
Mendapat gelaran sebagai Taj Mahal, Masjid Nabawi dan Masjid Kerajaan Uthmaniyah, Masjid Sri Sendayan yang terletak di Bandar Sri Sendayan, menjadi antara tarikan di Negeri Sembilan.
Masjid yang dibina pada tahun 2015 melalui konsep wakaf itu mampu memuatkan sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa, sekali gus menjadi masjid terbesar di Negeri Sembilan.
Masjid yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Seremban itu baru-baru ini menerima kunjungan istimewa dari KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Turut berangkat, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.
Untuk info, masjid tersebut diwakafkan oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abd Rashid Hussain dan isteri, Puan Sri Hani Yang Mohd. Yatim. Ini merupakan masjid kedua diwakafkan oleh Abd Rashid selepas Masjid Hussain atau lebih dikenali sebagai Masjid Putih di Seremban 2 yang dibina dengan kos RM22.6 juta pada tahun 2012.
Tarikan utama Masjid Sri Sendayan yang dibina dengan kos lebih RM100 juta itu adalah hasil seni dan arkitek yang dibawa hampir sepenuhnya dari luar negara seperti Mesir, Turki, Dubai, Maghribi dan China.
Kebanyakan seni bina itu ditempah khas termasuk ukiran kayu pada dinding di dewan solat, penggunaan saduran berwarna emas, tulisan khat serta penggunaan bongkah jubin sebagai dinding berhampiran mimbar.
Masjid itu terletak di kawasan berkeluasan 4.5 hektar dan mempunyai tiga dewan solat iaitu dewan solat utama yang mampu memuatkan seramai 3,000 jemaah, dewan solat kedua (800 jemaah) dan dewan solat wanita (800 jemaah).
Selain itu , masjid itu turut dilengkapi dengan bilik kuliah, perpustakaan, dewan serba guna, bilik pengurusan jenazah, bangunan pentadbiran, dewan makan, enam unit rumah sebagai kediaman petugas masjid.
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Masjid Sri Sendayan, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, semalam. Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 6.30 petang disambut oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abd. Rashid Hussain.
Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa melihat keindahan seni bina masjid sebelum menunaikan solat maghrib, diimamkan oleh Imam Besar Masjid Sri Sendayan Ustaz Mohd. Nazri Abu Zarim.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menunaikan solat isyak, diimamkan oleh Imam 3 Masjid Sri Sendayan Sheikh Mohamed Abdelnaby.
Berniaga 3 Bulan Dah Raih Jualan RM1 Juta, Dari Dunia Kejuruteraan Kini Nurul Adlinna Usahawan Kecantikan Sukses!

Allah adalah sebaik-baik perancang. Biarpun Nurul Adlinna Mohd Bakri mempunyai kelulusan Kejuruteraan Mekanikal tetapi takdir Tuhan telah membawa anak kelahiran Rawang, Selangor ini jauh menempa kejayaan dalam bidang keusahawanan.
Tidak menyangka dunia perniagaan membuka pintu rezeki yang luas buat dirinya, wanita berfikiran optimis ini bagaimana pun enggan mensia-siakan ilmu kejuruteraan yang diperoleh begitu sahaja. Sebaliknya memanfaatkan pengetahuan tersebut untuk kegunaan firma perniagaan yang diusahakan hari ini.
Ternyata gabungan minat berniaga sejak kecil dan kecintaan wanita berusia 37 tahun ini terhadap dunia kecantikan serta inovasi menjadi kelebihan untuk beliau berdiri teguh dan berdaya saing dalam industri. Hasilnya, Nurul Adlinna atau mesra disapa Kak Lin kini pencetus revolusi bidang kecantikan menerusi jenama Bartech Beautee.
“Kalau ikutkan bidang kejuruteraan dengan kecantikan ini memang jauh sangat. Tapi sebab naluri seorang wanita yang suka benda cantik, saya tertarik untuk ambil jurusan beautician masa masih belajar dulu.
Tambahan pula, saya ialah orang yang sukakan inovasi dan akan innovate sesuatu benda itu jadi benda baharu. Misalnya kalau orang buat produk, saya juga hasilkan tapi dengan cara dan kreativiti sendiri,” ujarnya memulakan bicara.
