Jenama Fareeda bukanlah satu jenama baharu dalam bidang perniagaan tudung. Populariti jenama ini sukar untuk disangkal dengan mempunyai peminat dan pengikut tersendiri. Di sebalik jenama unggul Fareeda, berdirinya wanita anggun bernama Mawar Abdul Karim yang merupakan Pengarah Fareeda Global Resources Sdn Bhd. Peribadi lembut figura yang berasal dari Pulau Pinang menjadikan beliau seorang ‘role model’ dan usahawan wanita yang cukup disegani.
Bisnes yang diusahakan sejak sekian lama menjadi tunggak utama dalam kejayaan jenama Fareeda hingga ke hari ini. Ilham segar dan terkini sentiasa menjadi taruhan bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan produk yang dihasilkan. Bukan itu sahaja, malah kualiti yang dijanjikan membuktikan produk tempatan juga sebaris dengan jenama-jenama terkenal antarabangsa.
“Selain bisnes tudung, saya juga ada menghasilkan rancangan animasi di bawah kelolaan Fareeda Animation. Rancangan yang mempunyai 12 episod ini sudah siarkan di saluran Tv Alhijrah dan diberi judul ‘Kembara Farha Bersama Kak Mawar’. Rancangan animasi ini khusus buat kanak-kanak dalam memberi nasihat, doa dan teladan, “ jelas Mawar memulakan bicara.
Selepas 4 tahun melayari bahtera perkahwinan, akhirnya Mawar dan pasangan dikurniakan puteri yang diberi nama Wan Maryam. Menurut Mawar, nama cahaya mata sulungnya tercetus saat beliau sering membaca surah Maryam dan Yusof ketika beliau hamil. Surah Maryam yang menceritakan kisah kekuatan ibu Maryam yang difitnah namun masih kuat dan tabah membuatkan Mawar tertarik untuk memilih nama tersebut. Manakala nama ‘Wan’ dihadapannya diambil sempena nama sebenar fizo iaitu Wan Hafizul.
Ads
“Kehadiran Maryam menjadi pelengkap dan penyeri buat kami suami isteri. Tambahan pula. Di belah ibu saya, Maryam merupakan cucu pertama dalam keluarga saya dan sesungguhnya kami sekeluarga berasa cukup teruja. Kehidupan saya juga berubah sekelip mata dan kedatangan Maryam membuatkan hidup saya berasa lebih sempurna. Bagi Fizo pula, dia adalah orang yang paling gembira. Beliau memang menginginkan zuriat dari dulu lagi namun ketika itu masih belum ada rezeki.
“Sejujurnya ketika disahkan hamil, sukar untuk saya percaya disebabkan saya menghidap Endometriosis iaitu satu penyakit yang berkaitan reproduksi wanita. Namun setelah saya selesai buat rawatan dan buang cyst yang makan masa setahun jugalah, doktor ada memaklumkan pada saya jika lepas dua bulan saya masih belum hamil dia sarankan buat IVF. Tapi Alhamdulillah, rezeki Allah nak bagi. Dua bulan selepas rawatan tersebut saya akhirnya hamil secara semulajadi,” bicara Mawar penuh tenang.
Ads
Kelahiran Maryam merupakan penantian yang ditunggu-tunggu oleh Mawar dan Fizo selama ini. Jelas Mawar lagi, beliau ingin membesarkan anaknya itu seperti mana ibu beliau menguruskan dirinya dan adik-beradiknya ketika masih kecil. Mawar juga berharap agar anak kesayangan itu membesar menjadi seorang yang bedikari dan tidak terlalu bergantung kepada ibu-bapa di masa hadapan.
Kehidupan Seorang ibu bekerjaya memerlukan komitmen yang cukup tinggi dalam menguruskan urusan perniagaan dan rumahtangga. Pengalaman Mawar dalam menempuhi fasa seterusnya dalam rumahtangga menjadikan wanita berusia 29 tahun ini seorang yang lebih cekal dan tabah.
Ads
“Maryam merupakan anak sulung saya dan saya tiada pengalaman dalam membesarkan anak. Pada mulanya, agak sukar untuk saya bahagikan masa untuk keluarga dan juga untuk bisnes. Tambahan lagi, Maryam masih kecil dan kadangkala saya terpaksa membawa anak saya ke pejabat. Saya juga terpaksa bataskan aktiviti seharian saya dan memberi lebih tumpuan kepada Maryam.
