
Sekalung tahniah diucapkan kepada Mohd Al-Jufferi Jamari atas pengurniaan Darjah Kebesaran Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 1 Ogos lalu. Dalam istiadat itu, bekas jaguh silat negara berkenaan menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’!
Jufferi Jamari Kini Bergelar Dato’


Dato’ Jufferi Jamari tampil segak mengenakan persalinan Baju Melayu rona hitam lengkap bersamping songket ketika menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz pada Sabtu lepas.
Turut hadir menemaninya ialah isteri tercinta, Nurul Farhana Abdul Majid yang anggun berbaju kurung dan berselendang.
Menerusi perkongsian di media sosial, Dato’ Jufferi memuat naik momen indah menerima pingat kebesaran tersebut sambil menzahirkan rasa kesyukuran.

Ujarnya, “Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT Yang Maha Esa dan Yang Maha Kuasa atas nikmat yang telah saya peroleh pada hari yang sangat bermakna ini.
Menjunjung Kurnia Tuanku. Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan untuk mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) kepada patik.”
Tambah Dato’ Jufferi Jamari lagi, “Anugerah yang telah diberikan ini akan patik junjung dan laksanakan seperti mana yang telah Tuanku amanahkan. Patik mendoakan agar Tuanku sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah oleh Allah SWT serta dianugerahi kesihatan dan kedaulatan yang berpanjangan. Aamiin. Daulat Tuanku, Dirgahayu Tuanku.”
Jasa Jufferi Jamari Dalam Bidang Persilatan


Menelusuri latar belakang Dato’ Jufferi Jamari, figura berusia 34 tahun ini merupakan anak jati kelahiran Pahang dan kini mengusahakan Al Jufferi Silat Academy.
Beliau dilaporkan hampir dua dekad berkecimpung dalam arena persilatan dan merangkul empat pingat emas Sukan SEA sepanjang pembabitannya sebagai atlet. Dato’ Jufferi mengumumkan persaraan daripada bidang sukan pada tahun 2022.
Terdahulu, pesilat negara ini dianugerahkan Nona Superhero Award 2023 menerusi kategori Nona Men’s Active Award.
View this post on Instagram
Dalam temu bual bersama Nona, Dato’ Jufferi Jamari mendedahkan pada awalnya beliau menceburi sukan renang namun mengalami kecederaan lutut ketika usia tujuh tahun seterusnya beralih kepada sukan silat.
“Silat bukannya minat. Arwah ayah Jamari Dirun merupakan cikgu silat dan saya sambung legasinya. Dari situ terus datang minat yang luar biasa.”
Dato’ Jufferi berkahwin dengan Nurul Farhana yang juga bekas pesilat. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





