Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. Sifat dermawan makeup artist yang juga selebriti media sosial, Nabilah Zulyadaini ini misalnya sering menjadi sebutan masyarakat yang terinspirasi dengan kisah anak nelayan tersebut.
Tidak putus memanjatkan syukur pada Yang Esa di atas rezeki pinjaman-Nya, ibu tiga anak itu berkongsi nilai sumbangan dermanya ke Asia Barat yang mencecah lima angka semalam.
Tanpa ada niat menunjuk, screenshot resit pindahan wang dan bukti perbualannya dengan NGO dikongsikan pada umum sebagai tanda penghargaan beliau buat pelanggan Bellaz Beauty.
Bukti derma Bellaz kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia
“Alhamdulilah terima kasih yang mendoakan Bellaz. Minta maaf saya tak cens0r amaun tu. Niat saya hanya Allah Taala saja tahu. Bellaz gunakan platform media sosial untuk bagitahu yang sekarang ni kita perlu bantu saudara-saudara Islam kita di Palestin… Mengajak yang mana ada lebih tu bantulah, insyaAllah. Minta maaf sekali lagi.” Bellaz
Isteri kepada Anuar Ahmad itu yang memiliki hampir dua juta followers Instagram dan Facebook turut memanjatkan syukur kerana ramai yang menyokongnya dengan membeli barangan Bellaz Beauty.
“Tanpa anda tak mungkin Bellaz dapat sumbangkan buat saudara kita di sana. Hampa banyak support Bellaz. Semoga ada pahala sumbangan buat kita semua… Aamin…”
Bellaz dan suami
Ads
Salah satu billboard gergasi iklan Bellaz Beauty
Pada usia yang belum mencecah 30 tahun, kejayaan anak jati Tanjung Dawai, Kedah ini sering menjadi inspirasi generasi muda. Meskipun dilahirkan dalam keluarga susah, Bellaz tidak malu menceritakan pengalamannya berniaga kuih sebelum mula serius mendalami dunia solekan tujuh tahun lalu.
Bermula dengan live tutorial mekap di Facebook Make up by Bellaz, nama wanita jelita ini mula meniti bibir peminat solekan di media sosial. Rentetan itu, Bellaz tampil dengan rangkaian produk mekap sendiri di bawah empayar Bellaz Beauty, yang kini mendapat tempat di hati wanita Malaysia.
Ads
IKHLAS
Susulan isu kemanusiaan yang kini semakin hangat, semakin banyak pihak terutamanya individu seperti Bellaz tampil menyerahkan sumbangan kepada badan NGO yang menguruskan tabung kutipan amal.
Bellaz sendiri menyerahkan amanah kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia naungan satu-satunya anak Malaysia yang tinggal di Palestin iaitu Nadir Al-Nuri untuk menguruskan bantuan.
Gambar raya Bellaz sekeluarga
Ads
Anak bongsu Bellaz, Ean
Berita tersebut dikongsikan menerusi hantaran di Instagram dan Facebook untuk tatapan peminat dan juga pengikut media sosialnya.
Kata Bellaz lagi, sumbangan itu merupakan satu inisiatif bagi pihaknya untuk membantu penduduk yang memerlukan di sana.
Syabas Bellaz! Semoga lebih ramai usahawan dermawan Malaysia tampil menghulurkan bantuan kewangan yang sangat penting waktu ini untuk misi kemanusiaan.
Sumber: Facebook Muabellaz
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tekad yang tinggi, semangat berani dan sedikit tuah. Itulah Profesor Toh Chooi Gait, Profesor Pergigian Restoratif Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Kuala Lumpur, yang berhasil mencapai ikhtisar (resume) yang mengagumkan. Bagi beliau ia satu kebanggaan tidak ternilai yang menjadikannya orang yang tetap merendah diri. Pada Hari Wanita Sedunia kali ini, kami berbicara dengan beliau mengenai perjalanannya yang penuh inspirasi, yang dilakukan kerana beliau sukakannya.
Masa untuk keraian. Majlis separa rasmi yang dihadiri tetamu dari seluruh dunia penerima pelbagai anugerah. Antaranya, Profesor Toh Chooi Gait yang diraikan. Beliau bangga dan bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya iaitu Pingat Antarabangsa Fakulti Pembedahan Pergigian 2022 oleh Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd). Sebagai seorang felo pergigian luar negara, ia adalah satu pengiktirafan kepada sumbangan penting beliau kepada Fakulti Pergigian, kolej dan bidang pergigian secara keseluruhan.
