Masih ingat kah lagi dengan nama model jelita dari Indonesia, Manohara Odelia Pinot yang pernah mencetus kontroversi sekitar tahun 2009 lalu apabila melarikan diri daripada suaminya, Tengku Temenggong Kelantan ketika itu, Tengku Muhammad Fakhry Petra, adik kepada Sultan Kelantan sekarang, Sultan Muhammad V. Perkahwinan Manohara berlangsung pada tahun 2008 ketika dirinya masih muda sekitar usia 16 tahun sahaja.
Kini usia Manohara sudah mencecah 27 tahun dan telah menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri, Tiga Meja Kreasi yang menumpukan kepada penerbitan majalah korporat. Selain itu Manohara juga kini bergiat aktif sebagai aktivis misi bantuan kemanusiaan di negaranya. Manohara banyak menghabiskan masanya dengan menyalurkan bantuan kepada pemuliharaan haiwan dan perlindungan hidupan liar.
Ads
Lebih membanggakan kini apabila Manohara menawarkan diri sebagai calon wakil rakyat pada pilihan raya Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia yang bakal berlangsung pada April ini. Menyingkap tentang penyertaannya dalam politik, pada tahun lalu, Manohara telah menyertai parti Nasional Demokrat (Nasdem) dan berharap dapat membuat pembaharuan kepada negaranya – “concern for animals and the environment is very much lacking”.
Ads
Manohara bakal bertanding pilihan raya di kerusi Jawa Timur 1 meliputi kawasan Surabaya-Sidoarjo atas tiket Parti Nasdem, sebuah parti yang dipengerusikan oleh Surya Paloh, pemilik syarikat Media Group yang memiliki akhbar harian Media Indonesia dan saluran televisyen, Metro TV. Wanita cantik ini telah mengangkat mantan govener DKI Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok sebagai inspirasinya untuk menyertai dunia politik.
Ads
Walaupun kini Manohara telah mempunyai teman lelaki tetapi menafikan bakal menamatkan zaman solonya dalam masa yang terdekat. Manohara juga tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia selepas insiden terdahulu dan tidak pernah merancang untuk datang semula ke Malaysia. Tambahnya bukan sebab memusuhi Malaysia tetapi mempunyai alasan yang tersendiri. Semoga Manohara Berjaya dalam pilihan raya itu nanti dan bakal melaksanakan manifesto yang diperjuangkan olehnya.
Faktor usia bukanlah halangan buat selebriti jelita, Vanidah Imran menggenggam Master. Kejayaan beliau turut sekaligus membuktikan bahawa anak seni juga berpelajaran tinggi.
Merupakan bekas naib juara Miss World Malaysia 1993, Vanidah yang mesra disapa Vee, baru saja menerima Sarjana Seni Persembahan (Drama) di Istiadat Konvokesyen ke-61 Universiti Malaya pada Mac lepas.
Beliau sebelum ini memperoleh Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dari Universiti Terbuka Malaysia (2015).
Berasal dari Pulau Pinang, kejayaan Vee yang merupakan ibu kepada Mikail dan Maryam cukup menyuntik inspirasi. Bahkan beliau turut menjadikan semangat bapanya, Haji Imran Abdullah sebagai motivasi untuk terus belajar ke tahap tertinggi.
Lebih sebak bila membaca perkongsian Vee tentang hasrat Abahnya yang tak kesampaian menggenggam Master dulu…
“Saya tujukan kejayaan ini buat cinta pertama saya, iaitu Abah saya sendiri, Haji Imran Abdullah @ Indiran Koothayan.
Abah pernah melanjutkan pengajian beliau ke peringkat Master sewaktu arwah ibu jatuh sakit dan dikesan menghidap kanser.
Ketika itu, saya baru berumur 3 tahun sementara adik baru berumur 10 bulan ketika arwah ibu meninggal dunia. Abah terpaksa bekerja sambil menjaga kami dua beradik (dengan bantuan nenek).
Dalam masa yang sama Abah sangat bersedih dengan kehilangan isteri tercinta. Akhirnya beliau tidak dapat meneruskan pengajian tersebut.
Abah, hari ini saya di sini kerana kasih sayang, restu, redha dan berkat doa Abah untuk saya. Terima kasih kerana menjadi sangat tegas tentang menjaga maruah diri dan keluarga.
Semoga Allah SWT panjangkan umur dan berikan kesihatan yang baik kepada Abah hingga akhir perjalanan saya ke peringkat PhD. InshaAllah… Amin, saya sayang Abah.
