Statistik menunjukkan bahawa kadar kehamilan di kalangan pasangan di Malaysia telah merosot semenjak beberapa tahun ini. Fenomena ini sebenarnya turut berlaku di seluruh dunia kerana terdapat peningkatan masalah fertiliti.

IKLAN

Pasangan yang mengalami masalah ini hendaklah berjumpa dengan doktor sekiranya;

  • Bagi wanita yang berumur 35 tahun ke bawah bolehlah menunggu sekurang-kurangnya 1 tahun selepas mencuba.
  • Bagi wanita yang berumur 35-39 tahun boleh menunggu 6 bulan selepas mencuba.
  • Bagi wanita 40 tahun dan ke atas perlu berjumpa doktor secepat mungkin untuk nasihat selanjutnya.
  • Wanita yang mempunyai kitaran haid yang tidak teratur atau menghidapi masalah perubatan seperti endometriosis atau polycystic ovarian syndrome bolehlah berjumpa dengan doktor untuk berbincang secepat mungkin.

Sekiranya anda tidak mempunyai kriteria seperti di atas tetapi merasa risau, usahlah bimbang, anda juga boleh berjumpa dengan doktor untuk berbincang.

Merancang kehamilan bukan seperti rancangan lain di dalam kehidupan seperti merancang untuk pergi bercuti, mendapatkan ijazah ataupun mendapat pekerjaan yang diidamkan. Walaupun langkah-langkah boleh diambil untuk meningkatkan kesuburan anda, kadangkala ia mungkin tidak mengikut perancangan yang sepatutnya.

Pastikan anda dan pasangan cuba untuk berusaha sebaik-baiknya. Jalani rawatan mengikut nasihat doktor sekiranya perlu.

Usah melengah-lengahkan waktu terutama bagi kaum wanita kerana kadar kesuburan boleh menurun semakin usia meningkat. Bagi yang mempunyai masalah kesuburan adalah diharapkan agar di akhir perjalanan fertiliti, masing-masing telah dapat menimang zuriat yang ditunggu-tunggu.

5 Makanan Untuk Meningkatkan Kesuburan

(1) Beri terutamanya beri biru dan raspberi. Kumpulan beri ini adalah sumber antioksidan yang penting untuk kualiti sperma dan telur.

(2) Pisang. Ini adalah sumber vitamin B6. Kekurangan vitamin B6 boleh menyebabkan haid tidak teratur dan perkembangan telur serta sperma yang tidak elok.

(3) Walnat kaya dengan Omega-3 yang penting untuk pembentukan sperma yang berkualiti. Ia juga boleh mengurangkan inflamasi di dalam badan.

(4) Kacang hazel mempunyai kandungan Vitamin E yang tinggi yang diperlukan untuk telur dan sperma yang elok. Ianya membantu menstabilkan paras gula dalam darah dan juga mengurangkan hormon insulin tinggi yang kerap dilihat di dalam wanita yang menghidapi PCOS.

(5) Buah sitrus seperti oren dan kiwi mengandungi Vitamin C yang tinggi. Setiap hari kita memerlukan sekurang-kurangnya 1000mg Vitamin C untuk kesihatan sperma dan juga memastikan hormon seimbang di dalam wanita. Hamizatul Maizan Mohamed