PENGALAMAN NURUL ADLINNA BAKRI
Jelas Pengasas Bartech Beautee ini, beliau mendapat pendedahan awal mengenai bidang perniagaan daripada bapa tersayang yang juga usahawan automatif dan mempunyai latar belakang kejuruteraan.
“Sebelum ada bisnes sendiri, saya mula bantu ayah di syarikatnya yang menguruskan trading and supply barang-barang kereta kepada pembekal kenderaan di Perodua, Naza, Honda, Proton dan banyak lagi. Kami juga ada kilang sendiri untuk buat auto parts kereta.
Semasa masih belajar di universiti, saya pernah kerja separuh masa di kedai serbaneka untuk kumpul duit. Habis saja belajar, saya kerja sebagai beautician. Kemudian jadi ejen insuran dan pelaburan. Dari situ saya belajar cara berkomunikasi dengan klien dan budaya orang berniaga.
Tak lama lepas itu, ayah minta saya kerja balik dengannya. Sambil kerja di syarikat ayah dan semangat berkobar-kobar nak berniaga, saya dalam masa sama jadi reseller barangan pakaian, fesyen dan kosmetik termasuklah food and beverages (F&B). Asalnya sekadar suka-suka saja sebab nak dapat extra income,” dedah Kak Lin yang memiliki pengalaman berniaga selama 15 tahun.
BARTECH BEAUTEE
Mengulas mengenai Bartech Beautee, jenama ini secara rasminya berada di pasaran pada tahun 2023. “Pada tahun 2019, suami saya menjalankan bisnes kecergasan yang dinamakan Bartech Fitness. Waktu itu, saya urus bahagian jualan dan operasi. Nak dijadikan cerita, satu hari suami beli energy bar berperisa dan saya makan.
Disebabkan saya suka inovasi, saya buat R&D cara hasilkan energy bar versi sendiri. Tak terfikir nak jual pun. Selepas dua ke tiga kali R&D barulah jadi seperti yang saya inginkan dan tak sangka laris terjual beribu-ribu unit setiap hari.
Nama Bartech itu sebenarnya berasal daripada ‘Bar’ yang merujuk ‘Energy Bar’ ciptaan kami. Manakala ‘Tech’ pula singkatan daripada perkataan ‘Technology’ sebab saya dan suami masing-masing dari bidang engineering. Memandangkan masa itu tak ada idea lagi nak letak nama apa untuk bisnes kecantikan saya, maka lahirlah jenama Bartech Beautee.”
Tambah Nurul Adlinna Mohd Bakri lagi, idea menghasilkan produk kecantikan berkenaan tercetus selepas anak perempuannya berusia 13 tahun berdepan insiden di sekolah.
“Selepas PKP tahun 2022, saya dan anak perempuan sulung ada sesi meet and greet dengan guru dan ibu bapa di sekolah. Dulu kami duduk di Kajang dan kemudian pindah ke Rawang. Jadi, anak saya kena tempuh persekitaran baru dan tak ada kawan lagi.
Sampai saja di sekolah, kawan-kawan baru ini pelik tengok beza kulit anak dengan saya. Mereka cakap, “Kenapa kau hitam? Mak kau tak hitam pun.” Tak sangka, anak saya ambil serius kata-kata itu dan berubah kelakuan daripada seorang yang ceria dan suka berkawan terus jadi pendiam dan suka menyendiri.
Sejak peristiwa itu dia mula hantar link produk-produk supplemen kecantikan yang dijual di TikTok dekat saya sebab nak cantik. Sampaikan mahu berniaga online sebab nak duit beli produk tersebut. Bila tengok keadaan anak yang terdesak macam itu, saya pergi jumpa seorang chemist yang saya kenal waktu jual produk mak saya dulu untuk buat produk kecantikan khas buat anak.
Kami hasilkan dengan beberapa bahan untuk dapatkan formulasi terbaik. Lepas saya pakai dan dijamin selamat, baru saya beri dekat anak. Hampir sebulan dia pakai barulah nampak kesan dan kawan-kawan mula perasan perubahan kulit anak saya makin cerah,” jelasnya panjang lebar.
Bermula dengan hanya untuk kegunaan anak, Kak Lin akhirnya mengambil keputusan memasarkan produk tersebut ekoran permintaan tinggi daripada pelajar dan guru di sekolah.