Untuk anak-anakku, Mikail dan Maryam… Kejayaan, malah hidup itu sendiri, tidak akan bermakna tanpa kehadiran kalian berdua. Hidup ibu akan sentiasa bersama anak-anak ibu, no matter how big you get.” Vanidah Imran
Siapa bilang anak seni tak mementingkan pelajaran? Kini bekas pelajar Convent Bukit Nanas itu membuktikan tanggapan negatif masyarakat silap.
Selepas melalui pelbagai halangan, kejayaan Vee menggenggam Master pastinya menjadi kenangan termanis buat pelakon, model dan pengacara terkenal itu.
Majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor pada 5 hingga 13 Mac melibatkan lebih 7,000 graduan yang menamatkan pengajian pada tahun 2021.
Selain itu beliau juga membuktikan bahawa usia bukanlah halangan untuk terus belajar ke peringkat tertinggi. Vee kini berusia 49 tahun tapi masih yakin akan kemampuan dirinya menambah ilmu pengetahuan.
Bercakap tentang rancangan masa depan, Vee yang kini masih aktif berlakon merancang untuk meneruskan pengajian beliau ke peringkat lebih tinggi sekaligus memberi manfaat kepada orang lain. Syabas!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pemain tenis nombor satu dunia, Aryna Sabalenka ini memang tinggi lampai orangnya. Difahamkan atlet kelahiran Belarus ini mempunyai ketinggian mencecah 182 sentimeter! Bersandarkan susuk tubuh tegap dan semangat juang luar biasa ketika beraksi di gelanggang tenis, tidak hairanlah Sabalenka mampu menewaskan lawan dan memenangi pelbagai kejohanan antarabangsa.
Terbaharu, sempena Laureus World Sports Awards 2026 atau lebih dikenali sebagai ‘Oscars of Sport’ yang berlangsung di Madrid pada 21 April lalu, nama Aryna Sabalenka tercatat dalam sejarah sukan dunia apabila dia mengungguli carta teratas sebagai World Sportswoman of the Year!
Pengiktirafan itu diberikan kepadanya selaku pemain tenis wanita paling konsisten selain mengekalkan kedudukan nombor satu dunia dan mempamerkan aksi memukau dalam setiap kejohanan besar.
Penampilan Aryna dalam gaun hitam berkilauan ketika menerima anugerah berprestij tersebut di atas pentas nyata menarik perhatian peminat sukan. Atlet berusia 28 tahun ini turut mengabadikan momen indah itu di media sosial miliknya.
“Wow, World Sportswoman of the Year! Ramai wanita luar biasa dalam sukan sekarang dan ia sangat bermakna bagi saya menerima pengiktirafan ini. Sejujurnya rasa tidak percaya melihat nama saya sebaris dengan atlet yang saya sanjungi sejak sekian lama.
Terima kasih Laureus Sport atas sokongan dan kepada pasukan dan tunang saya kerana sentiasa berada bersama. Saya tidak akan berada di sini tanpa anda semua.”
Aryna Sabalenka menghadiri majlis anugerah itu bersama tunangnya, Georgio Frangulis. Sabalenka pada 3 Mac lalu menerima lamaran pertunangan daripada kekasih tersayang dalam suasana penuh romantik.
Antara atlet yang turut menerima penganugerahan Laureus Sport termasuklah pemain tenis lelaki nombor satu dunia, Carlos Alcaraz.
Menelusuri latar belakang Aryna atau nama penuhnya Aryna Siarhiejeuna Sabalenka, anak kepada pasangan Sergey Sabalenka dan Yulia Sabalenka ini dilahirkan pada 5 Mei 1998 di Minsk, Belarus.
Mendiang bapanya merupakan atlet hoki ais berjaya dan ternyata Aryna mewarisi bakat bapa tersayang. Dia dilaporkan pernah mengalami kemurungan setelah hilang sosok bapa selepas Sergey meninggal dunia pada tahun 2019 ketika berusia 43 tahun akibat meningitis.
Nama Aryna mula bersinar selepas dia mencatat kejayaan Grand Slam pertamanya apabila berjaya mengungguli Australia Open 2023 pada Januari 2024.
Dalam pertarungan itu, dia menewaskan juara Wimbledon iaitu Elena Rybakina. Sekaligus membawa pulang wang kemenangan mencecah USD 2 juta!
Dia mula bermain tenis pada usia 14 tahun dan menceburi sukan berprestij ini secara profesional pada tahun 2015. Memetik laporan The Sports Lite, kekayaan diraih Aryna pada tahun 2023 mencecah USD 9 juta.