“Walaupun saya ada mengambil khidmat pembantu rumah untuk mambantu saya, tapi tugas dia hanyalah untuk membuat perkara-perkara kecil sahaja, selebihnya saya lakukan sendiri. Pembantu rumah saya juga balik hari, jadi pada waktu malam saya menjaga anak saya sepenuhnya,” ungkap mawar.
Tambah Mawar lagi, dia lebih selesa untuk menjaga puterinya sendiri berikutan kes-kes yang berlaku melibatkan bayi di rumah pengasuh yang memberi sedikit sebanyak kesan trauma pada beliau. Selain itu, Mawar juga merancang untuk membuka nursery atau rumah asuhan untuk kanak-kanak kecil yang menyediakan khidmat pembelajaran khusus buat anak-anak.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bertemu empat mata dengan Dr Fauziah Mohd Hassan yang merupakan ahli lembaga pemegang amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), penasihat Rose2Rose dan ahli jawatan kuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia. Sudah lama sebenarnya beliau bergiat aktif dalam bidang kemanusiaan ini namun namanya menjadi popular sejak Oktober tahun lalu kerana ekspedisi keamanan Women’s Boat to Gaza yang ditawan oleh tentera Israel sebaik sahaja memasuki perairan Gaza. Video petisyen beliau yang meminta mereka dikeluarkan dari negara haram Israel menjadi viral serta merta.
Mendekati pakar perunding O&G di Hospital Ampang Puteri ini, keperibadiannya yang sangat keibuan membuatkan penulis berasa senang sepanjang sesi fotografi dijalankan. Dalam setiap jawapan yang diberikan ternyata beliau punya semangat juang yang tinggi dan tidak pernah menyerah kalah. Semoga kisah perkongsian ini menjadi satu iktibar dan juga teladan kepada semua pembaca Nona untuk melibatkan diri di dalam bidang kemanusiaan kelak.
PENGLIBATAN
Sudah sibuk dengan kerjaya sebagai seorang doktor kemudian bergiat aktif didalam bidang kepamusiaan pula. Apakah faktor yang membuatkan anda seorang individu yang aktif untuk membantu keamanan sejagat? “Saya rasa ia adalah sebahagian dari diri ini. Sebagai seorang doktor sememangnya sudah menjadi tugas hakiki saya untuk membantu orang. Apabila terdengar krisis kemanusiaan yang semakin menjadi-jadi saya terpanggil untuk turut menghulurkan bantuan, namun ketika terdetiknya niat itu saya masih belum jumpa cara bagaimana hendak membantu sehinggalah pada tahun 1999 apabila Tan Sri Jamilah mengajak saya menyertai misi perubatan Mercy. Sejak itu saya banyak menyertai misi kemanusiaan antaranya di Kosovo, Maluku, Afghanistan, Aceh, Pakistan dan Gaza. Semua misi ini saya ikuti ketika bersama dengan Mercy Malaysia. Kemudian apabila Aqsa Syarif ditubuhkan pada tahun 2010, alhamdulillah saya telah diberi kepercayaan untuk menjawat kerusi timbalan pengerusi dan kini saya turut bertindak dan berkhidmat sebagai seorang ahli lembaga pemegang amanah untuk Humanitarian Care Malaysia atau lebih dikenali dengan nama MyCARE.”
Apakah dorongan yang membuatkan anda memilih untuk bergiat aktif dalam bidang ini? “ Penderitaan wanita dan kanak-kanak Palestin menjadi satu sumber kekuatan untuk saya bergerak ke hadapan bagi menghulurkan bantuan. Kalau nak tahu, menurut laporan World Health Organization (WHO), kawasan Semenanjung Gaza yang selama ini menjadi kawasan panas yang diceroboh oleh Israel mungkin tidak lagi sesuai di diami pada tahun 2020 berikutan pelbagai jenis operasi ketenteraan dan juga sekatan yang berteruskan hampir sedekad lamanya.
Kalau bukan kita yang melakukan sesuatu, siapa lagi yang boleh? Dunia seakan lupa yang Gaza telah dikepung selama lebih 10 tahun. Untuk membantu, bukan hanya krisis-krisis di bahagaian Asia Barat sahaja yang perlu ditangani, malahan di Malaysia juga kita perlu peka terhadap mereka yang memerlukan bantuan. Ingatlah bahawa sekecil-kecil bantuan sangat bermakna daripada tidak berbuat apa-apa, kalau ada seringgit sumbanglah seringgit jangan pernah malu, kerana nilai yang sedikit itulah mampu mengubah kehidupan mereka yang memerlukan,” ujarnya penuh semangat.
