
Seorang bekas model jelita raih pendapatan jutaan ringgit setahun, bekerja untuk kempen-kempen high-profile, berparti dengan bintang-bintang terkenal Hollywood seperti Jack Nicholson, Andy Warhol, Harrison Ford, Melanie Griffith dan Madonna kini hidup merempat di kaki lima.
Nastasia Urbano, 57, pernah terkenal suatu ketika dahulu dan wajahnya terpapar sebagai penghias muka depan majalah Vogue. Wanita ini memiliki segala-galanya yang diingini oleh seorang wanita lain. Dikurniakan kecantikan semula jadi sehingga menjadi rebutan jenama terkenal untuk menggayakannya, terkenal dan kaya-raya.
Menurut laporan akhbar di Sepanyol, Nastasia Urbano sewaktu di zaman kegemilangannya, semua orang dalam industri menyayanginya. Wanita ini pernah menerima gaji melebihi 1 juta ringgit hanya untuk bekerja dalam 20 hari sahaja.
Situasi ini terus konsisten selama empat hingga lima tahun lamanya. Bayangkan berapa banyak wangnya tersimpan di dalam bank. Malah Nastasia Urbano juga menjadi model utama pertunjukan promosi fesyen.
Tetapi, segala-galanya hancur hanya semata-mata cinta terhadap seorang lelaki yang SALAH. Kejatuhannya bermula selepas berkahwin apabila suaminya yang telah mengikis semua hartanya.
“Dalam tempoh dua hari, dia sudah minta belikan kereta BMW. Saya seprti orang bodoh apabila terus berikan cek kerana mabuk cinta,” katanya.
Jika suatu ketika dahulu duit langsung tidak menjadi masalah kepada Nastasia Urbano tetapi kini hidupnya merempat dan dihalau keluar kerana tidak mampu bayar sewa.
Menurut ibu kepada dua orang anak yang telah dewasa ini, dia sedang bergelut dengan depresi. Tidak mahu menyusahkan orang lain terutama anak-anak dan kawan-kawan Nastasia Urbano tinggal digelandangan di kaki lima bank
Sumber: https://people.com
Gambar: Instagram @nurbano518 & @nastasiaurbano
Comelnya Baby Boy MUABELLAZ, LAHIR Pada Malam HARI ARAFAH Pula.

Mengambil berkat malam hari Arafah, MUABELLAZ bersyukur anak ketiganya dilahirkan dengan selamat. Muhamad Ean Yusuf Bin Mohd Anuar mendapat perhatian daripada followers Muabellaz dan ramai yang memuji baby comel yang bertuah itu.
https://www.instagram.com/p/CDPVfyup9Pm/?utm_source=ig_web_copy_link
Kegembiraan menyambut orang baru dalam keluarga semestinya dinanti-nantikan oleh suami tersayang, Anuar Ahmad dan dua lagi anak-anaknya, Alisya dan Aidil.
Mengenali Muabellaz atau nama sebenarnya Nur Nabila Zulyadaini yang mempunyai 1.7 juta followers di Instagram, dia cukup rendah diri. Celotehnya ketika tutorial live di media sosial dalam loghat utara sangat menarik dan lucu.
“Saya belajar makeup hanya dari Youtube dan Instagram. Masa mula-mula dulu memang saya tak mampu untuk menghadiri kelas solekan kerana yurannya terlalu mahal. Saya bukan dari keluarga yang kaya jadi duit yang ada digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan untuk up-grade barang solekan.
Solekan ini umpama satu kelebihan dalam skil. Untuk jadi pandai, kita perlu selalu praktikkan solekan dan itulah yang saya lakukan. Setiap kali saya terima bayaran dari klien, saya gunakan untuk beli barang-barang yang lebih baik. Sampai di rumah, saya akan berulang kali solek diri sendiri supaya skil itu semakin baik.