Dikenali sebagai seorang yang ikhlas dan baik budi, maka tidak hairanlah apabila para hadirin diminta oleh Profesor Toh untuk berdiri bersamanya, lalu beliau membalas tepuk sanjungan mereka ke arah kamera siaran langsung, semasa beliau menyampaikan ucapan penerimaan pingat. “Untuk pencapaian ini, kami berterima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kemajuan peribadi dan profesional kami. Terima kasih juga kepada ahli keluarga atas kasih-sayang dan sokongan mereka.” Tepukan sanjung para hadirin bergema kuat dan berlarutan panjang di seluruh dewan, sama-sama berkongsi sentimen beliau.
Itulah saat yang tidak akan beliau lupakan, yang ternyata jauh berbeza daripada ketika perjalanan kerjaya beliau baru bermula.
Permulaan yang belum pasti
Sebagai seorang pelajar muda, Profesor Toh sentiasa cemerlang dalam pelajaran. Matlamatnya adalah menjadi seorang doktor. Walau bagaimanapun, pada tahun peperiksaan yang akan menentukan kemasukannya ke universiti, situasi peribadi menyebabkan prestasinya merosot. Namun, beliau tetap memohon tempat di Universiti Singapura (sekarang Universiti Nasional Singapura) dalam bidang perubatan. Beliau turut meletakkan jurusan pergigian, kejuruteraan dan perakaunan masing-masing sebagai pilihan kedua, ketiga dan keempat.
Tawaran pertama yang diterima beliau adalah jurusan perakaunan. Beliau melepaskan tawaran itu. Selepas itu, beliau ditawarkan tempat dalam jurusan kejuruteraan di Singapura. Sambil ketawa beliau berkata, “Saya mahu menolak tawaran itu juga!”, tetapi abang yang mendanai pengajian beliau menasihatinya untuk menerima tawaran tersebut. Profesor Toh menerima takdirnya dan hadir untuk memulakan pengajian kejuruteraan di Universiti Singapura.
Itulah titik perubahan dalam hidupnya. Beliau bertuah kerana ada pelajar yang berhenti daripada kursus pergigian pada saat-saat akhir dan itu membuka ruang untuknya. Walaupun bukan pilihan pertama iaitu perubatan, ia tetap lebih dekat dengan minatnya berbanding bidang kejuruteraan.
Tidaklah mudah baginya menerima jurusan itu, tetapi semakin beliau mempelajarinya, semakin terpesona beliau akannya. Beliau mendapat keputusan cemerlang setiap tahun dan menamatkan pengajian dengan kepujian. Profesor Toh merupakan seorang daripada 10 orang pelajar yang berjaya mencapainya sehinggakan dekan fakulti mengajak beliau menyertai universiti sebagai ahli fakulti, tetapi sekali lagi beliau menolak tawaran itu. “Nampak sangat saya memang pandai menolak tawaran,” dia bergurau.
Sebenarnya, Profesor Toh adalah seorang wanita yang tahu apa yang beliau mahukan. Pertamanya, beliau mahu bekerja di Kuala Lumpur kerana pasangannya yang kini adalah suaminya, akan berada di kotaraya itu. Kedua, beliau sedar bahawa dunia akademia adalah langkah seterusnya dalam perjalanan hidupnya kerana beliau memang mahu menjadi seorang pakar. Oleh itu beliau memerlukan latihan pasca-siswazah. “Saya tiada wang untuk meneruskan pengajian selepas mendapat ijazah tetapi saya tahu apabila berada dalam akademia, seseorang itu akan dihantar membuat latihan kepakaran,” ujar beliau jujur.
Kerana itulah Profesor Toh menyertai Fakulti Pergigian Universiti Malaya, yang merupakan fakulti pergigian pertama dalam negara. Pada tahun 1974 itu juga merupakan pertama kalinya kerajaan memansuhkan syarat perkhidmatan wajib kerajaan kepada graduan baru bidang pergigian. Beliau turut mencipta sejarah sebagai pembantu pensyarah termuda yang dilantik menyertai Universiti Malaya.