CABARAN
Dek sambutan hangat yang diterima, Kak Lin selaku Chief Business Officer (CBO) ligat merancang strategi pemasaran dengan mengaktifkan akaun di TikTok kerana berpandangan pasti ada generasi sebaya anak-anaknya yang berdepan masalah sama.
Percaturan ibu kepada empat cahaya mata ini nyata membuahkan hasil apabila produk Bartech Beautee mendapat tempat di hati pengguna dalam tempoh singkat.
“Bila dah viral, ketika itulah kami berdepan macam-macam cabaran. Salah satunya kecaman netizen yang terlalu negatif hinggakan ada yang kata produk kami ini tak selamat. Bagi saya, inilah asam garam dunia perniagaan. Satu proses yang terpaksa kami lalui sebelum produk kami berkembang.
Jujurnya, saya melihat komen sedemikian dari sudut positif untuk kami lebih improved. Kecaman daripada mereka kami ambil dan hormat. Secara tak langsung buka ruang dan peluang untuk kami perbaiki sebelum jadi lebih baik. Itulah salah satu cabaran besar bila saya masuk dalam industri ini. Walau baru setahun tapi rasa macam dah 10 tahun,” ucapnya sambil tertawa.
Ditanya sama ada produk Bartech Beautee menjadi mangsa eksploitasi dan tiruan pihak tidak bertanggungjawab, ini jawapan jujur Kak Lin. “Sudah tentu, lagi-lagi saat kami belum buat trademark. Jadi senang sangat untuk mereka tiru. Saya sedar bila produk ditiru, ia sedikit sebanyak membantu menaikkan lagi jenama kami. Ibarat macam free publicity.
Maksudnya, brand trust itu dah ada bila orang mula meniru. Kalau jenama kita sendu, mana mungkin orang nak tiru. Alhamdulillah, sekarang kami dah registered Bartech Beautee dan ada trademark. Kalau ada yang meniru lagi selepas ini, kami boleh atasi secara profesional.”
Setakat ini terdapat dua rangkaian produk Bartech Beautee di pasaran iaitu Whitening Gel 20 mililiter (ml) untuk kegunaan wajah dan Whitening Cream 20 gram serta 100 gram bagi kegunaan pencerahan wajah dan badan.
JUALAN
Sungguhpun menerima permintaan memberangsangkan daripada pelanggan pada awal perniagaan namun demi mengurangkan risiko kerugian, usahawan berjiwa cekal ini nekad mengambil tempahan secara pra pesanan atau pre order.
“Kami bermula dengan jualan di TikTok dan tak sangka dalam tempoh tiga bulan saja dah cecah RM1 juta! Memang terperanjat sebab kami letak sasaran RM1 juta dalam masa setahun. Itu pun kami ragu-ragu sama ada dapat capai sasaran tersebut atau tidak. Tapi Allah adalah sebaik-baik Pemberi Rezeki.
Dari satu juta pertama itu kami susun strategi dan pasang impian. Bukan saya saja tapi satu team bertungkus-lumus dan bersengkang mata untuk capai target tersebut. Sekarang kami boleh achieved sampai tujuh ke lapan angka. Alhamdulillah.
Tak sangka Bartech Beautee melonjak dengan sangat drastik. Lebih utama, saya dapat bantu team kejar impian mereka. Apabila ada perancangan yang rapi dan delegate task kepada team dengan baik, saya percaya kami boleh capai jualan sampai 10 angka.”
Tidak sekadar mempromosikan Bartech Beautee di platform TikTok dan mempunyai puluhan ribu entiti niaga menerusi sistem Affiliate Marketing, Kak Lin turut memperluas jualan dengan menggunakan platform e-dagang seperti Shopee.
“Tak dinafikan, timbul rasa bimbang kalau saya selaku pemilik tak mampu lagi pertahankan bisnes ini satu hari nanti. Iyalah, produk kami naik dengan begitu cepat. Tak mustahil boleh jatuh dalam sekelip mata.
It’s not easy to sustain. Apatah lagi produk viral. InshaAllah, kami merancang misi yang besar untuk tahun 2025-2026 kelak,” ulas peneraju Bartech Beautee berkenaan yang disokong oleh 12 orang kakitangan.
PENGORBANAN
Di sebalik kesenangan dan kejayaan yang dinikmati hari ini, ada kisah duka yang tersimpan kemas di sanubari Kak Lin. Tidak bermaksud mahu membangga diri jauh sekali meraih simpati, isteri kepada Shaharuddin Abdul Karim ini tegas menekankan bahawa perkongsian yang dibuat adalah demi memberi iktibar dan menyuntik inspirasi.
