Biarpun ada kekurangan tetapi gadis ini dikurniakan satu kelebihan yang cukup luar biasa. Matanya buta namun hatinya ‘celik’ Al-Quran. MasyaAllah!
Aisya Humairah Mohd Sharizal, anak kepada pasangan jurutera dan suri rumah ini baru berusia 13 tahun. Biarpun cacat penglihatan, dia seorang yang sangat cintakan Al-Quran.
Meskipun hidup dalam ‘dunia gelap’ ia bukan penghalang bagi Aisya Humairah untuk sentiasa mendalami kalamullah.
Malah, anak kedua daripada empat adik beradik yang berasal dari Kedah ini boleh membaca dengan baik menggunakan Al-Quran braille.
Memetik perkongsian Sinarplus, baru-baru ini Aisya Humairah menyertai Majlis Khatam Al-Quran 2.0 anjuran Sinar Islam Plus. Sejak di bangku sekolah rendah lagi Aisya Humairah aktif menyertai pertandingan tilawah Al-Quran.
Katanya, dia telah banyak kali terpilih untuk menyertai pertandingan tilawah Al-Quran dan berjaya ke peringkat kebangsaan.
“Antara pencapaian terbaik saya, memperoleh tempat kedua semasa Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kategori masalah penglihatan tahun 2021,” ujarnya.
Ads
LAHIR SEBAGAI BAYI NORMAL
Aisha Humairah dilahirkan sebagai bayi normal pada 17 Disember 2010. Namun, Aisya Humairah disahkan menghidap kanser mata ketika usianya setahun dua bulan.
Dia terpaksa menjalani rawatan kimoterapi bagi mengelak tumor merebak ke otak. Pada usia tiga tahun, mata kirinya pula terpaksa dibuang.
Setahun kemudian, Aisha Humairah hilang mata sebelah kanan sekaligus menjadikannya orang kurang upaya kategori cacat penglihatan sepenuhnya.
CANCER SURVIVOR
Biarpun perjalanan hidupnya tak seindah kanak-kanak lain seusia, Aisya Humairah yang merupakan cancer survivor tidak menjadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk bergiat aktif dalam aktiviti kerohanian.
Ads
Seawal usianya lima tahun, Aisya Humairah dihantar oleh ibu bapanya untuk belajar Al-Quran dengan beberapa orang guru mengaji.
Dia mula mengenal huruf melalui buku Iqra braille sebelum mengaji secara berperingkat menggunakan Al-Quran braille yang dibeli ibunya secara second hand.
“Peringkat awal mengaji, saya berdepan kesukaran untuk menghafal,” imbaunya.
Aisya Humairah menjadikan guru taranumnya, Ustazah Norsyafirah Jusoh sebagai sumber inspirasai. Ustazah Norsyafirah ialah Johan Qariah dalam Pertandingan Tilawah dan Hafazan al-Quran 2023 peringkat negeri Perlis.
Ads
Aisya Humairah punya kenangan manis ketika menyertai Pertandingan Tilawah al Quran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia pada 2020. Dia merupakan peserta termuda mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
IMPIAN BERGELAR ATLET PARALIMPIK
Seperti insan lain, Aisya Humairah juga berimpian untuk menjadi seorang yang dapat memberi inspirasi. Dia bercita-cita ingin bergelar atlet renang paralimpik suatu hari nanti.
“Ketika hujung minggu saya akan pergi kelas berenang kerana saya mempunyai impian mahu menjadi atlet renang paralimpik, jadi saya perlu berlatih bermula dari sekarang.”
Pesan Aisya Humairah, jangan berputus asa ketika belajar mengaji walaupun orang lain sudah berada di peringkat yang lebih baik. Belajar mengaji memerlukan kerajian. Teruslah berusaha dan jangan putus asa.
Sumber & Foto: Sinarplus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penghijrahan selebriti jelita, Diana Amir memang benar-benar memberi inspirasi kepada semua. Kini tampil berniqab, niat ibu kepada tiga orang cahaya mata ini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mendapatkan keredaan Allah sahaja.
Mengambil keputusan berhijab membuatkan Diana memahami bahawa kematian sangat hampir dengan dirinya, apatah lagi mengenakan niqab adalah satu perkara yang tidak terlintas di kotak fikiran selama ini.
Menurut Diana, dia tidak berniat untuk membuat penampilan di kaca TV, malah nekad ucapkan selamat tinggal dunia seni. Jelasnya dia mahu lebih fokus dengan dirinya sahaja.
