jadi cipta sendiri bahagia. Buka buku baru. Kalau jumpa orang yang hebat jaga hubungan itu dengan baik. Lagi satu, jika hendak bercerita masalah kita jangan cari orang yang salah.
PERANCANGAN
Selain meneruskan bisnes mengurut, saya berniat nak tubuhkan rumah untuk warga tua. Selain itu, saya juga berimpian untuk ada billboard bisnes sendiri seterusnya berjaya pada masa depan. Saya juga nak berterima kasih kepada para pelanggan yang setia menyokong bisnes saya hingga kini. Merekalah penguat semangat saya, yang bayar gaji saya. Doakan agar bisnes saya terus maju dan makin dikenali, Insha-Allah.”

Kredit Foto: Instagram @jamiesya & Facebook Jamiesya Isa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sinonim Watak Margarita Dalam Mis 3 Hermanas, ROXANA DIAZ Jelita Di Usia 50 Kini Usahawan Automotif & Peruncitan Berjaya

Telenovela Mis 3 Hermanas (Mis Tres Hermanas) suatu ketika dahulu mencipta fenomena nya tersendiri. Pertama kali ditayangkan pada tahun 2000 menerusi saluran NTV7, telenovela dengan 150 episod dari Venezuela ini dibintangi oleh pelakon jelita dan tampan, Scarlet Ortiz dan Ricardo Alamo ternyata punya kelompok peminatnya sendiri. Mengisahkan percintaan antara Lisa dan Santiago serta kemelut perhubungan adik beradik Augusto nyata membuatkan ramai yang melekat di kaca tv, ternanti-nantikan kesudahan kisah mereka yang penuh ranjau dan duri.
Ditambah pula dengan watak antagonis, Margarita yang dibawakan cukup baik dan sempurna oleh pelakon jelita Roxana Diaz membuatkan ramai yang geram dan berapi dengan karekternya itu. Melakonkan watak kakak ipar kepada Lisa yang pentingkan diri sendiri, kejam, mata duitan dan sanggup lakukan apa saja nyata berhasil, membuatkan ramai yang membenci wataknya itu.

Kini, selepas 22 tahun telenovela popular itu ditayangkan sudah semestinya ramai merindui kelibat Roxana yang cukup terkenal dengan watak Margarita. Meninjau ke laman Instagramnya, NONA cukup teruja melihat kejelitaan Roxana yang masih lagi anggun dan jelita di usia 50 tahun. Sudah berkahwin, dan ibu kepada dua cahaya mata comel ini juga rupanya aktif dalam bidang perniagaan walaupun sudah tidak lagi berlakon.



Selain banyak menghabiskan masa bersama keluarga dan melayani kerenah anak-anaknya yang cukup comel, Roxana yang dahulunya turut popular dan sinonim dengan watak jahat menerusi telenovela El árbol De Gabriel, Que El Cielo Me Explique dan Pobre Millonaria ini kini punya rangkaian perniagaan sendiri di Venezuela.

Menerusi profil dan perkongsian di Instagramnya Roxana juga kini merupakan CEO kepada beberapa perniagaan, antaranya rangakaian peruncitan Punto Al Mayor yang menjual bahan-bahan basah dan kering dan kini mempunyai lima cawangan di Venezuela dan Republik Demonican. Selain itu, Roxana juga turut mengusahakan bengkel baik pulih dan kecantikan kereta ADV 4×4 yang memfokuskan modifikasi, pembersihan, aksesori dan lain-lain.

Isteri kepada pelakon tampan Carlos Guillermo Haydon rupanya juga pernah bertanding di dalam pertandingan ratu cantik Venezuela pada tahun 1992. Padanlah Roxana kini dilihat sentiasa tampil anggun bagai anak dara. Di samping itu, Roxana juga dilihat sering berkongsi tip kecantikan dan gaya hidup sihat bersama dengan 1.5 juta pengikutnya.

Yang pasti, ramai dari kita semua yang membesar menonton telenovela-telenovela popular terbitan Venezuela dan Mexico bersama-sama keluarga yang betul-betul mengimbas memori dulu-dulu. Rindu pula rasanya nak tonton semula telenovela-telenovela ini semua kan?
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