Tidak lama selepas itu, Profesor Toh terbaca iklan tawaran biasiswa Komanwel. Beliau memohon dan berjaya mendapatkan biasiswa berkenaan untuk melanjutkan pengajian pasca-siswazah di Institut Pergigian Eastman di Kolej Universiti London. “Sepanjang hidup saya ini perjalanannya bersahaja dan sudah tertulis. Saya memperolehi semua pengalaman indah yang tidak dapat dilupakan ini. Barangkali saya dilahirkan begitu bertuah atau sebenarnya ada penjaga pari-pari yang melindungi saya,” ujar beliau.
Tidak rugi apa-apa pun, malah mendapat lebih banyak lagi
Eastman adalah sebuah pusat rujukan bagi kes-kes rumit dan sukar. Peluang berada di situ adalah pendedahan tidak ternilai buat Profesor Toh. “Latihan pasca-siswazah sangat penting. Ia membuka minda. Ia mengajar kita untuk berfikir secara lateral dan mencari penyelesaian.” Selepas menamatkan program sarjana dan memperolehi kelayakan fellowship dari Kolej Pakar Perubatan dan Pakar Bedah DiRaja Glasgow dalam tempoh sembilan bulan sahaja, Profesor Toh mendapati beliau masih mempunyai masa di bawah program biasiswanya sebelum boleh pulang ke tanah air. Beliau ada terfikir untuk menduduki peperiksaan kelayakan fellowship dari Kolej DiRaja Pakar Bedah England, tetapi seorang rakan sekerja mencadangkan beliau untuk menduduki peperiksaan bagi mendapatkan Diploma Pergigian Restoratif yang baru sahaja dilancarkan Kolej DiRaja Pakar Bedah Edinburgh.
Dalam kumpulan pertama 11 pelajar, beliau mendapati hanya seorang sahaja yang lulus peperiksaan tersebut. Malah ketua jabatan pelajar itu sendiri agak skeptis dengan pencapaian tersebut. Namun, Profesor Toh nekad. “Ia satu kelayakan tambahan. Saya tak rugi apa-apa pun,” fikirnya pada waktu itu. Ternyata ia adalah peperiksaan yang paling susah pernah beliau duduki, tetapi akhirnya bersama lima orang lagi calon, beliau lulus peperiksaan itu! “Ada juga beberapa orang pensyarah kanan dari universiti lain. Salah seorang daripada mereka bahkan membawa alatan sendiri dengan segala peralatan terkini untuk digunakan semasa peperiksaan. Saya pula terpaksa menyewa peralatan!” katanya sambil tertawa.
Selepas menamatkan pengajian di UK, Profesor Toh kembali ke Universiti Malaya dan mendedikasikan 30 tahun seterusnya memperluaskan keupayaan jabatan sambil terus menjadi sosok proaktif dalam memperkembangkan bidang pergigian di Malaysia. Dalam tahun-tahun itu, beliau tidak pernah duduk diam dan sentiasa memacu ke hadapan. Antara pencapaian beliau termasuklah menjadi Presiden pengasas Persatuan Penyelidikan Pergigian Antarabangsa (IADR) Seksyen Malaysia; Presiden Persatuan Pendidikan Pergigian Asia Tenggara (SEAADE); Ahli Majlis pengasas Akademi Pergigian Estetik Malaysia; Pengerusi Jawatankuasa Peperiksaan Kelayakan Profesional Majlis Pergigian Malaysia (MDC); selain bertindak sebagai penyemak jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa.
Enggan Bersara
Pada tahun 2007, ketika orang lain memilih untuk bersara atau sekurang-kurangnya kekal dalam zon selesa masing-masing, Profesor Toh pula menerima panggilan dari IMU yang mempelawa beliau untuk menubuhkan fakulti pergigiannya. Fikirnya, “Ini sesuatu yang menarik. Saya boleh buat apa yang saya mahu buat selama ini tetapi dilihat terlalu pelik di universiti awam!”
Namun begitu, ia adalah satu cabaran. Beliau perlu meyakinkan ahli-ahli kanan dan rakan-rakan kongsi fakulti untuk menyokongnya dalam beberapa idea inovatif yang belum teruji dan dicuba sebelum ini. “Malahan ketika saya merangka kurikulum, rakan kongsi fakulti menyuarakan kesangsian mereka,” ujarnya. Mereka merasakan terlalu banyak perkara di dalam kurikulum tersebut yang boleh menghalang pembelajaran. Tetapi Profesor Toh meyakinkan mereka bahawa, “Ini tidaklah terlalu banyak. Inilah cara untuk membuat mereka belajar.”