“Saya nak berhenti daripada muncul di khalayak ramai. Saya nak fokus pada diri saya, nak fokus pada betul-betul ikhlaskan diri saya mencari agama kerana Allah.
“Saya rasa ini satu fasa untuk saya, untuk diri saya nak dekatkan diri pada Allah SWT. Jadi saya cuma mengharapkan semua orang doakanlah. Maksudnya, saya mahu berada dalam kalangan muslimat sahaja.
“Bagaimanapun yang pentingnya saya tidak melanggar syarak dan yang paling penting sekali hati saya melakukan apa-apa sahaja bukan hanya berniqab tapi ibadah yang lain ikhlas lillahi ta’ala dan semoga mendapat rahmat Allah,” ujar pelakon Strawberi Cinta itu.
Ditanya mengenai perjalanan untuk istiqamah, Diana menjelaskan bahawa kita haruslah mencari hikmah dalam setiap tindakan yang dilakukan agar segalanya terasa dipermudahkan olehNya.
“Perjalanan untuk istiqamah itu saya rasa paling penting untuk semua orang adalah dia. Kalau niat dia kerana Allah, insyaAllah pastinya kita berjalan kepada Allah, Allah akan ‘berlari’ nak membantu kita. Nak dekatkan diri kita kepada Allah SWT.
“Jadi, saya rasa kita sebagai hamba Allah yang banyak kekurangan ini haruslah bersangka baik dengan Allah. Jadi apa saja yang kita buat, kita kena cari apa kebaikan di sebaliknya.
“Kalau kita dapat yang buruk-buruk, kita akan rasa susah. Kita akan rasa banyak cabarannya. Tapi kalau kita nak istiqamah, cari apa hikmahnya yang kita akan dapat. Itu akan mudahkannya. InsyaAllah,” kata Diana.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Majalah Hijabista
“Cubalah untuk mencapai setinggi mana pun impian anda. Tapi harus ingat, ini semua pinjaman! Apa yang pernah kita lalui, susah atau senang. Jangan hanya berfikir untuk waktu dan ketika itu sahaja. Fikirlah apa yang ingin kita capai itu untuk 30 tahun akan datang dan sehingga kita menutup mata. Setiap masalah dan halangan cuba selesaikan, jangan buang masa! Percayalah setiap pengalaman itu akan jadikan kita lebih kuat di masa hadapan,” tegas Azliza (Liz) berusia 48 tahun.
“Saya tidak pernah menyesal atau malu mengaku dilahirkan dalam keluarga miskin. Malah saya rasa bersyukur kerana kehidupan saya punya kisah yang berwarna-warni. Pendek kata, macam-macam fasa kehidupan telah saya lalui dan kerana kemiskinan itulah menjadikan saya kuat dalam mengharungi dugaan kehidupan.”
Mengimbas kembali perjalanan hidup Liz, sebelum terlahirnya perniagaan Dapur Pramugari, cukup memberi inspirasi buat semua wanita lain. Kisah pengalamannya, menjadi simbol kekuatan dan kejayaan dirinya hari ini. Bagaimana dari seorang bekas pramugari dan kini terus mengukuhkan empayar perniagaan F&B Dapur Pramugari.
“Saya memang pasang niat untuk ada perubahan kehidupan yang lebih baik. Saya seorang yang tidak boleh duduk diam dan akan sentiasa mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru. Kami ada ramai anak, tanggungjawab besar tentang masa depan mereka dari segi pendidikan, insuran dan sebagainya. Ini semua menjadi kekuatan semangat untuk saya masuk dalam bidang perniagaan. Alhamdulillah, dalam keadaan fizikal kita yang masih sihat, kita gunakanlah anugerah ini sebaik mungkin. Bukan kata, kehidupan sebelum ini tidak mencukupi tetapi saya rasa sampai masanya untuk mengakhiri tugas berbelas tahun di awan biru. Lagipun dari kecil lagi saya punya cita-cita untuk jadi businesswoman. Masa dulu, dari sekolah rendah lagi saya jual mi, nasi lemak, terompah, keropok sambil kayuh basikal keliling kampung.”