PERJALANAN WANITA
Berita tentang ekspedisi Women’s Boat to Gaza yang ditawan tentera Israel membuka mata banyak pihak tentang perjuangan dalam menyedarkan dunia bahawa penduduk Gaza sudah lama ditindas. Untuk pengetahuan anda selain Dr Fauziah, terdapat 13 orang lagi wanita yang turut berada di atas bos tersebut dan mereka terdiri dari pelbagai warganegara, agama dan juga bangsa. Antaranya, dari negara Sepanyol, New Zealand, South Africa, Rusia, Australia, Norway, Sweeden, Ireland Utara dan Kanada.
Sebelum memulakan pelayaran misi ini, adakah sudah tahu bahawa yang misi ini pasti akan gagal dek sekatan kejam rejim Israel di perairan Semenanjung Gaza. Jawab wanita ini, “Memang kami tahu kami akan ditangkap, 99 peratus kami yakin kami akan ditangkap dan hanya satu peratus sahaja keyakinan kami bahawa kami akan selamat sampai. Walaupun sudah agak pasti bahawa keadaan tidak akan menyebelahi kami namun apa yang penting adalah mesej yang cuba kami sampaikan kepada seluruh dunia bahawa masyarakat Palestin di Semenanjung Gaza ditindas habis-habisan oleh rejim Israel. Sekurang-kurangnya apabila kami ditangkap sekalipun dunia sedar bahawa masyarakat Palestin masih ditindas dan diperlakukan secara tidak adil.”
Ketika askar rejim Israel menculik delegasi Women’s to Gaza, bagaimana anda mengikis rasa takut apabila berhadapan dengan situasi tersebut? “Saya menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT dan kepada Dia tempat saya bergantung. Saya sentiasa berdoa agar dipelihara keselematan oleh-Nya. Sebelum pelayaran lagi kami sebenarnya sudah dipersiapkan dengan simulasi dan juga latihan non-violence, bahkan ketika di atas bot pun kami berlatih berulang kali tentang reaksi apa yang perlu dilakukan apabila ditangkap. Tunjuk tangan kosong, muka tidak ada mimik marah dan bercakap dengan penuh diplomasi. Sebaik sahaja kami ditangkap saya berbisik kepada diri sendiri supaya tenang dan terus tenang. Ketika kami ditunda masuk ke kawasan haram Israel, kami menangis melihat Gaza kerana ia begitu dekat dan kami tahu banyak keluarga, kawan-kawan, ibu-ibu kecil bersama anak menunggu kami bersama kad kesihatan mereka. Suasana Gaza yang kami lihat sangat malap, gelap gelita dengan hanya ada empat kerlipan lampu.”
Ketika berada di dalam tahanan Israel apakah yang mereka lakukan kepada seluruh delegasi misi Women’s Boat to Gaza? “Semasa di atas kapal mereka geledah seluruh kawasan habis-habisan, tujuannya hendak mencari kamera tersembunyi dan juga senjati. Kami sememangnya sudah bersedia awal-awal telah membuang pelbagai jenis alat teknologi dan juga pisau ke dalam laut. Setelah kami ditahan, setiap langkah diawasi dan dirakam, ini adalah taktik mereka untuk menunjukkan bahawa mereka tidak mengasari wanita padahal mereka sebenarnya setiap hari mengganggu dan mengasari murabitat yang menjaga masjid Al-Aqsa, wanita-wanita dan kanak-kanak awam di Gaza. “
Penulis bertanya lagi, siapakah murabitat dan apakah peranan mereka di Masjid Al-Aqsa? Jawab beliau, “Untuk pengetahuan semua, murabitat adalah kelompok wanita yang bergilir-gilir duduk di Masjid Al-Aqsa supaya masjid tersebut tidak kosong. Memandangkan orang lelaki dewasa tidak dibenarkan ke sana jadi hanya merekalah harapan untuk memastikan bahawa masjid itu tidak kosong lantas memberi peluang kepada orang Israel untuk memasuki dan menguasainya. Mereka inilah golongan yang selalu dikasari oleh askar-askar rejim negara haram Israel.”
Mendengar kisah beliau membuatkan penulis berfikir seketika, apakah sumbangan diri ini yang sudah dihulurkan buat saudara kita disana, memang ia mengetuk pintu hati. Rasa sedih, kecewa dan marah menyelubungi diri, mengapa dan kenapa Palestin terus menerus di tawan? Sesungguhnya harga keamanan kini semakin mahal. Dalam rancak kami berbual, penulis bertanyakan kepada Dr. Fauziah mengenai sesetengah rakyat Malaysia yang memilih untuk memasuki Israel bagi melawat Masjid Al-Aqsa. Dengar-dengar aktiviti ini sebenarnya hanya mengundang kemajuan ekonomi Israel? Benarkah sebegitu?
