
Nampaknya langkah Hani Karmila dalam industri seni makin serius dan ‘deras’! Ternyata, darah seni arwah bapanya iaitu Hani Mohsin dan ibu tersayang, Puan Sri Tiara Jacquelina mengalir laju dalam diri anak seni ini.
Terbaharu, Hani Karmila muncul dalam filem Laknat yang ditayangkan pada 5 Jun ini. Menerusi naskhah seram itu, Hani memegang watak Murni yang diinspirasikan daripada kisah benar.
Mila atau nama sebenarnya Hani Karmila Hani Mohsin menjelaskan ibunya yang juga penerbit dan pelakon filem Puteri Gunung Ledang merestui dirinya menjadi pelakon menerusi filem Laknat.
Hani Karmila Jadi Pelakon Filem Laknat
View this post on Instagram
Sebagai anak kepada Allahyarham Hani Mohsin dan Puan Sri Tiara Jacquelina, Mila mewarisi darah seni yang kuat.
Namun beliau memilih untuk tidak hanya bergantung pada nama besar keluarganya. Sebaliknya berusaha keras membina identiti sendiri dalam industri hiburan.
Mila bukanlah asing dalam dunia seni. Sebelum ini, dia pernah membuktikan bakatnya menerusi teater Melur the Musical dan juga sebagai atlet seni mempertahankan diri Jiu Jitsu. Lebih istimewa, Mila meraih pingat emas dalam Kejohanan Antarabangsa Terbuka Singapura.
Khabarnya Mila mula aktif menceburi seni bela diri Jepun berkenaan hampir sedekad lalu.
Tidak cukup itu, wajah jelitanya juga pernah menghiasi iklan komersial Malaysia Airlines. Lebih membanggakan, Mila bergelar juara sukan Jiu Jitsu di Singapura pada 2022.
Hani Karmila Iras Arwah Bapa
Setiap kali melihat wajah Mila, peminat seni tanah air pasti terkenang raut wajah Hani Karmila iras Allahyarham Hani Mohsin. Bahkan ramai mengatakan dia mewarisi senyuman pelakon Jimi Asmara tersebut.
Hani Mohsin meninggal dunia pada 25 Julai 2006. Hasil perkongsian hidup, Hani dan Puan Sri Tiara dikurniakan Hani Karmila. Mila dilahirkan pada 21 September 1996 dan kini berusia 28 tahun.
Mila juga mempunyai seorang adik tiri hasil perkahwinan ibunya dengan usahawan Tan Sri Mohd Effendi Norwawi iaitu Mohd Eridani Effendi.