Liz terus membawa kita mengimbau kisah hidupnya. “Saya dari keluarga miskin, nak beli buku atau kasut pun sangat susah. Saya juga keluar pergi cari kerja di pasar malam. Di situ saya kerja dengan seorang makcik tua jual makanan, pengalaman kerja waktu itu bukan mudah. Macam lipas kudung bekerja dan hasil upah bermula RM5 dan kemudiannya naik kepada RM10, alhamdulillah. Dengan hasil duit kerja sendiri itulah saya beli barang-barang sekolah. Bila teringat kembali kenangan itu, membuatkan saya bertekad untuk mengubah kehidupan dan berusaha untuk berjaya.”
Perjalanan susah dalam meniti kehidupan tidak bernoktah di situ. Hari-hari di usia remaja yang dilaluinya penuh dengan pelbagai rintangan, namun tidak sedikit meruntun kelemahan semangat dan kekuatan jiwanya untuk mengubah kehidupan yang lebih baik.
“Selepas SPM, saya tidak melanjutkan pelajaran di Universiti disebabkan keluarga susah dan saya ingin membantu keluarga. Saya lupakan cita-cita untuk menjadi peguam atau doktor. Pada waktu itu, saya rasa dengan kelulusan yang ada, pekerjaan sebagai pramugari paling sesuai dengan kelayakan dan untuk memperoleh gaji lumayan kerana saya tidak mahu lagi hidup susah.
Saya mengambil keputusan untuk berhijrah dan mencari kerja di lapangan terbang. Keluar dari kampung dengan berbekalkan sepasang kasut dan dua helai baju, saya dan jiran mengambil bas menuju ke Lapangan Terbang Subang demi mengejar cita-cita. Ini kenangan yang amat berharga dalam hidup saya, bila sewa di rumah Kampung Subang.
Keadaan ketika itu sangat sengsara, duduk rumah papan. Tandas pun hanya dikelilingi zink tak beratap dan mandi menggunakan air perigi. Bayangkan waktu pagi kalau mandi jam 5.30 pagi sangat sejuk, embun menitis sampai ke tanah. Nak keluar pergi kerja, saya kena jalan selama 20 minit melalui laluan kebun getah untuk ke jalan besar mengambil bas. Kalau balik kerja tengah malam, saya terpaksa tukar kasut sport untuk memudahkan saya membuat pecutan larian tanpa menoleh ke kiri, kanan dan belakang. Lorong menuju ke rumah sangat gelap tanpa lampu hanya mengharapkan belas kasihan bulan purnama,” jelas Liz sambil ketawa.
“Kalau awal bulan pula, boleh makan meriah beramai-ramai dengan rakan sewa lain. Tapi bila tengah bulan sampai hujung bulan, saya hanya makan roti dengan sumbat ais krim di tengah-tengah. Kalau nak bercerita lagi, terlalu banyak peristiwa menyentuh hati. Tapi itulah antara kenangan yang paling saya tidak boleh lupa.
Di terminal lapangan terbang, saya bekerja di kedai bunga dan restoran, sambil melihat dan bertanyakan beberapa kakitangan penerbangan yang lalu-lalang di situ kiranya saya berpeluang untuk menjadi pramugari. Kemudian saya dapat peluang untuk bekerja di kedai coklat, Duty Free Terminal 1. Alhamdulillah, satu hari saya dapat peluang temuduga sebagai ticketing officer dan diterima bekerja bersama Indonesian Airlines. Di situ, saya belajar selok-belok tentang penerbangan dan sebagainya selama 5 tahun.
Kemudian saya berhenti dan meneruskan cita-cita untuk menjadi seorang pramugari. Saya pernah berkhidmat sebagai seorang pramugari bersama Malaysia Airlines dan kemudianya saya berkhimat menjadi ketua pramugari di AirAsia. Saya amat bersyukur dengan perubahan hidup saya. Dari seorang anak gadis kampung seperti katak di bawah tempurung, akhirnya saya berjaya mengecapi apa yang saya mahukan dengan usaha sendiri,” bicara Liz sambil tersenyum mengimbas kenangan lalu.
Diringkaskan cerita, saya berhenti kerja, berkahwin dan fokus membesarkan anak seramai 4 orang. Bila anak-anak sudah membesar, saya yang tidak tahu duduk diam mulakan bisnes Mamours bersama kakak. Pada masa yang sama saya juga buat sedikit jualan makanan. Setelah itu, saya rasa jiwa ini sebenarnya lebih kepada perniagaan makanan. Lalu saya meninggalkan dunia perniagaan Mamours dan beri fokus kepada dunia perniagaan secara online sepenuhnya.”