Walau tidak mempunyai gaji standard tapi Aryna meraih pendapatan hasil karier profesionalnya dan tajaan hingga boleh meraih USD 1.5 juta setahun. Sehingga hujung tahun 2025, Forbes menganggarkan kekayaan Aryna Sabalenka adalah sekitar USD20 juta hingga USD22 juta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Figura bapa disifatkan sebagai seorang hero kepada anak-anaknya. Lelaki yang menjadi pelindung dan membuatkan si anak rasa selamat di sisinya. Tular di media sosial baru-baru ini apabila wajah Timbalan PM, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan sedikit berbeza apabila muncul di kaca TV menerusi Buletin Utama, menyaksikan mata beliau yang kelihatan sedikit bengkak dan lebam.
Malah dalam posting Instagram milik Timbalan Perdana Menteri itu 2 minggu lalu, beliau lebih banyak mengenakan kaca mata hitam. Tidak gelabah dengan spekulasi yang dilemparkan, anak sulungnya Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dengan tenang tampil menjelaskan bapanya mengalami kerosakan saraf optik dan memerlukan pembedahan.
“Saraf mata dia tak function (berfungsi). Sebab tu mata dia jadi ‘jatuh’. Buat muka buat apa, bukan super star pun. Kalau sampai mudarat sebab saraf mata, kena la buat sesuatu. Tapi biasalah orang lagi seronok fitnah daripada tahu perkara sebenar,” tulisnya membalas komen netizen di Instagram.
Bukan itu sahaja, Nurulhidayah menjelaskan bahawa sebagai ahli politik, ayahnya perlu kuatkan semangat dan tetap bertugas demi rakyat dan negara walaupun sakit kerana ayahnya memikul satu tanggungjawab besar yang diamanahkan.
Nurulhidayah berkata bapanya masih dalam proses pemulihan dan tidak berehat lama selepas pembedahan mata. Pada 22 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan Zahid bercuti selama dua minggu.
Nona bertandang ke kediaman Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid atau Datuk Nurul pada awal Mei lalu sambil ditemani bapanya secara eksklusif, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tiada kasih sayang yang lebih besar daripada kasih sayang ibu bapa terhadap permata sulungnya. Anak pertama yang mendidik kita erti keluarga bahagia dan menjadi harapan menjaga adik-beradik yang lain. Selain ibu dan isteri, anak perempuan sulung juga cinta hati sebenar seorang insan bergelar bapa.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bukan mudah untuk mengatur temu janji apatah lagi dengan kepadatan jadual beliau dalam pelbagai urusan pentadbiran negara.
Namun demi memenuhi permintaan Nona yang ingin mendekati keperibadian Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang bapa, segalanya bagai dipermudahkan. Keluar daripada limelight sebagai ahli politik, NONA menyelami kasih sayang seorang bapa dalam diri pemimpin nombor dua negara ini.
KEPADATAN JADUAL
Pada usia menjangkau 70 tahun, Dato’ Seri Ahmad Zahid jujur mengakui sukar membahagikan masa untuk keluarga terutama sekali sebagai bapa untuk anak-anak tersayang.
“Sejak 1 Oktober 1987, saya akui berlaku ketidakadilan untuk anak-anak sepanjang saya bergiat aktif dalam politik secara sepenuh masa. Ketika itu saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan.
Tapi Alhamdulillah isteri, anak-anak dan cucu-cucu faham. Yang penting, sebagai seorang bapa dan datuk, saya perlu bijak bahagikan masa untuk mereka. Mungkin masa tidak panjang, tapi saya manfaatkan masa tersebut sebaik mungkin bersama-sama,” ujar Dato’ Seri Ahmad Zahid memulakan bicara.
Kata bapa kepada 5 cahaya mata itu lagi, keperibadian dirinya banyak dipengaruhi oleh bapa tersayang, Raden Hamidi Abdul Fatah yang menjadi role model kehidupannya.
“Tak seperti anak-anak lain yang dapat selalu berjumpa bapa setiap hari, saya pula kurang bernasib baik. Sebaik menamatkan persekolahan darjah enam, saya ‘melangkah keluar rumah’ untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah dan seterusnya sehingga menamatkan pengajian di universiti. Tetapi arwah bapa merupakan seorang guru agama yang tegas dalam mendidik anak-anak. Dalam ketegasan itu, penuh sifat kasih sayang.
Saya masih ingat kenangan ketika ‘mengubah suai’ motor yang beliau gunakan untuk pergi mengajar. Tanpa background mekanikal, saya dan adik overhaul motor tersebut.
Bila arwah tahu, kami kena marah tapi itulah momen yang tak boleh saya lupakan,” imbau beliau sambil tersenyum mengingati momen bersama bapanya yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun, 9 tahun yang lalu.