“Saya beruntung kerana mempunyai kakitangan yang menghargai arah tujuan saya. Saya bawa mereka keluar dari zon selesa dengan idea-idea baharu, konsep baharu dan cara baharu melakukan kerja,” katanya. Kaedah beliau menyaksikan bilik-bilik kuliah berubah menjadi sebuah platform yang lebih berinteraktif di mana para pelajar meninggalkan tugasan poster dan menyampaikan maklumat dalam bentuk rancangan bual bicara televisyen dan dokumentari dengan mengambil kira audiens, platform media dan mesej yang mahu disampaikan.
“Kita perlu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mahu belajar dan mengekalkan ilmu tersebut. Jika anda menjadikan maklumat itu kekal relevan dan menarik, orang akan mengingatinya sepanjang hidup mereka. Ia adalah tentang mengubah pengalaman pembelajaran anda,” katanya.
Perubahan adalah sesuatu yang dekat di hati Profesor Toh. Baginya, perubahan adalah kunci kepada kemajuan. “Tetapi ia perlulah dilakukan atas sebab-sebab yang betul, bukan kerana mengikut trend. Perubahan perlu membawa kepada kemajuan dan meningkatkan kualiti pendidikan, kehidupan atau penjagaan kesihatan,” tambah beliau.
Wanita yang Disegani
Profesor Toh sendiri merupakan seorang pemangkin perubahan dan wanita teladan yang memecahkan pelbagai jenis halangan. Tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu ‘Merangkul Kesamarataan’, begitu seiring dengan falsafah peribadi dan perjalanan kerjaya beliau.
Beliau teringat satu peristiwa pada tahun 90-an ketika dijemput untuk berucap di Korea Selatan sebagai bakal Presiden IADR Divisyen Asia Tenggara. “Mereka tidak menyangka saya seorang wanita!” katanya. Menurut Profesor Toh, kumpulan professor yang kebanyakannya lelaki itu tidak tahu bagaimana mahu berurusan dengannya dan terpaksa menghantar kakitangan lebih muda untuk berjumpa beliau. “Orang-orang muda pula datang berjumpa saya lalu memberitahu saya adalah inspirasi mereka iaitu seorang wanita boleh memegang jawatan yang berpangkat tinggi,” sambung beliau.
Peristiwa itu sudah lama berlalu tetapi Profesor Toh berkata masih belum ramai wanita yang menjadi pemimpin. “Ramai, bahkan orang perempuan pun, masih lebih suka berketuakan orang lelaki kerana mereka merasakan lebih mudah bekerja dengan bos lelaki dan kurang cerewet. Bagaimana wanita boleh bangkit jika wanita sendiri tidak menghargai dan membantu sesama sendiri?” tanya beliau.
Profesor Toh berkata pola pemikiran wanita perlu diubah, malah stereotaip dan stigma mengenai peranan wanita dan lelaki perlu dihentikan. “Kita perlu membebaskan minda. Saya sentiasa mahu menggalakkan wanita dan memberikan keyakinan kepada mereka. Wanita tahu mereka boleh bekerja keras, tetapi mereka lebih suka bekerja di belakang tabir dan tidak mahu tampil ke hadapan.”
Permata yang bersinar
Bagi Profesor Toh, beliau tidak gentar untuk melangkah maju. Walaupun senarai pencapaian cemerlang sudah berada dalam genggaman, beliau terus memikirkan bagaimana beliau boleh memberi sumbangan kepada masa hadapan pergigian.
Kini, beliau sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat luar untuk membina sebuah sistem sokongan keputusan klinikal berkomputer sepenuhnya, selain komitmen dengan IMU. Sistem tersebut akan memberi panduan kepada doktor gigi melalui soalan-soalan dan menghasilkan diagnosis beserta pilihan rawatan berdasarkan bukti dan pelan rawatan berurutan. Ia juga akan memberikan maklumat mengenai bagaimana hendak berkomunikasi dengan pesakit supaya pesakit boleh membuat keputusan bermaklumat. “Saya fikir ia sangat berguna kepada doktor gigi muda atau yang kurang pengalaman,” katanya.