Bergenang air mata figura hebat ini tatkala diaju persoalan mengenai detik terendah dalam hidup yang pernah dialami. Sambil menahan sebak, Kak Lin membuka rahsia.
“Betul, tak mudah untuk sampai ke tahap sekarang. Impian saya sebenarnya mahu jadi suri rumah yang uruskan keluarga dan berniaga kecil-kecilan saja. Saya pernah cakap dengan suami, kalau saya aktif bisnes ada benda yang terpaksa saya korbankan iaitu masa.
Jadi usahawan memang penat. Tambahan pula saya menghidap asma sejak usia lima tahun. Boleh dikatakan inhaler itulah best friend yang saya bawa ke mana saja. Masa buat live pun, asyik dengan pam inhaler sebab cepat rasa penat.
Saya mudah diserang asma bila tak cukup rehat. Kalau tidur, saya rasa macam ruginya. Banyak benda boleh buat. Tapi fikirkan tanggungjawab sebagai majikan untuk jaga staf, saya kuatkan semangat. Apa yang saya dapat sekarang ini pun berkat doa suami, anak-anak dan orang sekeliling.”
Puas menahan tangis, air mata Nurul Adlinna akhirnya jatuh berjuraian apabila mengenang kegagalan rumah tangga dek kerana kesibukan membina empayar niaga.
“Ini merupakan perkahwinan kedua saya. Dalam perkahwinan dulu saya rasa sangat sengsara dengar kata-kata cemuhan orang terdekat yang memperkecil kemampuan saya untuk jadi usahawan berjaya. Kata mereka, saya hanya boleh jadi pekerja terbaik tapi bukan usahawan berjaya sebab saya tak pandai berniaga.
Tiada sekelumit pun rasa benci atau dendam. Saya ambil kata-kata itu sebagai satu perkara positif dan buktikan mereka silap. Kesenangan yang kita tunjuk kepada orang hari ini bukan sebab hendak riak tapi itu sebenarnya satu kepuasan. Mujur saya ada team yang sentiasa menyokong dan suami yang setia menjadi tulang belakang. Bagi saya, success is the best revenge!”
INSPIRASI
Dalam keterujaan memajukan syarikat dan membantu pekerja serta anak didik di bawah jagaannya mendapat kehidupan lebih baik, Nurul Adlinna sentiasa meletakkan Allah SWT di kedudukan teratas untuk menggapai matlamat tersebut.
“Saya sudah ada semua yang saya mahukan dalam hidup. Sekarang adalah masa untuk saya bagi manfaat kepada orang lain pula. Kerja yang kita buat ini ialah ibadah. Berdosa kalau saya abaikan pekerja. Untuk itu, saya akan pastikan mereka dapat hidup lebih baik daripada saya.
Kepada wanita sama ada ibu berkerjaya atau pun tidak dan mereka yang bergelar ibu tunggal, bangkitlah sebab saya juga pernah jadi single mom. Hendak berjaya dalam hidup, kita kena fokus dan jelas dengan apa yang kita nak buat.
Kita juga kena ada energy. Jangan bersedih terlalu lama takut-takut nanti kemurungan. Tak perlu salahkan orang lain. Kita mampu kawal emosi dan diri kita sendiri. Kalau stress, nak menangis dalam bilik air, pergi karaoke atau menari, buatlah!
Bila dah lega, kembali dengan misi. Mana yang boleh datangkan manfaat kepada kita, teruskan buat yang terbaik. Akhir sekali, tawakal dan berdoa. Apa saja yang kita buat kena bersungguh-sungguh ibarat seperti esok kita mati,” pesannya bersungguh-sungguh.
Semoga segala kebaikan dan jerit-perih Nurul Adlinna Mohd Bakri mengusahakan perniagaan dengan niat untuk membantu lebih ramai orang keluar daripada kepompong kesusahan mendapat keberkatan serta perkenan dari-Nya.
Kembali Langsing Lepas Bersalin, Jutawan Tenis MARIA SHARAPOVA Teruja Galas Tugas Ibu!