Saya memang minat sangat makeup. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan. Selepas itu saya mula buat video live di Facebook dan tutorial makeup dan dari situ orang mula mengenali saya. Lama-kelamaan, saya mengambil cabaran membuka kelas solekan agar lebih ramai lagi yang boleh belajar ilmu solekan dan pada masa sama, saya sendiri boleh belajar dari mereka dan mengasah skil sendiri,” ujarnya.
Mengimbau kembali setiap kesukaran hidup yang pernah dilalui, Bellaz hampir mengaku kalah dengan airmata. Hidupnya sukar dan tidak pernah langsung dia terfikir dapat keluar dari kemiskinan. Jiwa yang kental dan tanggungjawab yang dipikul membuatkan Bellaz sentiasa mencari ruang untuk cuba memperbaiki nasib keluarga.
“Ayah saya seorang nelayan, manakala ibu pula hanya seorang surirumah. Apabila ayah ‘masuk pulau’, hampir dua hingga tiga minggu juga kami ditinggalkan. Sebagai anak ketiga, saya rasa sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mencari rezeki untuk kami anak-beranak makan, biarpun hanya kais pagi makan pagi.
Kesenangan yang dikecapi Bellaz kini bukanlah hasil sebulan dua. Dia bekerja keras demi kelangsungan hidup dan untuk terus kekal relevan dalam industri demi untuk memberi kesenangan kepada keluarga. Macam tidak percaya apabila Bellaz akui adik-adiknya tidak tahu membuka pintu kereta kerana tak pernah naik kereta seumur hidup mereka.
“Sewaktu saya dan suami belum berkahwin, suami bercadang membawa saya dan adik-adik makan dengan menaiki kereta. Adik-adik saya tak tahu macam mana nak buka pintu kereta kerana kami tak pernah naik kereta! Bagi saya, makan sayur kailan dan minum Milo ais pun sudah cukup mewah.
Kalau tak cukup duit untuk makan, memang saya sendiri akan ke rumah jiran untuk pinjam duit. Kadang-kadang duit upah dari kelas ikan saya berikan kepada ibu kerana ibu dan adik-adik tak makan. Saya berlapar kerana kasihankan mereka. Saya sedar ramai lagi orang yang lebih susah dari saya tapi ini kisah hidup saya yang ingin kongsikan kepada semua,” cerita Bellaz.
“Saya tak pernah terfikir untuk mendapat rezeki besar macam ni dari Allah. Saya fikir, cukuplah kalau ada duit untuk makan, tak perlu kaya-raya. Tetapi ini pemberian Allah, jadi saya perlu buat sesuatu agar ia boleh dikongsi bersama orang lain.
Di kampung, memang ramai sangat orang yang susah, malah lebih susah dari saya dulu. Kalau saya dengar ada yang perlukan bantuan, saya akan ke rumah mereka dan lihat apa yang boleh dibantu. Begitu juga sekiranya mereka perlukan bantuan dari segi kemudahan infrastruktur.
Ada dua perkara yang saya pegang dalam diri iaitu sejahat mana sekalipun kita, jaga hubungan kita dengan Allah kerana Allah akan sentiasa bersama kita. Jangan pernah putus doa dan niat perlu betul. Dan bersedekah dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Dengan rezeki yang Allah beri, kita cuba bantu adik-beradik kita dan tolong orang yang memerlukan.” Katanya mengakhiri perbualan.
Kredit foto: Instagram Muabellaz
30 Tahun Berjuang Lawan Kanser, Mendiang Olivia Newton-John Lambang Kecekalan Wanita.

Kanser merupakan penyakit yang paling digeruni baik wanita mahupun lelaki. Kanser atau barah adalah sejenis penyakit di mana wujudnya sel yang berkembang biak secara tidak terkawal. Ia biasanya tidak menunjukkan sebarang petanda sehinggalah pesakit dapat merasakan perubahan pada tubuhnya sendiri termasuklah pembengkakkan atau ketulan luar biasa pada anggota badan.
