Adakalanya seorang wanita tidak bersedia untuk menghadapi kehamilan tak dirancang. Bukan menolak rezeki tetapi disebabkan oleh beberapa faktor antaranya kurang persediaan dari segi fizikal, mental serta ekonomi. Berbadan dua dalam keadaan tak bersedia memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.
Ketika ini seorang wanita memerlukan sokongan yang kuat agar proses kehamilan berjalan lancar sehingga ke fasa melahirkan. Berikut motivasi untuk membantu anda agar sentiasa tenang dengan semangat baru.
PERANCANGAN MANUSIA VS PERANCANGAN TUHAN
Manusia hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Hamil lagi tanpa dirancang bukanlah satu kesalahan. Sesungguhnya Tuhan lebih tahu bahawa anda mampu mengendalikan tanggungjawab itu.
SYUKURI NIKMAT
Kehamilan merupakan satu kurniaan dan takdir Ilahi. Syukurilah selalu rahmat-Nya. Bayangkan, masih ramai pasangan berkahwin di luar sana yang masih berjuang untuk memiliki zuriat namun masih belum berhasil. Ada yang memakan masa bertahun-tahun. Maka bersyukurlah rezeki anda dipermudahkan.
ANAK SUMBER KEBAHAGIAAN
Setiap anak yang lahir ke dunia adalah sumber kebahagiaan buat mereka yang bergelar ibu bapa. Berfikirlah jauh ke hadapan, ketika anak-anak sudah dewasa. Sebagai ibu bapa anda akan sangat bersyukur kerana berjaya membesarkan serta mendidik mereka.
SETIAP ANAK MAMPU MENJADI ORANG YANG HEBAT
Jangan pernah menyesal dengan kehamilan yang sedang anda jalani saat ini kerana bayi dalam kandungan itu memiliki peluang untuk menjadi insan-insan yang hebat berkat kasih sayang yang anda dan suami curahkan sepanjang membesarkannya.
SAYANGI ANAK DALAM KANDUNGAN
Zuriat dalam kandungan anda ketika ini sedang berkembang. Ia tidak patut dipersalahkan dek kerana kehamilan anda yang tak dirancang. Ia sangat berharap dapat terus berjuang dan bertahan sehingga detik dilahirkan ke dunia.
BERSERAH KEPADA TUHAN
Anda mungkin membayangkan bagaimana untuk memenuhi keperluan hidupnya, sekolahnya, kesihatannya dan sebagainya. Perasaan ini normal. Namun teruslah berjuang tanpa putus asa. Berserah sepenuhnya kepada Tuhan yang pasti akan membuka pintu-pintu rezeki buat anda dan suami.
JAGA KESIHATAN KANDUNGAN
Berjumpalah dengan doktor pakar anda secara rutin demi kesihatan kandungan. Tertekan kerana hamil tak dirancang boleh menjejaskan janin dalam kandungan. Bawa setiap keluh-kesah anda di dalam doa, minta pada Tuhan agar dikuatkan semangat untuk meneruskan kehamilan. Percayalah, Tuhan merancang sesuatu yang terbaik buat anda.
JANGAN PENDAM
Jangan hadapi situasi ini seorang diri, libatkan pasangan dan ahli keluarga untuk membantu anda. Sekurang-kurangnya keluhan anda selama ini dapat dikurangkan kerana adanya sokongan insan-insan tersayang.
BAIKI KEADAAN KEWANGAN
Kemaskini semula perancangan kewangan anda. Usah ragu-ragu untuk meminta tolong suami mencari pendapatan ekstra. Namun dengan cara yang berhemah agar suami tidak berkecil hati dengan permintaan itu. Berhati-hati dengan hutang, hiduplah dengan sederhana dan mengikut kemampuan.AMY MOHD