Rezeki melimpah dengan Dapur Pramugari. “Alhamdulillah permintaan untuk lauk-pauk dan kuih mendapat sambutan sangat menggalakkan. Saya tidak membuka kedai atau restoran kerana tidak mahu komitmen untuk berada di kedai setiap masa, maka aktiviti perniagaan dijalankan secara online. Dan sekarang tumpuan saya lebih kepada produk baru saya Sambal First Class. Dalam masa enam bulan banyak perkara yang perlu diuruskan dari segi pemasaran, promosi dan sebagainya. Kerja siang malam untuk memastikan produk ini diterima dalam pasaran dengan baik.”
Menurut Liz, bisnes Sambal First Class berkonsepkan airlines di mana ia sedikit sebanyak berkait dengan pekerjaan beliau sebelum ni. Contohnya, saiz botol sambal mengikut konsep Boeing yang paling kecil diberi nama 737 dan yang besar diberi nama Jumbo. Tentang kualiti, Sambal First Class diperbuat daripada 100% cili segar dan ikan bilis mata biru sebiru langit di angkasa. Ini menunjukkan bahan-bahan yang digunakan berkualiti tinggi dan mahal.
Selepas ini antara rangkaian produk yang sedang menunggu untuk dikeluarkan adalah Sambal Economy Class. Maksudnya menggunakan cili yang lebih murah iaitu cili kering. Ini jelas bagi menunjukan perbezaan antara sambal murah dan sambal mahal.
Harapan Liz, “Saya berharap perniagaan ini terus berkembang dengan pelbagai jenis produk sambal lagi. Saya percaya ia mampu untuk dibawa ke luar negara. InsyaAllah dengan memperoleh pendapatan ini, saya harap dapat membantu lebih ramai lagi mereka di luar sana,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Isu pembatalan kuliah Maghrib melibatkan pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong pada hujung minggu ini hangat diperkatakan. Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pantas memberi penjelasan tentang pembatalan tersebut menurut undang-undang.
Pada Jumaat, UAI menerusi kemas kini di Facebook rasmi memohon maaf susulan kuliah maghrib di masjid tersebut dibatalkan atas kuasa JAIS.
“Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliah di negeri anda. Oleh kerana itu Kuliah Maghrib pada tarikh 26 Februari 2023 ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kg Pandan, Kuala Lumpur. Mohon sebaran seluasnya.” Admin UAI
Dalam masa yang sama, pihak JAIS turut tampil dengan penjelasan berkaitan isu tersebut.
“Semua individu yang mengajar tentang agama di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.
Pihak masjid atau surau tidak boleh menjemput individu yang tidak memiliki tauliah mengajar yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enekmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.” JAIS
DIMINATI
Semenjak bergiat aktif sebagai penceramah bebas, kehadiran Ustaz Azhar Idrus banyak membawa perubahan dalam majlis-majlis ilmu. Personalitinya yang santai dan bersahaja, senang berbicara dalam bahasa yang mudah serta diselangi pula dengan lawak jenaka berjaya menarik perhatian anak muda.
Berusia 59 tahun, Ustaz Azhar Idrus juga dikenali sebagai lelaki aktif dan menggemari hobi berbasikal serta fotografi. Beliau juga mahir bermain muzik terutamanya gitar serta pernah berpengalaman menjadi artis grafik.
Meskipun jarang berkongsi kehidupan peribadinya dengan peminat, Ustaz Azhar Idrus dikhabarkan mempunyai lebih dari seorang isteri. Baru-baru ini, beliau baru sahaja menyambut kelahiran anak ke-12 hasil perkongsian hidup dengan isteri Khairul Izyan.
Ada orang risau memikirkan anak yang ramai, ada juga bimbang memikirkan kewangan bila punya anak kecil berderet-deret. Tapi yakinlah setiap anak itu amanah-Nya dan Dia jugalah yang memberi rezeki kehadiran anak tersebut.
Dalam satu perkongsian SALAM Specialist Hospital Kuala Terengganu, figura hebat itu kelihatan tenang mengusap wajah anak lelakinya dengan penuh kasih sayang.
Bertuahnya si kecil dilahirkan dari zuriat alim ulama dan bijak pandai agama, semoga dapat mewarisi usaha dakwah ayahanda suatu hari nanti. Apa pun tahniah buat Ustaz Azhar Idrus dan isteri!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.