Profesor Toh juga masih terus memperkenalkan falsafah pembelajaran baharu di IMU bersama-sama rakan sekerja beliau yang lain. Antaranya adalah pembelajaran berdasarkan cabaran di mana pelajar bekerja untuk menyelesaikan situasi kehidupan sebenar dalam masyarakat. Menjadi harapan beliau untuk melihat IMU menjadi sebuah universiti masyarakat di mana orang ramai dapat melihat institusi itu sebagai sebahagian daripada keseluruhan ekosistem. Berikut adalah kata-kata beliau: “Masyarakat menyumbang kepada universiti dan universiti menyumbang kepada mereka. Kita adalah rakan kongsi sebenar.”
Sesiapa pun yang mendengar kisah hidupnya sukar untuk tidak terpesona dengan sikap optimis dan proaktif Profesor Toh. Entah apa lagi yang akan beliau lakukan selepas ini, tetapi jika ditanya apakah rahsia kejayaan kerjayanya yang begitu bermakna dan produktif itu, beliau tidak akan katakan yang ia disebabkan kecekalan dan pandangan positifnya. Beliau juga tidak akan mengaitkannya dengan kecerdasan dan kemahirannya. Profesor Toh akan memberitahu anda: “Berkahwinlah dengan pasangan yang betul. Sokongan yang akan anda dapat dari orang sekeliling anda yang akan membawa anda pergi jauh ke hadapan,” ujar beliau.
Itulah Profesor Toh. Seorang wanita baik budi yang sentiasa merendah diri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wartawan solo tiga dekad serba boleh, Haliza Hashim baru-baru ini dilantik sebagai Profesor Adjung di Pejabat Naib Canselor, Universiti Malaya.
Lebih 30 tahun menghubungkan penonton Malaysia dengan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku di Eropah, selayaknya wanita berusia 60 tahun ini diberi penghormatan tersebut.
Haliza yang mula berkhidmat sebagai wakil TV3 di London sejak tahun 1993, memainkan peranan penting dalam menyampaikan laporan berita semasa serta laporan khas dari United Kingdom dan seluruh Eropah.
Menerusi pengalamannya yang luas dan ‘mahal’ di samping kredibiliti dalam bidang kewartawanan, graduan ekonomi dari Cardiff University ini menjadi aset bernilai kepada industri media dan akademik.
Mengimbau perjalanan kariernya, Haliza bermula di Bilik Berita TV3, Jalan Liku, Bangsar pada awal 1990-an sebagai wartawan penyiaran untuk segmen berita dan program Money Matters dari Februari 1991 hingga Januari 1993 sebelum mengambil keputusan berani menjadi koresponden di London.
Beliau bermula dengan menyertai beberapa persatuan media antarabangsa, memperkenalkan diri kepada jabatan dan agensi kerajaan Malaysia di London serta membina rangkaian dengan kementerian utama di sana.
“Pada 90-an saya mengupah jurukamera luar, menyewa studio suntingan, menghantar visual menggunakan satelit dan menghantar teks laporan melalui faks ke bilik berita. Beruntung wartawan pada zaman kini, boleh menulis skrip dan merakam visual dengan telefon pintar.
“Sebagai wartawan solo adakala saya rindukan keakraban bersama rakan kerja, kru dan suasana bilik berita. Namun, kelebihan tugasan secara solo membolehkan saya bergerak dengan lebih mudah, pantas dan menjimatkan kos,” kata ibu kepada dua cahaya mata berusia 30 dan 26 tahun ini.
Kebanyakan liputan dilakukan Haliza meliputi pelbagai peristiwa bersejarah antaranya tragedi MH17 di Ukraine, pengeboman London 7/7, kebakaran Grenfell Tower, sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth II, serta pertabalan Raja Charles III.
Beliau juga berpeluang menemu bual tokoh-tokoh tersohor seperti Perdana Menteri UK terdahulu iaitu Margaret Thatcher dan Tony Blair, Jacques Chirac (bekas Presiden Perancis) dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di sebalik kesibukan sebagai wartawan, Haliza juga aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan sebagai Pengerusi MERCY Humanitarian UK dari 2015 hingga 2024, terlibat misi bantuan ke Lubnan, Bangladesh, dan Maghribi sambil menghasilkan laporan khas dari kawasan bencana selain merintis inisiatif Talian Kasih MERCY, sebuah platform sokongan kesihatan mental rakyat Malaysia di UK dan Eropah.