PANGLIMA KELUARGA
Sering dilabel sebagai individu lantang di media sosial, sosok Datuk Nurul Zahid sememangnya menjadi sebutan apabila timbul isu berkait dengan bapanya. Melihat keakraban dua beranak ini sepanjang sesi fotografi berlangsung, tidak hairanlah mengapa kedua-duanya mempunyai bonding yang kuat dan menyokong antara satu sama lain.
Melihat kesibukan jadual tugas sang bapa, Datuk Nurul Zahid mempunyai pandangannya tersendiri. Beliau menyifatkan sudah menjadi lumrah seorang bapa untuk mencari rezeki untuk keluarga. Justeru, wanita hebat ini cukup mengagumi pengorbanan lelaki bergelar bapa di mana-mana sahaja.
“Sebenarnya Abah selalu berlaku adil pada kami. Kalau bukan ahli politik pun, Abah tetap akan sibuk dengan kerjaya. Jadi sebagai ‘panglima’ keluarga, saya akan ke depan untuk menjaga air muka dan maruah keluarga kami. Saya ambil pendekatan saya sendiri yang lebih mengetahui tentang keluarga serta tak endah dengan kata-kata orang,” akui Datuk Nurul Zahid tanpa berselindung.
Ketika ditanya tentang penglibatan anak perempuan sendiri dalam dunia politik, sebagai seorang bapa, Dato’ Seri Ahmad Zahid mempunyai pandangan yang tersendiri.
“Saya tak galakkan Nurul masuk politik, tapi tak juga melarang. Malah saya juga selalu melarang dia daripada bersusah-payah mempertahankan diri saya. Biarkan masyarakat melihat realiti sebenar. Bagi saya, yang penting realiti politik yang sangat dinamik dan tiada batas sempadan. Kebebasan media perlu ada etika,” tutur si bapa sambil melirik anak kesayangan yang mesra disapa Kak Long dalam keluarga itu.
Tambah Dato’ Seri lagi, sempena Aidilfitri lalu, ramai yang datang memohon maaf pada beliau secara terbuka, mungkin kerana terlajak mengatanya secara terang-terangan tanpa perasaan.
“Maka sempena sambutan Aidiladha ini, saya maafkan semua. Asalkan tak buat lagi,” pinta Dato’ Seri Ahmad Zahid yang turut mengambil pendekatan memaafkan lebih besar ertinya dalam kehidupan.
Ketika ditanya mengenai perangai mereka yang saling mempengaruhi satu sama lain, dua beranak ini rupa-rupanya mempunyai persepsi yang tulus mengenai perwatakan yang banyak mempengaruhi keperibadian keluarga ini.
“Minda dan sikap saya on & off… Saya tak suka bawa masalah politik balik ke rumah dan sebaliknya. Alhamdulillah saya dapat tidur dengan lena. Saya tak fikirkan masalah,” ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid.
“Pada pandangan saya pula, Abah merupakan seorang yang pandai reset perasaan. Dia sangat profesional terutamanya dari segi emosi. Saya juga banyak mengikut cara Abah dari segi priority hidup. Utamakan apa yang penting dalam kehidupan iaitu mak, abah, suami dan keluarga,” balas Datuk Nurul Zahid.
Generasi berganti, harapan Datuk Nurul Zahid sebagai seorang anak ini mencuit perasaan.
“Abah sudah menjangkau usia 70 tahun. Kalau boleh saya nak Abah hidup tenang dan habiskan sisa hidupnya di samping anak-anak. Kami adik-beradik boleh berbakti untuk Mak dan Abah.
Seandainya Allah bagi ujian Mak atau Abah sakit, saya sendiri akan berkorban menjaga mereka hingga ke akhir hayat. Sebab bagi saya, tak guna jika kita ada harta di dunia tapi tak boleh berbakti dan beri kasih sayang pada ibu bapa.
Saya tahu dari segi harta, Abah boleh cari sendiri. Apa sahaja Abah dan Mak boleh cari sendiri. Tapi kasih sayang anak memang Abah dan Mak tak boleh cari di mana-mana. Dan saya juga tak boleh dapat Abah atau Mak seperti itu kerana mereka tiada galang gantinya,” akhiri Datuk Nurul Zahid seraya mengakhiri perbualan.
Hipertensi digelar silent killer kerana boleh merosakkan jantung, salur darah dan buah pinggang tanpa simptom jelas. Ketahui bahaya, punca dan cara mencegah tekanan darah tinggi sempena Hari Hipertensi Sedunia 2026.