Kagum dengan kesungguhan bekas pemain tenis dunia, Maria Sharapova jaga penampilan. Selamat melahirkan anak sulung pada Julai lepas, juara Glam Slam lima kali tersebut tidak mengambil masa lama untuk kembali mendapatkan bentuk tubuh asal sebelum hamil. Hebat!
Maria dan tunangnya yang juga merupakan pengasas Paddle8 mengumumkan kehadiran cahaya mata sulung di Instagram masing-masing pada pertengahan Julai lepas. Pasangan tersebut juga sepakat menamakan bayi lelaki mereka dengan nama Theodore.
Berkongsi foto dirinya di samping tunang tersayang sambil menatap wajah cahaya mata kesayangan, Maria yang juga usahawan memberitahu, “The most beautiful, challenging and rewarding gift our little family could ask for.”



Berita kehamilan Maria mula mendapat perhatian peminat dunia tenis apabila bintang ini mendedahkan kehamilannya ketika ulang tahun kelahiran ke-35 pada April lepas.
Berkongsi kapsyen menggunakan nombor Roman Vll.l.MMXXll dalam foto anaknya seolah-olah memberi bayangan mengenai tarikh lahir bayi tersebut pada 1 Julai lalu.






Maria bersara daripada profesion tenis pada Februari 2020 selepas berjaya mencatatkan 36 kejuaraan Hologic WTA Tour, Roland Garros sebanyak dua kali selain memenangi acara besar lain seperti Australian Open, Wimbledon dan US Open.
Usahawan Sugarpova ini dikhabarkan bertunang dengan Alexander Gilkes pada Disember 2020 selepas dua tahun bercinta. Mereka bagaimana pun belum sempat melangsungkan perkahwinan kerana situasi pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak lebih dua tahun lalu.
Duduk Bersimpuh Ziarah Bayi Kembar Kematian Ibu, Penampilan CHE PUAN SOFIE Tarik Perhatian!

Hujung minggu lalu, Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra dan isteri, Yang Bahagia Che Puan Sofie Louise Johansson berkenan berangkat ke Jajahan Tumpat, Kelantan.
Anggun dan segak mengenakan persalinan sedondon rona krim, keberangkatan tiba baginda dimulai di Kediaman Rasmi Ketua Jajahan Tumpat dan disambut Ketua Jajahan dan isteri, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II dan isteri, Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan NGO Kelantan, Dato’ Kaya Setia Setiausaha Kerajaan Kelantan dan isteri, Pengelola Istana D’Raja Kelantan dan isteri, pegawai-pegawai serta kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.
Sebelum membuat lawatan seterusnya, baginda tuanku dan isteri turut diberi taklimat ringkas berkaitan perkembangan dan situasi semasa di Jajahan Tumpat oleh Ketua Jajahan, Timbalan Ketua Polis Tumpat dan Timbalan Pengarah Hospital Tumpat. Dalam pada itu, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra juga diraikan dengan Santapan Tengahari.
Usai bersantap, baginda tuanku berkenan berangkat ke kediaman Syazwan Najmi iaitu salah seorang rakyat Kelantan berusia 23 tahun yang menetap di Kampung Pak Keral, Tumpat. Kehidupan pemuda ini telah menarik perhatian baginda selepas kisah kematian isteri tercinta, Siti Nur Nasuha Safie kira-kira lima bulan lalu kerana mengalami komplikasi jangkitan kuman ketika melahirkan anak perempuan kembar pada 31 Mac lepas.
Difahamkan Syazwan menamakan bayi kembar mereka Medina Safiya dan Medina Sofiya sempena menunaikan hasrat arwah isterinya yang mahukan nama tersebut.
Namun, paling menarik perhatian rakyat adalah penampilan Che Puan Sofie yang sopan berbaju tradisi sambil duduk bersimpuh di atas lantai. Meskipun baru mendalami budaya masyarakat Melayu tetapi Che Puan Sofie yang dilahirkan di Sweden kelihatan tidak kekok berbuat demikian dan manis berselendang.
Berpeluang mendukung kedua-dua bayi comel ini, Dr Tengku Muhammad Fa-iz dan Che Puan Sofie turut menzahirkan kesedihan atas pemergian Siti Nur Nasuha di samping menyampaikan ucapan takziah dan mendoakan agar roh isteri Syazwan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beramal soleh. Sebelum berangkat pulang, baginda berdua berkenan meneruskan lawatan ke kilang memproses serunding di Tumpat.