Ketika pandemik COVID-19, usahanya mengagihkan ribuan unit set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada pusat-pusat kesihatan di UK mendapat pengiktirafan melalui Anugerah Golden Hearts.
Selain itu, Haliza turut berkongsi pengetahuannya di pelbagai bengkel kewartawanan, ceramah awam, dan sesi mentor pelajar universiti di Malaysia dan UK menjadikan beliau bukan sahaja wartawan berkaliber tetapi juga pembimbing kepada generasi baharu wartawan.
Pada 2023, beliau turut menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) daripada Yang di-Pertuan Agong.
Terbaharu, Haliza dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaya selama dua tahun.
Surat pelantikan disampaikan secara rasmi oleh Naib Canselor UM, Datuk Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dalam satu majlis ringkas yang diadakan di London baru-baru ini.
Kini, beliau giat menulis sebuah memoir yang merakamkan pengalaman peribadi, kisah di sebalik tabir laporan serta pandangannya mengenai dunia media yang semakin dinamik dan kompleks.
Pelantikan itu juga inisiatif Universiti Malaya dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama tokoh profesional, korporat dan pemimpin yang telah mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing, demi merealisasikan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan global.
Sumber: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cerita mengenai anak kedua Khairy Jamaluddin dan Nori Abdullah yang menghidap austim bukan lagi rahsia. Baik Khairy mahupun isteri, kedua-duanya cukup terbuka dan enggan berselindung tentang keadaan sebenar anak istimewa mereka, Timor Abdullah Jamaluddin. Timor atau mesra dengan gelaran ‘Puma’ oleh Khairy… disahkan menghidap penyakit tersebut ketika dia baru mencecah usia tiga tahun.
Bertemu ibu berjiwa cekal ini dalam majlis pelancaran program Therapy Through Play (TTP) di gimnasium khas untuk kanak-kanak autism We Rock The Spectrum (WRTS) Damansara, Nori dengan nada tenang menjelaskan kehadiran Timor membuatkan mereka sekeluarga lebih matang menjalani kehidupan. Katanya, dugaan terbesar yang harus ditempuhi apabila dikurniakan anak autism ialah penerimaan.
“Macam-macam cabaran sebenarnya tapi yang paling utama ialah penerimaan. Penerimaan untuk kita faham keadaan dia, untuk kita tetap yakin yang dia juga mempunyai potensi dan untuk lebih memahami keadaan anak-anak kita. Itu antara first step. Timor didiagnosis autism secara rasmi ketika umur tiga tahun.
Jujurnya, ia bukan satu masalah besar kerana sebelum ini pun dalam keluarga kami dah ada anak istimewa. Jadi tak susah untuk faham dan terima bahawa Timor anak istimewa. Cuma sebagai ibu bapa kami perlu membuat sesuatu dan salah satu pendekatan yang kami ambil adalah melalui intervensi awal dan terapi.
Memang ambil masa sedikit untuk betul-betul faham dan terima hakikat bahawa inilah keadaan dia. Mungkin masalah yang dia alami ini akan berlanjutan sampai dia dewasa atau sampai bila-bila. Walau macam mana pun, kita kena ada rasa yakin yang dia mempunyai potensi diri.
Sebab itulah ibu bapa kena pentingkan terapi dan intervensi awal yang saya percaya mampu mengubah sikap dan pemikiran anak-anak ini ke arah lebih positif. Sebagai seorang ibu, saya mahu usahakan sebanyak mungkin untuk Timor juga anak-anak autism lain yang perlukan terapi,” ujar Nori yang merupakan anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Jelas Nori lagi, keadaan akan jadi kritikal sekiranya kanak-kanak terlibat tidak diberi bantuan terapi atau rawatan selanjutnya. Sebagai contoh, mereka mungkin tidak dapat pergi ke sekolah atau tidak dapat melakukan aktiviti harian bersama adik-beradik atau ahli keluarga yang lain.
“Bila Timor meltdown, saya dan suami kena pastikan kami yang bersedia dulu. Kalau dia meltdown kami tak boleh terpengaruh sama. Tapi, iyalah kadang-kadang dia meltdown, kita pun boleh terikut sama. Sebaik-baiknya dalam keadaan dia dah terlalu sedih atau mengamuk atau dah tak tahan dengan rangsangan berlebihan ke… kita yang perlu tenang untuk beri dia masa tenteramkan diri dia sendiri atau dalam kata lain, meluahkan perasaan dia dalam keadaan yang selamat.