Foto:Official Olivia Newton-John Fan Page.
Antara selebriti yang tewas dalam perjuangan menentang kanser baru-baru ini ialah Bintang Hollywood, Olivia Newton-John. Olivia yang terkenal dengan watak Sandy dalam filem muzikal mega, Grease menghembuskan nafas terakhir di ladang miliknya di California, Amerika Syarikat (AS) pada 9 Ogos lalu. Beliau menghembuskan nafas terakhir di ladang miliknya di California, Amerika Syarikat (AS). Mendiang meninggalkan suami, John Easterling dan anak perempuannya, Chloe Lattanzi.
Foto:Official Olivia Newton-John Fan Page.
Mendiang Olivia disifatkan simbol kejayaan dan harapan selama 30 tahun berkongsi pengalamannya bertarung dengan kanser payudara. Pada tahun 1992, pelakon Grease itu telah disahkan menghidap kanser payudara dan sembuh pada tahun 2013. Namun pada September 2018, Olivia yang ketika itu berusia 70 tahun mengesahkan bahawa dia menghidap kanser di bahagian bahu. Tahun pertama Newton-John didiagnosis kanser payudara, dia juga kehilangan ayahnya, Brinley, karena kanser hati. Sejak itu, Olivia cekalkan semangat untuk kekal optimistik melawan penyakit ini sehingga dia dilihat sebagai seorang cancer survivor yang kuat.
Olivia Newton-John sempat menubuhkan Olivia Newton-John Cancer and Wellness Centre di Melbourne, Australia dalam usaha melakukan penyelidikan dan membantu mencari penawar untuk penyakit yang digeruni di dunia ini. Ketika menderita kanser payudara, Olivia sempat menulis album berjudul Gaia. Olivia sekali lagi kehilangan adiknya, Rona Newton-John akibat kanser otak pada 24 Mei 2013.
Foto:Official Olivia Newton-John Fan Page.
Olivia merupakan simbol kejayaan dan harapan selama 30 tahun berkongsi pengalaman menghidap kanser payudara. Pada September 2018, Olivia mendedahkan bahawa menerima rawatan bagi kanser di bahagian tulang belakang. Ia merupakan diagnosis ketiga selepas menghidap kanser payudara pada awal 90an dan 2017.
Foto:Official Olivia Newton-John Fan Page.
Apabila dia mengumumkan bahawa dia menderita kanser lagi, Olivia berterima kasih kepada kemajuan terkini dalam bidang perubatan dan terapi semula jadi. Selain menjalani terapi sinaran, mendiang merawat dirinya dengan ganja perubatan dan telah mengurangkan gula dalam dietnya. Dalam semua peringkat yang menyakitkan ini, sokongannya yang terbaik merupakan suaminya, John Easterling yang sentiasa berada di sisi mendiang. Pasangan ini telah berkahwin selama sepuluh tahun. Bagi Olivia, ia merupakan perkahwinannya yang kedua sejak dia pernah berkahwin dengan pelakon Matt Lattanzi, bersama dengannya, anak perempuannya, Chloe Rose.
Foto:Official Olivia Newton-John Fan Page.
Foto:Official Olivia Newton-John Fan Page.
Nama Olivia menjadi fenomena dunia melalui Filem Grease yang ditayangkan pada 1978, menggandingkan Olivia dengan aktor, John Travolta. Filem itu menghasilkan tiga single duet popular termasuk You’re The One That I Want dan Summer Nights,. Mendiang dilahirkan di Cambridge, United Kingdom (UK) pada 26 September 1948. Olivia mula dikenali selepas merakamkan lagu If Not For You ciptaan Bob Dylan yang menguasai carta UK pada 1971. Mendiang memenangi empat trofi Anugerah Grammy dan memiliki tujuh single nombor satu di AS antara 1974 hingga 1977.