“Soal ekonomi saya tidak boleh jawab, namun bagi saya apa yang terjadi hari ini adalah ramai yang mengambil kesempatan melawat Palestin dan Masjid Al-Aqsa ekoran perjanjian damai di antara Jordan dan Israel. Ini merupakan agenda normalisasi Zionis Israel untuk menunjukkan bahawa Masjid Al-Aqsa dan palestin berada dalam keadaan aman walhal ia tidak sebegitu. Hakikatnya kedua-dua tempat ini terus menerus dijajah! Kita perlu sedar bahawa ini adalah taktik licik israel, dalam dia sebenarnya mereka melumpuhkan semangat jihad umat Islam untuk menuntut kebebasan Al-Aqsa dan Palestin. Untuk pengetahuan semua, apa yang diperlukan oleh kedua-dua tempat ini adalah ia dibebaskan dan bukannya dilawati!” jawab beliau meluahkan pandangan peribadi mengenai hal ini.
CERITA TERKESAN
Pernahkah anda menitikkan air mata sepanjang menyertai misi kemanusiaan? “Kalau nak cakap soal kesedihan atau menyayat hati, saya bukanlah seorang yang senang menangis dan sangat penting untuk saya mempunyai mental yang kuat apabila menyertai misi kemanusian. Namun berbeza dengan misi kemanusiaan di Turki pada tahun 2014 yang mana saya membantu pelarian wanita dari negara Syiria yang sekian lama dipenjarakan di dalam penjara Bashar Al-Assad. Kisah dan juga trauma yang dialami oleh wanita-wanita ini membuatkan airmata saya jatuh, sedih! memang sangat menyayat hati. Wanita-wanita ini ditahan kerana suami mereka dituduh sebagai tentera pemberontak yang menentang Bashar Al-Assad.
Bayangkan sebelum mereka melarikan diri sepanjang dalam tahanan saban hari ada sahaja lelaki yang merogol mereka bukan setakat rogol malahan alat sulit mereka dirodok dengan kayu dan tikus dimasukkan ke dalamnya. Paling menyedihkan apabila mereka berkaya keluar dari penjara keluarga sendiri tidak dapat menerima keadaan diri mereka dan ada yang diceraikan seuami. Bayangkan betapa betapa kejamnya penderaan yang dilakukan. Apabila sampai di Turki para doktor terpaksa membaiki kemaluan mereka. Ada seorang wanita yang saya bantu, langsung tidak boleh melihat lelaki, dia akan menangis dan meraung akibat kesan trauma. Wanita-wanita yang dahulunya menderita ini sekarang sudah bekerja dibawah Syirian Women Association dalam membantu orang lain yang memerlukan pula.”
*ARTIKEL INI DITERBITKAN DI DALAM NONA EDISI MAC 2017
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehadiran Nur Dhabitah Sabri dalam arena sukan terjun di samping atlet berbakat besar seperti Dato’ Pandelela Rinong dan Datuk Leong Mun Yee terbukti berjaya melonjakkan nama negara dalam sukan berkenaan. Bakal berusia 24 tahun, Dhabitah memiliki aura tersendiri terutamanya ketika menyertai pertandingan.
Pada 2021, Dhabitah dilaporkan mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pesona anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga pernah menarik perhatian media antarabangsa sewaktu temasya Sukan Olimpik Rio 2016 kerana sikapnya yang suka tersenyum!
Mengimbas kembali momen Dhabitah dalam acara sukan dunia kira-kira tujuh tahun lalu, namanya meniti di bibir peminat sukan seluruh dunia yang tertawan dengan senyuman manis atlet muda ini.
Aura positif Dhabitah cukup menyenangkan hingga rata-rata mereka yang menyaksikan acara sukan berkenaan memuji atlet kebanggaan Malaysia ini. Menyedari namanya diperkatakan ramai waktu itu, empunya diri berkata tindakannya yang dilihat sering tersenyum sebelum dan selepas membuat terjunan adalah kerana mahu menghilangkan perasaan gemuruh.
Dilahirkan pada 12 Julai 1999, anak bongsu kepada pasangan Sabri Hashim dan Fazidah Jaafar ini mula didedahkan dengan sukan renang selepas kedua-dua ibu bapanya menyedari minat Dhabitah dalam bidang berkenaan sejak kanak-kanak lagi.