Jadi kalau dia jenis meronta atau susah nak duduk diam… tangan kaki bergerak-gerak, susah nak kawal, kita pastikan dia ada ruang yang selamat dan kita pun tak nak ada barang pecah dan sebagainya. Kita kena berikan dia masa. Ini bukan anak yang saja mengada-ngada nak mengamuk. Dia memang tak dapat nak mengawal dan perkembangan rangsangan dia kadang-kadang berlebihan.”
Yang pasti, autism melibatkan banyak jenis dan bukan tertumpu kepada satu masalah saja. Ada kanak-kanak yang boleh ditenangkan dengan muzik, gajet, alat mainan dan bermacam-macam lagi. Berbeza pula bagi Timor. Menurut Nori, salah satu cara untuk dia meredakan keadaan Timor adalah dengan memberikan anak kesayangannya itu segelas air.
“Kalau anak saya, saya akan berikan air. Ingatkan dia untuk minum, bagi dia slow down breathing supaya dia akan tenang. Bergantung kepada ibu bapa itu sendiri macam mana hendak menenangkan anak. Paling penting kita latih diri kita untuk tenang bila keadaan anak kita meltdown.”
Ditanya apa reaksi pertama beliau dan suami apabila anak mereka disahkan menghidap autism, Nori bagaimanapun mengakui terkejut dengan perkara tersebut. “Perasaan malu tu tak ada sebab dalam keluarga kami memang dah ada anak istimewa. Cuma terkejut sebab saya pasti mana-mana ibu bapa pun tak duga yang anak mereka akan ada kelainan.
Alhamdulillah, dari dulu sampai sekarang kami dalam ‘action mode’. Maksudnya, kami akan segera fikir apa langkah seterusnya, cari therapist, cari sekolah yang sesuai untuk Timor dan macam-macam lagi. Itu antara first mode kami.
Ibu bapa kena ambil masa juga untuk menerima dan betul-betul faham keadaan ini serta apa impaknya kepada keluarga. Impak ni macam-macam… dari segi emosi, rutin harian, termasuk juga kewangan. Macam saya sendiri, saya terapkan kepada anak-anak lain. Jibreil kini 11 tahun manakala Raif pula 3 tahun. Kedua-duanya pun saya terangkan keadaan sebenar Timor supaya mereka faham.
Saya selalu ingatkan mereka yang walau macam mana sekalipun dia tetap abang atau adik dan ahli keluarga kita. Kami suami isteri turut saling mengingatkan bahawa Timor tetap anak kami. Itu tak akan berubah dan seperti mana kami beri sokongan dan kasih sayang kepada Jibreil dan Raif, macam itu jugalah kami beri kepada Timor. Memang perlu tunjuk kesedaran itu bermula dengan keluarga kita sendiri.
Sejak kecil lagi Jibreil sudah didedahkan dengan keadaan adiknya dan kalau apa-apa berlaku, dia antara yang pertama yang akan pertahankan adik dia. Waktu mengandungkan Raif mula-mula dulu pun kami sekeluarga sudah mula buat persediaan untuk Timor melalui social stories. Kami sediakan social stories ini untuk Timor, agar dia lebih bersedia dan memahami sesuatu perkara melalui gambar dan teks yang mudah. Jadi kami terangkan yang dia bakal ada adik dan tidak terkejut.
Bagi anak-anak autism, mereka agak susah untuk terima pengalaman baru atau perkara yang di luar daripada rutin harian mereka. Sebab itu kami cuba sampaikan perkara baru kepada Timor melalui social stories memandangkan dia boleh membaca.
Mungkin bagi kanak-kanak yang tak mampu membaca lagi, kita boleh bagi visual saja. Tidak kisahlah melalui telefon ke, iPad atau apa-apa pun. Ikut kreativiti ibu bapa itu sendiri. Ini adalah antara tip yang boleh dipraktikkan kepada anak-anak autism yang masih kurang faham tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka,” telus Nori yang tidak pernah lelah mengasuh Timor berusia 10 tahun.
Nori dan Khairy mendirikan rumah tangga sejak tahun 2001 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jibreil Ali, Timor Abdullah dan Raif Leo Averroes.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pada usia 59 tahun dan ibu kepada 3 anak, YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Bank Islam yang baharu, berkuat kuasa 1 April 2026.