Hari Ini Milik Makcik Kiah

Subuh tadi, Makcik Kiah bangun tersenyum syukur. Menarik nafas panjang dan menggerakkan tubuh manja. Alhamdulillah untuk satu hari lagi kehidupan, terima kasih Allah untuk nafas hari ini.
Makcik Kiah bangun menunaikan kewajipan solat Subuh dengan tenang tanpa perlu memikirkan hari semalam yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukan yang menghiasinya. Tidak juga, berfikir tentang esok yang belum tentu kedatangannya.
Selesai solat Subuh, Makcik Kiah masih duduk di sejadah sambil menadah tangan berdoa, berzikir dan membaca serta memahami Al-Quran dengan sekhusyuknya kerana hari ini adalah harinya, maka Makcik Kiah manfaatkan hari itu sebaik-baiknya.
Makcik Kiah anggap masa hidup hanya hari ini sahaja, seakan-akan dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga. Tidak mahu tersepit di antara masa lalu dengan pelbagai rasa sedih dan kegundahan atau memikirkan masa depan belum pasti dan mungkin menakutkan.
Hari ini, Makcik Kiah mulai membahagi waktu dengan bijak. Jadikan setiap minit itu seperti ribuan tahun dan setiap detik seakan ratusan tahun, tanamkan segala kebaikan sebanyak-banyak pada hari itu. Makcik Kiah menyusun pelbagai aktiviti untuk pastikan segalan keindahan dan kebaikan itu ada pada hari ini.
Dengan rasa itu membuatkan hidup Makcik Kiah merasa aman dan tenteram, berdoa sungguh-sungguh untuk memohon keampunan Allah, menghabiskan masa bersama keluarga dengan tugas-tugas memasak dan mengemas rumah, dengan tangan terbuka dan rasa syukur.
Makcik Kiah tanamkan semangat positif dalam diri bahawa hari ini adalah miliknya. Bersyukur dapat makan nasi yang harum baunya, maka tidak lagi berfikir tentang nasi yang telah dimakan semalam.
Ada juga Makcik Kiah terfikir tentang apa nak dimasak esok, padahal esok masih angan-angan. Lalu Makcik Kiah terus menikmati nikmat hari ini dengan semangat dan tekad. Prinsip inilah membuatkan Makcik Kiah menyibukkan diri setiap detik untuk selalu memperbaiki keadaan.
Makcik Kiah tidak lagi membuang masa dengan tidak berfaedah, bergosip tentang artis bersama teman, tidak berkongsi fitnah atau perkara negatif melalui talian WhatsApp atau membenci orang lain. Kerana hanya hari ini, Mak Cik tidak mahu menyerabutkan keadaan. Biar semua berlalu dengan tenang dan bermakna untuk dirinya dan orang tersayang.
Hari ini juga, Makcik Kiah manjakan diri dengan membersihkan diri, jaga penampilan agar kelihatan cantik dan rapi. Pada waktu yang sama Makcik Kiah sempat membuat sumbangan derma melalui Tabung Prihatin COVID-19.
Makcik Kiah amat menghargai kehidupan hari ini dan sempat mengucapkan pada dirinya, “Wahai masa lalu yang telah selesai, tenggelamlah seperti mataharimu. Aku tak akan pernah menangisi pemergianmu. Aku tidak mahu termenung untuk mengingati segala yang berlaku. Kamu telah meninggalkan kami semua, pergi dan tidak akan kembali lagi.
Wahai masa depan yang belum pasti kemunculannya. Aku hanya mampu berdoa yang sebaik-baiknya bila ketibaan itu dan pasti akan bersyukur kala Allah memberi aku nafas untuk hadapi kehidupan seterusnya. Dan aku tanamkan dalam diri untuk buat yang terbaik pada hari-hari yang bakal aku jalani, insyaAllah,” bicara Makcik Kiah sambil menutup buku bertajuk Don’t Be Sad yang menjadi inspirasi dalam hidupnya. Kiffy Razak
Sumber Ilustrasi: @NPR