Sepanjang bergelar atlet, Dhabitah yang mendapat pendidikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) telah berjaya merangkul pelbagai pencapaian membanggakan.
Atas kejayaan cemerlang dalam bidang sukan, Dhabitah diberi kepercayaan membawa obor terakhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Lebih membanggakan, atlet ini turut menjadi antara 200 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Istana Negara.
Pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu, Dhabitah dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Wilayah (AMW). Moga kejayaan yang diraih Dhabitah terus menjadi inspirasi dan pencetus semangat buat ramai wanita untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Namanya dahulu pernah menjadi tular gara-gara video memangis ditinggalkan kekasih yang dimuat turun memberi impak cukup luar biasa pada dirinya. Namun, sebenarnya ia adalah gimik untuk pelancaran video lagu Pematah Hati milik bekas bintang Akademi Fantasia, Nur Nabila Mohd Razali.
Kini Nabila sudah tidak sendiri lagi, apabila telah menjadi suri hati kepada ahli perniagaan Nik Iruwan pada 18 November tahun lalu. Malah, penyanyi dan pelakon yang sememangnya bijak bergaya dan cukup stailo meski mengenakan hijab ini terlihat semakin manis sejak bergelar isteri.
Tapi siapa sangka sebelum ini, hatinya pernah ‘goyang’ ketika mula-mula berniat untuk berhijab.
Mengenang kembali tika pertama kali menyatakan hasrat berhijab pada 2012 yang lalu, Nabila akui cukup teruja. Namun bukan semudah itu untuk terus kekal menjaga aurahnya. Pelbagai rintangan perlu dilaluinya untuk menetapkan hati dalam menjaga penampian sebagai gadis Muslimah.
“Sejak tahun 2012, iaitu setahun sebelum saya menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia (AF). Itupun sempena Maal Hijrah pada tahun tersebut kerana pada pengamatan saya, rasa hormat rakan-rakan sekeliling amat berbeza antara kita berhijab dengan tidak.
“Sebelum berhijab, mereka terlalu senang untuk dekat dengan saya dan tidak terlalu menjaga batas pergaulan. Bermula pada detik itu, saya merasakan mahu buka buku baru. Terfikir juga sampai bila mahu berpenampilan tanpa hijab. Umur pula semakin meningkat. Walaupun masih belum sempurna, saya yakin ia merupakan satu langkah untuk mula menjadi manusia yang lebih baik.
“Rakan-rakan yang rapat dengan saya memang sudah lama menggalakkan saya untuk berhijab. Ada juga sindiran-sindiran manja daripada mereka. Apabila difikirkan semula, apa salahnya untuk saya menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslimah. Apa yang saya dapat lihat, cara mereka bergaul dengan saya juga agak berbeza daripada sebelumnya.
“Kadang-kadang ada juga terbawa-bawa perangai lama, namun mereka memberi teguran dan menasihati saya. Ibu dan ayah pula jenis tidak kisah tetapi mereka mengingatkan saya untuk terus istiqomah dan tidak hanya separuh jalan. Itu merupakan satu amanah untuk dijaga dan tiada alasan untuk toleh ke belakang semula. Selagi mana boleh dijaga, kita perlu jaga.
“Bagi saya, untuk kekal istiqamah adalah satu perkara yang amat sukar. Lebih-lebih lagi jika dikelilingi rakan-rakan yang ‘hot’, kadang-kadang hati akan goyang juga. Walau bagaimanapun, apa-apa dugaan yang mendatang ia sebenarnya berbalik kepada hati sendiri. Hati perlu kuat dan kena berbalik semula kepada niat kita untuk berhijab. Apabila memulakan langkah untuk berhijab, rasa malu terbit sedikit demi sedikit untuk meninggalkan amalan wajib yang lain.
“Sewaktu berada di Akademi Fantasia, rasa tergugat jugalah kena sentiasa berjaga-jaga dalam berpakaian dan bergaul. Dalam bab berfesyen, saya rasa sudah tiada masalah sekarang kerana sudah ramai pereka-pereka fesyen yang sudah mula menghasilkan busana-busana yang sesuai buat mereka yang berhijab. Walaupun berhijab, masih boleh mengikut trend.
Nabila yang kini semakin sibuk menjalani kehidupan sebagai wanita bekerjaya dan dalam masa sama menguruskan keluarga sebagai seorang isteri. Dia juga turut menyimpan harapan untuk menjadi insan lebih baik untuk dunia dan akhirat.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di TELEGRAM!
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Hijabista
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.